Saturday, February 28, 2009

Penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic boleh mengelirukan anak-anak Muslim



Menyentuh isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dalam terbitan bahasa Melayunya, mungkin ada beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi untuk renungan bersama.


Kerajaan menerusi keputusan Kabinet pada 16 Mei 1986 melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, solat, Baitullah dan Kaabah.


Malah sesetengah kerajaan negeri menambah beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam.


Namun yang peliknya, kenapa masih ada yang cuba menuntut kerajaan membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan cetak mereka?


Alasannya, kalimah Allah diterjemah daripada perkataan God dalam bahasa Inggeris seperti yang tertulis di dalam kitab Bible.


Bagaimanapun, kita perlu akui tuntutan ini sebenarnya amat berbahaya kerana ia lebih banyak menimbulkan kekeliruan.


Bayangkan kekeliruan terutama di kalangan kanak-kanak Islam apabila terbaca papan tanda atau kain rentang berbunyi: "Aku adalah anak Allah" atau "damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "Anak Allah yang hidup". Semua itu adalah terjemahan terus daripada Bible berbahasa Inggeris.


Bagaimanapun, elok rasanya kita melihat kepada asal-usul bahasa kitab-kitab itu sendiri. Bagi Islam, mudah untuk difahami bahawa bahasa asal kitab suci al-Quran ialah Arab.


Apakah pula bahasa kitab Injil (Bible) dan Taurat? Bagi pengkaji sejarah, diketahui bahasa asal Taurat ialah Hebrew sementara bahasa Greek digunakan untuk Injil.


Sekiranya fakta penggunaan bahasa ini boleh diterima sebagai asas perbincangan, maka ulasan seterusnya selepas ini akan menjadi lebih mudah. Malah bagi orang Islam, tidak perlu untuk kita menjadi pakar tentang kitab Taurat atau Injil (Bible) untuk mengupas isu ini.


Persoalannya sekarang ialah apakah perkataan yang digunakan untuk merujuk "Tuhan" dalam Taurat dan maknanya dalam bahasa Greek pula?


Sekiranya Herald Catholic boleh memahami persoalan asal bahasa ini, mungkin kekeliruan penggunaan perkataan Allah tidak akan timbul.


Dalam Hebrew, perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah Elohim, Eloh, El dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, dalam The Gospel of St. Matthew bab 27: 46 yang menyebut: Kira-kira jam tiga berserulah Jesus dengan suara nyaring: "Eli, Eli, lama sabaktani?" (Ertinya: Tuhan-Ku, Tuhan-Ku, mengapa Engkau tinggalkan aku?")


Sementara dalam bahasa Greek, Tuhan disebut Theos. Seperti yang tertulis dalam buku-buku sejarah atau tamadun besar dunia, orang Rom menyembah Tuhan yang dikenali sebagai Hotheos.


Dan sekiranya terdapat di kalangan mereka yang menyembah Tuhan yang dianggap palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tintheos.


Jika diteliti kita akan dapati bahawa dalam kedua-dua bahasa itu, sama ada Hebrew ataupun Greek, tiada satu pun kalimah Allah.


Namun begitu ada juga di kalangan mereka yang memberi alasan bahawa penggunaan kalimah Allah ini ialah berdasarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Arab.


Bible versi Arab ini tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi lebih dikenali sebagai Kitab al-Muqaddas. Bible terjemahan Melayu dinamakan sebagai Kitab Berita Baik.


Lanjutan daripada itu juga perlu kita fahami bahawa kalimah Allah yang wujud di dalam Bible Arab tersebut adalah kerana sesetengah keturunan Kristian Arab seperti di Mesir, Syria dan negara lain yang menganutinya sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW menerima dan meyakini fahaman Keesaan Tuhan.


Fahaman ini jauh berbeza dengan fahaman Trinity atau "Tiga Dalam Satu" seperti doktrin kebanyakan penganut Kristian sekarang.


Maka, hujah yang dijadikan sandaran untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini tidak dapat diterima kerana golongan Kristian Trinity sendiri tidak menerima, bahkan mengkafirkan golongan Kristian Unity (mengakui satu Tuhan).


Selain daripada hujah itu, terdapat juga pandangan bahawa kekeliruan tidak akan timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan itu merujuk kepada terjemahan God dalam Bible sedangkan perkataan Tuhan pula daripada kalimah Lord.


Pandangan ini juga sebenarnya mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh Bible sendiri. Apakah bezanya antara Allah dan Tuhan dalam Kristian?


Sekiranya Tuhan merujuk kepada Jesus dan Allah pula ialah Tuhan Bapa di Syurga, maka perlulah difahami bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan yang merujuk hanya kepada Allah sahaja.


Bagi membuktikan hal ini kita boleh merujuk kepada The Gospel Of St Mark 12:29 yang menyebut:"Jawab Jesus: Hukum yang terutama ialah: Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa."


Dalam ayat ini siapakah Tuhan Yang Esa? Adakah ia merujuk kepada Jesus? Pastinya tidak! Malah kalimah Tuhan di atas merujuk kepada Allah semata-mata.


Sekali lagi ia bertentangan dengan apa yang dinyatakan bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible merujuk kepada Jesus.


Sekiranya hujah diteruskan dengan menyatakan bahawa dalil paling jelas yang menunjukkan kalimah Tuhan merujuk kepada Jesus dan Allah pula merujuk kepada Tuhan Bapa seperti yang di dalam The Gospel Of St. Matius 16:22 yang menyebut: "Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia, katanya: "Tuhan (Jesus), Semoga Allah (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu."


Sekiranya ini dijadikan hujah dan alasan, maka mereka yang berkenaan perlu menyelesaikan dahulu percanggahan antara kedua-dua ayat di atas. Jelaskan sama ada Tuhan itu merujuk kepada Jesus sahaja ataupun turut merujuk kepada Allah.


Malah kata-kata Jesus sendiri menjelaskan keesaan Allah seperti di dalam The Gospel of St. John20:17 yang menyebut: "Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudara-Ku dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah-Ku dan Allahmu."


Dalam kata lain, Jesus bukanlah Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Jesus sendiri menyatakan Tuhan yang sebenar ialah Allah.


Maka jelaslah di sini, kewajaran kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.


Ia bertujuan mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu, maka ia akan mengundang padah.


Amat malang apabila keharmonian beragama di negara ini yang dibina atas dasar tolak ansur dan saling memahami, digoncang oleh tangan-tangan yang sengaja ingin mencetus ketegangan dan huru-hara.


Petikan dari http://panglimaperangcyber.blogspot.com

Resolusi BPN 3/2009 Mengutuk Tindakan Karpal Sing isu CELAKA Pemuda UMNO


BPN dengan ini mengambil keputusan mengeluarkan resolusi berkenaan tindakan Karpal Singh yang terang dan jelas ingin menaikkan kemarahan bangsa Melayu dan Muslim berhubung tindakannya mencarut perkataan CELAKA beberapa hari yang lalu di Parlimen. Meskipun sudah ditarik kembali namun ia tetap didengar dan dibaca oleh rakyat Malaysia.


BPN merasakan tindakan beliau sangat tidak wajar menggunakan perkataan CELAKA kepada pemuda UMNO tersebut, apatah lagi dengan menuduh Pemuda UMNO sebagai pihak yang telah menghantar dua butir peluru kepadanya tempoh hari. Ini sangat berbahaya kepada suasana harmoni negara kita dan juga boleh menaikkan sentimen kebencian yang boleh memudaratkan orang awam yang tidak berdosa.

Permainan politik keterlaluan ini boleh menimbulkan huru hara di negara kita jika tidak dibendung dengan segera oleh pihak yang berwajib.

Seperti mana yang kita tahu bahawa DAP dan Pakatan Rakyat memang sudah terang terangan sejak dahulu hingga kini cuba menyentuh beberapa isu sangat sensitif negara kita dengan sengaja dan jelas ada niat jahat di sebalik tindakan mereka.Isu babi,azan,tanah,papan tanda jawi,Hindraf adalah contoh yang boleh kita nampak telah dipolitikkan sebelum ini.

Meskipun sudah diberi amaran oleh Raja Raja kita agar isu isu sensitif tersebut jangan diusik atau dicabar oleh mana mana pihak, namun mereka seperti tidak mendengar atau memahami atau menghormati titah Raja kita yang menjadi RUKUN NEGARA yang kedua ( Kesetiaan Kepada Raja dan Negara ) yang sangat penting sehingga diletakkan di kedudukan tersebut selepas keimanan kita kepada Allah Yang Maha Esa,

BPN dengan ini merasa terpanggil untuk membuat satu Resolusi bersama oleh rakan rakan Blogger BPN agar semua dapat menyedari tindakan Karpal ini sangat berbahaya dan perlu dikutuk oleh kita semua. Jika kita masih sayangkan negara yang menjadi tempat kita bernaung selama ini.

HIDUP BPN !!!

SATU SUARA SATU ARAH SATU AKIDAH...

Disediakan :


Panglima Perang CyberYang Dipertua Blogger Pembela Negara.

28 Februari 2009

Friday, February 27, 2009

Karpal Memang ‘Celaka’


Pemuda Umno Kepong Karpal

Karpal Singh dikepung sekumpulan anggota Pemuda Umno di bangunan Parlimen petang semalam, menuntutnya meminta maaf kepada pergerakan tersebut kerana mendakwa mereka menghantar peluru kepadannya.

Ini ekoran tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan "celaka" itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Tiga ketua Pemuda Umno bahagian yang hadir telah bercakap dengan pemberita. Mereka ialah Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) dan Lat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara).

Mereka juga kemudiannya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur

Sidang akhbar Khairy

Bagaimanapun, kumpulan itu bukan kumpulan yang sama yang menghadiri sidang akhbar Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin di bangunan Parlimen pagi tadi.

Dalam sidang akhbar tersebut, pergerakan Pemuda Umno memberi tempoh 24 jam untuk pengerusi DAP itu mengemukakan bukti Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru dari Ipoh baru-baru ini.

Khairy berkata tuduhan yang dilemparkan anggota parlimen satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang ahli parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran.

"Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," Khairy.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia kesal dengan kejadian tersebut, yang menurutnya, pertamakali berlaku di Parlimen.

Katanya, beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata: "Saya mungkin kurang upaya, tetai saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Nota BJ : Karpal sedar bahawa beliau diketegorikan sebagai wakil Parlimen OKU tapi sedarkah beliau bila -bila masa saja kita akan mengadakan pilihanraya kecil di parlimen beliau.

Thursday, February 26, 2009

KJ - Pemuda UMNO mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Karpal Singh

Kenyataan Akhbar Saudara Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Dan Ahli Parlimen Rembau Pada 26 Februari 2009 Di Dewan Banquet, Bangunan Parlimen

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan yang dibuat oleh YB Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Pengerusi DAP, dalam Dewan Rakyat semalam.

Tuduhan beliau bahawa Pemuda UMNO bertanggungjawab atas kiriman peluru pistol padanya adalah satu tuduhan liar, gila dan berniat jahat serta telah menimbulkan kemarahan seluruh 700,000 ahli Pemuda UMNO Malaysia.

Perkataan celupar, kesat dan “unparliamentary” yang diguna dan dilontarkan kepada Pemuda UMNO juga membuktikan beliau seorang wakil rakyat yang tidak bertamaddun, tiada adab, kesopanan, kelas dan
kualiti.

DAP sering membangkitkan isu “Parlimen kelas atau tahap dunia pertama”. Namun, tindakan Pengerusinya itu jelas menunjukkan perangai dan sikap Ahli Parlimen yang langsung tiada kelas.

Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang Ahli Parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran. Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda UMNO, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam. Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan.

Kami tidak akan membuangkan masa dengan meminta beliau memohon maaf kerana manusia seperti beliau tidak mengerti makna taubat dan pengakuan salah. Pemuda UMNO cuma mencabar beliau membawa bukti kukuh dan sekiranya beliau gagal, semua rakyat boleh menyimpulkan bahawa Karpal Singh adalah penipu yang ketandusan modal.

Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan bahawa tindakan ahli-ahli kita yang telah membuat laporan polis terhadap Karpal yang berjumlah lebih dari 100 laporan, mencerminkan perasaan majoriti rakyat, terutamanya masyarakat Melayu yang masih marah dengan ugutan Karpal untuk mengheret Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak ke mahkamah.

Sebagai seorang peguam terkenal, Karpal patut sedar bahawa tindakan Pemuda UMNO ini mengikut undang-undang dan berlandaskan hak setiap rakyat Malaysia. Pemuda UMNO juga mendesak pihak Peguam Negara untuk bertindak cepat atas syor-syor Polis Diraja Malaysia, berdasarkan segala laporan polis berkenaan yang dibuat sebelum ini.

Kami mahu mengingatkan Karpal bahawa bukan Pemuda UMNO yang main-main. Sebenarnya Karpal yang main-main dengan sentimen rakyat dan bermain dengan api. Sekiranya beliau tidak bertaubat dan berhenti, kemarahan yang masih membara ini akan menjadi lebih dahsyat. Pemuda UMNO tidak akan berhenti untuk menentang Karpal, di mana sahaja demi kemaslahatan rakyat, prinsip Rukun Negara dan institusi raja berperlembagaan.

Sumber : REMBAU.NET

Wednesday, February 25, 2009

Bincang dulu isu ISA


Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menuntut Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub mengadakan perbincangan mengenai isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah tertangguh sejak tiga bulan lalu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membuat tuntutan itu ketika Salahuddin menghantar surat cabaran supaya Dewan Pemuda Pas berdebat dengan Pemuda UMNO berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Parlimen hari ini.

Khairy berkata, beliau tidak pernah lupa jemputannya kepada Salahuddin untuk membincangkan isu ISA tiga bulan lalu.

''Hari ini Dewan Pemuda Pas minta bincang isu PPSMI pula.

''Saya sudah tiga bulan minta dia bincang tentang ISA tapi masih belum sampai ke meja rundingan," katanya ketika menerima surat cabaran berdebat mengenai isu PPSMI yang ditujukan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mengenai cabaran Dewan Pemuda Pas untuk berdebat mengenai isu PPSMI, Khairy menambah, perkara berkenaan mesti dibincangkan terlebih dulu memandangkan pemilihan parti sudah semakin hampir.

''Pemuda UMNO akan membincangkan jawapan kepada surat Dewan Pemuda Pas yang disampaikan kepada saya hari ini," katanya.

Sementara itu, Salahuddin menjelaskan, perbincangan mengenai ISA tertangguh kerana beliau menunaikan fardu haji, terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dan kemelut politik di Perak.

''Justeru hari ini saya ingin maklumkan saya bersedia mengadakan perbincangan tidak formal empat mata dengan Khairy minggu depan di satu bilik di Parlimen. Ia bukanlah satu debat tapi sekadar perbincangan saja," katanya.

