Friday, July 5, 2013

Kenyataan Media Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Berhubung Pergolakan Di Mesir


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam rampasan kuasa dan penahanan Presiden Mohammed Mursi. Insiden yang tercetus selepas demonstrasi berpanjangan ini bukan sahaja telah meragut nyawa, tetapi juga membawa rusuhan dan pertembungan ganas antara pihak penyokong dan penentang kerajaan di sana.

Harus diingat bahawa Presiden Mohammed Mursi adalah seorang pemimpin yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir melalui proses pilihan raya dan bukannya rusuhan jalanan. Beliau tidak sepatutnya digulingkan dengan sebegitu rupa kerana ini bukan sahaja melanggari prinsip dan amalan demokrasi tetapi juga mengkhianati amanah rakyat.

Ini adalah satu iktibar kepada seluruh masyarakat antarabangsa bahawa keputusan demokrasi mestilah diterima dan dihormati oleh semua. Sebarang tindakan untuk menjatuhkan Kerajaan yang dipilih secara demokratik nyata melanggari batasan undang-undang dan perlembagaan.Oleh itu, tindakan sebegini hendaklah dikecam dan ditolak sepenuhnya.

Pada masa yang sama, saya mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di sana dan menasihati mereka agar tidak menghampiri kawasan yang berisiko tinggi. Saya juga berharap Kementerian Luar akan terus memantau pergolakan di Mesir dan membuat persiapan awal sekiranya kita terpaksa memindahkan rakyat Malaysia bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

PRK DUN Kuala Besut - 12 Julai Penamaan Calon... 24 Hari Pengundian


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai ini sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut manakala hari pengundian pada 24 Julai.

KBS Lancar Program Gaya Hidup Sihat


Khairy bersama Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh (kiri) ketika melawat peserta Gimnasium Membuatkan Saya Cergas dan Sihat di Putrajaya, semalam. - Foto Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam melancarkan program 'Gimnasium Membuatkan Saya Cergas dan Sihat' bagi meningkatkan kesedaran umum mengenai gaya hidup sihat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata program itu bagi menggalakkan orang ramai terutama kakitangan KBS, mengenai kepentingan menjaga tahap kecergasan dan mengamalkan gaya hidup sihat pada setiap masa.

Katanya, 200 kakitangan kementerian masing-masing 20 peserta setiap negeri kecuali Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan, berusia antara 18 hingga 60 tahun dipilih menyertai projek perintis yang akan diadakan di Gimnasium 1Malaysia di KBS dan di negeri terpilih selama empat bulan bermula Julai ini.

Wajib jalani UKJK

Beliau berkata, semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) terlebih dulu bagi menentukan tahap fizikal masing-masing, sekali gus mengelak sebarang masalah.

“Peserta yang terpilih diwajibkan menjalani latihan berpusat antara tiga hingga empat kali seminggu bagi meningkatkan kecergasan dan kesihatan diri selain menurunkan berat badan dalam tempoh ditetapkan penganjur.

“Tidak seperti program realiti Biggest Loser yang menumpukan kepada penurunan berat badan semata-mata, program anjuran KBS dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) ini lebih mementingkan kepada kecergasan dan amalan gaya hidup sihat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu, di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata jika program berkenaan membuahkan hasil KBS berharap ia akan menjadi rujukan kepada kakitangan kementerian lain dan orang ramai di seluruh negara.

Katanya, program itu meliputi teori dan praktikal yang modulnya merangkumi ceramah asas kecergasan secara menyeluruh, asas senaman, amalan pemakanan sihat serta merangka program latihan selain latihan fizikal tiga hingga empat kali seminggu yang dipantau pakar.

“Disebabkan teras utama di KBS adalah pembangunan sukan dan orang muda, kita harus dilihat dan menjadi contoh terbaik selari prinsip kepemimpinan melalui teladan serta mesti berada di hadapan dalam isu kecergasan serta penjagaan kesihatan,” katanya.-BH

BERSIH - Ambil Iktibar Kisah Mesir Dan Turki


Penggulingan Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi haruslah dijadikan sebagai satu pengajaran kepada rakyat Malaysia.

Sentimen kebencian dan perpecahan yang dibawa oleh pemimpin Pakatan Haram untuk mengubah kepimpinan negara, bakal mengundang ketegangan berlarutan sehingga ekonomi merundum dan rakyat terbunuh.

Merampas kuasa dengan cara demontrasi jalanan tidak akan membawa apa-apa keuntungan, malah menambahkan lagi kecelakaan!

Cukuplah... jangan terpedaya dengan tipu muslihat Anwar Bin Ibrahim!


Laporan Sinar Harian - Keadaan huru-hara yang berlaku di Mesir dan Turki ketika ini harus dijadikan iktibar oleh rakyat bahawa pentingnya menolak budaya demonstrasi jalanan di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rakyat di negara ini perlu bersyukur kerana keganasan seperti yang berlaku di kedua-dua negara itu tidak terjadi di negara ini.

Menurutnya, rakyat negeri ini perlu sedar bahawa demontrasi jalanan serta cara menggulingkan kerajaan menggunakan cara itu bukanlah yang terbaik kerana akhirnya rakyat yang menerima bebannya.

“Dulu penunjuk perasaan berjaya menjatuhkan Hosni Mubarak tetapi apabila Morshi dipilih sebagai presiden melalui pilihan raya namun terdapat sebilangan besar rakyat yang tidak berpuas hati dan mahukan beliau meletak jawatan.

“Saya harap rakyat Malaysia di Perak supaya lebih prihatin dan sedar bahawa kegiatan demonstrasi jalanan boleh membinasakan sebuah negara. Kejadian di Mesir sudah beri kita gambaran jelas untuk kita menilai semula tindakan berdemonstrasi di jalanan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Zambry berkata, isu itu memberi impak yang besar kepada sesebuah negara apabila amalan demokrasi dipermain-permainkan.

“Kontroversi dan ketegangan berterusan di Mesir walaupun mereka selesai mengadakan pilihan raya selepas menjatuhkan Hosni.

“Cuba kita fikirkan sejenak apabila negara berada dalam keadaan sedemikian dan menggunakan jalan raya untuk menumbangkan pihak lawan jelas akan mendatangkan masalah kepada kedua-dua pihak yang akhirnya kedaulatan sesebuah negara itu akan terjejas dengan sendirinya,” katanya.

Mengulas lanjut, Zambry turut menjelaskan keselamatan pelajar Perak di Mesir masih lagi terkawal dan kerajaan negeri sentiasa memantau perkara tersebut dari semasa ke semasa.

“Kita telah menghubungi pegawai yang dipertanggungjawabkan mengikuti perkembangan lanjut pelajar kita di sana dan mereka maklumkan pada kita tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Namun begitu, mereka semua akan dipanggil pulang sekiranya keselamatan mereka di sana terancam berikutan pergolakan yang berlaku mutakhir ini dan tindakan memanggil pelajar-pelajar di Mesir itu pulang ke tanah air bergantung kepada keputusan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Thursday, July 4, 2013

Penjelasan KJ Berhubung Penangguhan Forum Bicara Wawasan Bersama Tun Mahathir


"Bila antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung juga yang kenyang". Maksud pepatah Melayu ni, kita jangan lagakan pemimpin, sebab yang untung puak lain yang sentiasa nak kita lemah dan tak bersatu.

Kecoh sekejap pasal Program Bicara Wawasan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, ternyata program yang bagus untuk belia ni bukan di batalkan cuma di tangguhkan oleh sebab-sebab taknikal.. Menurut sumber yang sahih, pejabat Tun M juga telah di maklumkan pada 20 Jun 2013...

20 Jun 2013 baru hari ni nak kecoh? apesal korang ni ah?

Orang kita sepatutnya kena berubah cara berfikir... Jangan jadi batu api dan kuat memfitnah... Lain kali sebelum tembak orang lain check la betul-betul dulu... jangan bikin malu daaaaa....

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!



Berikut adalah penjelasan dari YBM Khairy jamaluddin di Facebook...

"Seperkara lagi yang saya nak jelaskan. Ada rakan-rakan yang tanya saya tentang program anjuran International Youth Centre (IYC) yang dibawah pengelolaan KBS. Program yang dimaksudkan itu adalah Bicara Wawasan bersama YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ada cerita yang tersebar dalam FB bahawa saya telah mengarahkan program itu dibatalkan. Tuduhan itu tidak benar sama sekali.

Saya difahamkan program itu hanya ditangguh kepada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. Saya tidak terlibat langsung dalam keputusan penangguhan ini.

Saya minta kepada semua, janganlah buat andaian atau spekulasi tentang perkara ini. Saya tiada apa-apa niat untuk menghalang program-program yang memberi faedah kepada orang muda, terutamanya majlis ilmu yang disampaikan oleh seorang negarawan.

Saya masih menaruh harapan yang tinggi bahawa YABhg akan bersama dengan IYC untuk menyampaikan amanat beliau dalam masa yang terdekat.

Jangan melagakan orang sebab tidak ada kerja lain. Ini masa untuk kita kerja, bukan masa untuk bergaduh.

Ingat cakap orang lama (ini favourite MB NS): Bila antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung juga yang kenyang."

Pengiraan Undi PRK Kuala Besut Disiar Secara Langsung


Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat ini untuk membenarkan RTM membuat liputan proses pengiraan undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut nanti.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha itu bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan proses pilihan raya yang dijalankan dengan telus dan adil.

"RTM adalah media kerajaan dan kita patut dibenarkan untuk berada di dalam bilik pengiraan undi sehinggalah keputusan diumumkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2013 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

*Bukti BN telus dan jujur dalam proses Pilihanraya.. Berani kerana benar, bukan macam puak pembangkang yang cakap tak serupa bikin!

Polis Edar Foto Suspek Pencuri Rumah Khairy

Lakaran wajah suspek pecah masuk kediaman Khairy Jamaluddin diedarkan oleh polis.

Polis semalam mengedarkan lakaran wajah dua suspek yang dipercayai terbabit memecah masuk rumah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di Bukit Damansara, Sabtu lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 30-an dikenal pasti berdasarkan gambaran yang diberikan oleh pembantu rumah yang melihat mereka pada hari kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata polis meminta orang ramai yang melihat atau mengenalpasti wajah kedua-dua suspek terbabit supaya menghubungi balai polis terdekat.

“Berdasarkan siasatan awal, polis mengenalpasti tiga kumpulan yang aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah di kawasan itu membabitkan dua kumpulan yang didalangi rakyat tempatan dan satu kumpulan yang didalangi warga Colombia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian, tiada pengawal keselamatan mengawasi kediaman itu sewaktu Khairy dan isterinya tiada di rumah, kecuali seorang pembantu rumah.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, empat lelaki dipercayai menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja, menceroboh rumah menteri berkenaan dengan memanjat tembok sebelum masuk menerusi pintu hadapan yang tidak berkunci.

Pembantu rumah yang berada di dapur ketika kejadian berlaku sempat melihat wajah dua daripada suspek terbabit sebelum bertindak menghubungi majikannya. -BH

Mohamed Morsi Digulingkan


Tentera Mesir pada Rabu telah melancarkan rampasan kuasa (kudeta) terhadap Presiden Mesir Mohammed Morsi sekitar jam 2 pagi waktu Malaysia.Kini negara yang mempunyai lebih 10,000 rakyat Malaysia yang kebanyakannya pelajar berdepan ketidaktentuan selepas perlembagaannya digantung.

Video http://youtu.be/vxDvR2PTZm8



Panglima tentera Jeneral Abdel Fattah el-Sisi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh semua media kerajaan memberitahu hak Morsi sebagai presiden telah terlucut.

Beliau juga mengumumkan sebuah kerajaan sementara (interim) dibentuk sementara sebelum pilihanraya baru diadakan.

Sewaktu berita ini ditulis jam 4 pagi, keadaan terkini di Mesir wujud dua himpunan melibatkan ratusan ribu rakyat, satu pro Mursi di Nars City, dan satu lagi anti Mursi di Dataran Tahrir yang jaraknya kurang 20 kilometer.

Lebih 16 orang terkorban Selasa selepas berlaku pertempuran antara penyokong dan penentang Morsi di Universiti Kaherah.

