Peguam yang didakwa membantah kelantangan laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, Ng Kian Nam tampil memberi penjelasan dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini berhubung kontroversi itu.
Ng membuat permohonan maaf itu dalam sidang akhbar yang diadakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal.
Sidang akhbar itu diadakan di pejabat Umno bahagian Lembah Pantai, yang diketuai oleh Raja Nong Chik.
Sebelum itu, Raja Nong Chik mengadakan pertemuan dengan Ng dan wakil-wakil kumpulan yang terlibat dalam protes tersebut.
Ketika bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Ng berkata, “Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi.
“Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh),” katanya.
Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.
Raja Nong Chik pula berkata isu itu sewajarnya tidak diperbesarkan kerana ia merupakan salah faham yang tidak disengajakan dan menjadikan insiden itu sebagai iktibar.
Beliau juga meminta permohonan maaf Ng diterima oleh semua pihak.
Ng Kian Nam berani tampil memberi penjelasan dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Bagaimana pula dengan pengadu tentang azan kondominium di Bandar Tun Razak dulu yang pernah mencetuskan pergaduhan dan permusuhan yang agak serius di antara penduduk bukan Islam dan penduduk beragama Islam?? Fikir fikirkanlah… -Politik Harian