Friday, June 1, 2012

Isu NFC : Pakatan Pembangkang Perlu Mohon Maaf Secara Terbuka


Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Hamidah Osman menggesa agar pakatan pembangkang terutama Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Rafizi Ramli memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Desakan ini tegas beliau adalah berikutan tuduhan mereka bahawa Shahrizat terlibat di dalam isu pinjaman RM250 juta kepada NFC namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengumumkan bahawa Shahrizat tidak terlibat sama sekali didalam isu berkenaan.

“Pengumuman ini sekaligus membuktikan bahawa pihak pembangkang sengaja membuat tuduhan liar yang mengaitkan Datuk Seri Shahrizat dalam isu NFC semata-mata bermotifkan politik. Ini merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan penganiayaan besar yang dilakukan pembangkang terhadap beliau. Disebabkan perkara ini, nama baik Shahrizat telah tercemar dan menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang menteri dan Ketua Pergerakan Wanita.

“Saya merasakan bahawa Shahrizat telah menjadi mangsa mainan politik kotor pembangkang yang hanya mahu merosakkan imej Shahrizat sekaligus UMNO dan Barisan Nasional,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Namun begitu Hamidah sedar, pengumuman SPRM ini sudah pasti tidak akan diterima sama sekali oleh pakatan pembangkang dan mereka akan mula membuat pelbagai tuduhan lain ekoran daripada pengumuman ini.

“Namun apa yang pasti dan telah terbukti, Shahrizat sudah didapati tidak bersalah dan tidak terbabit dalam kes NFC. Oleh itu, saya sekali lagi mendesak agar pakatan pembangkang memohon maaf secara terbuka bagi menebus maruah dan nama baik Shahrizat,” ujarnya lagi.

Ummi Bongkar, Azmin Dan Shamsidar Miliki Aset RM30J


Ahli Perniagaan, Ummi Hafilda Ali buat pertama kali mendedahkan salinan dokumen sebahagian aset yang dimiliki oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali serta isterinya, Shamsidar Taharin yang bernilai lebih RM3O juta.

Dokumen berkenaan iaitu salinan pembelian syer saham, deposit bank, resit pembayaran perabot serta salinan penyata dalam beberapa akaun bank itu merupakan sebahagian harta yang dimiliki Azmin dan Shamsidar dalam tempoh dua tahun iaitu 1992 hingga 1994.

Ummi Hafilda memberi tempoh dua minggu kepada Azmin dan Shamsidar untuk membuat laporan polis terhadapnya jika dokumen itu palsu atau beliau sendiri akan menyerahkan dokumen tersebut kepada polis selepas tempoh tersebut.

Kata Ummi Hafilda, beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memandang serius kes tersebut kerana aset itu diperoleh Azmin dan Shamsidar semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan.

Menurutnya, kekayaan tersebut adalah mustahil diperoleh oleh pasangan suami isteri tersebut kerana gaji Azmin sebagai setiausaha sulit Anwar adalah sekitar RM3,000 manakala Shamsidar hanya suri rumah.

''Kalau tengok setiap saham yang dibeli adalah ratusan ribu dan kalau dijumlah nilai saham syer berdasarkan dokumen di tangan saya, kesemuanya hampir RM30 juta.

''Selain itu dokumen berkenaan turut membuktikan 90 peratus daripada pegangan saham tersebut adalah atas nama Shamsidar manakala 10 peratus sahaja nama Azmin,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ini merupakan pendedahan kedua melibatkan dakwaan Azmin dan Shamsidar memiliki kekayaan luar biasa.

Semalam, pengendali portal pro pembangkang, Raja Petra Kamaruddin turut berbuat demikian dengan mendedahkan bukti pemilikan saham oleh Shamsidar bernilai lebih RM7 juta.

Beliau juga mendedahkan, aset Azmin dan Shamsidar yang berjumlah jutaan ringgit merangkumi rumah banglo, kereta mewah dan pemilikan saham.

Sementara itu, Ummi Hafilda turut mendakwa memiliki beberapa salinan asal resit deposit bank yang mana salah satunya berjumlah RM500,000.

Beliau juga mendakwa memiliki salinan penyata bank yang menunjukkan Shamsidar mempunyai simpanan sebanyak RM8 juta manakala Azmin memiliki lebih RM800,000 sekitar tahun 1994.

Selain itu, Ummi Hafilda turut mendakwa Azmin dan Shamsidar berbelanja mewah untuk membeli perabot dan tilam berjenama yang bernilai puluhan ribu ringgit.

''Saya beri tempoh kepada Azmin membuat laporan polis fitnah jenayah ke atas saya kalau semua ini palsu, semua ini propaganda dan semua ini politik kotor UMNO,

'''Tetapi kalau selepas 14 hari masih tiada tindakan itu, saya akan membuat laporan kepada pihak polis komersial di Bukit Aman atas segala penyalah gunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku,'' katanya.-Utusan

Fitnah Sultan: Pemuda Johor Mahu Nizar Di Kenakan Tindakan Tegas!


Pergerakan Pemuda UMNO Johor kemarin membuat laporan polis menuntut pasukan itu dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap Mohammad Nizar atau mana-mana individu yang menggunakan media sosial sama ada Twitter atau Facebook untuk menyokong kenyataan fitnah terhadap Sultan Ibrahim.

Ketua pergerakan itu, Mohd. Fadil Muskon berkata, peruntukan undang-undang sedia ada perlu dilaksanakan dengan tegas ke atas mereka yang terlibat sebagai pengajaran agar kejadian sama tidak berulang.

“Kami menganggap Mohammad Nizar sebagai seorang yang biadab dan kurang ajar terhadap baginda Sultan Johor. Tindakannya ibarat menghasut rakyat untuk mencemar kesucian institusi diraja keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sentran.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru yang diwakili ketuanya, Khalid Mohamed bersama 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bandar raya ini turut membuat laporan di balai yang sama berhubung isu berkenaan.

Antara NGO yang turut serta adalah Persatuan Pesara Kerajaan; Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa; Kelab Rakan Muda dan Persatuan Sahabat yang turut membawa sepanduk mendesak mana-mana pihak bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap kenyataan biadab Mohammad Nizar.

Pasukan khas siasat kenyataan Nizar

Sementara itu, Polis negeri Johor akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikaikan bidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff berkata, sehingga petang semalam pihaknya telah menerima lapan laporan berhubung kenyataan pemimpin Pas Perak itu dan siasatan mengenainya akan dibuat mengikut Akta Hasutan 1948.

“Pihak kami akan meneliti dan melengkapkan kertas siasatan terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya. Justeru, saya berharap semua pihak dapat menghormati undang-undang negara ini dan tidak membuat sebarang kenyataan tidak berasas," katanya.

Kelmarin, Mohamad Nizar menerusi akaun Twitter miliknya mengeluarkan komen, Sultan Johor menyalahguna wang rakyat dalam pembelian nombor plat WWW 1 yang dibida pada harga RM520,000.

Sumber: Utusan