Sunday, April 7, 2013
#PRU13 #ManifestoBN: Reaksi Para Pemimpin Pergerakan UMNO
Berikut reaksi beberapa pemimpin sayap UMNO berhubung Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi.
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Ketua Pergerakan Wanita UMNO) - "Manifesto yang realistik dan mengambil kira masa depan rakyat berbilang bangsa serta memperjuangkan ideologi yang membawa perubahan kepada Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi dalam mencapai Wawasan 2020.
"Manifesto ini juga mencakupi usaha berterusan pembangunan wanita selama lima tahun dan diyakini bakal direalisasikan apabila kerajaan diberikan mandat untuk menerajui kepimpinan negara.
Khairy Jamaluddin (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO) - "Manifesto ini adalah realistik kerana berdasarkan pendapatan rakyat dan menjiwai mereka.
Ini adalah manifesto terbaik yang mampu mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam masa sama tidak meminggirkan golongan bawahan."
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Ketua Pergerakan Puteri UMNO) - "Manifesto ini terbukti memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
"Kita yakin harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa negara ini ke arah kecemerlangan akan tercapai dengan kesungguhan rakyat dalam mendukung usaha itu. - UTUSAN ONLINE
Gambar-Gambar Menarik Pelancaran #ManifestoBN AKUJANJI Bukti Rakyat Tolak #MenifestoBukanJanji PR!
#PRU13 - Gambar-Gambar Menarik Pelancaran #ManifestoBN AKUJANJI Bukti Rakyat Tolak #MenifestoBukanJanji PR!
Manifesto Barisan Nasional (BN) bukan hanya sekadar manifesto, tetapi satu dokumen 'akujanji' kepada rakyat, kata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya tidak mahu kata manifesto kerana pembangkang kata manifesto bukan janji, sebab itu nama manifesto tidak berapa sesuai.
"Saya nak kata bukan manifesto tetapi akujanji kepada rakyat Malaysia," kata Perdana Menteri ketika berucap pada perhimpunan janji 1Malaysia "Rakyat Didahulukan" sempena pelancaran manifesto BN bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini Sabtu malam.
Najib berkata oleh kerana manifesto atau akujanji adalah dokumen yang penting, ia perlu dilancarkan dalam perhimpunan dan disiarkan secara langsung supaya rakyat seluruh negara boleh menghayati isi kandungan manifesto itu.
"Mereka boleh meneliti apakah komitmen BN kepada rakyat," katanya.
"Biarlah pembangkang kata manifesto bukan janji, kalau bukan janji, apa guna bentang manifesto yang baru, apa faedah bentang manifesto baru.
"Kepada BN, manifesto adalah satu perkara yang serius," katanya.
Sebaliknya Najib membidas pembangkang dan menyifatkan manifesto mereka sebagai sebuah "fantasi dan khayalan" dengan menabur janji sesuka hati.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya janji pembangkang dilaksanakan maka defisit negara akan melambung kepada 11.5 peratus manakala hutang negara juga akan melonjak.
"Kita tidak boleh beri mereka peluang untuk mentadbir negara sebab tidak ada apa yang telah mereka lakukan dalam tempoh lima tahun lepas," katanya.
Dalam pada itu, Najib menyifatkan perhimpunan malam ini adalah begitu luar biasa dan paling hebat sepanjang 37 tahun beliau terlibat dalam politik.
Katanya, perhimpunan malam ini bukan sahaja untuk memperlihatkan BN adalah parti yang terkuat di negara ini, tetapi adalah malam yang serius untuk memberitahu kepada rakyat keupayaan BN untuk terus diberi mandat menerajui negara pada PRU13.
Lebih 50,000 penyokong BN membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikan pelancaran manifesto BN dan mereka kelihatan bersemangat, menandakan sokongan padu kepada BN.
Pelancaran manifesto pada malam ini turut disiarkan secara langsung menerusi RTM1, TV3 dan Astro Awani.
-Bernama
#PRU13 - Kehadiran Tak Sampai 100 Orang... Petanda Awal Pengundi Gelang Patah Tolak Kit Siang
Ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang ketika menyampaikan ucapan di hadapan tidak sampai 100 orang yang menghadiri ceramah politik pembangkang di Pekajang, Gelang Patah malam tadi. Kit Siang adalah bakal calon pembangkang di Parlimen Gelang Patah.
SALAHUDDIN Ayub ketika menyampaikan ucapan pada ceramah politik anjuran pembangkang di Pekajang, Gelang Patah malam tadi.
NUSAJAYA - Tanda-tanda awal ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang ditolak oleh para pengundi di Gelang Patah terserlah apabila tidak sampai 100 orang menghadiri ceramah Penasihat DAP di Kampung Pendas, dekat sini malam tadi.
Mungkin sedar kehadirannya tidak mendapat sambutan, Kit Siang yang diumumkan sebagai calon pembangkang di Parlimen Gelang Patah itu hanya sempat berceramah kira-kira lima minit sebelum beredar.
Ceramah itu kemudiannya diteruskan oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.
Dalam ucapannya, Salahuddin seolah-olah hilang arah kerana asyik bermodalkan mengenai isu pendidikan percuma yang diuar-uarkan pembangkang dalam manifesto mereka.
Bukan itu sahaja, beliau yang dijangka bertanding di Parlimen Pulai itu juga kerap mengulangi isu berbangkit lain bagi memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan permasalahan tersebut telah pun diselesaikan kerajaan.
Antaranya, termasuk menuduh kerajaan negeri merampas tanah rakyat untuk tujuan pembangunan sedangkan isu itu telahpun diperjelaskan dan melibatkan sedikit sahaja tanah rakyat.
Dia yang sebelum ini banyak menghabiskan masanya di luar Johor termasuk pilihan raya umum 2008 bertanding di Kubang Kerian, Kelantan turut mengulang dakwaan bahawa pakatan pembangkang bukan sebuah parti perkauman.
Sebaliknya, dia menuduh dan menuding jari kepada UMNO sebagai sebagai parti yang memperjuangkan hanya satu-satu kaum sahaja. - UTUSAN ONLINE
#PRU13 #ManifestoBN : Rakyat Bakal Nikmati BR1M Lebih Lumayan
Barisan Nasional (BN) berjanji untuk menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang bagi menangani kos sara hidup, jika parti komponen itu terus diberi mandat memerintah.
BN dalam manifestonya yang bertajuk 'Menepati Janji, Membawa Harapan' yang dilancarkan Pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam Rabu, turutberjanji untuk mempertingkatkan bantuan Baucer Buku 1Malaysia kepada RM300 daripada RM250 pada masa ini, dan juga Bantuan Persekolahan daripada RM100 kepada RM150.
BN juga berjanji untuk menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibu bapa bekerja, dan membuka Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk.
Dalam usaha membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup, BN juga berjanji untuk membuka lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia dengan memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia yang digerakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta, yang akan turut dipasarkan di stesen minyak dan pasar raya besar.
BN juga akan melaksanakan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas.
BN juga berjanji untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus, serta meningkatkan daya saing kereta nasional.
Selain itu, yuran jalur lebar akan diturunkan sekurang-kurangnya 20 peratusdengan jaminan bandwidth internet. - BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)