Monday, July 19, 2010

IKYS - Rugi atau nak cari untung PINTAS?

Petikan dari : tendangterajang.blogspot.com

IKYS sepatutnya untung dalam tempoh 2 tahun? Mana punya punahsihat ekonomi yang bagi cadangan bingai macam aku? Atau hanya ingin menjual aset Yayasan Selangor bernilai lebih RM20 juta tanpa memikirkan tanggungjawab sosial dan aset masa depan negeri?

Sebagai salah seorang bapa saudara kepada salah seorang pelajar IKYS, aku merasa terkilan dengan keputusan kerajaan Selangor.

Untuk pengetahuan anda semua, Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) telah ditubuhkan pada tahun 2000 dengan menyewa bekas Bangunan Balai Polis Kuala Selangor. Selepas itu IKYS berpindah di kampus sementara di Kuala Selangor (kampus tersebut diambil-alih oleh Kolej Antarabangsa INPENS) sebelum berpindah ke kampus tetap di Bagan Terap, Sg. Besar, Sabak Bernam pada tahun 2009.

Tahukah anda bahawa kelayakan minima untuk memasuki IKYS ialah seperti berikut:

1. Tahu membaca
2. Tahu menulis dan
3. Tahu mengira

Berbanding dengan INPENS yang memerlukan kelayakan minima SPM/SPVM, IKYS menerima anak anda walaupun mereka TIDAK PERNAH BERSEKOLAH sebelum ini.

Anih? Inilah kehebatan IKYS yang ditubuhkan untuk membantu pelajar-pelajar tercicir bukan sahaja untuk anak Selangor tetapi dibuka kepada pelajar-pelajar negeri lain (walaupun rakyat Selangor diberikan keutamaan) tanpa mengira fahaman politik.

Selain daripada menawarkan pinjaman pembelajaran, IKYS juga menawarkan kursus pendawaian elektrik tahap kompeten yang diiktirafkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (sila rujuk laman sesawang STM di sini) bermakna pelajar-pelajar tersebut berpeluang memperolehi Sijil PW2, PW4 dan Sijil Chargeman yang diiktirafkan yang membolehkan mereka meneruskan pengajian ketahap diploma dan ijazah.

Bayangkan seorang yang tidak pernah bersekolah masih berpeluang menjadi seorang Jurutera Elektrik!

Keujudan IKYS juga mampu mengurangkan kadar jenayah remaja. Tanggungjawab tenaga pengajar IKYS terlalu berat. Bayangkan sendiri jenis remaja yang belajar di sana sekiranya mereka diambil dari golongan yang berhenti sekolah, lari sekolah, dibuang sekolah dan sebagainya. Pendidikan moral yang khusus diberikan tekanan supaya apabila mereka tamat belajar akan menjadi rakyat yang berguna.

Bukankah ini satu aset kepada kerajaan negeri khususnya dan negara amnya?

Apakah kita ingin menambah peruntukan membina lebih banyak sekolah pemulihan budak-budak nakal seperti Henry Gurney's Boys School di Melaka? Sedangkan sekolah-sekolah tersebut langsung tidak memberikan keuntungan kewangan malah lebih banyak memerlukan peruntukan kerajaan?

Menyerapkan operasi IKYS ke dalam INPENS juga bermakna mengecilkan peluang pendidikan. Kampus yang dibina sebenarnya untuk menambah peluang pendidikan supaya IKYS akan terus berkembang bukannya terus menguncup.

Apabila kita membicarakan tentang untung-rugi di dalam sesuatu operasi, kita perlu melihat secara menyeluruh operasi tersebut. Walaupun IKYS ditubuhkan sejak tahun 2000 tetapi penempatan pelajar di kampus tetap baru bermula dari tahun 2009 yakni baru berusia 2 tahun. Pelaburan RM20 juta bukan dibuat berdasarkan pulangan modal dan keuntungan dalam tempoh itu tetapi untuk jangka panjang. Ianya juga merupakan tanggungjawab sosial yang digerakan oleh kerajaan sebelum ini untuk membantu rakyat mencapai kemajuan dan menikmati kemakmuran negeri secara rakyat yang bermaruah bukannya sebagai peminta sedekah dengan elaun bulanan atau subsidi.

Ambil contoh KTMB yang beroperasi di Kelantan. Walaupun KTMB mengalami kerugian di sana namun KTMB masih terus beroperasi untuk kemudahaan rakyat.

* Pelajar-pelajar masih boleh berulang-alik ke sekolah kerana mereka merupakan aset masa depan negara.
* Guru-guru masih boleh menjalankan tugas mereka mendidik anak bangsa
* Penduduk-penduduk masih boleh membawa hasil pertanian mereka untuk dipasarkan
* Pekerja-pekerja masih boleh berulang-alik memberikan sumbangan tenaga
* Penceramah-penceramah dan pendengar ceramah juga masih boleh menggunakannya untuk meluaskan minda masyarakat

Sekiranya keuntungan diambilkira, KTMB sepatutnya telah lama menamatkan perkhidmatan di kawasan-kawasan pendalaman.

Apa yang aku nampak di sini bukannya masaalah kerugian yang dihadapi oleh IKYS tetapi kurang pelajar kerana masih belum terkenal. Walaupun kebanyakan pelajar datang dari golongan miskin tetapi mereka bukannya belajar di sana secara percuma tetapi dibantu dengan pinjaman bersyarat. Anak saudara aku sendiri memerlukan lebih RM13,000.00 dalam bentuk pinjaman untuk dua tahun di sana.

Apakah mungkin dengan menyingkirkan pelajar-pelajar tersebut memberi peluang untuk kerajaan negeri meraih keuntungan melalui penjualan aset IKYS yang bernilai lebih daripada RM20 juta tersebut? Sekiranya ini adalah tujuan sebenar kerajaan negeri, maka aku menganggap ianya adalah satu jenayah terancang dan dihalalkan. Prasarana IKYS walaupun terpencil tetapi lebih merupakan seperti satu taman perumahan kos rendah dengan kemudahan seperti berikut:

* Dewan
* Taman Selera
* Surau
* Blog Kedai
* Blog Bengkel/industri kecil
* Rumah berkembar tiga bilik (kos rendah)
* Taman permainan
* Kolam ikan
* Kawasan berpagar dengan Menara Tangki Air sendiri

Bayangkanlah nilainya kalau dijual dipasaran terbuka (atau kepada mereka-mereka yang tertentu sahaja?)

Sepatutnya kerajaan negeri membantu membina lebih banyak lagi cawangan IKYS di seluruh negeri Selangor terutama di kawasan-kawasan terpencil untuk kemudahan rakyat jelata. Sekiranya kerajaan negeri yang ada sekarang berusaha untuk memajukan IKYS maka kredibiliti pentadbiran kerajaan sedia ada akan lebih terserlah dalam membangunkan modal insan di Negeri Selangor.

Oleh itu, aku mengharapkan semua rakyat khususnya di negeri Selangor dan Malaysia amnya menyokong perjuangan pelajar-pelajar IKYS kerana perjuangan tersebut bukan sahaja untuk masa depan meraka tetapi untuk generasi akan datang. Anak saudara aku telah menamatkan latihan praktikalnya dan akan meninggalkan IKYS tidak lama lagi tetapi beliau telah berjanj akan membantu memberikan gambar-gambar prasarana IKYS tidak lama lagi. InsyaAllah, aku akan muatnaik gambar-gambar tersebut apabila aku memperolehinya secepat mungkin.

Kepada bloggers, dapatlah kiranya terus memperjuangkan IKYS di blog-blog anda terutama yang pandai menyediakan grafik untuk diletakkan diblog-blog.

Klik Disini untuk maklumat lebih lanjut

No comments: