Wednesday, April 25, 2012

Umno Sambut Ulang Tahun Selama 13 Hari - 80,000 Orang Dijangka Hadir...


Sambutan ulang tahun ke-66 Umno yang bertema "Umno Pembela Rakyat" bakal memberi kelainan dan pengalaman menarik kepada pengunjung dengan pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang 13 hari sambutan bermula 1 Mei depan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sambutan kali ini turut melibatkan beberapa agensi kerajaan dan swasta antaranya dari industri pemakanan, teknologi pembuatan, pertanian dan kesenian.

Golongan muda juga turut berpeluang menghadiri expo kerjaya pada 11 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil selain terlibat dalam acara sukan ekstrem antaranya rock climbing, street soccer, bungee ejector dan skate boarding di kawasan stadium itu, katanya.

Tengku Adnan berkata sambutan dimulakan dengan acara larian bendera Umno secara serentak di empat negeri iaitu Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah yang akan berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei.

"Larian itu juga akan mengumpulkan sejuta tandatangan di atas kain rentang sebagai tanda sokongan," katanya pada sidang media mengenai sambutan itu di sini hari ini.

"Konvoi bermotosikal yang akan diketuai oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Zahid Hamidi akan melalui empat negeri selama tiga hari bermula 7 Mei," katanya.

Ia diikuti dengan majlis tahlil disertai solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 10 Mei.

Kemuncak sambutan adalah upacara menaikkan bendera Umno, ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyampaian 'Anugerah Tokoh Melayu Terbilang' kepada tokoh lelaki dan wanita di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei.

Tengku Adnan menjangka lebih 80,000 orang hadir pada sambutan kali ini. – Bernama

No comments: