Tuesday, February 10, 2009

5,000 pertahan Sultan Azlan Shah


Susulan dari artikel MALAYSIAKINI : MEMBANTAH PENDERHAKA RAJA DAN MENYOKONG RAJA-RAJA MELAYU- KJ di laman blog ProKhairy.com , BJ rasa terkejut apabila ada tetamu (bukan ahli) yang mengunjunggi laman chatrool ProKJ Fan Club, yang mempertikaikan kesahihan jumlah kehadiran di perhimpunan tersebut.

Katannya, DALAM MALAYSIAKINI.COM 1000 ORG YG DTG SIAP ADA GAMBAR ,SURATKABAR SINAR TULIS 1000 ORG GAK TAPI DLM BLOG NI 5000 ORG MANA YG BETUL.....?????MCM NER RAKYAT NAK PERCAYA


Kepada tetamu tersebut sila rujuk dibawah…

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

utusanperak@utusan.com.my

IPOH 9 Feb. – Padang Sultan Abdul Jalil di sini bergema dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ apabila lebih 5,000 orang yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berkumpul menyatakan ikrar taat setia akan mempertahankan kedaulatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hingga ke titisan darah terakhir.

Mereka yang menyertai perhimpunan secara aman anjuran Pemuda UMNO Perak itu meluahkan rasa marah terhadap sikap biadap dan kurang ajar pemimpin pembangkang iaitu Karpal Singh, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng terhadap Sultan Perak.

Luahan kemarahan yang meluap-luap itu bukan sahaja dapat didengar melalui kata-kata mereka, malah tertera pada tulisan pada sepanduk yang dibawa.

Antaranya, ‘Jangan Hina Raja Kami,’ ‘Kumpulan Gerakan Melayu Bersedia Menjadi Benteng Utama Mempertahankan Kedaulatan Raja-raja,’ ‘Pakatan Rakyat Jadi Kuda DAP’ dan ‘Usir Nizar dari Perak.’

Malah, di saat-saat akhir perhimpunan, para peserta yang semakin bersemangat hampir berarak menuju ke kediaman rasmi Menteri Besar Perak untuk menghalau keluar Mohammad Nizar selepas seorang wakil NGO mengajak mereka semua berbuat demikian.

Bagaimanapun, sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner, Azisman Alias berjaya menenangkan keadaan dan meminta perhimpunan itu ditamatkan serta merta bagi mengelak kejadian tidak diingini dan provokasi.

Perhimpunan itu berakhir pada pukul 3.30 petang dan peserta kemudiannya bersurai secara beransur-ansur dari padang berkenaan.

Terdahulu, mereka berkumpul di Dataran Bandaraya Ipoh pada pukul 1.30 petang sebelum berarak menuju ke Padang Sultan Abdul Jalil setengah jam kemudian kerana tidak dibenarkan menggunakan lokasi tersebut.

Sementara menunggu majlis bermula, beberapa wakil NGO sempat memberikan ucapan meluahkan kemarahan terhadap perbuatan kumpulan tertentu menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ di setiap akhir ucapan.

Majlis kemudiannya dimulakan pada pukul 2.40 petang selepas ketibaan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharuddin, Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum memulakan majlis, semua peserta yang beragama Islam membacakan al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Allahyarham Roslan Shaharum dari Pas yang meninggal dunia hari ini.

Wakil dari Parti Progresif Penduduk (PPP) merupakan orang pertama berucap diikuti wakil dari MIC untuk menyatakan sokongan daripada masyarakat India kepada institusi Raja Berperlembagaan dan menentang mereka yang menderhaka titah sultan.

Abdul Azeez yang mendapat peluang berucap kemudiannya memberi amaran kepada Karpal Singh supaya menghentikan budaya kurang ajar dan biadap atau bersedia menerima sebarang tindakan daripada generasi muda.

‘‘Kita akan pastikan Karpal Singh dihalau dari bumi Malaysia. Karpal Singh kata dia lawyer (peguam) tetapi sebenarnya dia liar (penipu) sebab sebagai peguam dia mesti tahu undang-undang dan apa itu institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Reezal Merican pula berkata, pelajar Melayu di seluruh negara berasa terhiris dengan kebiadapan Karpal terhadap Raja-Raja Melayu.

‘‘Bumi ini ada fitrahnya, fitrah bumi ini dinamakan Tanah Melayu dan yang menjaga hak adalah Sultan dan Raja-Raja Melayu.

‘‘Menderhaka kepada Raja Melayu bermakna mengundang kemarahan rakyat bukan saja di Perak tetapi di seluruh Malaysia,” tegasnya.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang terkenal dengan semangat juang Melayu turut berucap pada majlis tersebut.

‘‘Kita ingin beritahu kepada Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim, kita akan lawan habis-habisan.

‘‘Ini baru langkah permulaan, kita akan gerakkan seluruh jentera di seluruh kampung dan berjuang mempertahankan kedaulatan Sultan Perak hingga ke titisan darah terakhir,” tegasnya sambil disambut laungan gemuruh daripada orang ramai.

Zainol Fadzi Paharuddin yang berucap seterusnya pula memohon Sultan Perak menarik balik darjah kebesaran dan kewarganegaraan penderhaka.

‘‘Kita tidak mahu institusi raja diperkotak-katikkan dan dihina sampai kasut jamban pun boleh dibaling. Inikah manusia yang kita ingin agung-agungkan sebagai pemimpin,” katanya.

Khairy yang merupakan orang terakhir berucap menyatakan bukan sahaja orang Melayu marah dengan sikap biadap pemimpin pembangkang, malah orang Cina dan India juga turut berasa demikian.

Katanya, tindakan beberapa pemimpin pembangkang telah mencabuli empat daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu rukun kedua, ketiga, keempat dan kelima.

‘‘Empat daripada Rukun Negara ini sudah dikoyakkan, apa lagi kita ada? Undang-undang, Perlembagaan dan Raja-raja kita sedang dipijak, apa tindakan kita hari ini?'' katanya yang berjaya menaikkan semangat peserta.

Sebelum menamatkan ucapannya, Khairy turut mengarahkan semua Pemuda UMNO mengambil tindakan yang perlu sekiranya bekas Menteri Besar dan Exco berkeras mahu memasuki pejabat kerajaan negeri esok.