Showing posts with label Sukarelawan BN. Show all posts
Showing posts with label Sukarelawan BN. Show all posts

Tuesday, May 8, 2012

PRU13: Khairy Lancar Kempen Sukarelawan BN Guna Media Sosial #BNYouthVolunteers


Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin melancarkan kempen mempelawa mereka yang berminat - sama ada ahli parti itu ataupun sebaliknya agar menyertai barisan sukarelawannya - dipercayai kali pertama dibuat secara formal bagi membantu kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dipercayai langkah itu selari dengan kelonggaran yang diberikan ekoran pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bulan lalu - yang membolehkan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara menjadi ahli parti politik dan aktif berpolitik.

Khairy yang membuat pelawaan menerusi akaun Twitter sejak lewat petang semalam berkata, sukarelawan-sukarelawan terpilih akan diberi tugas berkempen mengikut pengalaman, minat dan keperluan.

"Yang dipilih akan diberi maklumat terperinci," katanya lagi.

"Kalau minat menjadi anggota #BNYouthVolunteers untuk PRU13, sila e-mel ke (alamat) bnyv2012@gmail.com," kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau lewat petang semalam.

Berdasarkan perkembangan pagi tadi, Khairy menerusi salah satu mesejnya berkata, beliau telah menerima lebih 200 e-mel dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Memaklumkan perkembangan setakat awal petang ini, kata beliau, respons amat menggalakkan dan oleh itu, butiran mendalam akan diumumkan menerusi Facebook lewat hari ini.

Dalam siri mesej menerusi akaun Twitternya, Khairy juga berkata, sukarelawan yang berminat akan dimobilisasikan untuk bertugas di seluruh negara semasa PRU13.

"(Mereka yang berusia 18-40 tahun. Lelaki dan perempuan. Tak semestinya ahli parti BN," kata beliau.

Langkah Khairy ini juga menarik perhatian banyak pihak di sebalik spekulasi bahawa PRU13 akan diadakan dalam waktu terdekat - kemungkinan bulan depan.