Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts

Wednesday, February 20, 2013

Isu Xenophon: Wanita BN Tuntut Penjelasan Wan Azizah


Wanita Barisan Nasional menuntut penjelasan dari Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah sama ada benar penasihat PKR merupakan individu yang bertanggungjawab menjemput Senator bebas dari Australia Nick Xenophon datang ke Malaysia.

Menurut Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kehadiran Xenophon juga dilihat membawa agenda dan unsur negatif kepada negara yang mana boleh menggugat kestabilan dan keharmonian rakyat Malaysia yang selama ini hidup di bawah naungan kerajaan yang berdaulat dan berpelembagaan.

"Wanita BN juga menyokong tindakan Jabatan Imigresen Malaysia yang tidak membenarkan kemasukan Nick Xenophon ke Malaysia baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh media massa serta menggesa tindakan tegas seperti ini diteruskan untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara tidak tergugat,"katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula mengatakan Xenophon ialah seorang yang berat sebelah, tidak profesional dan hanya memihak kepada sebuah parti sahaja, justeru itu tidak layak menjadi pemerhati pilihanraya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR pernah mengadakan perbincangan dengan Xenophon atas jemputan Anwar, tetapi perkara yang ditimbulkannya sama seperti isu yang dibangkitkan parti pembangkang.

"Jadi pemerhati patut bebas, tidak berat sebelah, yang tidak betul tegur walaupun siapa buat salah...Bila bias (dia) tidak dapat hendak jadi pemerhati yang adil dan saksama. Dia mewakili parti politik tertentu, (untuk) jadi pemerhati tidak bolehlah begitu," katanya.

Abdul Aziz berkata sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak perlu mengikut telunjuk (individu dari) negara lain untuk melakukan sesuatu.

"Saya percaya negara dia pun (Australia) tidak suka kalau Malaysia beritahu perdana menterinya supaya melantik Malaysia jadi pemerhati atas sebab (kononnya) banyak perkara tidak betul berlaku, itu maknanya kita sudah campur tangan dalam kedaulatan negara lain," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata isu-isu yang cuba dibangkitkan Xenophon adalah isu yang sama yang disuarakan oleh parti pembangkang.

"Untuk makluman, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar pernah mengadakan perjumpaan dengan dia. Pertanyaan serta keraguannya boleh dikatakan tidak berbeza langsung dengan perkara-perkara yang selalu ditimbulkan parti politik (pembangkang), seratus peratus serupa.

"Walaupun sama, kami tetap beri penjelasan kepada mereka," katanya.

Menurutnya antara isu yang dibangkitkan ialah persempadanan kawasan pilihan raya dan daftar pemilih.

"Saya sendiri pernah terangkan isu itu kepada Duta Australia ke Malaysia...beliau faham dan mengatakan beliau tidak bermaksud untuk campur tangan dalam sistem kita, tetapi cuma untuk pemahaman beliau sahaja," katanya.

Saturday, December 3, 2011

Wanita Mahu Buka Ruang Seluasnya Mahasiswa Sertai Umno #PAUMNO


Ahli Umno setiap peringkat diminta membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa menyertai Umno bagi memberi mereka pendedahan awal untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan, kata perwakilan Wanita Umno, Datuk Hasnah Salam.

Beliau berkata mahasiswa sepatutnya tidak dilihat sebagai ancaman kepada Umno, sebaliknya mereka perlu dilihat sebagai pemberi kekuatan dalam bentuk idea dan tenaga bagi memajukan Umno.

"Mari kita bersama Presiden Umno galakkan penyertaan mahasiswa. Saya menyeru dan merayu kepada seluruh ahli Umno pelbagai jawatan dan peringkat buka pintu seluas-luasnya kepada mereka terutamanya di peringkat cawangan dan bahagian.

"Fahamilah jiwa mereka, jiwa Umno sudah tentu mereka akan menjiwai kemudian. Inilah yang dikatakan peremajaan Umno," katanya ketika menyokong usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpuan Agung Umno 2011 hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno pada 24 NovEMBER lepas mengumumkan kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan mahasiswa mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Hasnah yang juga Exco Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Alor Gajah turut mencadangkan agar setiap sekolah menengah di negara ini mempunyai sekolah agama sendiri.

"Mendidik anak daripada darjah satu hingga enam tiada masalah, kalau mak kata hitam, hitam anak ikut, kalau mak kata putih, putih anak ikut. Tetapi bila tingkatan satu sampai lima inilah masanya mereka akan cari rakan sebaya mereka.

"Sekolah rendah tidak jadi masalah kerana mereka sudah ada sekolah agama. Sekolah menengah ini penting ada sekolah agama pada waktu petang kerana peringkat umur ini mereka mudah terdedah kepada gejala negatif," katanya.

Beliau berkata sekolah agama ini dapat mengukuhkan lagi proses melahirkan insan yang mempunyai kekuatan mental dan akhlak terpuji seterusnya dapat menghindari anak-anak daripada terlibat dengan gejala sosial.

Katanya sistem pendidikan yang berkesan penting dalam menghasilkan masyarakat yang berilmu seterusnya dapat membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Wakil Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar ketika membahaskan usul itu mencadangkan Kementerian Pelajaran mewujudkan Sekolah Kebangsaan Agama di peringkat sekolah rendah.

Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak itu berkata kewujudan sekolah tersebut akan memberi pilihan kepada ibu bapa yang berkecenderungan menghantar anak-anak ke sekolah agama swasta atau sekolah agama yang tidak berdaftar dengan kementerian.

"Persoalannya ruang kekosongan yang wujud di peringkat rendah menyebabkan kebanyakan ibu bapa mengambil keputusan menghantar anak-anak mereka ke sekolah persendirian yang berteraskan pengajaran Agama Tinggi sebelum memasuki semula ke peringkat menengah sekolah yang dikelolakan oleh kerajaan.

"Dengan tiada sebarang niat untuk menafikan sumbangan Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Agama Negeri begitu juga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, kewujudan Sekolah Kebangsaan Agama di peringkat rendah akan melengkapkan rantaian pendidikan agama secara menyeluruh di bawah kelolaan Kementerian pelajaran," katanya.

-Bernama

Thursday, September 22, 2011

Sekitar Rumah Terbuka Merdeka Raya Tiga Sayap Umno - Ketibaan PM dan TPM













Kehadiran 15,000 ribu orang...

Sekitar Rumah Terbuka Aidilfitri Tiga Sayap UMNO


Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini bermula jam 10.30 pagi hingga 3 petang nanti.

Majlis tersebut akan dihadiri Perdana Menteri, merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, barisan menteri Kabinet dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Dilaporkan sambutan kali ini lebih istimewa kerana 25 waris pejuang peristiwa Bukit Kepong akan hadir untuk menerima penghargaan berupa replika, sijil serta sumbangan wang tunai sebagai menghargai jasa mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Dijangka lebih 10,000 pengunjung akan memeriahkan majlis yang dipenuhi dengan pelbagai acara menarik.