Sunday, April 5, 2020

'Ghanimah' - Tuduhan Mujahid Kerajaan Guna Harta PH Tak Berasas!





Pas tidak bersetuju Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang mendakwa kononnya kerajaan Perikatan Nasional menggunakan ‘harta milik’ bekas kerajaan Pakatan Harapan.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman berkata, tuduhan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selama 22 bulan itu tidak berasas sama sekali.



Syahir Sulaiman yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas menyatakan, perkataan ‘Ghanimah’ yang digunakan Naib Presiden Amanah itu membawa maksud, harta rampasan perang apabila tentera Islam mengalahkan tentera musuh (Al-Anfal: 41).

“Adakah Mujahid bermaksud, jawatan kerajaan adalah harta ‘milik musuh’ dan Pakatan Harapan adalah ‘tentera musuh’ yang kalah?

“Saya tidak bersetuju jika itu yang dimaksudkan oleh Mujahid,” katanya menerusi ciapan Twitternya.

Beliau menjawab ciapan Twitter Mujahid yang memuatnaik status, “Tahniah setelah penat ‘menebuk atap’ dapatlah habuan jadi Duta Khas taraf Menteri. PM ke 8 tak habis-habis lagi bagi ghanimah pada saat negara dilanda krisis terburuk Covid-19”.

“Timur Tengah bukan keutamaan dasar luar negara pun. Cukup yang sedia ada untuk tampung dasar kita di Timur Tengah,” sambung beliau lagi.

Status itu dipercayai merujuk kepada pelantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri berkuatkuasa 2 April lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dan pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Abdul Hadi pernah tersenarai sebagai antara 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada tahun 2016.

https://www.youtube.com/c/BroJinggo ]

No comments: