Sunday, October 14, 2012
Khalid Ibrahim Enggan Dedah Bukti Air Empangan Selangor Merosot
Tidak berapa lama dulu Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim pernah mengarahkan Exco kanannya, Ronnie Liu membuat tinjauan rambang ke beberapa empangan dan sungai di Selangor ketika isu bekalan air terus hangat diperkatakan rakyatnya.
Dengan bersandarkan hasil dari tinjauan tersebut, kerajaan PKR Selangor kemudiannya merumuskan Selangor tidak berdepan dengan sebarang masalah bekalan air kerana rata-rata empangan dan sungai masih dipenuhi dengan air.
Hakikatnya, tujuan sebenar tinjauan itu dilakukan hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat Selangor daripada isu sebenar berkaitan bekalan air terawat yang semakin kritikal di kebanyakan loji rawatan air di seluruh negeri.
Satu perkara yang tidak diceritakannya kepada khalayak ialah, air mentah yang memenuhi empangan dan sungai tidak akan selamanya akan penuh atau kekal parasnya pada takat tertentu.
Ada tikanya akan surut sama ada kerana perubahan cuaca, disebabkan penggunaan harian yang tinggi selepas dirawat dan dibekalkan loji rawatan kepada pengguna ataupun disebabkan proses penyejatan.
Berdasarkan maklumat terkini (Lihat Bacaan Paras Air Empangan, 08 Oktober 2012) dan bila dibandingkan dengan bacaan paras air empangan pada 2 Julai 2012 lepas, jelas menunjukkan adanya penurunan paras air di beberapa empangan.
Paling ketara di Empangan Sungai Selangor yang merosot teruk dari bacaan 217.35 juta meter jatuh ke paras bacaan 199.7 juta meter, agak hampir kepada paras kritikal yang kiranya berterusan akan memberi kesan besar terhadap loji rawatan air yang merawat sumber air mentah dari empangan ini.
Manakala Sungai Tinggi pula sekarang berada di paras 54.94 juta meter, juga mengalami kemerosotan takungan air berbanding bacaan pada 2 Julai lalu ialah 58.7 juta meter.
Hanya empangan Sungai Semenyih sahaja yang menunjukkan peningkatan daripada 95.61 juta meter kepada paras maksima 111 juta meter. Baki 4 empangan lain juga berlaku penurunan paras bacaan tapi tidaklah terlalu ketara.
Dalam pada itu, mengikut makluman yang diterima, portal MyNewsHub juga ada membuat laporan eksklusif berkaitan perkara ini selepas mereka melakukan tinjauan ke beberapa empangan dan sungai sekitar Selangor.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, menurut kenyataan terbaru dari MB Selangor pada 7 Oktober lalu, katanya, rakyat tidak perlu cemas dengan penyusutan paras air yang dilaporkan berlaku di beberapa empangan dan loji rawatan air tika ini.
Katanya, kerajaan negeri telah maklum perkara tersebut dan telah siap sedia untuk melakukan proses pembenihan awam seandainya hujan masih tidak turun dalam tempoh 22 hari bermula 4 Oktober 2012 lepas.
Tidak diketahui kenapa perlu menunggu 22 hari sebelum melakukan proses tersebut, apakah perlu ditunggu empangan dan sungai kering dahulu baru mahu bergegas untuk mencari jalan alternatif lain menyelesaikannya?
Walau apapun, perkembangan terbaru ini tentulah menambah lagi sesak di kepala rakyat Selangor.
Belum pun selesai isu air terawat yang semakin kritikal di loji rawatan sedia ada, terpaksa pula menunggu lebih tiga minggu untuk melihat kerajaan negeri bertindak mengatasi masalah penyusutan paras air mentah di empangan.
Susah betul hidup berketuakan orang politik yang hanya pandai bercakap dan tahu mencipta seribu satu alasan tapi begitu lemah sekali dalam menyegerakan tindakan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.
Labels:
Air Selangor,
Khalid Ibrahim,
MB Selangor,
PKR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment