Showing posts with label Zaid Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Zaid Ibrahim. Show all posts

Thursday, January 31, 2013

Zaid Ibrahim Bersara Sepenuhnya Dari Politik


Bekas Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim seperti dilaporkan FMT telah membuat keputusan untuk bersara dari dunia politik dan kembali ke dunia perniagaan.

“Ya, saya berundur dari politik untuk fokus terhadap perniagaan. Tetapi saya akan terus menulis, saya akan terus beri idea dan cadangan tentang politik,” katanya kepada FMT semalam.

Pada November tahun lalu, Zaid memberitahu pemberita bahawa beliau sanggup bertanding di bawah tiket pakatan pembankang di mana-mana kerusi kawasan bandar, namun kini beliau telah berubah pendirian dengan menyatakan tidak berminat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ditanya lanjut apakah kini beliau akan terus menyokong Pakatan Rakyat atau sudah beralih kepada Barisan Nasional (BN), beliau menjawab: “Saya akan menyokong sesiapa yang melakukan perkara betul untuk negaranya”

Zaid yang sebelum ini memiliki firma guaman terbesar di Malaysia telah meninggalkan firma guamannya untuk menjadi menteri pada zaman pemerintahan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun jangka hayat politiknya tidak panjang kerana selepas seketika beliau meletakkan jawatan dalam kabinet dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 tetapi tewas.

Zaid kemudiannya mencetuskan kontroversi di dalam PKR apabila beliau membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden menentang Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dengan alasan ia adalah satu pertandingan yang tidak adil dan penuh dengan manipulasi.

Beliau kemudiannya meletakkan semua jawatan dalam PKR dan mengambil alih kepimpinan Parti Kesejahteraan Rakyat (KITA).

Jangka hayat politikknya dalam KITA ternyata tidak lama apabila berlaku perselisihan faham antara beliau dengan beberapa orang pemimpin negeri.

Beliau akhirnya mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden tetapi kekal sebagai ahli biasa.

Dan hari ini, beliau memutuskan untuk bersara sepenuhnya dari politik.

Tuesday, November 6, 2012

Hadi Awang & Zaid Ibrahim Gila Publisiti Murahan


Kembang dada sekejap penyokong pakatan pembangkang khususnya para balaci PAS apabila Presiden PAS, Hadi Awang tiba-tiba sahaja mengumumkan akan bertanding menentang Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan, Pahang.

Hiruk piruklah para penyokong dan pemimpin pembangkang menyokong rancangan Hadi itu, tanpa diketahui itu hanyalah kisah gempak yang menjadi bahan lawak politik tanahair sahaja.

Satu perkara yang perlu difahami oleh segenap lapisan masyarakat negara ini ialah, rata-rata politikus pro pembangkang sememangnya gemar buat gempak dan gila publisiti murahan.

Ini realiti, sementelah lagi sebahagian besar pemimpin pembangkang kerja mereka hanyalah bercakap dan berceramah siang dan malam, namun bab kerja buat kebajikan untuk rakyat, satu haram pun tak diambil peduli.

Jika betul Hadi serius mahu mencuba nasib di Pekan, tak perlulah menunggu arahan rasmi dari PAS Pusat. Selaku Presiden parti, Hadi berhak untuk menentukan mana tempat yang sudah muktamad untuk ditandinginya.

Nampak sangat temberangnya bermotifkan mencari publisiti murahan tapi akhirnya menjadi bahan lawak politik apabila berselindung pula konon menunggu arahan rasmi parti.

Hakikatnya, Hadi takkan sama sekali menghulur tengkuknya untuk disembelih oleh pengundi di Parlimen Pekan. Kawasan sendiri di Rhu Rendang serta Parlimen Marang pun tak terjaga, apatah lagi nak berkhidmat bagi penduduk Pekan.

Sementara itu, Zaid Ibrahim yang baru melepaskan jawatan sebagai Presiden KITA pun nampaknya mahu tumpang semangkuk memeriahkan pesta lawak politik tanahair apabila kisah Hadi mahu bertanding di Parlimen Pekan diperkatakan ramai.

Zaid pun teringin namanya disebut sebagai pak lawak politik. Bekas calon PKR di Hulu Selangor ini sejak dulu lagi agak gemar mencipta kontroversi sambil mencari publisiti murahan.

Beberapa tahun dulu, dialah yang atas kapasiti peribadinya menyaman hudud PAS. Tapi ditarik balik selepas Zaid menyertai PKR dan dosanya dengan PAS terus 'diampunkan', namun hingga kini beliau masih berpendapat hudud PAS bertentangan dengan perlembagaan.

Peliknya hingga kini juga, pemimpin PAS masih menyalahkan UMNO dalam isu saman itu. Ajaib betul perangai pemimpin pakatan pembangkang, mereka boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, kemudian akhir kalamnya UMNO juga yang dijadikan kambing hitam. Fobia betul mereka dengan UMNO.

Apapun, sama ada Hadi mahupun Zaid, kedua-duanya dialu-alukan untuk mengotakan hasrat mereka bertanding di Parlimen Pekan. Mereka ada hak, malah Dato' Seri Najib sendiri tidak menghalang sekiranya benar mereka berminat untuk mencuba nasib.

Tapi, soalnya sekarang berapa ramai yang percaya Hadi dan Zaid akan mengambil risiko untuk dimalukan oleh rakyat Pahang khususnya pengundi di Pekan?