Thursday, December 4, 2008

Wan Farid hampir pasti calon BN

Jawatankuasa penyelaras Umno bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan Ladang sebulat suara menyokong Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kedua-duan DUN tersebut semalam.Batu Buruk dan Ladang adalah antara empat DUN dalam parlimen Kuala Terengganu. Dua lagi ialah Wakaf Mempelam dan Bandar.

Dalam mesyuarat tersebut, Batu Buruk diwakili oleh timbalan ketua Umno bahagian, Mohd Sabri Alwi manakala Ladang diwakili oleh naib ketua bahagian, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Kerusi parlimen tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga timbalan menteri pelajaran, Jumaat lalu.

Menurut sumber-sumber, dalam mesyuarat tersebut, mereka sebulat suara mencalonkan Wan Ahmad Farid yang juga timbalan menteri dalam negeri, sebagai calon bagi pilihanraya kecil tersebut.

‘Pegang jawatan’

Sementara itu, Umno bahagian difahamkan akan menyenaraikan tiga nama untuk dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Ketiga-tiga nama tersebut merupakan mereka yang memegang jawatan di peringkat Umno bahagian.

Selain Wan Ahmad Farid, difahamkan dua lagi calon yang ingin disenaraikan termasuklah Mohd Sabri dan ahli jawatankuasa bahagian, Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Wan Ahmad Farid berkata, Umno bahagian akan bermesyuarat 9 Disember ini untuk memutuskan senarai itu untuk diserahkan kepada Umno negeri.

Katanya, calon yang tidak berjawatan dalam Umno bahagian sukar mendapat sokongan parti dan pengundi.

“Orang yang hendak menjadi calon mesti mendapat sokongan daripada parti dan rakyat untuk menang dalam pilihanraya.

‘Peluang BN cerah’

“Pengundi Kuala Terengganu ini lain sedikit, mereka hendak orang yang ada jawatan dalam bahagian,” katanya.

Wan Ahmad Farid menambah, Umno negeri akan menyerahkan nama tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk keputusan muktamad.

Katanya lagi, peluang BN untuk mengekalkan kerusi parlimen tersebut adalah cerah.

Beliau berkata, ini kerana PAS kini berada dalam dilema untuk memilih calon yang sesuai.

“Kini ada dua kumpulan dalam PAS iaitu Erdogan dan bukan Erdogan. Kalau pilih calon kumpulan Erdogan, pengundi atas pagar susah menyokong mereka.

“Jika memilih calon bukan kumpulan Erdogan, pengundi yang menyokong PKR tidak akan menyokong calon tersebut,” katanya.-Malaysiakini

RESOLUSI SIDANG 29 NOVEMBER 2008 6/2008

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, semakin ramai yang berani dan bersemangat menyertai Parlimen Blogger Pembela Negara yang kini samada yang lama dan baru berjumlah 55 laman blog keseluruhannya. Kesungguhan dan sokongan ini yang kami mahukan agar semua umat islam dan melayu dapat sama-sama berkumpul dan berbincang bersama mengutarakan pendapat dan berbicara mengenai hal ehwal semasa samada dari pihak kerajaan dan juga pembangkang.

Dewan BPN juga telahpun diganggu oleh beberapa orang yang tidak bertanggungjawab membuat kacau dengan menyamar sebagai seorang bukan melayu, seorang gay dan seorang pejuang pro pakatan rakyat. Kira-kira 50% ahli BPN malam semalam, 29 November 2008 bersama berkumpul di dewan persidangan maya di laman pena picisan telah membincangkan isu tindakan Timbalan Presiden MCA, iaitu Chua Soi Lek yang membuat kenyataan berbaur perkauman apabila menafikan hak ketuanan melayu. Kepada rakan-rakan BPN, sila maklumkan che moq jika terdapat maklumat atau info yang tidak dinyatakan semasa perbincangan di sini.

Justeru, kami dengan sebulat suara berbincang mengusulkan :

1. Kenyataan Chua Soi Lek menentang ketuanan melayu adalah demi populariti dan juga cuba menjadi seorang lagi jaguh masyarakat cina. Kenyataan Chua juga seperti mempunyai agenda tersembunyi mengkaburkan isu skandal seksnya bagi mempromosikan dirinya kembali ke pintu kabinet sebagai menteri setelah menang mengejut di dalam pilihanraya parti lalu. Ianya bukanlah kenyataan yang bernas dan bijak kerana di dalam situasi keadaan politik yang tegang, tidak seharusnya Chua menambahkan lagi bahang suasana demi tujuan politik peribadi dan populariti. MCA seharusnya memberikan nasihat dan hukuman di atas kenyataan Chua yang berbaur perkauman.

2. Semua pemimpin dan menteri kabinet bukan melayu seharusnya tidak menentang keistimewaan dan ketuanan melayu di bumi Malaysia kerana sebagai 'role model' dan ikutan teladan kepada pengikut-pengikut, perlunya mereka memahami dan menuruti untuk mendukung perlembagaan Malaysia sepenuhnya demi menjamin kestabilan politik semasa.

3. Perlunya menteri-menteri, exco-exco, pemimpin-pemimpin dan juga pegawai tertinggi tidak kira samada dari parti-parti kerajaan (UMNO) mahupun parti-parti pembangkang (PKR&PAS) untuk bersatu teguh bersama dan sepakat dengan lebih berani bersuara mengenai campurtangan hal ehwal agama Islam dan juga campurtangan mengenai hak dan keistimewaan melayu. Tindakan YB Zulkifli Nordin (PKR-Kulim-Bandar Bharu) bersuara dan menegur semua jemaah YB kerajaan dan pembangkang di sidang Parlimen Malaysia suatu ketika dulu amat terpuji dan berani kerana katanya mengenai agama yang perlu diutamakan seterusnya barulah berfikir mengenai parti adalah tepat.

4. Oleh kerana islam dan melayu adalah kelompok agama dan bangsa utama dan terbesar di Malaysia, seharusnya kita bersatu dan bukan berpecah belah sehingga memberi kelebihan kepada bukan bumiputera mempertikaikan hak-hak kita. Kerjasama kepimpinan akar umbi, pemuda dan wanita bagi kesemua parti dari kerajaan dan pembangkang perlulah diwujudkan bagi menghasilkan satu ikatan teguh dan berani bertindak membela dan memperjuangkan hal ehwal agama islam dan hak ketuanan melayu yang semakin dinafikan bukan islam. Kerjasama ini walaupun agak sukar diadakan, cukuplah sekadar tidak rasmi bersuara searah kearah mempertahankan hak agama islam dan bumiputera.

5. Sepatutnya orang bukan melayu lah yang sepatutnya memperingati dan perlu jelas dengan kontrak sosial kerana ianya telah memberikan peluang kepada nenek moyang mereka untuk menjadi warga Malaysia suatu ketika dahulu yang datang merantau di bumi tanah melayu mencari rezeki. Orang Melayu tidak untung apa-apa dengan perjanjian itu kerana sebahagian hak-hak melayu sebagai penduduk asal tanah melayu telah pun dilepaskan demi kesejahteraan bersama.

6. Kerajaan perlu bertegas kembalikan semula fungsi sistem sekolah wawasan di tahap WAJIB yang mana sebelum ini sekolah wawasan dikatakan kurang mendapat galakan kaum bukan melayu. Ianya perlu selepas kita melihat kegagalan sistem yang ada untuk menyatukan semua bangsa. Apatah lagi selepas generasi baru sudah tidak memahami asal kontrak sosial dan juga kemerdekaan negara yang bertunjangkan ketuanan Melayu Islam sejak zaman berzaman.

7. Perlunya setiap ahli BPN untuk menyiarkan resolusi ini bagi memastikan maklumat ini tersebar dan tiada lagi unsur sabotaj di dalam kontrak sosial oleh bukan melayu yang mahu menjadi ultra dan jaguh menuntut hak yang menjadi perkara muktamat di Malaysia.

Ahli-ahli Blogger Pembela Negara akan menyiarkan resolusi ini di setiap laman blog masing-masing bagi menarik perhatian orang ramai dan pengunjung untuk turut serta memperjuangkan perkara yang telah diperbincangkan di konferensi sidang pada 28 November 2008.Kerjasama para ahli BPN amat diharapkan demi merealisasikan suara kita tersebar kepada rakyat.

Kami percaya apabila usaha ini dibuat secara kolektif dan bersepadu, pihak kerajaan akan terpanggil untuk melaksanakannya. Perbincangan selanjutnya akan dibincangkan dari semasa ke semasa untuk melahirkan satu suara yang relevan lagi bermanfaat bagi semua rakyat Malaysia.

Oleh itu, adalah diharap pihak-pihak yang terlibat segera mengambil tindakan sewajarnya. Semoga perjuangan kita dapat melahirkan suasana masyarakat majmuk yang lebih erat dan harmoni.

Sekian terima kasih dari saya.

Che Moq a.k.a http://che-moq.blogspot.com
Setiausaha I BPN

Wednesday, December 3, 2008

Mukhriz mahukan perubahan tetapi dikritik

Semalam, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun mencadangkan supaya sistem Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) disatukan di bawah satu sistem pendidikan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar manakala subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, murid-murid tetap diwajibkan mempelajari bahasa ibunda masing-masing seperti Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India, malah murid-murid Melayu mempunyai pilihan untuk mempelajari bahasa-bahasa berkenaan.

Namun kenyatan Mukhriz tersebut, telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini mengkritik calon Ketua Pemuda UMNO tersebut.

Barangkali, Mukhriz belum cukup ilmu untuk berpolitik kerana sesetengah keterangan dan jawapannya menonjolkan beliau seorang yang kurang matang dalam pemikiran dan rumusan terhadap sesuatu fenomena mudah. Apatah lagi jika sesuatu perkara yang cuba dibangkitkan itu menyentuh 'dasar' yang telah diwartakan.

“Sejak merdeka, kita telah mempunyai system pendidikan pelbagai aliran dan sejak 50 tahun sampai sekarang kita tidak Nampak masaalah dan mungkin ada pihak yang mengatakan kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKC) menjadi penghalang kepada perpaduan nasional.

“Tetapi dari pengamatan saya yang merupakan ‘produk’ dari SJKC, sedikit pun tidak menghalang saya untuk menyemai semangat perpaduan pada diri saya dan juga pada anak-anak saya,” demikan kata-kata dari Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berasa terkilan dengan kenyataan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berhubung cadagan pelaksanaan satu system pendidikan dan menganggap perkara itu sebagai satu yang luar biasa.

Zaid Ibrahim dipecat dari Umno

Rumah terbuka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru pada 12 Oktober 2008

Inilah padahnya apabila membelakangkan parti dan menghiris perasaan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu. Perbuatan Datuk Zahid Ibrahim tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Datuk Zaid Ibrahim dipecat dari Umno ekoran tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Keputusan Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemecatan Zaid itu berkuatkuasa serta merta.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam.

Zaid juga dilaporkan berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas Zaid lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Surat tunjuk sebab

Awal bulan lalu, Zaid Ibrahim menerima surat tunjuk sebab dari Umno berkaitan dengan surat terbukanya kepada perdana menteri dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan ISA.

Parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabient kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Beliau juga turut melepaskan jawatan senator.

Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

Tuesday, December 2, 2008

Tunggu apa lagi, keluar saja la….

Parti Progresif Penduduk (PPP) disaran keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekarang tanpa perlu menunggu pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mencabar Parti Progresif Rakyat (PPP) pimpinan Datuk M. Kayveas supaya segera keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan tidak perlu menunggu sehingga pilihan raya ke-13 pada 2012.

Beliau berkata, PPP sering membuat 'kacau' dalam BN dan yang terbaru mengugut akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

''Saya minta Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menyahut ugutan Presiden PPP, Datuk M.Kayveas dengan menyingkirkan segera PPP.

''Lagipun parti kecil itu tidak memberi banyak sumbangan dan kepentingan kepada perpaduan BN,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Syed Ali turut menyeru orang Melayu yang menyertai PPP supaya bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO kerana pimpinan PPP hanya mengutamakan agenda politik peribadi daripada kepentingan negara.

Syed Ali juga kecewa kenyataan terbuka Kayveas menggambarkan kerajaan menggunakan ISA untuk menekan mana-mana pihak kerana kepentingan politik.

''Pemimpin PPP itu sewajarnya mengemukakan rasa tidak puas hati melalui saluran tertentu atau dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,'' katanya.

''Kenapa hendak tunggu hingga 2012? UMNO tidak akan rugi dan terkilan jika PPP bertindak keluar BN. Tiada untungnya dia (PPP) berada bersama BN jika sekadar menyusahkan kerajaan BN,'' kata Syed Ali.

Jelas beliau, Kayveas harus faham bahawa ISA dikekalkan untuk mengekang sebarang bentuk keganasan atau kegiatan bercorak militan yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada yang berdaftar atau haram.

''Kerajaan tetap bertegas menggunakan ISA kerana tidak mahu negara ini terjebak dengan kegiatan keganasan seperti yang berlaku di Thailand, Filipina dan India,'' katanya.

Di IPOH, UMNO Bahagian Tanjong Malim menggesa Kayveas membawa keluar partinya daripada BN jika terus mengugut kerajaan meminda Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, kenyataan yang dibuat oleh Kayveas berbaur ugutan jahat dan amat menyakitkan hati.

Katanya, Presiden PPP itu boleh membawa partinya keluar BN sekarang tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum Ke-13.

''BN tidak perlu tunduk kepada sebarang ugutan jahat daripada mana-mana parti komponennya dan Kayveas telah membuat berkali-kali ugutan seumpama itu semata-mata hendak mendapat sokongan murahan penyokongnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Khusairi Abdul Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, BN akan lega jika PPP keluar daripada komponen BN sekarang kerana parti itu sudah lama menjadi duri dalam daging sejak Kayveas menjadi Presidennya.

''Kayveas perlu terima hakikat bahawa PPP mampu bernafas ketika ini kerana berada dalam komponen BN. Jika keluar daripada BN, rakyat tidak akan mempedulikannya lagi," kata beliau.

Monday, December 1, 2008

Soi Lek dituntut minta maaf

Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) hari ini menuntut Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek supaya memohon maaf kepada orang Melayu berhubung ucapannya yang menyentuh tentang ketuanan Melayu minggu lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

Dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya pada 27 November lalu, Dr Chua berkata, konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah dan slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

Dr Chua dilaporkan berkata: "Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu."

Teks ucapannya itu dimuatkan dalam laman blog milik Dr Chua - http://drchua9.blogspot.com.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili GGMM) telah menyerahkan notis tuntutan guaman kepada Dr Chua di ibupejabat MCA petang tadi.

Beliau datang bersama enam wakil GMM. Turut kelihatan enam anggota polis berada di situ.

Dalam notis tersebut, GMM mendakwa kenyataan Dr Chua itu berbaur hasutan untuk membenci orang Melayu.

Notis tersebut diterima oleh wakil Dr Chua yang juga setiausaha kepada ketua pentadbir ibupejabat MCA, Yap Chin Chin.

Dalam notis tersebut, GGMM menuntut Dr Chua memohon maaf melalui laman blognya dalam tempoh 24 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut petang ini.

Bagaimanapun, kata GGMM dalam notis tersebut, draf permohonan maaf itu hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh pihaknya sebelum disiarkan.

GMM juga menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM2 juta yang akan didermakan sepenuhnya kepada agensi amanah untuk bangsa Melayu/Islam.

