NOV 30 — Khairy Jamaluddin suatu ketika boleh dikatakan antara orang  yang paling dibenci dan dimusuhi dalam arena politik Malaysia. Dilihat  sebagai anak menantu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi Perdana Menteri  Malaysia ke 5, Khairy menjadi sasaran utama pihak pembangkang yang  mengambarkan bahawa dia merupakan individu yang mempengaruhi hampir  kesemua keputusan kerajaan. Tidak cukup dengan itu Khairy juga mendapat  tentangan sengit dari dalam Umno apabila persepsi umum ahli parti  menganggap Khairy sebagai salah satu faktor utama kekalahan teruk  Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang ke 12.
 
Penulis  diminta oleh penyunting untuk menulis sebuah analisis tentang perubahan  suasana politik semenjak berlakunya tsunami 2008. Namun kali ini,  sedikit luar dari kebiasaan, saya ingin melihat kembali dan merencana  perjalanan ahli politik muda yang sering mendapat perhatian. Setelah  dipukul teruk oleh gelombang perubahan politik tanah air kemana telah  dia tuju dan berada sekarang. Inilah kisah perjalanan saudara Khairy  Jamaluddin selepas tsunami dari sudut pandangan penulis.
 Pemilihan Ketua Pemuda Umno
 Ketika itu Pak Lah sudah mengumumkan bahawa dia tidak akan  mempertahankan jawatanya di dalam Umno. Ramai menjangkakan yang ini  menandakan tamatnya perjalanan politik Khairy Jamaluddin yang dilihat  bergantung kepada bapa mertuanya. Namun, luar dari jangkaan dia telah  memenangi dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Pemuda  Umno. Keputusan pemilihan yang dianggap sebagai kontroversi sehingga  Khairy Jamaluddin di herdik ketika namanya diumumkan dalam mesyuarat  pehimpunan agung Umno sejurus selepas pemilihan sayap pemuda. Malah  dilihat Khairy akan menghadapi masaalah memimpin sayap pemuda apabila  jumlah undi yang diterimanya adalah kurang dari separuh dari jumlah  keseluruhan perwakilan, bermakna majoriti pada ketika itu tidak  menyokong beliau.
 Berhadapan dengan masaalah percakaran dan perpecahan dalam Pemuda  Umno setelah tamat pemilihan, Khairy juga terpaksa menghadapi soal  persepsi umum apabila nama beliau tidak disenaraikan dalam kabinet  manakala timbalan beliau Razali Ibrahim dan saingan dalam pemilihan  Mukhriz Mahathir dilantik menjadi timbalan menteri. Berhadapan dengan  pelbagai halangan dan tentangan dari dalam dan luar parti, ramai yang  mula mempersoalkan tentang masa depan politik Khairy dan juga Pemuda  Umno sendiri.
 Selangkah demi selangkah 
 Walaupun pada awalnya nampak seolah semuanya telah berakhir bagi  graduan dari Oxford ini, namun sedikit demi sedikit persepsi dan  pandangan terhadap beliau ini berubah. Titik permulaan perubahan adalah  apabila Khairy Jamaluddin telah pergi berdepan dengan Naib Presiden PAS  ketika itu, Datuk Husam Musa di Balai Islam Kota Baru. Dikelilingi  dengan ribuan penyokong tegar PAS dan tajuk perdebatan yang langsung  tidak menyebelahi Umno Khairy telah berjaya mematahkan banyak hujah  Husam Musa dan memerangkap Husam dengan beberapa kenyataanya yang boleh  dikatakan memakan diri. Malah ada yang beranggap bahawa antara faktor  kegagalan Husam merebut jawatan timbalan presiden PAS adalah kerana  beberapa kenyataan yang dikeluarkan beliau dalam perdebatan ini.
 Penulis adalah ahli Pemuda Umno bahagian Gombak. Ketika waktu  pemilihan jangan dikatakan undi malah cadangan pencalonan pun tidak ada  seorang berani mencadangkan nama Khairy. Akan tetapi selang beberapa  minggu selepas perdebatan di Kota Bahru dihebohkan, timbul kenyataan  yang dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin tempatan yang menyatakan,
 “Ye lah, kalau nak diikutkan aku pun tak berapa nak suka dengan KJ,  tapi kalau suruh aku pilihlah siapa nak pergi jumpa debat dengan  pembangkang, antara Mukhriz, Khir Toyo dengan KJ, aku pilih KJ.”
 Dari disitu penulis dapat melihat perubahan pandangan akar umbi sudah  bermula, malah dengan mengambil pendekatan yang lebih merendah diri  seperti terbang menaiki kelas ekonomi, atau sama-sama turun padang  bermain bola bersama pemuda kampung, berani dan selalu berhadapan dengan  perbincangan dan forum dilihat watak dari Menantu Pak Lah sudah mula  terhakis dan Khairy sebagai seorang pemimpin sudah mula muncul. Penulis  menganggap penglibatan Khairy dalam filem pendek “Teksi” untuk siri 15  Malaysia merupakan salah satu faktor yang memerikan kesan yang sangat  ketara dalam perubahan persepsi terhadap beliau terutama di kalangan  anak muda. Boleh dikatakan sebagai sesuatu yang baik apabila Khairy  tidak dilantik sebagai seorang menteri kabinet kerana tumpuan yang lebih  diberikan dalam memperkukuhkan kembali sokongan Pemuda terhadapa Umno  dan BN.
 Penyatuan Pemuda Umno
 Selepas pemilihan umum diketahui Pemuda Umno berpecah kepada tiga,  malah dari segi kepimpinan exco pemuda, tidak ada mana-mana satu kem  sekalipun yang berjaya menguasai barisan kepimpinan. Pada awalnya  perpecahan ini memang jelas ketara, apabila sesetengah exco dan ketua  pemuda bahagian memboikot acara tertentu kerana ianya dianjurkan oleh  orang-orang tertentu.
 Namun Umno mempunyai budaya pragmatiknya sendiri. Sebagaimana gambar  Anwar Ibrahim masih lagi tergantung di ibu pejabat Pemuda Umno sebagai  mantan Ketua Pemuda, sebagai itulah semangat “pragmatism” Umno itu  sendiri. Hakikatnya adalah umur Mukhriz dan Khir Toyo telah melepasi had  untuk bertanding semula jawatan Ketua Pemuda Umno dalam penggal  berikutnya, atau dilihat sebagai tidak lagi sesuai oleh itu tidak timbul  soal untuk kumpulan tertentu untuk mencabar kedudukan semula. Ditambah  semula dengan cabaran dan tentangan yang dihadapi dengan kekalahan di 5  buah negeri melihat bahawa majoriti pemuda sudah penat untuk berperang  sesama sendiri dan lebih berminat dalam bersatu untuk mendapatkan  kembali tampuk pemerintahan di negeri-negeri yang telah tewas.
 Ini dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa siri kempen pilihanraya  kecil bermula dengan Manik Urai dan Bagan Pinang apabila kerjasama  antara kepimpinan Pemuda mempengaruhi kemenangan di kesemua saluran undi  muda. Malah dapat kita lihat dari segi rombakan jawatan exco pemuda  Umno bagi menghadapi suasana politik baru mula menampakan hasil terutama  dari segi penceramahan dan propaganda di alam maya. Dapat kita melihat  pemimpin-pemimpin pemuda yang dahulunya mati-mati menentang Khairy kini  sudah mula berkerjasama dengan Khairy atas kedudukan beliau sebagai  Ketua Pemuda.
 Perkasa
 Nampak seolah penentang utama Khairy bukan dari dalam Umno mahupun  dari Pakatan Rakyat akan tetapi dari sebuah NGO iaitu Perkasa.  Pergeseran terbuka antara pengerusi Perkasa Ibrahim Ali dan Khairy dalam  media massa menggusarkan segelintir akar umbi dalam Umno yang menyokong  sesetengah pendirian Perkasa. Namun sekiranya dilihat secara halus  sebenarnya pertembungan dan pebezaan pendapat antara kedua-dua pihak ini  member manafaat kepada kedua-dua belah pihak. Pertamanya Umno yang  membuktikan kepada parti komponen yang ianya teguh bersama Barisan  Nasional manakala Perkasa membuktikan bahawa ianya sememangnya sebuah  NGO yang tidak mempunyai sebarang ikatan.
 Ada yang mengatakan bahawa Khairy mungkin kehilangan sokongan dalam  Pemuda atas pertembungan ini namun penulis bependapat bahawa perkara itu  tidak semestnya belaku. Kerana sering berlaku pendirian paradoks dalam  politik Umno dan politik Melayu. Jangan terkejut sekiranya seorang  pemuda, yang menyokong pendirian Perkasa boleh pada masa yang sama  mengundi Khairy Jamaluddin. Pendirian beliau dalam mempertahankan  beberapa isu Melayu seperti diskaun Bumiputera membuatkan hasrat  penentangan terus dari akar umbi Umno sebagaimana yang diharapkan  sesetengah pihak tertentu tidak berlaku.
 Kesimpulan
 Untuk mengatakan Khairy sudah bejaya membebaskan dirinya dari  persepsi dan belenggu pandangan sejarah adalah meleset sama sekali.  Sehingga hari ini masih giat gerakan dari dalam dan luar Umno itu  sendiri yang menentang kedudukannya sebagai Ketua Pemuda, ini jelas  dapat dilihat dalam kempen di internet melobi untuk dia tidak dilantik  menjadi menteri kabinet. Walaupun semakin ramai pemimpin pemuda yang  sudah mula berkerjasama dengan beliau namun masih ramai yang gusar  dilihat secara terus takut-takut dilabel dan diserang sekali kerana  masuk kedalam kem Khairy. Malah penulis sendiri mungkin akan dilabel  mahupun dikritik oleh kerana menulis mengenai Khairy. Namun suka atau  tidak, kita perlu mengakui bahawa pandangan dan perspektif terhadap  Khairy Jamaluddin adalah bebeza sekarang berbanding dahulu. Rata-rata  akar umbi pemuda Umno merasakan penat dan bosan dengan peperangan  dalaman, dari segi jentera pemuda sehinggalah ke exco-exco ebih berminat  dalam menentang Pakatan Rakyat dari Ketua Pemuda Umno.
 Dahulu mungkin boleh dikatakan yang kedudukan yang terdapat pada  Khairy adalah ehsan dan bantuan dari bapa mertuanya namun tidak kali  ini. Penulis secara peribadinya tidak pasti apa yang akan berlaku atau  kemana akan Khairy pergi selepas ini, samaada terus kehadapan atau jatuh  tersungkur dalam permainan politik. Namun apa yang pasti, apa yang  telah berlaku semenjak pemilihan tempoh hari dan apa yang akan berlaku  selepas ini adalah atas usaha dan bakat beliau sendiri. Suka atau tidak,  sokong atau tentang, itu adalah pandangan dan pendirian peribadi, tapi  anggaplah begini, bukan senang untuk mengorak langkah dari seseorang  yang menjadi antara sasaran paling utama kepada di mana dia berada  sekarang. Itu kita kena akui.
Source : Lipas Sepi
The Malaysian Insider