
YB Khairy Jamaluddin hari ini membantah saranan Tony Pua untuk memansuhkan diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah. YB Khairy menganggap ini satu lagi usaha menolak tepi kepentingan masyarakat Bumiputera.
Antara lain khairy mengatakan telah memberi statistik pemilikan hartanah bumiputra amat rendah kepada kaum lain.

Menurut Khairy didalam blog beliau 
www.rembau.net.my ... Kita sudah mendengar pelbagai reaksi dan ulasan terhadap cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua, kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memansuhkan diskaun Bumiputera dalam pembelian rumah berharga RM500 ribu ke atas dan hartanah komersial berharga lebih RM2 juta di negeri tersebut.
Ramai pihak, termasuk PAS Selangor, 
membantah cadangan tersebut.  YAB Perdana Menteri sendiri telah 
mengingatkan  YB Tony Pua dan parti DAP supaya jangan "terlalu menekan orang Melayu  dan Bumiputera" dengan cadangan-cadangan yang tidak sensitif dan separuh  masak.  Cadangan terbaru dari DAP rata-rata dilihat sebagai satu lagi  usaha untuk menolak tepi kepentingan masyarakat Bumiputera.  Saya  percaya tanggapan itu juga telah mendorong PAS Selangor untuk membantah  cadangan tersebut dan menyebabkan Ketua Umum PKR, YB Dato' Seri Anwar  Ibrahim, terus membisu dalam hal ini.
Di sini perlu saya  tegaskan, saya sudah berkali-kali menyuarakan keperluan untuk orang  Melayu berani keluar dari kepompong zon selesa dan tidak hanya berharap  pada tongkat.  Saya mahu melihat masyarakat Bumiputera bersaing secara  terbuka berdasarkan merit dan kekuatan sendiri.  Hujah-hujah saya dari  awal konsisten, yakni Kerajaan perlu membantu golongan Bumiputera yang  benar-benar layak menerima bantuan sama ada dari segi keperluan atau  merit.
Mungkin di sini ada yang tertanya, kalau begitu prinsip  dan pegangan saya, kenapa pula saya tidak menyokong saranan Pua?  Apa  yang dicadangkan oleh Pua itu cuma pemansuhan diskaun untuk rumah-rumah  yang boleh dikatakan rumah kos tinggi dan juga premis komersial yang  agak mahal. Bukankah sudah tentunya mereka yang mampu membeli hartanah  seperti ini merupakan individu dan syarikat yang sudah berjaya, maka  mereka tidak lagi memerlukan diskaun tersebut?
Sekiranya dilihat  dari kanta teori ekonomi semata-mata, mungkin ada yang akan bersetuju  dengan rasional cadangan Pua. Kenapa perlu kita kekalkan diskaun kepada  mereka yang mampu membayar jumlah yang besar untuk rumah kos tinggi?   Tetapi hakikatnya, sekiranya kita melihat kepada pegangan hartanah  Bumiputera di setiap peringkat, angkanya jauh ketinggalan berbanding  kaum lain.
Statistik pada tahun 2007 menunjukkan peratus  pemilikan bangunan oleh Bumiputera cuma 15.7 peratus. Bagi hartanah  komersial pula, Bumiputera hanya memiliki sekitar 29.2 peratus untuk  kompleks perniagaan dan serendah 3.5 peratus untuk premis perindustrian.  Statistik ini menggambarkan suatu ketidakseimbangan yang terlalu  ketara.
Sekiranya kita mengambil kira premis-premis komersial di  kawasan bandar dengan harga RM 2 juta ke atas, saya percaya peratus  pegangan Bumiputera begitu rendah. Antara faktor penentu kos sesuatu  premis adalah lokasi, dan bukan semata-mata saiz atau keluasan.  Sekiranya cadangan Pua dilaksanakan, maka amat sukar bagi  usahawan-usahawan Bumiputera untuk berniaga di lokasi yang strategik  lantas hanya terhad kepada pinggiran bandar semata-mata.
Satu  lagi hujah Pua adalah hartanah yang dibeli dengan harga diskaun ini  dijual semula oleh broker atau orang tengah dengan harga yang lebih  mahal. Beliau menegaskan bahawa salah guna dasar seperti penjualan  semula oleh broker menjadi salah satu sebab skim diskaun ini perlu  dimansuhkan. Saya tidak langsung boleh menerima alasan ini kerana jika  pelaksanaan menjadi masalah, maka wajarlah kita menangani kelemahan  tersebut dan bukannya memansuhkan terus dasar diskaun Bumiputera ini.
Antara  langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pelaksanaan adalah  memastikan bahawa status dan klasifikasi lot Bumiputera tidak diubah  bagi mengelak sebarang pihak yang membeli hartanah tersebut dengan harga  diskaun dan menjualnya dengan keuntungan harga pasaran secara terbuka.  Perlu diingat bahawa diskaun tersebut berkait rapat dengan galakan  pemilikan dan bukan suatu tiket kepada keuntungan. Satu lagi masalah  berkait adalah di mana pemilik Bumiputera menjual kepada seorang pembeli  Bumiputera lain dengan harga pasaran yang lebih tinggi. Isu ini boleh  ditangani dengan mewajibkan satu tempoh khusus atau “moratorium” sebelum  seseorang pemilik yang membeli rumah dengan harga diskaun Bumiputera  dibenarkan menjual semula rumah tersebut, walaupun kepada Bumiputera  lain. Ini akan mampu mengelakkan masalah di mana dasar diskaun ini  disalahgunakan untuk keuntungan cepat, dan bukannya digunakan oleh  mereka yang benar-benar berniat tinggal di sesuatu kediaman.
Ada  juga dakwaan yang kita dengar mengenai pemaju perumahan yang tidak  bertanggungjawab sengaja menipu dengan mengisytiharkan kuota untuk  Bumiputera tidak boleh dijual dan seterusnya memohon kepada pihak  berkuasa agar hartanah tersebut dijual kepada bukan Bumiputera atas  harga tanpa diskaun. Semua ini merupakan isu-isu berkait dengan dasar  tersebut yang tidak disentuh dan dikaji oleh Pua sewaktu memberi  hujah-hujah cetek dan separuh masak beliau.
Maka saya menolak  cadangan DAP berhubung pemansuhan diskaun atassebab-sebab di atas. Jika  pemansuhan tersebut dilaksanakan, maka segala usaha dan galakan  memperbetul ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah di Selangor  pastinya akan gagal lantas terus melebarkan jurang ekonomi antara kaum.
Saya  percaya pendirian saya ini akan mengundang kritikan - khususnya akan  ada komen kononnya cadangan DAP ini tidak akan memberi kesan kepada  Bumiputera berpendapatan rendah.  Namun, saya berpandangan bahawa komen  sebegini kurang tepat dan simplistik sepertimana hujah YB Tony Pua.   Usahawan Bumiputera yang cuba membeli premis komersial berharga RM2 juta  tidak boleh diklasifikasikan sebagai 'kaya', sepertimana juga mereka  yang mahu membeli rumah berharga RM600,000. Barangkali dasar diskaun  Bumiputera ini boleh disemak untuk kategori yang lebih tinggi, contohnya  di atas nilai RM2 juta bagi pembelian rumah banglo. Malah YAB Perdana  Menteri sendiri 
menyebut  bahawa dasar ini tidak boleh diteruskan selama-lamanya. Dalam erti kata  lain, dasar ini boleh diubah dan dikemaskini dalam jangka masa panjang,  tetapi bukan sebelum pemilikan hartanah diseimbangkan lagi.
Saya  juga amat kesal dengan saranan Pua kerana beliau langsung tidak  mencadangkan sebarang dasar lain untuk memperbetul ketidakseimbangan  ini, jikapun tidak bersetuju dengan diskaun 7 peratus tersebut. Ini  jelas mendedahkan bahawa DAP tidak ikhlas malah tiada niat untuk  membantu agenda Melayu, walaupun mereka tidak henti-henti cuba menjaja  persepsi kononnya DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa  mengira kaum.
Saya berharap kelak, sebelum mereka mengeluarkan  sebarang cadangan seperti ini, mereka akan dapat memberi alternatif  bagaimana masalah asas iaitu ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah  dapat ditangani. Sekiranya tidak, maka ternyatalah DAP gagal membawa  aspirasi seluruh majoriti Malaysia.
Sumber: 
www.rembau.net.my