Showing posts with label Bukit Kepong. Show all posts
Showing posts with label Bukit Kepong. Show all posts

Monday, October 24, 2011

[video] Pentas PATRIOT: Khairy - Pengganas Komunis Bukannya Wira


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengadakan program jelajah itu bagi memberi kesedaran kepada golongan muda mengenai sejarah sebenar perjuangan mempertahankan kemerdekaan negara.

"Pengganas komunis bukannya wira dan mereka tidak boleh diagungkan kerana telah membunuh banyak nyawa orang Melayu, Cina dan India," katanya selepas menjayakan program itu di Dataran Majlis Perbandaran Muar (MPM), Bukit Kepong kemarin.

Khairy berkata, program Pentas Patriot akan diperluaskan ke setiap negeri dan Sungai Siput, Perak akan menjadi destinasi kedua siri jelajah itu.

Saturday, October 22, 2011

Sekitar Pentas PATRIOT Di Bukit Kepong





Gelombang PATRIOT di Bukit kepong....


Pantomin Bukit Kepong di pentas PATRIOT




Tn Shafiee, Presiden Persatuan Bekas Polis berkongsi pengalaman tragedi Bukit Kepong di pentas PATRIOT. Beliau menceritakan bagaimana mayat dilapah oleh komunis dan Sg Perak menjadi tempat mayat di buang.

Katanya lagi, Mat Sabu puji Mat Indera, kerana selamatkan seorang, tapi Mat Indera telah bunuh begitu ramai polis dan orang awam. apa matlamat Mat Sabu memperlekeh polis?

Dato Temenggong Kanang Anak Langkau mengambil tempat di Pentas PATRIOT. Beliau berkata kami anggota keselamatan, memang pantang menyerah kalah.

Katanya lagi Mat Sabu sepatutnya sudah lama di buang negara, diatas penghinaannya terhadap perjuang sebenar Bukit Kepong.

Beliau turut mencabar Mat Sabu pegang senjata, dan beliau sanggup ikut Mat Sabu bertempur di medan perang yang sebenarnya.. Katanya lagi Mat sabu hanya pandai berperang mulut sahaja tapi tidak pernah merasai bagaimana peluru menembusi tubuhnya seperti yang beliau lalui....


Kita tidak boleh benarkan penghinaan dan cubaan untuk menukar sejarah ini berlaku kerana pejuang kemerdekaan sebenar, bukan komunis tapi adalah orang seperti Dato Kanang dan Polis. Kata Khairy.

Pemuda tidak akan benarkan mana-mana pihak untuk memutar belit sejarah demi kepentingan mana-mana pihak.

Katanya lagi jika kita mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang ini bermakna kita mengiktiraf Ching Peng juga sebagai perjuang negara kerana Ching Peng adalah ketua komunis.

Jangan terkejut satu hari nanti jika PAS memberi penghargaan kepada komunis sebagai tanda terima kasih kerana berjuang untuk kemerdekaan. Jika sebelum ini PAS telah mengangkat komunis sebagai perjuang kemerdekaan, perkara ini tidak mustahil akan berlaku.Katanya.


Khairy, menyampaikan sumbangan kepada veteran-vateran UMNO yang turut berjuang untuk kemerdekaan.



Wednesday, September 14, 2011

500 Penduduk Bukit Kepong Marah Mat Sabu #marxsabu


Lebih 500 penduduk berhimpun di Bukit Kepong bagi membantah kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mempertikai perjuangan pasukan keselamatan negara dalam peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Para penduduk yang lengkap dengan sepanduk serta kain rentang yang mengecam tindakan Mohamad atau Mat Sabu itu berkumpul di hadapan tapak sejarah Balai Polis Bukit Kepong sebelum berarak ke pekarangan gerai Majlis Perbandaran Muar (MPM) Bukit Kepong.

Mereka kemudiannya menjayakan Majlis Semarak Merdeka Parlimen Pagoh yang dianjurkan bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pagoh, Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Johor, Biro Penerangan UMNO Bahagian Pagoh dan penduduk kampung mukim Bukit Kepong.

Terdahulu, laporan polis bagi mengecam kenyataan Mat Sabu itu dibuat oleh waris keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong, wakil penduduk Bukit Kepong dan wakil Persatuan Bekas Tentera Cawangan Muar di Balai Polis Lenga.

Hadir sama mengiringi mereka membuat laporan polis itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Mohd. Salleh, Senator Noriah Mahat dan Senator Mohamed Ezam Mohd. Nor.

Menurut Tahir yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, tiada siapa boleh menafikan fakta sejarah mengenai perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang menentang pengganas komunis bagi memelihara keamanan negara.

Katanya, sejarah kemerdekaan negara yang dipelopori oleh UMNO juga tidak boleh dipertikai kerana parti itu telah membawa negara mencapai kestabilan, keamanan serta kemajuan.

“Hari ini perjuangan bangsa cuba dinafikan pembangkang untuk meraih sokongan sehingga tergamak memadam sejarah perjuangan negara semata-mata untuk mendapatkan undi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Kata Tahir lagi, kenyataan yang dibuat oleh Mat Sabu itu sememangnya menampakkan pemimpin Pas tersebut sebagai dungu sejarah dan semua pihak perlu bangkit untuk menyatakan bantahan supaya sejarah negara tidak cuba dipadamkan sewenang-wenangnya.

Dalam Majlis Semarak Merdeka yang diadakan hari ini, pelbagai pengisian dilakukan termasuk pantomin peristiwa Bukit Kepong, pameran peristiwa Bukit Kepong dan ceramah umum oleh Mohamed Ezam.

Program tersebut diadakan dengan matlamat menyemarakkan semangat patriotik dan mengenang perjuangan anggota pasukan keselamatan bagi mempertahankan kemerdekaan negara sehingga ramai yang terkorban.

Thursday, September 8, 2011

Siapa Mat Indera... Pejuang Atau Pengganas?

Mat Indera rancang serangan ke atas Bukit Kepong

SIAPA sebenar Ahmad Indera atau Mat Indera? Persoalan ini mencetuskan polemik selepas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa Mat Indera yang mengetuai serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, 61 tahun lalu, sebagai pejuang kemerdekaan.

Malah, isu itu terus menimbulkan kontroversi apabila sebuah buku yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor didakwa menyenaraikan Mat Indera antara 22 tokoh pejuang di Johor. Ikuti penjelasan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai status Mat Indera.

Pembabitan dalam kegiatan pengganas tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan negara.

MAT Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera ialah anak Johor yang terbabit dalam gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan.

Beliau pada awalnya, seperti individu lain juga yang berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Bezanya, Mat Indera membabitkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.

Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.

Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM diharamkan.

Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Perjuangan melalui parti dan gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan membabitkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini.
Bagaimanapun, Mat Indera memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.

Tindakannya terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Kemuncak pembabitan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu ialah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950. Fakta yang diperoleh daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas itu terhadap pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.

Sebagai seorang daripada pemimpin Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.

Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air. Sedangkan, ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara.

Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk daripada Malayan Union British sebelum itu.

Komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan People’s Democratic Republic of Malaya yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.

Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.

Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.

Akhirnya Mat Indera berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan pengganas yang diharamkan sehingga ke hari ini.

Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.

Dia bukan seorang ‘pejuang’ untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.

Sehingga hari ini, ketika rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian peletakan senjata parti itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak seperti Mat Indera, adalah data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Penulisan dan catatan berkenaan menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan datang. -BH

Monday, September 5, 2011

Pemuda Anjurkan Jelajah Pentas Patriot Kenang Jasa Wirawan Negara

Pergerakan Pemuda UMNO akan melancarkan program Pentas Patriot bagi menghargai dan mengenang jasa wira-wira petugas keselamatan yang telah berhempas-pulas mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, program tersebut adalah lanjutan daripada kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu yang telah mengguris perasaan rakyat Malaysia terutama bekas perajurit, anggota polis dan waris mangsa tragedi Bukit Kepong.

"Sudah tiba masanya, suatu program ceramah umum berbentuk jelajah diadakan bagi menghargai dan mengenang kembali sumbangan wira-wira petugas keselamatan yang telah berhempas-pulas menggadai nyawa menentang pengganas komunis," katanya di laman facebook rasminya http://www.facebook.com/khairykj

Tapak Balai Polis Selepas Serangan

Jelasnya, Pentas Patriot akan diadakan di seluruh negara dengan pengisian yang mencakupi tayangan video dan multimedia, ceramah umum daripada Unit Pidato Pemuda UMNO serta bekas-bekas komando, askar, pasukan polis dan pakar-pakar sejarah.

"Program ini diharap bukan sahaja dapat mengimbau kembali sejarah perjuangan wira-wira negara bahkan meniup semangat patriotik di kalangan rakyat, terutama anak-anak muda.

"Melalui program ini juga, anak-anak muda akan didedahkan dengan peristiwa bersejarah yang menyoroti perjuangan wira-wira negara bagi mendapatkan kemerdekaan," katanya.

Jelas Khairy, Pentas Patriot akan menjadi medium bagi mendedahkan penipuan yang cuba diabadikan oleh Mohammad Sabu melalui teorinya yang secara jelas tidak mahu menerima hakikat bahawa kebebasan dan kemerdekaan negara dicapai tanpa sebarang pertumpahan darah.

"Pemuda UMNO menganggap kenyataan Mohammad Sabu itu bukan sahaja menghina dan mengkhianati perjuangan anak bangsa malah mengagungkan pengganas komunis semasa tragedi Bukit Kepong dan menampakkan belang sebenar Pas yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik mereka.



"Malah sikap Muhammad Sabu serta kepimpinan pembangkang yang langsung tidak menampakkan kekesalan dengan menuding jari kepada UMNO amatlah memualkan," ujar beliau.

Tambahnya, Pentas Patriot yang akan bermula dalam masa terdekat adalah langkah terbaik bagi menangani isu berkenaan.

"Kami menyeru rakyat untuk hadir beramai-ramai bagi menyertai program ceramah umum berkenaan," katanya.