Wednesday, November 16, 2011

Perhimpunan Amanat Presiden Parti Kepada Pemuda Dan Puteri UMNO 20 Nov Ini


Buat pertama kalinya, Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan amanat penting kepada Pemuda dan Puteri UMNO sebelum menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO 2011.

Majlis amanat yang bakal berlangsung pada 20 November ini di Dewan Merdeka, PWTC dirasakan amat bertepatan pada waktunya memandangkan persidangan kali ini berkemungkinan merupakan perhimpunan yang terakhir sebelum menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 13.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam sidang medianya di Parlimen hari ini berkata, majlis anjuran bersama Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO ini adalah bertujuan memberi ruang kepada kepimpinan Pemuda dan Puteri peringkat bahagian, berkumpul dan mendengar aspirasi serta harapan Presiden parti sebelum menjelang PRU akan datang.

“Pergerakan Pemuda dan Puteri merasakan, amanat ini amat penting sebagai satu persediaan kepada sayap-sayap yang mewakili generasi muda selain sebagai persediaan menghadapi Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

“Malah ini juga merupakan saluran yang sesuai untuk Presiden parti menyuntik kata-kata semangat kepada Pemuda dan Puteri sebagai bekalan memperjuangkan hala tuju parti dalam memenuhi tanggungjawab membela nasib rakyat serta tanggungjawab menjamin kesejahteraan negara, bangsa dan agama.

“Kita juga berharap agar generasi muda akan berasa yakin bahawa Pemuda dan Puteri adalah jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap memartabatkan perjuangan parti malah sekaligus mengiktiraf Pemuda dan Puteri sebagai pemangkin transformasi kerajaan,” ujarnya.

Majlis Amanat Preseiden UMNO ini dijangka bakal disertai oleh seluruh peringkat kepimpinan Jawatankuasa Tertinggi Pemuda dan Puteri UMNO seluruh bahagian dan ianya turut akan diesrtai oleh Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin. –MediaUMNO

No comments: