Tuesday, December 23, 2008

Transformasi Politik Husam

Dicabar kekanan, digertak kekiri. Inilah yang saya lihat tentang YB Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS, apabila, belum pun sempat hilang panasnya bara ketetapan dan jawapan beliau untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia , terus tersungkur dan menyerah kalah pada gesaan DAP.

Semasa majlis Wacana Transformasi Politik Malaysia, saya telah minta pendirian jelas daripada Dato' Husam mengenai perlaksanaan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat sepertimana impian 16 September. Beliau menjawab dengan jelas "kita akan buat." Saya selanjutnya meminta beliau jelaskan sekali lagi jawapannya dan beliau menegaskan sekali lagi bahawa "kita akan buat" sambil mengangkat jari dan tangan menandakan kesungguhan jawapan beliau. Selanjutnya... sila klik disini

Monday, December 22, 2008

Pakatan pembangkang retak menanti belah - Khairy

KOTA BHARU 21 Dis. - Pakatan pembangkang yang menguasai lima negeri pada pilihan raya umum lalu, disifatkan sebagai retak menanti belah ekoran pertentangan dasar parti-parti terbabit semakin jelas dalam pentadbiran.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, percanggahan ideologi antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam isu-isu utama kini sudah begitu ketara dan semakin sukar dibendung.

Menurutnya, dalam soal pokok seperti Islam, kontrak sosial dan bumiputera yang termasuk dalam Perlembagaan pun masih ada percanggahan pemikiran dalam PKR, Pas dan DAP.

"Pakatan pembangkang masih belum diuji sepenuhnya, namun saya sifatkan pakatan itu sebagai retak menanti belah," katanya pada Wacana Transformasi Politik Malaysia di Balai Islam Lundang di sini malam tadi.

Selain Khairy, turut serta sebagai panel ialah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang juga Exco kerajaan Pas Kelantan dan Pensyarah Fakulti Undang- Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari.

Ia dipengerusikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff serta dihadiri lebih 3,000 orang.

Majlis itu dianjurkan oleh Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membincangkan perubahan politik negara dan isu-isu semasa.

Khairy berkata, pakatan pembangkang perlu diberi peluang untuk melaksanakan dasar-dasar mereka di lima negeri yang diperintah dan terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

"Kita beri peluang kepada pakatan pembangkang untuk melaksanakan dasar mereka. Walaupun dalam Parlimen kita selalu berbalah, kita boleh melihat apa yang berlaku hari ini," katanya.

Katanya, usaha reformasi di negara ini tidak perlu dibebankan kepada BN sahaja dan ia perlu dilakukan oleh pembangkang.

Sebagai contoh ujarnya, untuk memerangi rasuah di negara ini, ia memerlukan iltizam politik daripada kedua-dua pakatan pembangkang dan kerajaan BN.

"Jangan salahkan BN sahaja, pakatan pembangkang pun perlu ada iltizam politik. Dulu semasa menang pilihan raya semua Exco dan Menteri Besar negeri pakatan pembangkang janji mahu isytihar harta tapi sampai hari ini tidak tunaikan janji itu.

"Begitu juga ketika Menteri Besar atau menteri daripada BN dituduh rasuah, mereka diminta bercuti untuk membersihkan nama kerana kita hendak tunjukkan UMNO mengamalkan ketelusan," ujarnya.

Di Perak ujar beliau, tindakan kerajaan campuran negeri itu mengekalkan tugas dua Exco Perak yang dituduh rasuah, menjadi persoalan di kalangan rakyat.

Katanya, dalam menggerakkan transformasi politik Malaysia ke arah yang lebih baik demi kepentingan rakyat, beliau menekankan perlunya muzakarah di antara UMNO dan Pas diteruskan.

"Mari kita tumpu soal apa yang boleh diperjuangkan bersama seperti bahasa, agama, kontrak sosial dan bumiputera termasuk isu sensitif seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.