Mengenai isu PPSMI, jelas Salahuddin, ia sudah menjadi isu masyarakat Melayu dan sayap Pemuda dari dua parti yang besar dalam negara perlu memberikan input.

''Input yang diberikan akan membolehkan keputusan lebih tepat dan berlandaskan realiti dicapai berhubung isu PPSMI. Ini adalah demi masa depan negara," katanya.

Senopsis - Pak Habib ramal Khairy bakal Perdana Menteri ke-7 Malaysia ??


MELBOURNE Australia Sabtu 25hb. Ogos 2007, saya bersama putera saya Syed Muhiyuddin yang menuntut di Universiti Otago dan mewakili Kelab UMNO Otago, Christchurch, New Zealand tiba di Lecture Theatre University Victoria. Ketibaan kami disambut oleh Syukrun ‘Afiah Bt Abdul Hafiz, Ketua Program ‘Forum Pembangunan Insan’. ‘Afiah, cucu Dato’ Kampo Raja adalah Setiausaha Kelab UMNO Australia Melbourne,(KUAM) 2007-08.

Kami sampai awal. Waktu itu dalam dewan belum berapa ramai penuntut yang hadir. Sementara menunggu ketibaan ahli panel YB Dato’ Seri Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Ahmad Ikmal Ismail, EXCO Pendidikan Pemuda dan Nolee Mohd Radzi, mewakili puteri UMNO, saya diperkenalkan kepada Hirman Salim dari Tasmania dan Al-Kaff daripada Auckland dan berasal dari Miri, Sarawak yang menjadi pengerusi majlis dan seterusnya mengambilalih jawatan Setiausaha KUAM Australia Melbourne 2007-2008 dari ‘Afiah.

Para pelajar selain dari ingin tahu siapakah para perjuang dan tokoh-tokoh terdahulu yang benar-benar berjuang, mereka mahu penjelasan yang berkaitan hal ehwal semasa mengenai suasana dan apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam politik negara. Fakta dan maklumat yang benar adalah penting.

Bolehkah mereka dibiarkan mempercayai bulat-bulat apa yang mereka baca di Internet yang rata-rata memburukkan pemimpin dan kerajaan?

Buat pertama kalinya para penuntut dapat berjumpa empat mata dengan Khairy menantu Pak Lah, pemimpin muda yang paling popular, sama atau lebih popular dari Mawi. Kehebatan KJ di iktiraf oleh Tun Dr. Mahathir. Tun semasa jadi PM hanya bergaduh dengan pemimpin besar dunia, ‘buy British goods last, bergaduh dengan Amerika, Australia’ dan Tun mengakui kehebatan anak muda yang berada di tingkat empat nampaknya lebih berkuasa dari tingkat lima.

KJ adalah Naib Ketua Pemuda yang paling beruntung mendapat liputan percuma di kalangan bloggers dengan mencipta macam-macam skandal mengenai Khairy. Dan di usia muda begini tiga buku sudah ditulis mengenainya. Muka KJ ada ‘commercial value’. Boleh jual punya tanpa jadi artis. Bukan mudah mahu mendapat publisiti sehebat yang diberikan pada Khairy. Itulah tanda-tanda orang bertuah.

Orang Melayu ini perangai macam ‘londoners’ suka pada gosip. Mereka mudah percaya dan terpengaruh dengan tukang umpat dan pemfitnah. Kalau tak betul mereka dapat dosa, KJ dapat pahala. Kalau macam ini punya hentam, jangan kata manusia, ‘transformer’ pun boleh berkecai.

Tapi Khairy nampaknya terus steady. Malah Khairy terus kukuh walaupun sudah empat tahun dihentam oleh berpuluh-puluh bloggers akhbar tabloid dan buku penulis politik secara berterusan. Kalau kita boleh ibaratkan dia sebagai satu transformer, satu skru pun tak tercabut dan satu wayar pun tak putus. Mesti ada sebab kenapa Tuhan lahirkan pemimpin muda yang sekuat ini dalam politik Malaysia.

Khairy tak perlu takut sebab dalam politik, ujian adalah perkara biasa. Lagi tinggi dan lagi besar jawatan yang dicita-citakan, lagi besar ujian yang terpaksa di hadapi.

Sama ada dalam politik mahupun perniagaan, ramai bijak pandai yang hancur berkecai, bangkrup. Orang beruntung sentiasa saja menang bila bintang sudah terang. Mereka yang sinar bintangnya malap sampai tua tak berganjak akhirnya gugur macam tahi bintang saja.

Penuntut-penuntut memang sudah lama tunggu peluang cari kesempatan mahu lihat secara peribadi muka suami Nori yang sedang mengandung. Pada waktu saya menulis cerita ini, Nori telahpun bersalin seorang putera yang menjadi cucu kelima kepada Perdana Menteri. Selain dari itu, Khairy telah memenangi kerusi Timbalan Presiden FAM yang dikosongkan oleh Tengku Abdullah iaitu Tengku Mahkota Pahang tanpa bertanding. Ini sebagai bukti bahawa firasat saya yang bintang Khairy terang. Bila bintang seseorang terang dalam perjalanan menuju ke atas, tiada siapa dapat menghalang. Tuhan boleh memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang Tuhan suka.

Kesempatan untuk para pelajar melihat Khairy yang telah digosipkan dengan segala macam fitnah tanpa bukti oleh pendusta, betulkah dia ada skandal dengan Maya Karin? Ada yang kemukakan soalan tapi tak sebut nama. Hanya Allah yang tahu apakah niat pelajar itu, yang jelas KJ ibarat lembu yang bakal di korban untuk disembelih. Bayangkan anda berada di tempat Khairy.

Berapa ramai yang terpengaruh dengan fitnah bahawa KJ dan Nori bercerai, tak duduk sebumbung dan pernah membaca tulisan KJ dalam NST 8 Julai 2007. The One and only.... soon, please. Kisah dia dan Nori ke Jepun dan ke US mengadakan Babymoon lebih intim dari Honeymoon.

Sebelum Annuar Musa dan KJ masuk ke dewan saya sempat berbual dengan Hirman anak muda dari Kampung Baru Kuala Lumpur mengenai politik semasa. Dia tanya pendapat saya mengenai masa depan mereka yang akan ambil alih kepimpinan negara di masa mendatang? Akibat kesuntukan masa saya bagi tahu dia perlu baca buku ‘Khairy Jamaluddin Perdana Menteri’ yang akan terbit nanti.

Jika kita mahu ke depan dalam politik mengikut sistem yang ada, kita perlu kenal dan dikenali sebagai ‘somebody’ yang ada ‘connection’ kerana kita sudah berada di dunia tanpa sempadan. Hubungan antara bangsa dan pemimpin luar negara penting, perlu jadi Melayu ‘glokal’. Dan KJ adalah satu-satunya anak Melayu yang ‘glokal’ lahir di luar negara. Besar dibeberapa buah negara tapi masih tetap Melayu. Berapa orang Melayu glokal?

Bercakap mengenai Melayu, saya teringat perbualan saya bersama ‘Afiah semasa baru tiba di dewan ini. Mengikut ‘Afiah terjemahan perkataan Melayu yang diajar oleh ayahnya ialah:-

Mim : Umat Muhammad

Lam : Salah satu sifat Allah,

Maha Halus, Maha Lembut

Alif : Hakikat yang disembah

Ya : Yang tersirat

‘Melayu sejak azali memang mencari perkara-perkara yang tersirat’.

Wau : Warak, berilmu

Melayu adalah falsafah umat Nusantara/bani Jawi. Berapa ramai Melayu yang seperti didefinasikan oleh cucu Datuk Kompo Rajo, pejuang Melayu sebelum merdeka.

Walaupun empat kuasa penjajah masuk ke rantau ini, bangsa Melayu yang mengekalkan budaya dan bahasanya akhirnya Raja-Raja Melayu wujud hingga ke hari ini. Sekiranya orang Melayu membuang Islam akidah selaku isinya untuk jadi Melayu baru apakah Melayu takkan layu?

Sebab itu Pak Lah mahukan ‘The Towering Malays’, Melayu. Islam yang bijaksana, taat kepada agama, ada nilai tambah untuk jadi ‘modal insan’ mengikut Islam Hadhari.

Ketika tetamu dari Kuala Lumpur masuk ke dewan, Herman selaku pengerusi meminta hadirin bangun. Setiap mata tertumpu kepada anak muda, young, tall, dark and handsome. Pria yang hitam manis, tinggi lampai, hidung mancung dan berkarismatik mengatur langkah seperti wira masuk gelanggang. Dia senyum kepada setiap peserta dan bersalaman dengan mereka yang duduk di barisan hadapan.

Satu perkara yang saya suka mengenai anak muda yang berasal dari Rembau ini ada budi bahasanya, menghormati orang tua dan pandai menegur sapa. Biarpun Khairy lahir di luar negara, dibesarkan di luar negara dan mendapat pendidikan di luar negara tetapi dia tahu macam mana hendak bergaul dengan orang bawah. Dia tahu bagaimana nak dekatkan diri dengan orang kampung.

KJ bukan jenis yang syok sendiri, buat program hanya untuk orang bandar dan kaum elitis sahaja. Ramai pemimpin muda yang lain yang syok sendiri, perasan diri hebat. Bercakap hanya sesama sendiri tapi tidak pergi kepada rakyat. Macam mana hendak dekat?

Perkara yang kecil yang dilakukan oleh orang besar terhadap orang kecil namun ianya besar ertinya pada orang kecil - Pak Lah.

Penulis politik di anggap ‘kecik’ oleh kebanyakan orang politik yang merasakan diri berkuasa. Mereka terlupa hanya Allah saja yang Maha Kuasa, itu sebab kena ‘lastik’. Bila dipandang ‘jijik’ oleh penulis politik, mula kelam kabut, terlupa sebatang paku terkena tayar kereta, kereta boleh terbalik. Inikan pula kena kritik dengan penulis yang ada nama.

Berbeza dengan zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman, beliau sendiri menjawab tulisan penulis. Tidak perlu tunggu Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar atau Ketua Penerangan UMNO untuk menjawab bagi pihak beliau. Bila menteri-menteri hendak belajar dari Bapa Kemerdekaan Malaysia?

Annuar Musa agak terkejut melihat kehadiran saya di dalam dewan. Semasa bersalaman, dia tanya bila sampai? Saya beritahu Annuar saya tinggal di Victoria sekarang ini. Dari wajahnya saya dapat menfirasatkan yang dia kurang senang kehadiran saya di dalam dewan apa lagi dia melihat ‘press kad’ tergantung pada baju saya. Dia tahu saya bukan sekadar ‘wartawan’ tapi penganalisa dan penulis yang penanya beracun, kalau terkena tak ‘keruan’ jadinya.

Sememangnya Victoria, Canberra, Sydney dan Brisbane bandaraya yang tidak asing bagi kami sekeluarga. Kami biasa bercuti dengan keluarga, 10 tahun lalu saya di undang supaya hadir ketika Dato’ Dr. Mustapha Mohamad Menteri Pengajian Tinggi menerima anugerah kedoktorannya.

Betul seperti apa yang saya sangka. Sebelum memulakan ucapan dia menyebut bahawa ada Pak Habib, dari segi pengalaman tentu orang tua makan garam lebih dahulu darinya Dan dalam berucap beberapa kali dia menyebut nama saya yang mana saya fikir saya juga perlu sebut namanya dalam tulisan saya.

Rata-rata kesedaran para pelajar Malaysia yang menuntut di negara-negara Selatan (Australia dan New Zealand) tentang perkembangan negara dan semangat ‘patriotisme’ adalah kurang berbanding dengan mereka yang berada di utara seperti United Kingdom dan negara-negara Eropah yang lain. Tak kenal maka tak cinta. Itulah yang terjadi pada anak-anak muda yang tak tahu sejarah para pejuang bangsanya. Begitulah mengikut pendapat ‘Afiah yang mengajurkan pertemuan ini.

Ketika berucap di dewan itu, Annuar Musa berkata bahawa dia sudah tidak ada cita-cita politik. Ye ke? Biar betul? Kalau dah tak ada cita-cita politik kenapa ikut KJ? Kalau dah tak ada cita-cita politik, letaklah jawatan sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, beri kepada YB Alwi atau beri kepada Dr. Awang Adek. Eloklah Dato Seri Annuar diberi tugas berucap dengan pelajar di luar negara saja.

Khairy jauh lebih popular dari Hishammudin Ketua Pemuda UMNO. Mungkin KJ tahu kalau ada sejuta orang yang bencikan kita, ada sejuta pula yang kasihkan kita.

Khairy pernah cuba meletakkan jawatan, diatas permintaan ramai dia terpaksa menerima semula jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda. Di bawah antara komen pemimpin veteran:

“Perletakan jawatan tak semestinya menyelesaikan masalah, sebaliknya mencipta masalah baru dalam Pemuda dan beri kesan pada parti”

Muhyiddin Yassin

Naib Presiden UMNO

“Kita kena ingat Khairy jadi Naib Ketua bukan dia sendiri pilih, bukan Perdana Menteri pilih tetapi Pemuda yang pilih”

Adnan Yaakub

Menteri Besar Pahang

Kadang-kadang kita pun berasa simpati kepada Pak Lah. Sejak menjadi Perdana Menteri tidak habis-habis masyarakat bercerita pasal menantu dan anak isterinya, ada saja yang tak kena. Macam-macam versi pemimpin UMNO bercerita pasal KJ. Apakah mereka tahu ‘mind set’ anak-anak elite, VIP?

Tahukah mereka semua anak kaum elite tenggelam di dalam ‘comfort zone’? Pernahkah mereka bergaul dengan golongan elitis? Kebanyakan dari mereka bercita-cita tinggi. Tidak ada orang yang sudah berada di atas mahu ke bawah melainkan mahu mendaki lebih tinggi. Cuba baca buku ‘Rich Dad Poor Dad’ oleh Robert Kiyosaki.

Kebanyakan orang kita tak suka ada Melayu yang lebih dari mereka. Kalau bangsa lain tak apa. Pelik. Kerjanya sakit hati, iri hati melihat kejayaan orang lain, dalam masa yang sama marah bila Melayu mundur.

KJ merupakan tokoh pemimpin pelapis yang bukan sahaja pandai kerana ada kelulusan dari Oxford. Sekadar kelulusan sahaja tak cukup. Tapi dia memang telah mempamerkan ‘karisma’ dan kebijaksanaannya dalam politik dan dunia penulisan, memiliki “political will”. Sejak dia menuntut di London lagi mulutnya sudah celupar, dia berani berdepan dengan Tun M ketika itu Perdana Menteri.

Salahkah kalau dia bercita-cita mahu jadi Perdana Menteri diumur yang muda? Najib ketika umur 29 tahun jadi Menteri Besar Pahang. Rahim Tamby Chik 29 tahun jadi Ketua Menteri Melaka. Isa Samad umur 31 Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ghadafi umur 29 tahun jadi Presiden Libya sampai hari ini.

Di Amerika satu perkara biasa bila anak muda bercita-cita mahu jadi Presiden USA. Apa salahnya jika mereka mempunyai kemampuan untuk memimpin dan memperjuangkan nasib bangsanya?

Mereka yang hasad, pendengki dan munafik (hipokrit, berpura-pura dan bermuka-muka) akan diletak oleh Allah di bawah kawah api neraka (the lowest depth of the fire)

Surah An-Nisaa’, ayat 145.

Setiap soalan dapat dijawab dengan baik. Annuar dan Khairy bercakap tanpa teks dan saya tertarik cara Khairy Jamaluddin menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan memuaskan.

Antara banyak soalan yang dikemukakan kepada Khairy Jamaluddin, pada saya yang paling menarik ialah soalan bila dia jadi Perdana Menteri nanti apa yang dia akan buat? Ini soalan politik, silap jawab boleh berubah menjadi ‘political suicide’.

Jawapan yang diberikan oleh KJ kepada pelajar yang mempunyai kelulusan Ijazah dalam jurusan P.P.E Philosophy, Politics and Economy dari Oxford ini ringkas, tepat pada setiap persoalan dan mampu membuat mereka yang menyoal dan mendengar serta berfikir sejenak keupayaan pemimpin Pemuda yang telah menimbulkan banyak kontroversi ini. KJ dengan tiba-tiba juga telah menjadi ikon seperti Mawi.

Bukan calang-calang anak muda yang dilahirkan di Dubai, dibesarkan di beberapa buah negara termasuk Jepun dan England ketika ayahandanya menjadi Duta Malaysia di luar negara. Selaku generasi muda yang dapat menggarap dan mengupas ideologi, motif dan strategi global serantau maka tak hairan jika dia dapat mencanang atau aturkan politik Pemuda ke taraf ‘global’.

Inilah untungnya bila mereka yang mahu menjadi pemimpin dapat menguasai ilmu pengetahuan, kaedah analisis dan idea-idea alternatif yang dapat menghadapi kemaraan mereka dalam menghadapi dunia tanpa sempadan akibat boleh berfikir secara ‘lateral thinking’ mengikut Edward De Bono. Samakah orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?

Kebangsawanan ‘elite’ V.I.P. atau V.V.I.P merupakan nikmat daripada Allah untuk segelintir manusia. Tidak semua manusia dilahirkan boleh jadi ‘raja’, anak raja apa lagi menantu Raja atau Pemangku Raja. Tan Sri Muhammad Taib pernah menjadi menantu Sultan Selangor. Dato Syed Omar al-Idrus pula pernah menjadi pemangku Sultan Terengganu.

Islam mengiktiraf kedudukan dan kelebihan kaum ‘bangsawan’ dan orang besar-besar yang menjadi ketua kaum. Sebab itu kedudukan ‘raja-raja’, ketua satu-satu kaum sebelum kedatangan Islam tetap dikekalkan oleh Rasulullah SAW setelah mereka memeluk Islam.

Keberanian Khairy datang berjumpa dengan para pelajar mengingatkan saya buku ‘Berani Gagal’ yang ditulis oleh Billy Lim mengenai matlamat dan visinya. Tentu sekali KJ mempunyai matlamat dan visi yang mesti ada kepada siapa saja yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri .

Saya terfikir apakah perkara yang saya tulis ini boleh memotivasikan minda para penuntut luar negara yang membacanya kerana Melayu itu Islam maka mereka perlu tahu Islam itu apa?

Khairy bukannya orang Melayu pertama yang menuntut di Oxford, lahir dalam keadaan serba kemewahan dan terdedah kepada politik global. Tapi KJ berpandangan jauh, lebih cekal dan lebih tekad untuk menjadi ‘world figure’.

Ketika dia masuk politik dia tak pakai baju bapak atau nama datuk dia? Atau ‘accidental leader’ yang lahir dengan tak sengaja seperti Hishamuddin misalnya yang dapat kerusi Ketua Pemuda disebabkan krisis Anwar Ibrahim, dimana Zahid Hamidi terpaksa meletak jawatan dan Hishamuddin dapat jawatan free saja.

Cuba dia baca buku saya Anak Omak vs Anak Bapak September 2004, muka depan. Apakah anda sudah baca buku saya?

“Khairy diramalkan akan menjadi Perdana Menteri pada usia 40 tahun. Betulkah Pak Lah dan Najib akan duduk di kerusi PM masing-masing selama 3 tahun saja...? Siapa yang akan duduk di kerusi itu selama 6 tahun sebelum Khairy?”

Hari ini jika ditakdirkan Khairy menjadi Perdana Menteri Malaysia dia bukan ‘kaduk naik junjung’, dia bukan dari golongan ‘cicak mengkarung’ tapi dia Putera Raja yang ada imuniti macam Idris Jusoh, MB Terengganu. Dia adalah Melayu yang tak ada sifat ‘inferiority’ dan rasa rendah diri kerana seorang diplomat mempunyai ‘imuniti’ sedangkan raja-raja di Malaysia sudah hilang ‘imuniti’.

Bayangkan, dalam waktu yang sangat singkat baru tiga tahun Pak Lah duduk dikerusi kuasa berbanding 22 tahun Mahathir memerintah secara diktator, cukup banyak bahan untuk dituangkan ke dalam ‘melting pot’ sastera para bloggers yang mahu menjadi pahlawan dan champion bangsa. Apakah satu hari nanti Raja Petra akan dinobatkan sebagai pahlawan atau pun pengkhianat bangsa? Atau orang gila?

Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk menghapuskan golongan diraja, tetapi dalam masa yang sama baginda membawa firman Allah yang perlu difahami oleh mereka yang ‘berakal’, yang tidak ego dan membiarkan diri dikuasai oleh nafsu.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa.”

Taqwa adalah darjat yang lebih tinggi daripada raja atau sultan, baik di dunia atau lebih-lebih lagi di akhirat. Namun apa yang menarik, kebangsawanan (elitist)adalah satu nikmat yang boleh digunakan sebagai alat untuk mencapai darjat taqwa.

Akibat kebanyakan orang kita Melayu yang tak perlu ke universiti sudah ada ijazah PHD ‘perangai hasad dengki’, siapa saja yang lebih dari mereka menjadi musuh, dari dulu sampai hari ini. Bila lagi nak berhenti buat kerja-kerja Firaun? Kenapa tak berubah jadi manusia yang baik hati?

Jangan kata mempunyai kedudukan seperti Khairy, jual nasi ayam dara di warung pun mereka akan cari bomoh supaya warung itu tutup. Kita buat apa untuk mengubah sikap bangsa kita yang merugikan kita semua?

Sejarah kegemilangan Islam telah diharumkan oleh raja-raja berjiwa sufi seperti Maharaja Najasyi, Umar Ibnu Aziz, Sultan Salehuddin al-Ayubi, Sultan Murad II, Sultan Muhammad al-Fateh, Maharaja Aurangzeb dan juga sultan-sultan di Alam Melayu pada zaman pertengahan. Namun sejarah juga telah memaparkan golongan bangsawan yang “Bersultan di mata, beraja di hati” seperti Firaun, Namrud dan raja-raja pada abad ke-20 seperti Al-Malik Farouq dan Shah Iran raja segala raja. Begitu juga dengan para Presiden seperti Saddam Hussien, Sukarno, Suharto.

