Thursday, March 31, 2022

Tidak timbul isu penjualan MySejahtera kepada swasta - KJ



Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan tidak timbul isu penjualan aplikasi MySejahtera kepada pihak swasta.


Jelasnya, keputusan Jemaah Menteri pada bulan November lalu adalah bertujuan untuk membolehkan pemilikan MySejahtera dipindahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan (KKM).


"Apabila saya dilantik menjadi Menteri Kesihatan pada 30 Ogos 2021 dan meneliti tadbir urus di sebalik pengoperasian aplikasi MySejahtera, saya berpandangan adalah wajar untuk KKM mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan operasi MySejahtera memandangkan fungsi utama MySejahtera serta data yang diperolehi menerusi aplikasi ini merupakan data berkaitan kesihatan.


"Oleh yang demikian, pada 26 November 2021, suatu Memorandum Jemaah Menteri oleh Jabatan Perdana Menteri (Kementerian bertanggungjawab bagi Majlis Keselamatan Negara) telah dibincangkan yang akhirnya dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri agar pemilikan aplikasi MySejahtera dipindahkan daripada MKN kepada KKM yang bertujuan memudahkan pengoperasian sistem, pemantauan dan pengesanan kontak dan memperkasa hebahan tentang kesihatan awam," katanya di Dewan Negara hari ini.