Menurutnya, Dr Chua mengabaikan notis tuntutan tersebut, GGMM akan memfailkan saman terhadap timbalan presiden MCA itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

GGMM juga, tambah notis tersebut, akan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Chua daripada terus menghina orang Melayu.

Sumber Malaysiakini

Zaid wajar dihukum -Subang desak pecat


Rumah terbuka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru pada 12 Oktober 2008

Lembaga Disiplin UMNO wajar menghukum bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam, Selangor semalam. Perbuatan beliau tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Sementara itu Pemuda UMNO Bahagian Subang mendesak agar pucuk pimpinan UMNO supaya memecat keahlian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada parti kerana hadir pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor semalam.

Ketuanya, Harrison Hassan berkata, setelah apa yang dilakukan Zaid, UMNO tidak perlu berbincang mahupun memberikan beliau pilihan.

‘‘Ini adalah kerana beliau sendiri telah membuktikan tidak setia kepada parti. Ini bukanlah insiden pertama yang mana beliau membelakangkan parti dan menghiris perasaan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu.

‘‘Pemuda UMNO Bahagian Subang merasa marah dan kecewa dengan tindakan beliau yang dengan senang bersekongkol bersama parti pembangkang, sedangkan kami di akar umbi telah sekian lama berjuang dalam merapatkan barisan serta memperkukuhkan parti,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Harrison berkata, Pemuda UMNO Bahagian Subang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zaid yang menyertai program dan majlis anjuran parti pembangkang.

‘‘Selain menghadiri majlis perasmian kongres PKR, beliau turut menghadiri majlis kemenangan rakyat Pulau Pinang anjuran parti DAP sebelum ini.

‘‘Kenyataan Zaid dalam Mingguan Malaysia hari ini yang beliau mengakui masih menjadi ahli UMNO dan tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang pada masa akan datang, harus ditangani oleh pucuk pimpinan dengan serta-merta,’’ katanya.

Sunday, November 30, 2008

Drama tebusan di Mumbai berakhir

SERBUAN TERAKHIR... Sebahagian Hotel Taj Mahal di Mumbai terbakar akibat berbalas tembak dan letupan ketika serbuan oleh anggota komando India bagi membebaskan tebusan yang ditahan oleh pengganas di hotel itu, semalam.

MUMBAI 29 Nov. - Pasukan komando India hari ini berjaya menumpaskan kumpulan militan yang menawan hotel Taj Mahal Palace, di sini, selepas berlaku pertempuran sengit dengan kumpulan berkenaan.

Pertempuran itu berakhir pada kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) selepas baki tiga anggota militan itu terbunuh di dalam hotel itu, kira-kira 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan dan melakukan serangan di sembilan lokasi strategik lain di bandar raya ini sejak hari Rabu.

Pasukan komando berjaya menyelamatkan seramai 610 orang dari dua hotel mewah dan sebuah pusat Yahudi di Mumbai, yang ditawan militan.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, M.L. Kumawat berkata, pasukan elit itu berjaya membawa keluar 300 orang dari Hotel Taj Mahal.

Sementara itu, 250 orang diselamatkan di Hotel Triden Oberoi dan 12 keluarga terdiri daripada 60 orang dibawa keluar dari pusat Yahudi.

Semalam dua anggota kumpulan militan itu terbunuh di dalam hotel itu.

Setakat ini, 12 anggota militan terbunuh dalam misi menyelamat itu, manakala di pihak pasukan keselamatan India, 2 anggota komando terbunuh dalam serbuan yang dimulakan semalam.

Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu sejak petang Rabu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh lagi mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam (hotel) dan penembak tepat kami sedang melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata Ketua Pengarah Pengawal Keselamatan Keangsaan (NSG), JK Dutt kepada media selepas tamat operasi itu, hari ini.

Beliau berkata, komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir serbuan, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya.

Hotel itu mengalami kerosakan teruk.

Seramai 195 orang terkorban dalam serangan oleh kumpulan militan di Mumbai pada petang Rabu lalu termasuk 22 warga asing, manakala hampir 295 yang lain cedera.

- Agensi