Thursday, January 10, 2013
Kalimah Allah : Hadi dan Khalid Pening Kepala...
Nasib dua pemimpin besar pakatan PAS-PKR-DAP ini nampaknya hampir sama.
Bukan sahaja Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga nampak haru biru berdepan isu kalimah Allah.
Ada cerdik pandai berkata, dalam hidup, mustahil boleh dapat segala-galanya.
Begitu jugalah nasib Hadi dan Khalid yang terpaksa meranduk duri dalam isu yang mencetuskan rasa kecewa dan marah dikalangan ramai orang Islam di negara ini.
Kini sudah termaktub dalam hitam putih pakatan pembangkang sepakat menyatakan kalimah Allah boleh digunakan penganut agama lain.
Bayangkan Hadi sendiri mewakili parti yang mendakwa memperjuangkan Islam 'ditolak' ke depan membacakan kenyataan pendirian itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang duduki disisinya dalam sidang media mereka, Selasa.
Dan di situ juga Anwar seolah-olah memperkecilkan pendirian dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bahawa kalimah Allah eksklusif bagi umat Islam.
Ketua Pembangkang itu meremehkan pendirian tersebut dengan memberi gambaran seolah-olah MAIS tiada kaitan dengan kerajaan Selangor pimpinan PKR.
Dalam situasi itu sudah tentu Khalid tersepit antara patuh titah Sultan atau akur pendirian parti berhubung isu itu.
Namun, berdasarkan kenyataan Khalid pada sidang medianya Rabu, Selangor akur dengan titah Sultan Selangor.
Beliau berkata penggunaan kalimah Allah itu mengikut kepada ketetapan yang telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri pada 18 Februari 2010.
"Mengikut warta kerajaan, lafaz kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain.
"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat," katanya.
Bagaimanapun, dalam pada itu, Khalid seperti tidak ikhlas dengan perakuan itu apabila mengaitkan soal lagu negeri Selangor yang mengandungi kalimah Allah dan turut dinyanyikan golongan buikan Islam.
Khalid sebenarnya mungkin tidak faham atau tidak tahu, bahawa selama ini jika lagu negeri malah NegaraKu dinyanyikan, ada menyanyikannya dan ada pula menghormati dengan bangun atau berdiri tegak.
Ini sama juga dalam program atau majlis apabila ada bacaan doa.
Mereka beragama Islam akan menadah tangan dan mengaminkan manakala bukan Islam diam menghormati doa yang dibacakan.
Tindakan Khalid cuba mengaitkan lagu negeri Selangor seolah-olah mahu menggambarkan, senikata lagu itu juga salah kerana ada Kalimah Allah.
Apapun Menteri Besar Selangor itu enggan mengulas kenyataan Anwar dan keputusan pakatan pembangkang tentang isu itu.
Sendiri mau ingat...kenapa beliau tidak berani buka mulut bab itu.
Manakala Hadi pula lebih tersepit apabila isu itu mendapat tentangan bukan sahaja daripada Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, KetuaPenerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menegaskan parti itu tidak akan bersetuju dengan sebarang cubaan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible.
Harun berkata, walaupun penggunaan kalimah Allah dibolehkan untuk bukan Islam namun kalimah suci itu tidak boleh menjadi sebahagian daripada Bible versi bahasa Melayu.
"(Penggunaan kalimah Allah) bukan tak boleh diguna pakai (oleh penganut Kristian tetapi), saya rujuk kepada kenyataan Lim Guan Eng nak pakai dalam kitab Bible, nak tukar kalimah 'God' kepada kalimah
Allah yang itu saya tak setuju,” katanya.
Katanya, Dewan Syura Ulama PAS akan bermesyuarat Sabtu ini untuk mengupas isu berkenaan.
Harun berkata, beliau akan membuat kenyataan lanjut selepas mesyuarat berkenaan.
"Saya tak akan buat komen baru kecuali lepas mesyuarat (Majlis Syura),sebelum mesyuarat saya tak komen. Komen (saya) yang lalu masih kekal,”kata beliau.
Bulan lalu, Harun berkata penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.
“Agama lain termasuk Kristian tidak berhak sama sekali menggunakan kalimah suci itu, apatah lagi untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu,” katanya.
Apakah Dewan Ulama akan ubah pendirian selepas mesyuarat Sabtu nanti?
Kalau mengikut perkembangan setakat ini belum nampak lagi kemungkinan itu.
Ketika beban isu Amanat Hadi masih jadi bahan bualan ramai,Presiden PAS itu mungkin boleh ajak Khalid sembang-sembang tentang dilema ini bagaimana hendak keluar dari kontroversi isu kalimah Allah yang dicetuskan oleh rakan politik mereka yakni Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerusi perutusan Hari Krismas baru ini.-Agendadaily
Labels:
Hadi,
Kalimah Allah,
Khalid Ibrahim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Apakah masih ada lagi orang melayu yang percaya Pas dapat pertahankan islam ?
Masyalah bangsa ku ...
Post a Comment