Dialog yang telah dianjurkan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) Pemuda UMNO Malaysia bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 17 Februari 2015 telah banyak mengundang kritikan.
Sebagai EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya berasa terpanggil untuk menjawab segala kritikan dan tohmahan yang dilontarkan ke atas forum tersebut.
Forum yang telah diadakan tempoh hari bertujuan untuk memberi penjelasan berdasarkan fakta kes sepanjang tempoh perbicaraan yang berlangsung selama 6 tahun.
Sepanjang kes peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung, UMNO telah dituduh sebagai dalang di sebalik kes tersebut.
Dalam ucapan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin pada forum tersebut, Khairy menekankan bahawa selama 6 tahun Anwar Ibrahim, pemimpin PR dan juga media media mereka menuduh UMNO sebagai dalang konspirasi kes liwat 2 ini.
Selama perbicaraan kes berlangsung, UMNO telah mengambil pendirian untuk berdiam diri dan menghormati proses perbicaraan. Kini kes tersebut sudah selesai, ini adalah masa yang terbaik buat UMNO menangkis segala penipuan yang mengatakan UMNO adalah dalang konspirasi kes tersebut.
Selama 6 tahun kes ini berlangsung, rakyat secara terus-terusan dijadikan perkakas oleh Pakatan Rakyat khususnya PKR untuk menolak UMNO.
Persepsi yang dibuat oleh Pakatan Rakyat jika tidak dicegah akan menjadi wabak dan akhirnya menyebabkan rakyat percaya bahawa kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah konspirasi UMNO.
Justeru itu penjelasan dengan fakta kes serta kronologi kes liwat perlu disampaikan kepada rakyat agar menolak persepsi negatif yang dibuat oleh Pakatan Rakyat.
Forum tersebut dianjurkan oleh Pemuda UMNO Malaysia adalah untuk mengurus persespi. Pemuda UMNO Malaysia berpendirian bahawa perlunya kita melawan persepsi negatif ini dengan fakta yang sahih dan konkrit.
Kaedah yang diguna semasa forum-forum anjuran Pemuda UMNO Malaysia bersifat dua hala, punyai sesi soal jawab dan hadirin yang hadir tidak dihalang untuk melontarkan segala persoalan.
Adakah Pakatan Rakyat berasa bimbang dengan penjelasan yang dibuat Tan Sri Shafee? Adakah mereka bimbang kebenaran bakal terungkai ? Jika mereka tidak bimbang akan penjelasan Tan Sri Shafee, mengapa mereka perlu melatah atau mengkritik forum yang dianjurkan itu?
CABARAN DEBAT KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN YB NIK NAZMI TERHADAP KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA YB KHAIRY JAMALUDDIN.
Cabaran debat Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap Khairy Jamaluddin boleh dianggap sebagai suatu yang tidak relevan. Oleh itu saya ingin melontarkan beberapa persoalan kepada beliau :
1) Apakah signifikannya debat berhubung kes peribadi Ketua Umum PKR?
2) Adakah dengan berdebat mengenai kes peribadi Anwar Ibrahim dapat menyelesaikan kemaslahatan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia?
3) Adakah YB Nik Nazmi ingin bersikap populis untuk meraih semula sokongan dari kalangan Ahli AMK ? Untuk mengalih pandangan isu perpecahan dalam AMK?
4) Mengapa tidak mahu debat dengan Peguam Anwar Ibrahim yang jelas tidak mampu membelanya ?
Sebaiknya YB Nik Nazmi harus mereformasikan PKR itu terlebih dahulu, tidak perlu lah untuk terus memburukkan badan kehakiman negara. Lebih baik YB Nik Nazmi ‘mereformasikan’ sistem pemilihan PKR yang jelas tidak telus.
YB Nik Nazmi jelas seorang yang tidak berkredibiliti di dalam partinya sendiri, apabila pernah diboikot 16 EXCO AMK selepas pengumuman kemenangannya sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan.
Jangan sesekali mempertikaikan hak Pemuda UMNO Malaysia untuk memberi penjelasan tentang fakta kes peribadi Anwar Ibrahim setelah sekian lama UMNO dijadikan mangsa tuduhan dalang konspirasi politik .
Adakah menjadi satu kesalahan apabila UMNO mahu lawan penipuan yang dibuat Pakatan Rakyat? Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri lagi, kami akan terus menyatakan kebenaran berhubung kes ini. Masanya sudah tiba.
OLEH IBDILILLAH ISHAK
PENULIS MERUPAKAN EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA DAN PENGERUSI BIRO MEDIA SOSIAL
Artikel ini juga turut disiarkan di Agendadaily.net