Monday, April 26, 2010

BN tawan semula kawasan Hulu Selangor…..


Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya P.Kamalanathan menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.

Walaupun pada peringkat awal pengiraan undi memihak kepada calon parti pembangkang… calon BN mula mendahului selesa pada jam 8.45 malam dengan 1,035 undi di depan setelah 121 daripada 137 peti undi dibuka.

Ketika itu, sudah tidak kedengaran lagi jerit pekik penyokong pembangkang yang berhimpun di Stadium Kuala Kubu Bharu yang mengikuti proses pengiraan melalui skrin besar.

Stadium itu terletak disebelah pusat penjumlah undi di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu.

Pada jam 9.10 malam, angka rasmi skrin SPR menyiarkan Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.

Beliau perolehi 24,997 undi manakala Zaid pula 23,272 undi.

Kamalanathan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin BN berada di pusat berkenaan ketika Pengurus Pilihanraya mengumumkan kemenangan Kamalanathan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas dan para pemimpin parti.

Sejak pilihan raya umum 2008, sebanyak 10 pilihan raya kecil diadakan, dengan BN memenangi tiga daripadanya, termasuk kemenangan kerusi Parlimen Hulu Selangor malam ini yang sangat penting bagi mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

Ia merupakan kemenangan bermakna bagi BN, terutamanya kepada Najib yang semasa berkempen menyatakan bahawa pilihan raya kecil itu bukan sahaja untuk memilih seorang Anggota Parlimen tetapi merupakan pungutan suara bagi hala tuju baru negara.

Najib sendiri turut turun berkempen sebaik sahaja kembali ke tanah air selepas melakukan lawatan luar negara, pergi ke kampung-kampung, bandar, kawasan rancangan Felda, bersama timbalannya Muhyidin yang saban hari berada di Hulu Selangor sejak penamaan calon pada 17 April.