Di mana ada raja, cara hidup raja akan menjadi ikutan rakyat jelata. Mahu lihat perangai raja lihat saja perangai rakyatnya. Raja gila bola, rakyat ikut gila bola sama. Kerabat raja gila artis ianya menjadi kegemaran rakyat. Belum ada raja yang suka ke masjid, kalau ada seorang raja dan masjid yang dulunya kosong akan berisi semula. Bapanya borek anaknya rintik.

Presiden, Perdana Menteri, Raja dan Sultan dan keluarga mereka terdedah kepada ujian dunia. Selaku saudara Islam saya berhak mengamalkan amar makruf nahi mungkar . Selebih dari itu saya sekadar berdoa agar Allah memberikan hidayat kepada mereka dan keluarga mereka. Mereka milik rakyat, tanpa rakyat siapalah mereka? Dalam negara yang mengamalkan demokrasi mereka menjadi sasaran pengkritik jika didapati menyalah gunakan kuasa. Suka tak suka mereka mesti terima.

Bukan mudah untuk membebaskan diri daripada tipu daya dunia di mana syaitan sentiasa mengambil kesempatan untuk menarik mereka ke neraka apabila mereka tunduk kepada kemahuan nafsu semata-mata. Mahukah kita membiarkan mereka menuju jalan ke neraka? Menegur adalah ‘fardu kifayah’ jihadul akhbar, jika yang ditegur itu ketua yang zalim, menegur bukan menfitnah.

Kebangsawanan, harta dan kuasa selalunya beriringan. Siapa raja dialah berkuasa. Namun hakikatnya, semua raja adalah hamba yang hina dina di hadapan Allah SWT kerana mereka dijadikan oleh Allah SWT dari setitik air mani yang hina dina. Kuasa itu amanah yang dipertanggungjawabkan dan akan ditanya di akhirat kelak. Merasakan diri berkuasa satu perbuatan yang syirik.

Pemimpin yang bijak akan menggunakan nikmat itu untuk berbakti kepada Allah. Harta, kuasa dan pengaruh, semuanya dikorbankan untuk Allah. Apakah kita mempunyai pemimpin yang sedemikian rupa? Mereka inilah yang menjadi raja di dunia dan ‘raja’ di akhirat. Mungkin mereka terlupa perjanjian dengan Tuhan bahawa “tidak akan ku sembah selain Allah dan Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah” tapi yang disembah adalah nafsu akibat dipengaruhi syaitan.

Lebih mudah untuk tidak mencintai dunia semasa tidak ada, daripada ketika ia sudah berada dalam genggaman. Umar Al-Khattab menangis ketika dibawa ke hadapannya mahkota Maharaja Parsi, lantas berkata: ‘Sesungguhnya aku takut perkara-perkara inilah (harta) yang akan menjauhkan kita dengan Allah”.

Menjadi orang miskin yang sabar adalah payah, namun menjadi orang kaya yang syukur jauh lebih payah lagi. Ini disebabkan manusia sering lupa apabila diuji oleh nikmat daripada diuji dengan bala. Banyak menteri-menteri yang jatuh dalam kehinaan. Bila hilang saja kerusi, nilai macam nasi basi. Itik tak sudu, ayam tak sudi jadi makanan babi.

Walau bagaimanapun ini tidak bermakna sudah tidak ada jalan untuk para pemimpin membebaskan diri daripada godaan dunia, harta, kuasa dan wanita. Jalannya adalah ‘muhasabah diri’ akui hanya Allah saja yang berkuasa, siapa yang merasa dirinya berkuasa telah melakukan satu perbuatan ‘syirik’ yang telah membuat Allah murka.

Itulah keadaan UMNO hari ini, cakap salah tak cakap salah. Dari tak cakap baik terangkan perkara sebenar. Berkata benar sekali pun pahit - sabda Rasulullah SAW. Memang sukar mahu mencari yang terindah dikalangan yang terbilang macam buah durian yang sudah penghujung.

Apakah orang UMNO ada pilihan selain dari memberi orang muda peluang? Sampai bila kita terpaksa memilih yang terbaik dikalangan yang terbuang? Sampai bila kita mahu beritahu mereka yang tak sedar diri, tak mahu cermin muka ‘enough is enough’.

Lebih baik pilih lebah dari pilih langau, tahukah anda beza antara lebah dan langau? Lebah menyengat tapi menghasilkan madu. Langau biarpun cantik sentiasa terpalit dengan yang busuk. Macam kereta Lamborghini yang chassisnya sudah bengkok. Berhentilah berangan nak masuk F1.

Disebabkan Annuar berucap dengan panjang lebar. Saya pula tak mencatit dikertas apa lagi menyimpan alat simpanan suara maka saya terpaksa tulis apa yang saya ingat dan apa yang ada dalam ingatan untuk dikongsi bersama. Tak kisahlah ia tak ikut susunan yang betul. Yang penting saya telah mendokumentasikan apa yang berlaku.

Selaku ‘khalifah Allah’, orang Melayu yang beragama Islam sepatutnya menyuarakan suara Allah kerana Allah itu Tuhan kita. Selaku penulis saya adalah telinga, mata dan suara masyarakat marhain, kaum yang tertindas, yang teraniaya, yang memerlukan pembelaan.

Saya perlu menegakkan keadilan bukan menjadi penyokong parti KeADILan. Jangan perasan. Saya tulis apa yang saya tahu dan saya yakin yang saya tulis itu benar. Terserah anda mahu mempercayainya atau tidak.. Tuhan mengingatkan kita “tidak ada paksaan dalam beragama”, inikan pula mendengar pendapat dan catitan penulis.

Ini adalah kali pertama saya dengar Khairy berucap, saya cuba membaca perwatakannya secara dekat. Apa harapan Khairy untuk jadi Ketua Pemuda, Naib Timbalan Presiden UMNO dan menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia? Iman dan kepimpinan tidak dapat diwarisi dari seorang ayah. Ia perlu ditentukan oleh Allah dan usaha dari kita.

Iman tak dapat dijual beli dari seorang ayah yang bertaqwa.

Ia tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai

Petikan lagu ‘Iman Mutiara’ dari kumpulan Raihan.

Tahukah anda apa itu Oxbridge? Persatuan antara Oxford dan Cambridge. Kenapa ibubapa memilih Oxford, Cambridge, Harvard dan Universiti yang ada nama besar dan sudah yang establish? Dan kenapa orang membeli kereta dan pakaian yang berjenama?

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘alah membeli menang memakai, berlian tercampak ke Pelimbah masih tetap berlian’. Untuk apa pilih kaca yang disangka permata?

Para peminat saya ingin tahu apa pandangan dan pendapat saya mengenai menantu Pak Lah yang menjadi perhatian dan tumpuan ramai. Apa istimewanya KJ hingga ketika kebanyakan bloggers dan ramai orang memburukkannya, saya sanggup menentang arus membelanya?

Saya fikir tak ada lagi keburukan Khairy yang tidak didedahkan dan tidak disebarkan kepada pengetahuan umum. Entah berapa banyak kata nista, fitnah yang dilemparkan, Khairy ‘diboo’ semasa berucap, apa lagi seksaan yang belum dirasai oleh KJ. Namun KJ tetap steady, masih tabah, kuat dan berpengaruh seperti pepatah Cina pohon yang tunduk bila angin kencang bertiup ke kiri ke kanan dahannya tidak akan serkah, akarnya tidak akan tercabut. “From a tiny seed to a mighty oak tree”. Itulah yang ditunjukkan oleh KJ.

Jika mahu jadi hero mesti sangggup terjun ke dalam arena, mesti ada sikap berani, ini yang telah dibuktikan oleh KJ. Dia berani berenang di Selat Melaka lebih satu jam bukan sekadar boleh menunggang kuda, dia boleh main Polo. Bukankah menunggang kuda itu satu dari sunnah Nabi Muhammad SAW dan satu-satunya kesukaan Tun Mahathir?

Bangsa Melayu perlu berani, bangsa Melayu perlu ada hero dan pahlawan untuk membela bangsanya. Bagaimanapun soalnya siapakah hari ini yang boleh diharapkan untuk menjadi wira yang akan membela Melayu? Setiap penulis yang tahu kenapa tidak diketengahkan?

Keberanian ini juga termasuk kebebasan bercakap. Apabila kita berani bercakap dan berani menegur itulah freedom atau demokrasi. Soal jawab di Victoria Universiti ini telah menghidupkan semangat demokrasi. Setiap akhbar ada editornya sendiri. Selaku pemimpin Pemuda UMNO Khairy berani berdepan dengan penuntut.

Bila ditanya mengenai Akta Universiti, jawapnya yang tersirat adalah para pelajar hari ini pengecut . Kalau hendak adakan demonstrasi apa perlu meminta kebenaran polis ataupun pihak berkuasa universiti. Buat sajalah. Itulah yang pernah dilakukan oleh Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Hishamuddin Rais. Mereka tidak minta izin, mereka nak buat tunjuk perasaan mereka buat, tak peduli dikejar dan dipukul polis. Tunggu minta izin, tunggu kebenaran, sampai bila pun kita tidak boleh lakukan apa-apa. Sebab itu nama mereka tercatit dalam sejarah.

Kenapa Pemuda Melayu hari ini tiba-tiba dijangkiti sindrom penakut? Pelik bila ada Pemuda yang berani seperti Khairy, ramai sangat yang bertukar menjadi Firaun. Akhirnya orang Melayu sudah tidak tahu kepada siapa mereka hendak harapkan lagi.

Sedangkan Hishamuddin terkenal dengan cium keris saja, ada pula pemimpin lain takut bini, sapa sebenarnya menteri, bini atau laki?

Kita bukan tidak tahu keberanian yang ada pada orang Melayu dulu semakin hari semakin pupus. Apakah ini tidak membimbangkan? Bangsa Melayu seolah-olah tidak ada orang-orang yang berani. Macam mana mahu jadi berani, ada saja orang berani mahu dicantas, ditebang, ramai sangat yang perangai macam Firaun.

Apa akan jadi apabila Melayu sudah jadi penakut? Bangsa lain akan hilang segan, malu, tak takut akhirnya bangsa tidak lagi akan terbela. Sedangkan Melayu sangat memerlukan orang yang berani?

Di samping memiliki sifat berani Khairy juga berilmu dan dilengkapkan dengan pengalaman bergaul dengan masyarakat antarabangsa selain dari kebijaksanaan dalam menyelesaikan apa juga isu berbangkit ini disaksikan oleh ratusan penuntut yang hadir. Terserah pada mereka apa yang mereka hendak tulis. Saya tulis apa yang saya tahu saja.

Patutkah yang satu ini pun kita bunuh jadikan Hang Nadim? Akhirnya sudah tidak ada siapa lagi yang berani bangkit membela Melayu? Saat-saat seperti hari inilah bangsa Melayu memerlukan orang yang berani. Kalau dia buat silap kita tegur bukan bunuh seperti mereka cuba membunuh Tan Sri Rahim Tamby Chik. Tuah Rahim ada sampai sekarang tak mati. Siapa yang cuba bunuh Rahim? Siapa yang beria-ia benar mahu bunuh Zahid Hamidi dan KJ? Siapa sebenarnya Firaun Melayu zaman IT?

Dulu Arwah Khalid Jeffri, yang juga terkenal sebagai KJ, adalah Melayu keturunan Afghan. Dia adalah penulis yang berani. KJ Datuk Khalid Jeffri itu sudah jadi arwah Khalid, penulis buku yang membunuh karier politik Anwar Ibrahim. Hebat gila KJ. Hari ini bila sebut KJ ianya Khairy Jamaluddin, nama ada umph, macam nama Datuk K suami Siti Nurhaliza?

Sekejam-kejam Zahid anak Muawiyah di Karbala, Iran yang membunuh semua keturunan Saidina Hussein anak Saidina Ali masih melepaskan Saidina Ali Zainal Abidin cucu Rasulullah SAW yang meneruskan zuriatnya hingga ke hari ini.

Apakah KJ masih belum lulus ujian? Dia mempunyi kekuatan fizikal, mental dan rohani. Kalau sudah seseorang itu mempunyai bintang yang cerah, orang cakap apa dan orang buat apa pun dia tak jatuh. Macam Mahathir dulu, masa jadi PM. Macam-macam orang kata tapi dia tak jatuh. Begitu juga dengan Khir Toyo, bukan sedikit yang nak jatuhkan dia, tapi dia masih mampu bertahan. Berapa banyak buku politik dan blogges yang menghentamnya? Khir Toyo tambah handsome. Itupun dijadikan isu juga. Pelik Melayu ini. Kalau macam itu akhirnya Melayu hilang didunia.

Pertama kali saya jumpa Khairy di kedai buku Bangsar orang tengah sibuk memperkatakan antara KJ dengan Mukriz anak Mahathir dan kisahnya telah saya dokumentasikan dalam buku ‘Anak Omak VS Anak Bapak’. Apa hendak dibandingkan keberanian KJ dengan Mukriz?

Hari ini Pak Lah bercakap tentang ‘modal insan’. Apakah sebenarnya definisi ‘insan’ itu sendiri? Tahukah kita perbezaan dari segi tauhid dan tasauf ? ‘Insan’ adalah makhluk pilihan Tuhan selaku khalifah-Nya. ‘Insan’ adalah seindah-indah kejadian seperti di dalam surah at-Tin dalam Al-Quran.

Hishamuddin juga anak bekas Perdana Menteri namun ramai yang menganggap Ketua Pemuda lembik macam ‘bapok’, tak ada karasmatik, mempunyai ramai pegawai khas pun lembik juga. ‘Letih’ dengar Hishamuddin bercakap, teruk, retorik, berani depan akhbar saja, macam mana hendak jadi pembela bangsa?

Hishamuddin adalah sepupu Najib dan Najib mendapat sokongan dari Tun Mahathir. Setakat ini mereka selamatlah. Macam mana kalau Najib tak jadi Perdana Menteri? Ke mana Hishamuddin? Bagaimana tuah nasib KJ jika Pak Lah berhenti? ‘The best man win’. ‘Tak boleh ada dua harimau di atas satu bukit’ peribahasa Cina.

Apa akan jadi pada bangsa Melayu jika semua Pemuda yang kita ketengahkan mereka tak suka? Mahukah kita kalau Cina yang jadi Perdana Menteri? Kerja saya selaku penulis, saya tulis, saya senang dengan KJ kerana dia berani.

Apa yang telah kita lakukan selaku orang Melayu dan apa sumbangan kita dalam membangunkan bangsa kita? Anak-anak kita macam mana? Isteri kita macam mana?

Tuhan bersumpah atas nama buah tin dan buah zaiton diatas bukit Tursina, Nabi Musa gagal dibunuh oleh Firaun yang berjaya membunuh setiap anak lelaki dan turunnya kitab Taurat ‘The Ten Commandment’. Sampai bila nak berperangai macam Firaun, asal ada anak Melayu yang bijak kita pancung?

Kata-kata hikmat ‘modal insan’ sering dilaung-laungkan tetapi pemahamannya masih kabur dan dilihat masih belum meluas terutamanya di kalangan para pelajar luar negara. Bolehkah manusia yang tidak kenal dirinya, tak kenal Tuhan dijadikan ‘modal insan’?

Para pelajar kita di luar negara adalah manusia biasa biarpun sedang menuntut di menara gading, hidup dalam dunia tanpa sempadan ramai yang masih tidak ‘glokal’.

Berapa ramai yang mempunyai ilmu secara ‘holistik’? Sekadar hebat kerana tingginya IQ tapi bolehkah mereka menguasai EQ, menguasai nafsu? Apakah mereka memahami spiritual Q, kekuatan kerohanian manusia makhluk yang mempunyai minda, roh selain jasad? Bagaimana menukarkan mereka menjadi ‘insanulkamil’?

‘Insan’ adalah makhluk yang terbaik seperti yang dijanjikan Allah. Baik macam mana kalau kita tidak taat pada perintah Allah dan Rasul? Insan itu adalah sebaik-baik kejadian kerana insan boleh dengar suara Tuhan melalui Al-Quran dan insan boleh berhubung secara langsung dengan Tuhan menerusi ‘solat’. Bagaimana jika mereka sekadar ‘accidental Muslim’? Islam yang tidak disengajakan. Kebetulan saja pada kedua Mykad milik ibubapa mereka tertulis agama Islam?

Yang paling banyak membuat porak peranda adalah ‘manusia annas’ sebab itu mereka perlu adakan anjakan paradigma menjadi mukmin bukan sekadar mengetahui Islam tapi menjadikan Islam sebagai cara hidup yang paling sempurna.

Insan bermula sebagai manusia biasa ‘annas’. Manusia biasa seperti yang disampaikan sebelum manusia menerima Islam sebagai agama. Sudah berpuluh tahun jadi Islam masakan tak boleh mengadakan ‘Anjakan paradigma’? Bila lagi mahu membaca al-Quran dan mempelajari terjemahan supaya hati yang keras macam batu boleh terima ‘hidayah’ bila dengar suara Tuhan menerusi al-Quran? Setelah mendapat ‘hidayat’ mudah-mudahan boleh bertukar menjadi orang-orang yang taqwa dan ‘ikhlas’.

Nampaknya sudah jadi macam satu trend pemikiran masyarakat kita lebih berkisar kepada ‘kedudukan’ dan bukannya ‘masalah’, ‘polemik’ dan bukannya ‘bukti’. Hari ini ramai yang bercakap mengenai isu-isu dengan cara ‘retorik’ dan tak beretika atau mereka lebih suka bertengkar menegakkan benang basah dan bukannya cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kalau macam itu apakah pemikiran kita sudah merdeka?

Dalam ucapan KJ juga dia ada menceritakan bahawa dia memilih untuk menjadi ahli UMNO walaupun dia lebih dekat dengan Anwar Ibrahim Parti KeADILan Rakyat jika dibandingkan dengan UMNO. Dalam hidup kalau mahu dihormati kita perlu ada pendirian, tak jadi lalang, tak duduk diatas pagar.

Kita bimbang jika tidak ada orang yang menterjemahkan dengan betul dan bersandarkan ‘fakta’ saya rasa rugi pertemuan antara pelajar dan pemimpin, cerita yang sebenarnya akan hilang di angin lalu. Tidak tercatit dalam sejarah bila orang mahu menulis pasal Khairy bila sudah duduk dikerusi Perdana Menteri nanti.

Antara sebab umat Muhammad SAW dilihat sebagai terpencil kerana tak suka kepada ‘kebenaran’, sama ada bercakap benar atau mendengar cerita yang benar. Mereka lebih suka dengar dari mulut siapa yang berkata bukannya apa yang dikata, biarpun apa yang dikatakan itu adalah dusta, fitnah tapi masih percayakan orang yang berkata bukan apa yang dikata. Ramai yang tidak ‘responsif’ terhadap yang ‘hak’.

Sampai bila lagi umat Muhammad SAW berani menegakkan yang ‘hak’, yang ‘betul’ supaya segala pendusta, penfitnah mereka yang suka mengumpat melalui blog dan akhbar berhenti merosakkan pemikiran umat? Sampai bila kita mesti takut berhadapan dengan mereka yang melakukan kemungkaran?

Mengikut cerita Khairy ketika Tun Razak meninggal, bapanya jadi Duta di Dubai dan pesawat yang membawa jenazah Tun Razak telah singgah di Dubai. Namun dia tak ingat apa yang berlaku di zaman pemerintahan kedua-dua pemimpin negara pertama kerana waktu itu dia masih kecil.

Pemimpin yang dia kenal adalah Tun Mahathir. Waktu dia kecil, dia pernah tanya berapa tahun Tun akan jadi Perdana Menteri Malaysia?

Perangai suka mengampu, bermuka-muka, ‘hipokrit’, munafik sudah mula menjadi satu trend, tak ada lagi semangat setia kawan, di umur yang muda sudah kehilangan harga diri jadi manusia yang tak punya prinsip.

Sambil mendengar Khairy bercakap saya terus berfikir pasti orang akan kata apa kena dengan Pak Habib tiba-tiba saja mengampu menantu Pak Lah? Ada apa-apa ke? Tentu masyok punya...? Kalau tak ada beruk takkan pokok bergoyang. Suka hati hang laa... Saya sudah biasa dengan manusia yang kaki mengumpat, fitnah, keji, dicaci, semasa menyokong Tun Mahathir…

Tuesday, February 24, 2009

: PPSMI - Khairy terima surat cabaran debat Pemuda PAS

Oleh : Bro Jinggo

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy hari ini menerima surat cabaran debat dari Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub tengahari tadi di lobi Parlimen , beliau bersetuju menerima surat jemputan debat tersebut bagi mewakili Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Debat tersebut membincangkan isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan ISA.

Khairy akan berbincang terlebih dahulu, untuk meminta persetujuan dan pendangan dari Ketua Pemuda UMNO, yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, berhubung dengan cabaran debat tersebut.

Menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar selepas menerima surat berkenaan , Salahuddin berkata bahawa beliau menghormati Khairy sebagai seorang pemimpin muda yang sedia memikul tanggungjawab , menerima cabaran debat tersebut. Salahudin berkata beliau menghormati Khairy sebagai seorang pemimpin muda yang membina yang mengamalkan sikap politik yang terbuka. Justeru itu bermulalah satu jambatan perbincangan dan muzakarah bagi orang melayu dan Islam.

Beliau juga turut berkata bahawa beliau percaya Khairy bakal menjadi Ketua Pemuda UMNO pada pimilihan UMNO bulan Mac yang akan datang dan memuji sikap keberanian Khairy sedia menyahut cabaran dari Dewan Pemuda PAS.

Kenyataan dari Salahuddin tersebut membuktikan bahawa Khairy adalah seorang pemimpin yang dihormati dan disegani oleh pihak pembangkang dan beliau sentiasa sedia menyahut cabaran dari pihak lawan bila-bila masa sahaja.

Rentetan sebelum : sila baca