Tentera Mesir kini mengerakkan ratusan kereta kebal membuat kepungan di laluan utama di negara itu.

Belasan pemimpin utama gerakan Ikhwanul Muslimin, penyokong kuat Morsi, dilaporkan ditahan oleh tentera Mesir.

Sehingga kini keadaan lebih 10 ribu rakyat Malaysia yang kebanyakannya pelajar masih belum diketahui.

Dua tahun lalu, ketika revolusi pertama rakyat Mesir mengulingkan Hosni Mubarak, kerajaan melaksanakan misi perpindahan terbesar rakyat Malaysia dengan membawa pulang kesemua mereka ke tanah air.

Setakat awal pagi ini juga masih belum ada kenyataan terbaru dari Wisma Putra mengenai keadaan rakyat Malaysia di sana.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan Morsi dalam satu kenyataan bertegas untuk mempertahankan jawatannya sebagai pemimpin negara ini, yang dipilih secara sah serta akan mempertahankan Perlembagaan dengan nyawanya.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tengah malam tadi, Mursi memberi amaran sebarang tindakan melanggar proses demokrasi yang dilaksanakan melalui pilihan raya pada tahun lepas, akan membawa Mesir ke kancah bahaya.

“Harga mempertahankan kesahihan demokrasi adalah nyawa saya. Kesahihan ini merupakan jaminan untuk mempertahankan negara," katanya dalam ucapan selama 45 minit tersebut.

Beliau berkata demikian ketika beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di seluruh negara masuk hari ketiga bagi mendesaknya meletakkan jawatan.

Penyokong Morsi turut mengadakan perhimpunan sehingga menyebabkan berlakunya pertempuran dengan penunjuk perasaan anti kerajaan, yang menyaksikan 16 orang maut setakat ini dan beratus-ratus lagi cedera di Universiti Kaherah.

Ketua Tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, kelmarin memberi Morsi tempoh 48 jam untuk memenuhi permintaan penunjuk perasaan, sebelum pihak tentera campur tangan dalam rusuhan tersebut.

Walaupun tidak merujuk secara langsung tentang kata dua yang diberikan oleh Abdel Fattah dalam ucapannya itu, namun Mursi dalam satu mesej yang diposkan dalam akaun Twitternya meminta pihak tentera menarik balik kenyataan tersebut.

“Morsi menegaskan tentang kesahihan jawatannya di sisi Perlembagaan dan menolak sebarang cubaan untuk melanggarnya.

“Tentera digesa menarik balik amaran mereka dan menolak sebarang tindakan mengikut pengaruh dari dalam atau luar negara," kata mesej itu.-Agenda Daily

Wednesday, July 3, 2013

Mahkamah Benarkan UMNO Saman Tian Chua


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa UMNO boleh memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan dua yang lain berhubung artikel diterbitkan dalam portal KeadilanDaily.com yang didakwa mengaitkan UMNO dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Rosilah Yop dilaporkan Utusan berpendapat UMNO mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 menggunakan nama pegawai awam parti tersebut.

Pada 15 Mac lalu, UMNO melalui Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh telah memfailkan saman terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chiang, Editor portal berkenaan, Fazallah Pit; dan penulis artikel, Aisha Geoffrey.

Saman difail melalui Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Dalam pernyataannya, Ab Rauf mendakwa Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah di dalam artikel “Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO” yang telah dilaporkan dan diterbitkan oleh KeadilanDaily pada 1 Mac lepas ketika ditemuramah oleh wartawan portal itu.

Ab Rauf mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa UMNO merupakan dalang di dalam konspirasi jahat untuk Barisan Nasional menang dalam pilihan raya akan datang di negeri Sabah dan sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden di Lahad Datu selain mendakwa UMNO adalah pembelot negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Tian Chua dalam pernyataan pembelaan antaranya menyatakan, kenyataannya adalah komen yang wajar dan dibuat di bawah perlindungan bersyarat demi kepentingan awam berkenaan isu keselamatan negara dan ketelusan media.

