
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melakukan kesilapan   besar jika menyangka penubuhan pasukan keselamatan sendiri mampu   menangani isu jenayah serta mengurangkan kadar jenayah di negeri   berkenaan. 
Ini kerana cadangan itu boleh menyebabkan keadaan keselamatan menjadi   kelam-kabut apabila ada dua pihak mempunyai kuasa melaksanakan   undang-undang mencegah jenayah dalam satu masa.
 Beberapa bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  mengatakan,   tidak perlu bagi kerajaan Selangor menubuhkan pasukan polis tambahan   sendiri memandangkan tiada keperluan untuk berbuat demikian, malah bakal   menimbulkan masalah pada masa depan.
 Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan  berkata,  tanggungjawab mengawal keselamatan dan mencegah jenayah  terletak di  bawah bidang kuasa PDRM seperti termaktub dalam  undang-undang mengikut  Perlembagaan Persekutuan.
 Beliau berkata, selain PDRM, beberapa syarikat kawalan keselamatan   swasta turut diberi kuasa untuk mengawal keselamatan tetapi bidang kuasa   mereka terhad dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
 “Selain PDRM dan syarikat kawalan keselamatan swasta, tiada pihak lain diberi kuasa melaksanakan undang-undang mencegah jenayah.
 “Sekiranya kerajaan Selangor mahu menubuhkan pasukan polis tambahan   sendiri, ia dikhuatiri boleh menyebabkan keadaan keselamatan bertambah   kelam-kabut apabila ada dua pihak melaksanakan tugas dan tanggungjawab   secara bertindan,” katanya di sini hari ini.
 Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri Selangor memohon untuk   menubuhkan pasukan keselamatan sendiri bagi menangani isu jenayah serta   mengurangkan kadar jenayah di negeri itu.
 Beberapa akhbar dan portal berita sebelum ini melaporkan hasrat   Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memohon untuk menubuhkan   pasukan polis tambahan sendiri kerana mengikut dakwaannya kadar jenayah   di negeri itu semakin meningkat.
 Khalid dalam kenyataan medianya kelmarin mendakwa telah menghantar   surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein   memohon supaya penubuhan pasukan polis tambahan itu dipertimbangkan.
 Mengulas lanjut, Musa berkata, penubuhan pasukan keselamatan sendiri   bukanlah jalan penyelesaian untuk menangani isu jenayah sebaliknya   kerajaan negeri perlu ikhlas bekerjasama dan memberi sokongan kepada   polis untuk membendung masalah tersebut.
 Sementara itu, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akhbar Khan  turut mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor kerana ketika ini rakyat   di negeri itu menikmati kehidupan aman apabila bebas keluar rumah pada   setiap hari.
 “Apakah agenda kerajaan Selangor mahu menubuhkan pasukan keselamatan   sendiri?. Adakah keadaan keselamatan di negeri itu betul-betul   bergolak?.
 “Saya sendiri menetap di Shah Alam, Selangor. Setiap hari, saya bebas   keluar rumah dan tidak melihat kegiatan jenayah berlaku dengan   berleluasa,” ujarnya.
 Menurut Dell Akhbar, sebagai bekas pegawai kanan polis, beliau tahu   bagaimana komited pasukan keselamatan itu menjaga keselamatan orang awam   sehingga negara berjaya mengekalkan keamanan sehingga kini.
 Justeru, tegasnya, rakyat harus yakin terhadap keupayaan PDRM, apatah   lagi PDRM melalui kerajaan Pusat sentiasa menambah baik  langkah-langkah  pencegahan jenayah termasuk mengikut cara kerja  inisiatif Bidang  Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan penambahan  keanggotaan.
 Sementara itu, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamaruddin Mat Desa mendakwa,   kerajaan Selangor sengaja mengemukakan permohonan mahu menubuhkan   pasukan polis tambahan sendiri sebagai gimik politik bertujuan menutup   kelemahan sendiri.
 “Ia hanya gimik politik (kerajaan Selangor). Tujuannya hanya mahu   menjatuhkan reputasi PDRM kononnya pasukan keselamatan di bawah kerajaan   Pusat gagal melaksanakan tanggungjawab mencegah jenayah dan menjaga   keselamatan rakyat.
 “Selama ini, PDRM cukup cemerlang dalam melaksanakan tugas menjaga   keselamatan negara termasuk negeri Selangor. Ini terbukti apabila ramai   orang berhijrah untuk tinggal di negeri ini, manakala rumah dan peluang   pekerjaan bertambah,” ujarnya.
 Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Terengganu turut   mempersoalkan apa kelebihan negeri Selangor berbanding negeri-negeri   lain sehingga perlu mempunyai pasukan keselamatan sendiri.
 Tambahnya, jika Selangor diberi keistimewaan tersebut, tidak hairan   langkah itu menjadi ikutan negeri-negeri lain dan dikhuatiri akan   menimbulkan suasana kelam-kabut apabila setiap negeri mempunyai pasukan   polis sendiri.
 Khalid Ibrahim Patut Rasa Malu
 Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid  Ibrahim sepatutnya  berasa malu kepada semua pihak khususnya polis  Selangor apabila memohon  untuk menubuhkan pasukan keselamatan sendiri  bagi menangani isu  jenayah di negeri itu.
 
Menteri  Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,  ini kerana,  beliau (Abdul Khalid) sendiri sedar bahawa perkara yang  dibangkitkan  itu tidak akan berjaya atau diluluskan oleh kerajaan.
 Beliau berkata, impian kerajaan Selangor untuk mempunyai pasukan   keselamatan sendiri tidak mungkin tercapai kerana mengikut Jadual   Kesembilan, Senarai 1 Perkara 74 dan 77 Perlembagaan Persekutuan, jelas   menyatakan bahawa keselamatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah   terletak di bawah tanggungjawab serta hak Kerajaan Persekutuan.
 “Menteri Besar (Selangor) sepatutnya berasa malu kepada semua pihak   khususnya polis di Selangor apabila membangkitkan perkara yang dia sudah   tahu tidak akan berjaya (diluluskan).
 “Apa yang dibuat sama macam usul pindaan kononnya mahu mengadakan   sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh   Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam   pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin   Munawi baru-baru ini,” katanya. -Politik Harian