
Menulis diruangan kolumnis
 Sinar Harian  Khairy berkata, Debat atau tidak? Itulah persoalannya. Bermula dengan  jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri untuk satu  debat berkaitan dasar ekonomi negara, satu siri cabar-mencabar kini  tercetus berikutan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa janji  “100 hari” pembangkang tidak realistik dan bertanggungjawab. 
Saya tidak akan mengambil masa lama untuk menyentuh cabaran-cabaran  yang remeh dan tidak relevan, sebaliknya lebih suka menerangkan mengapa  saya terlibat dan bagaimana ia bukan umpama kail sejengkal yang ingin  menduga lautan bergelora. Saya telah mencelah dalam isu ini sebaik Anwar  mengutarakan cabaran beliau kepada Perdana Menteri. Tegas saya, Perdana  Menteri tidak sepatutnya membuang masa berdebat dengan Anwar dan saya  seterusnya menawarkan diri untuk berdebat dengan beliau.
 Seperti dijangkakan, reaksi Anwar ialah mengelak daripada menyambut  cabaran saya ini dengan alasan ia debat kewangan mengenai dasar ekonomi.  Beliau kononnya hanya sanggup untuk bertikam lidah dengan Perdana  Menteri yang juga Menteri Kewangan. Pada masa sama, satu lontaran  murahan telah dibalingkan oleh Anwar kepada saya apabila digambarkan  seolah-olah akan jatuh maruah beliau sekiranya berdebat dengan seorang  Ahli Parlimen yang akan bersara – merujuk kepada hasrat saya untuk tidak  bertanding sebagai calon wakil rakyat di pilihan raya umum akan datang.
 Meniru rentak pemimpin agung mereka, penyokong dan orang suruhan  Anwar terkinja-kinja mengambil kesempatan mempertikaikan tawaran debat  saya ini terutamanya di media sosial. Mereka dengan angkuhnya bertanya  “siapa lu, KJ, mahu berdebat dengan pemimpin hebat macam DSAI?” Saya  tidak kisah dengan soalan sebegini. Cuma, apa yang saya harapkan ialah  untuk mereka bersikap lebih jujur dengan diri sendiri, tidak perlu  bersembunyi di sebalik pelbagai alasan. Mengaku sahajalah bahawa di mata  mereka, tiada sorang pun, termasuk Perdana Menteri, yang layak berlawan  dengan Anwar, pemimpin “anugerah tuhan” kepada Malaysia.
 
 Pertamanya, pada pendapat saya, Perdana Menteri telah mengambil  langkah bijak menolak cabaran Anwar. Fokus Perdana Menteri kini  ditumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan program transformasi ekonomi  dan tidak wajar perhatian ini dilencongkan oleh satu debat, terutamanya  apabila besar kemungkinan Anwar akan sengaja lari dari topik disediakan  semata-mata untuk meraih keuntungan politik.
 Perdana Menteri dan Anwar yang juga Ketua Pembangkang, sering  berlawan hujah di Parlimen, terutamanya ketika sesi soal jawab  kementerian di Dewan Rakyat. Oleh itu, tuduhan Perdana Menteri mahu lari  dari debat ini adalah tidak berasas kerana Najib sendiri terlibat  secara aktif dalam perbahasan di Dewan, berhadapan dengan Anwar ataupun  Ahli Parlimen pembangkang yang lain. Saya sendiri selalu menyaksikan  perbahasan mereka di Dewan. Kesimpulan yang saya ambil amat jelas – gaya  dan penghujahan isi Perdana Menteri ternyata sentiasa lebih baik  daripada Anwar.
 Keduanya, pelbagai kesulitan melanda Anwar sejak kebelakangan ini.  Pakatan pembangkang nampak kucar-kacir. Memburukkan lagi keadaan, parti  Anwar sendiri membuktikan mereka bukanlah pejuang demokrasi negara  seperti sering dilaungkan. Kesahihan pemilihan pucuk pemimpin parti  mereka dipertikaikan apabila mengambil kira jumlah ahli hadir membuang  undi yang begitu kecil.
 Berlatar belakang senario begini, sememangnya mudah difahami mengapa  Anwar perlu untuk meletakkan diri kembali dalam radar politik, berkongsi  pentas dengan Perdana Menteri yang sudah pastinya menjanjikan waktu  siaran banyak untuk beliau. Ini merupakan jalan terbaik Anwar untuk  kembali menebus delusi memartabatkan dirinya sebagai “PM-in-waiting”.
 Ketiga, Anwar dan sekutunya dengan secara terang menyatakan, saya  amat rendah tarafnya jika dibandingkan dengan beliau. Saya bukan bekas  Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, jadi siapalah saya untuk  mencabar seseorang yang dulunya amat hampir menjadi Perdana Menteri?  Sekiranya logik sama digunakan, nama Datuk Ahmad Shabery Cheek juga  tidak boleh dilafaz senafas dengan nama Anwar. Sungguhpun amat berbakat  sebagai pemimpin muda dan sekarang Menteri Belia dan Sukan, Shabery  tidak “sehebat” Anwar, yang hampir ditabalkan menjadi Perdana Menteri.
 Namun, Anwar pada waktu itu, merasakan sesuai untuk “merendahkan”  dirinya ke tahap Shabery bagi debat mengenai subsidi yang disiarkan  secara langsung di televisyen. Memang betul, Shabery seorang menteri  penuh – bukan seperti saya – tetapi beliau pada masa itu hanyalah  menteri muda baru dinaikkan pangkat dari Setiausaha Parlimen. Mengapakah  ketika itu, Anwar tiada sebarang masalah dan keraguan mengenai soal  kekananan dan bersedia ‘mencemar duli’ untuk berdebat dengan seorang  Menteri Penerangan, walaupun topiknya juga berkaitan dengan kewangan?  Pada ketika itu, Shabery juga tidak memegang apa-apa jawatan tinggi di  peringkat UMNO. Sekali lagi, perkara itu tidak menjadi masalah kepada  Anwar.
 Apa ingin saya sampaikan di sini ialah – sekiranya Anwar pernah  berdebat dengan seorang yang beliau menganggap tidak setaraf, mengapakah  beliau enggan melakukan perkara sama sekali lagi? Lebih-lebih lagi,  Anwar sering menonjolkan dirinya sebagai seorang yang amat senang  didampingi oleh generasi muda dan kerap juga menekankan keperluan  memberikan peranan lebih besar kepada orang muda dalam hal-hal negara.  Bukankah debat dengan Ketua Pemuda (satu jawatan yang beliau sendiri  pegang dulu) dari parti lawan,, adalah cara baik untuk membuktikan  kata-katanya ini? Sekiranya Anwar pernah bersetuju berdebat dengan  Shabery yang pada waktu itu tidak memegang apa-apa jawatan parti di  peringkat pusat, kenapa beliau kini enggan menjangkau naik berdebat  dengan seseorang yang bertaraf Naib Presiden dan duduk dalam beberapa  jawatankuasa penting dalam UMNO? Walaupun saya tidak boleh secara rasmi  mewakili pihak pentadbiran kerajaan, saya ialah wakil parti UMNO dan  Barisan Nasional, iaitu parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan hari  ini.
 Bukan niat memanjangkan isu cabaran ini. Namun, saya sekali lagi  meminta Anwar untuk menerima pelawaan. Setidak-tidaknya, Anwar yang  menganggap dirinya sebagai “Asian renaissance man” boleh membuktikan  beliau menghargai usaha mengadakan satu diskusi intelektual mengenai  masa depan ekonomi negara. Ramai pemimpin pembangkang yang lain  mengetepikan soal protokol dan kedudukan untuk berdebat bersama saya,  antaranya Tony Pua, Tian Chua dan Khalid Samad. Selain itu, saya anggap  Datuk Husam Musa sebagai contoh terbaik seseorang yang menghayati  semangat perbahasan dengan jemputan debat beliau kepada saya, yang pada  ketika itu, hanyalah Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Husam pada waktu  itu ialah Naib Presiden Pas dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan.  Sudah tentunya Anwar juga boleh menjunjung prinsip asas demokrasi yang  sama.
 Sudah tentu, siapalah saya dibandingkan dengan Anwar. Saya tidak  pernah mencapai, dan rasa tidak akan dapat mencapai – puncak politik  yang menggayatkan seperti pernah beliau saksikan. Malah, debat itu kelak  pastinya mencabar, apa jua boleh berlaku, termasuklah serangan hujah  bertubi-tubi daripada beliau. Namun, biarkanlah ia berlaku, saya sanggup  mengambil risiko ini dan kini saya bertanya sekali lagi kepada Anwar –  macam mana Datuk Seri, ada berani?
 
Sekadar  membalas. Dua wira penyelamat PKR telah menawarkan diri berdebat dengan  saya, yang saya percaya percubaan untuk mengalihkan pandangan ramai  daripada cabaran saya terhadap Anwar. Cabaran pertama datangnya daripada  Ketua Angkatan Muda Keadilan yang pernah “berbahas” dengan saya di satu  forum di UIA tahun lepas. Cabaran kedua daripada seseorang tidak berapa  saya kenali. Saya dimaklumkan, pencabar kedua ini pernah mencuba  bertanding jawatan kepimpinan Pemuda PKR tetapi beliau menarik diri  walaupun pencalonan beliau diumumkan dengan cara hebat sekali. Saya  tidak pasti apakah makna cabaran berganda ini.
 Mungkin keputusan untuk memilih hanya seorang pencabar untuk saya  tidak dapat dibuat kerana pergolakan dalaman parti tersebut. Sekiranya  logik “sama taraf” yang dipakai Anwar digunakan dalam cabaran ini,  sepatutnya Ketua AMK lah yang mencabar saya untuk berdebat. Tindakan  mereka menghantar pencabar lain, pada hemat saya memberikan gambaran  jelas atas tahap keyakinan mereka terhadap rakan sejawat saya.
 Memandangkan mereka tidak boleh memutuskan siapa hendak dihantar,  ingin saya nyatakan bahawa saya tiada masalah untuk bersemuka dengan  salah seorang daripada mereka, atau kedua-duanya sekali pada waktu sama.  Cadangan saya ialah, duduk berbincang putuskan siapa wakil mereka yang  sebenar. Pilihlah yang terbaik antara saudara berdua, saya menanti  jawapannya. -Politik Harian