Peguam Raihanah Ariffin yang mewakili Ab. Rauf selaku pihak plaintif memberitahu pemberita, permohonan anak guamnya itu akan didengar pada 12 Jun ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Rosilah Yop ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini dengan kehadiran peguam S.H. Tan mewakili Tian Chua, Fazallah dan Aisha yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

-AIDC

Khairy: Rakan Muda Masih Aktif


Program Rakan Muda masih lagi aktif dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mendapat penyertaan ramai belia negara ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin berkata program yang dilaksanakan sejak tahun 1994 itu masih menjadi antara agenda penting bagi memenuhi aktiviti gaya hidup belia di seluruh negara.

"Tahun lalu melalui program ini seramai 10,543 belia menyertai aktiviti 'Gaya Hidup Rakan Muda' manakala aktiviti 'Jiran Muda' pula mendapat perhatian lebih 1,000 belia.

"Aktiviti 'Rakan Muda Sukarelawan' yang disertai 54,544 belia dan 97 pemimpin belia pula dianugerahkan 'Anugerah Rakan Muda Perdana' melalui program ini," katanya menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) mengenai status program Rakan Muda.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata program Rakan Muda akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan semua belia termasuk kaum minoriti Sabah dan Sarawak dapat menyertainya.

Menjawab soalan Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) mengenai program-program belia yang dianjurkan kementerian, Khairy berkata antara program yang dilaksanakan ialah Program 3K Bestari yang berkonsep perkongsian pintar melibatkan pelbagai pihak yang berkaitan dengan pembangunan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan. - Bernama

Pertandingan Mencipta Logo Kementerian Belia dan Sukan (KBS)



Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) berhasrat untuk mencipta logoyang menjadi identiti serta tanda pengenalan imej organisasi dan diguna pakaidalam kesemua aktiviti pameran atau percetakan dan dalam mana-mana acara ataumajlis rasmi Kementerian.

Penciptaan logo baharu KBS selaras dengan peranan serta hala tuju baharuKBS dengan berpandukan visi, misi dan objektif Kementerian ini dalam mengangkatmartabat belia, sukan dan kemahiran.


1. OBJEKTIF PERTANDINGAN

1.1 Mewujudkan logo baharu KBS bagi menggambarkan “core business” sebenarKementerian.

1.2. Memberi peluang kepadamasyarakat untuk mengambil bahagian.


2. SYARATPERTANDINGAN,SPESIFIKASI REKA BENTUK LOGO DAN BORANG PENYERTAAN

2.1. Syarat dan Terma Pertandingan

a) Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada seluruhwarganegara Malaysia yang berumur 15 hingga 40 tahun.

b) Peserta boleh menghantar seberapabanyak penyertaan. Walau bagaimanapun, hanya satu logo akan dipilih sebagai pemenang.

c) Semua ciptaan mestilah Asli dan tidak diceduk/ditiru/diciplak dari mana-mana logo tempatan mahupun dari luar Negara.

d) Semua logo yang diterima oleh UrusSetia Pertandingan Logo Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan menjadihakmilik Kementerian dan tidak boleh dikembalikan. Kementerian berhak ke atas logo yang terpilih sama ada untuk dipindaatau diubahsuai bagi maksud untuk digunakan atau dipamerkan ataupun dicetakdalam mana-mana acara atau majlis rasmi Kementerian.

e) Pemenang akan menerima hadiah tunai,plak beserta sijil penyertaan.


2.2. Spesifikasi Reka Bentuk Logo

a) Reka Bentuk mestilah baru dan asli serta tidakmengandungi unsur atau elemen yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung mana-mana pihak. Penganjur tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang tuntutan daripada pihak ketiga. Penyertaan akan terbatal sekiranya didapati hasil karya yang dikemukakan tidak asli/ciplak.

b) Reka bentuk hendaklah dihasilkanmenggunakan kertas bersaiz A4 (ukuran 21cm x 29.7cm) berwarna putih dalam komputer grafik dan dilekatkan padakertas tebal atau “mounting board” dan juga disediakan dalam bentuk ‘softcopy’ menggunakan format AL (Adobe Illustration) atau JPEG resolusi minimum 1280 x960 atau menggunakan software terkini yang bersesuaian.

c) Pereka hendaklah memberi keteranganatau penjelasan (rasional) ke atas reka bentuk logo dan simbol serta warna yang digunakan

d) Reka cipta logo hendaklah mempunyaisekurang-kurangnya dua (2) warna tetapi tidak melebihi (5) warna.

e) Berciri gabungan moden dan futuristik mengambarkan belia, sukan dan kemahiran serta mampu menggambarkan identiti, imej KBS danmempunyai ciri-ciri semangat kesukanan, kerjasama dan kerja berpasukan (teamwork).

f) Reka bentuk hendaklah menarik, jelas, mudah dan kemas.


2.3. BORANG PENYERTAAN

a) Setiap peserta hendaklah mengisi borang penyertaan yang disediakan.

b) Maklumat peserta hendaklah dicatatkan dengan jelas dibelakang hasil karya masing-masing iaitu:

· Nama Penuh;
· Nombor Kad Pengenalan;
· Alamat Penuh; dan
· Nombor Telefon.
· Penyertaan hendaklah dihantar dalam bentuk hard copy dansoft copy sama ada melalui:
Pos; atau Emel (dalam format .ai dan .jpeg)

Penyertaan dibuka mulai 1 Julai 2013 ( Isnin) hingga 15 Julai 2013 ( Isnin )

Sebarang penyertaan yang diterima selepas 15 Julai 2013 tidakakan dilayan oleh pihak Urus Setia

Setiap penyertaan hendaklah dihantar ke alamat berikut;

Urus Setia
Pertandingan Mencipta Logo KBS
Unit Komunikasi Korporat
Aras 8, Menara Kementerian Belia danSukan Malaysia
Lot 4G4, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62576 PUTRAJAYA.
Telefon : 03-88713278


Pastikan di sebelah atas kiri sampul tertulis `Pertandingan Mencipta Logo KBS ’

Segala kos untuk menyertai pertandingan ini adalah atas tanggungan peserta sendiri.


3. METODOLOGI PENILAIAN

3.1. Penilaianakan dilakukan terhadap semua penyertaan yang diterima peserta yang menyertai pertandingan.

3.2. Penilaian akan dijalankan melaluipenelitian terhadap layout/design logo yang dihantar kepada Urus Setia
Pertandingan.


4. HADIAH PERTANDINGAN

4.1. Hanyasatu reka bentuk logo sahaja akan dipilih untuk memenangi pertandingan ini. Pemenang hanya layak menerima satu hadiah tunai dan sijil penghargaan sahaja.


5. PANEL PENILAI

5.1. Penilaian akan dibuat oleh satu Jawatankuasa Penilai yang dibentukbersaingan.

5.2. Semua penyertaan adalahtertakluk kepada keputusan MUKTAMADoleh Panel Penilai.

5.3. Panel Penilai berhak untuk membatalkan penyertaan pada mana-manaperingkat pertandingan
sekiranya didapati peserta tidak mematuhi mana-manasyarat yang dinyatakan.

5.4. Panel Penilai berhak mengubahsuai danmeminda reka bentuk logo yang disertai sekiranya perlu

5.5. Logo yang terpilih akan diguna pakai dan menjadi hak milik Kementerian Belia dan Sukan
Malaysia.


6. HADIAH

6.1 Johanakan menerima wang tunai RM 2,000 berserta sebuah plak dan sijil penyertaan.

6.2 Tempatkedua akan menerima wang tunai TM 1000.00 beserta sebuah plak dan sijil penyertaan

6.3 Tempatketiga pula akan menerima wang tunai RM 500.00 beserta sebuah plak dan sijil penyertaan.

6.4 Semuapemenang akan dimaklumkan oleh pihak Urus Setia melalui telefon atau surat atauemail.

6.5 Majlis penyampaian hadiah akan dilakukandalam satu majlis yang akan dimaklumkan kemudian.

Borang penyertaan klik di sini...

Pendedahan Anwar Miliki 20 Akaun Bank...


Di luar sana sudah ada yang kena saman kerana membuat dakwaan pasal pemimpin-pemimpin  pembangkang. Kadar saman pula berjuta-juta ringgit.Ada yang merasa saman adalah alat untuk ‘zip’ mulut pihak yang cuba mendedahkan isu-isu yang cetuskan keraguan terhadap mereka.

Di Dewan Rakyat pula, Peraturan 36 (12) boleh diguna terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang membuat pendedahan yang dipertikaikan oleh Ahli Parlimen lain.Ahli Parlimen berkenaan boleh dikenakan tuduhan menghina majlis (ahli Parlimen) dan jika sabit mereka yang berbuat demikian boleh digantung menghadiri persidangan.

Petang Selasa, taktik itulah cuba digunakan ahli Parlimen Batu (PKR) Tian Chua dan ahli Parlimen Jelutong (DAP) Jeff Ooi Chuan Aun ketika ahli Parlimen BN Simpang Renggam, Liang Teck Meng mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank di luar negara dengan simpanan berjumlah kira-kira RM 332 juta.

Liang turut membangkitkan mengenai kenyataan bekas Naib Presiden Indonesia Jusof Kalla dalam satu interbiu dengan sebuah portal berita dari Malaysia mengenai sikap Ketua Pembangkang itu yang engkar perjanjian dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya sesiapa yang kalah dalam PRU 13 lalu menerima keputusan itu.

Ahli Parlimen BN itu mendakwa beliau mendapat maklumat mengenai simpanan Anwar daripada laman web Wikileaks.

Menurutnya dalam laman berkenaan ahli Parlimen Permatang Pauh itu dikatakan mempunyai 20 akaun bank dengan jumlah simpanan kira-kira AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD$49 juta (RM123 juta) di bank di Amerika Syarikat, China, Singapura dan Israel.

Kata beliau, setiap akaun mempunyai maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.

"Perkara ini tersebar luas dalam internet, dan apabila saya membaca perkara ini, terlintas dalam kepala ialah dari mana datangnya wang sebanyak ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang Di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat.

Menurut beliau maklumat Wikileaks itu mendakwa akaun-akaun berkenaan dibuka pada tarikh-tarikh tidak jauh antara satu sama lain pada tahun 1997.

Liang berkata semua orang tahu berapa banyak gaji dan elaun Timbalan Perdana Menteri ( jawatan yang pernah disandang Anwar semasa dalam kerajaan dulu).

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyiasat perkara tersebut kerana ia amat bahaya memandangkan ada akaun berkenaan dibuka di Israel sedangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara itu.

Tian Chua yang bangun mencelah dan mendesak Liang mengemukakan bukti dan tidak membuat tuduhan melulu.

Beliau juga menggesa Ahli Parlimen BN itu mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

Tian Chua juga ingin tahu tarikh dan laporan Wikileaks mana yang dirujuk itu.

Beliau memberi gambaran tidak tahu menahu mengenai adanya laporan seumpama itu.

"...Kita sudah berjuang lebih 15 tahun, satu sen pun tidak dapat...jadi kalau pemimpin kita kaya macam ini, kita juga ingin tahu," katanya.

Jeff Ooi  pula  mendesak Liang mengemukakan bukti dan sekiranya gagal berbuat demikian perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Mereka merujuk Peraturan 36 (12) dan mendakwa Liang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan.

Desakan oleh ahli Parlimen pembangkang itu mendorong ahli Parlimen BN Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin bangun mencelah dan dengan lantang mencabar pembangkang mengambil tindakan undang-undang ke atas WikiLeaks sekiranya maklumat itu adalah palsu.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Datuk Ronald Kiandee menolak gesaan Tian Chua dan Jeff Ooi.Katanya hujah Liang adalah berdasarkan maklumat dari Wikileaks dan beliau hanya meminta kerajaan untuk menyiasat.

Berlaku pertikaman lidah antara dua ahli Parlimen pembangkang itu dengan Kiandee.

Beliau bagaimanapun membenarkan Liang meneruskan perbahasan walaupun terus diganggu Tian Chua dan Jee Ooi.

Sebelum mengakhiri ucapan, Ling sekali lagi meminta kerajaan menyiasat dakwaan itu secara adil sama ada ianya benar atau tidak.

"Tahun lepas, di dewan ini ketika perdana menteri membentangkan usul khas mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, Permatang Pauh bersama PAS dan DAP turut mengutuk sama tetapi sebaliknya di belakang mempunyai akaun simpanan di negara berkenaan," katanya.

Bagi mereka yang sudah biasa dengan gelagat ahli-ahli Parlimen pembangkang yang buat riuh setiap kali timbul dakwaan melibatkan mereka dalam sidang ia bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Anihnya diketika mereka sentiasa mahu setiap dakwaan melibatkan pihak kerajaan disiasat tetapi apa juga yang sentuh mereka cuba terus disanggah.

Inikah kebebasan cara pembangkang.-Agendadaily

Monday, July 1, 2013

Mula Kerja Hadapi PRU14 Sekarang...


Tempoh lima tahun tidak lama.Kata orang pejam celik,pejam celik terasa masa berlalu begitu pantas.Apa lagi dalam situasi yang diselubungi oleh macam-macam perkembangan politik dari masa ke semasa.

Atas sebab ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan mesej agar semua pemimpin Barisan Nasional ' start enjin' dari sekarang dalam gerak kerja mereka untuk hadapi pilihanraya umum ke 14.

"Tempoh lima tahun bukan satu tempoh yang panjang untuk menentukan pencapaian yang lebih besar (dan) kita telah mulakan kerja kita untuk PRU14 sekarang ini, bukan esok.

"Ada orang kata kita baru habis pilihan raya, (jadi) kita penat, saya pun penat...tapi selepas satu tempoh di mana berehat sudah habis, maka tugas dan tanggungkawab kita sudah ada tersedia di hadapan kita," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, berkata demikian pada majlis kesyukuran dan penghargaan jentera BN Wilayah Persekutuan di Padang Kejiranan Ayer Panas, Setapak, di Kuala Lumpur Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa segala yang dijanjikan dalam Aku Janji BN pada PRU13, 5 Mei lepas, akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kita akan terus bekerja (bermula) sekarang untuk menentukan mereka (rakyat) percaya dan yakin kepada kita dan sampai waktu nak mengundi, mereka akan pilih BN," katanya.

Beliau juga mahu anggota Parlimen BN yang telah terpilih pada PRU13, terutama dari Wilayah Persekutuan, menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan beliau yakin mereka mampu melakukannya.

"Di kawasan yang kita belum menang lagi, kita tidak harus berputus asa kerana tanggungjawab kita di hadapan adalah amat besar sekali," katanya.

Pada PRU13, BN kekal di kerusi Parlimen Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa, serta merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada PAS.

Muhyiddin menarik perhatian parti-parti komponen BN dan juga bahagian tertentu perlu menyelesaikan segala masalah dalaman dengan segera selain perlu memperkukuhkan kerjasama dengan misi untuk menawan semula kawasan-kawasan yang dirampas pembangkang.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan 89 anggota Parlimen pembangkang, yang pada asalnya mewar-warkan akan memboikot majlis angkat sumpah anggota Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini, hanyalah "permainan wayang" pakatan pembangkang.

"...mereka secara hakikinya menerima keputusan pilihan raya (kerana) ahli-ahli Parlimen mereka datang ke Parlimen dan semuanya mengangkat sumpah di hadapan Speaker (Dewan Rakyat).

"Keputusan pilihan raya ini sesuatu yang mereka tak boleh nafikan dan mereka harus terima (bahawa) mereka dibuang rakyat dalam proses pilihan raya yang telus dan betul," tegasnya.-Agendadaily

Pas boikot PRK Kuala Besut?


Adakah Pas akan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sebagaimana disarankan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng?

Persoalan ini timbul apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti.

Menurut Mustafa, parti itu akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil keputusan sama ada bertanding atau memboikot pilihan raya kecil tersebut.

“Pimpinan Pakatan kena berbincang dahulu betul-betul kalau hendak memboikot (PRK DUN Kuala Besut), apa-apa keputusan perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam satu majlis di Kulaijaya, Johor hari ini mencadangkan Pas untuk memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang dakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Kuala Besut menyaksikan kekosongan selepas penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru berair pada 26 Jun lalu.

Menurut Mustafa, biarpun cadangan untuk memboikot dikemukakan, Pas akan tetap membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

“Bagi Pas, kita akan tetap membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil ini, itu tanggungjawab kita dengan dibantu rakan-rakan parti pakatan," katanya.

-Utusan