Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas dengan 'mengusir' aktivis-aktivis yang terus berkhemah - masuk hari ke-11 mereka di perbodohkan, menjadi alat kepada pakatan pembangkang - di Dataran Merdeka.
Kejadian berlaku awal pagi tadi.
Macam biasa pemimpin-pemimpin mahasiswa yang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan aktivis Occupy Dataran menerusi SMS dan Twitter memberitahu bahawa DBKL mengambil tindakan keras sekitar jam 6.15 pagi tadi.
"DBKL datang pukul 6.15 pagi ketika semua 'occupiers' sedang tidur dan merampas semua barang termasuk khemah," kata mesej akaun Twitter occupydataran.
Satu lagi mesej occupydataran berkata, DBKL memagar kawsan perkhemahan dan menghalau semua mereka yang berkhemah keluar dari kawasan Dataran Merdeka.
Tindakan pagi ini dilakukan sehari selepas kenyataan media dikeluarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur semalam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, DBKL sedang menyediakan kertas siasatan beserta bukti dan saksi untuk diperakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap wakil kumpulan mahasiswa yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan berhubung tindakan berkumpul dan mendirikan khemah di Dataran Merdeka.
Ahmad Fuad berkata, DBKL mempunyai bukti lengkap berhubung salah laku yang dibuat oleh kumpulan berkenaan walaupun sudah diberikan nasihat dan amaran supaya menghentikan tindakan mereka.
Menurutnya, tindakan merampas khemah yang dilaksanakan DBKL semalam dibuat setelah notis kesalahan dan tawaran kompaun atas kesalahan meletakkan barang-barang tanpa kebenaran di tempat awam yang dikeluarkan terhadap mereka tidak diendahkan.
"Pada 21 April 2012, pada jam 5.15 petang, DBKL sekali lagi mengarahkan mereka mengosongkan kawasan bagi memberi laluan kepada ambulans diraja yang diarah bertugas sempena konsert pada malam itu.
"DBKL merampas barang mereka setelah mereka ingkar arah pengosongan dan barang dituntut semula pada 22 April jam 1.15 pagi oleh Mohd Fahmi Reza Mohd Zain yang mana dia telah menandatangani borang akuan tindakan sebelum barangan mereka dikembalikan. Pada masa itu dia juga diberi maklum akan berhadapan dengan tindakan DBKL jika mereka masih berkumpul dan meletakkan barang-barang berkenaan," katanya.
Semalam, seorang aktivis, pelajar kolej swasta, didakwa di mahkamah.