Wednesday, July 3, 2013
Khairy: Rakan Muda Masih Aktif
Program Rakan Muda masih lagi aktif dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mendapat penyertaan ramai belia negara ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin berkata program yang dilaksanakan sejak tahun 1994 itu masih menjadi antara agenda penting bagi memenuhi aktiviti gaya hidup belia di seluruh negara.
"Tahun lalu melalui program ini seramai 10,543 belia menyertai aktiviti 'Gaya Hidup Rakan Muda' manakala aktiviti 'Jiran Muda' pula mendapat perhatian lebih 1,000 belia.
"Aktiviti 'Rakan Muda Sukarelawan' yang disertai 54,544 belia dan 97 pemimpin belia pula dianugerahkan 'Anugerah Rakan Muda Perdana' melalui program ini," katanya menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) mengenai status program Rakan Muda.
Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata program Rakan Muda akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan semua belia termasuk kaum minoriti Sabah dan Sarawak dapat menyertainya.
Menjawab soalan Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) mengenai program-program belia yang dianjurkan kementerian, Khairy berkata antara program yang dilaksanakan ialah Program 3K Bestari yang berkonsep perkongsian pintar melibatkan pelbagai pihak yang berkaitan dengan pembangunan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment