Tuesday, July 31, 2012

Hudud Punca PR Gagal Ke Putrajaya – Karpal Singh


Bertalu-talu pemimpin-pemimpin DAP membuat kenyataan menyanggah PAS berkaitan hudud. Pening betul mereka dengan sikap putar-belit dan dolak dalih PAS berkenaan isu itu.

Sedangkan kerjasama PAS-DAP-PKR adalah termeterai atas persetujuan PAS untuk beralah dalam isu Negara Islam termasuk hudud. Namun, semakin PRU menghampiri, seorang demi seorang pemimpin PAS kembali bangkit menjadi ‘pejuang hudud’ dan Negara Islam. Mungkin setelah menyedari yang sokongan Melayu semakin merosot terutamanya selepas episod yang memeritkan dengan Datuk Dr. Hasan Ali.

Akhir-akhir ini, PAS dikecam teruk kerana membelakangkan Islam iaitu selepas bekerjasama dengan DAP. Parti ini digelar sebagai barua, balaci, kuda tunggangan dan anjing kepada parti chauvinis dan rasis Cina itu. Dan PAS telah gagal seratus peratus menangkis gelaran ini apabila terus menerus mengikut telunjuk DAP, hatta dalam isu kritikal bagi Umat Islam, seperti isu murtad sekali pun.

Dengan PRU semakin hampir, PAS nampaknya benar-benar buntu untuk mengembalikan imej Islam yang kini hanya tinggal di serban dan jubah sahaja. Di tambah dengan berduyun-duyun artis tak laku dan ‘tak berapa cerdik’ yang mula memenuhi parti itu, masyarakat semakin memandang sinis akan ‘keIslaman’ PAS.

Justeru, tidak dapat tidak, PAS terpaksa kembali memainkan ‘hudud’ sebagai bahan promosi dan kempen bagi meraih undi dari umat Melayu.

Tindakan ini telah membuatkan DAP benar-benar hilang sabar dengan PAS.

Karpal Singh pantas membuat kenyataan tegas bahawa sebarang cubaan PAS untuk memperkenalkan hudud di negara ini mencerminkan dengan buruk niat ikhlas dari apa yang diputuskan di Muktamar PAS tahun lepas iaitu untuk melupakan Negara Islam dan membina Negara Kebajikan. Karpal juga mengingatkan PAS bahawa tiada Hudud dalam Buku Jingga.

Kenyataan sama juga diulangi oleh Lim Guan Eng yang jelas kelam kabut apabila ditanya mengenai isu ini lalu menuduh UMNO pula yang ingin melaksanakan hudud.

Ternyata, PAS telah berjaya menjadikan Pakatan Rakyat haru-biru dengan sikap tidak amanah, tidak berpegang kepada janji dan tidak punya pendirian tetap termasuk dalam isu-isu yang melibatkan agama.

Sebenarnya, PAS tidak akan mampu meningkatkan sokongan dengan hanya membangkitkan semula isu hudud. ‘Hudud’ bukan isu yang akan membawa PAS mahupun PR ke Putrajaya atau mana-mana kerana semua orang tahu bahawa ia hanyalah retorik PAS semata-mata. PAS tidak akan dan tidak ingin pun untuk melaksanakannya.

Jika ada yang masih menyokong PAS, ia bukan kerana hudud, tetapi kerana terpedaya bahawa PAS memperjuangkan Islam. Mereka ini akan tetap menyokong PAS tak kira jika PAS menggadaikan hudud dan Negara Islam seperti yang dipersetujui dalam Muktamar lepas atau pun tidak.

Namun, sikap tidak konsisten PAS, penentangan DAP serta sikap acuh tak acuh PKR terhadap hudud menjadi bukti betapa keliru dan haru-birunya Pakatan Rakyat itu. Semakin kuat PAS melaungkan hudud, semakin keras DAP menempelaknya, semakin jauhlah PR dari Putrajaya. Jelas, ia bukan kerana hudud, tetapi kerana kelemahan pakatan mereka begitu ketara dan rakyat tidak mungkin akan memberikan mandat kepada parti yang sebegitu lemah untuk memerintah negara.

Friday, July 27, 2012

Azizan Tak Tahu Hubungkait Calon MB Dengan Isu Rakyat


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang terkenal dengan panas baran semalam melenting dengan Majlis Profesor Negara (MPN) apabila hasil kajian mereka yang membabitkan isu Pilihanraya Umum ke-13 tidak memihak kepada Pakatan Rakyat.

Sebaik dimaklumkan mengenai kajian tersebut, Azizan langsung tidak mengambil walau sesaat dari masanya untuk merenung dan memikirkan kenapa hasil kajian MPN menunjukkan yang sokongan rakyat Kedah sudah kembali kepada BN. Azizan langsung tidak terfikir akan kemungkinan beliau benar-benar ada kelemahan, kesilapan, lemah dan tidak prihatin terhadap tuntutan rakyat sepertimana yang ditunjukkan oleh hasil kajian tersebut.

Sebaliknya beliau pantas berkata isu yang dikaji termasuk memilih calon MB adalah remeh dan tidak sesuai difokuskan oleh golongan cerdik pandai. Beliau juga merendah-rendahkan tahap pemikiran MPN serta secara sinis menuduh mereka diperalatkan oleh pihak BN. Kata beliau, MPN seharusnya mengkaji isu yang lebih serius seperti masalah isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa.

Sememangnya, meremehkan dan memperlekehkan orang lain sudah menjadi kewajiban bagi pemimpin PAS seolah-olah hanya mereka sahaja yang bijak lagi maksum di dunia ini. Dan sudah menjadi kelaziman bagi pembangkang untuk menuduh apa saja yang tidak menyebelahi mereka sebagai alat atau didalangi BN.

Kata beliau, "Ini suatu yang malang kerana golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius.”

Tetapi, yang malang di sini ialah rakyat Kedah kerana mendapat Menteri Besar yang sudahlah tidak tahu dan tidak mampu berbuat apa-apa, sombong dan bongkak serta enggan bertanggungjawab atas apa saja. Mudah sungguh menjadi MB nampaknya. Hanya duduk goyang kaki, pekakkan telinga, butakan mata, tetapi buka mulut menengking sesiapa saja yang mengkritiknya.

MPN bukan mewakili BN, jauh sekali bekerja untuk BN. Kajian tentang calon MB membawa signifikan tersendiri bagi isu-isu serius yang disebut oleh Azizan iaitu isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa. Ini kerana, siapa MB yang dipilih akan menentukan sama ada isu-isu serius tersebut akan dapat ditangani dengan baik. Jika tersilap memilih MB seperti Azizan, maka hasilnya pastilah seperti apa yang berlaku di Kedah hari ini.

Masalah balak, air, pencemaran, madrasah, pelancongan, pelaburan, tanah rizab Melayu, KUIN telah puas diperkatakan sehinggakan rakyat yang terlibat secara langsung dengan isu-isu tersebut hampir putus asa sama sekali. Kata mereka, tidak guna memberitahu MB kerana beliau hanya akan berkata semua sudah selesai.

Secara realiti, apa yang selesainya?

Yang selesainya adalah wang negeri yang semakin hari semakin susut. Tiada satu pun projek yang dicadang dan dicanang di bawah kerajaan PAS Kedah yang menjadi. Cakap-cakap di bawah kedengaran berkata, bagaimana projek boleh menjadi jika diberi kepada puak-puak PAS yang tidak punya pengalaman, mahupun modal untuk melaksanakannya?

Begitulah malang sekali nasib rakyat Kedah kerana mendapat MB yang tidak faham pun akan hubungkait dirinya dengan isu-isu serius di kalangan rakyat.

Hakikatnya, Azizan adalah MB yang buta IT dan beliau pastinya tidak dapat memahami bagaimana maklumat, termasuk perkara sulit boleh tersebar dan merebak dengan mudah. Beliau tidak tahu bahawa rakyat punya akses untuk meneliti sendiri perkara-perkara yang dinyatakan atau dinafikannya. Hanya dengan menepis dan menempelak orang lain tidak menjadikan beliau MB yang bijak.

Dengan pengetahuan yang begitu cetek mengenai perihal negeri dan dunia, siapakah Azizan untuk memperkecilkan bijakpandai dalam MPN?

Populariti Najib, BN Terus Meningkat


Kajiselidik berkenaan populariti pemimpin dan parti politik yang diadakan oleh UKM menunjukkan petanda yang baik buat Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang. Ini berdasarkan hasil kajian yang mendapati bahawa populariti Dato’ Seri Najib meningkat sehingga 76% mengatasi dua pemimpin pembangkang iaitu Anwar Ibrahim dan Nik Aziz.

Melalui pecahan etnik pula, sokongan terhadap Najib di kalangan Melayu berada di tahap 75%, Cina 69.9%, India 71%, Iban 85.5% dan lain-lain etnik Bumi 84.4%.

Kajiselidik yang melibatkan 1,000 warga Lembah Klang pula menunjukkan 69.9% memilih BN akan menang dalam PRU ke-13, 37.5% setuju BN akan menang 2/3 majoriti dan 32.1% lagi merasakan yang BN akan menang mudah.

Dalam pada itu, populariti pemimpin dan parti pembangkang semakin menurun dengan Khalid Ibrahim mendapat tempat tercorot dengan 55% responden di menyatakan tidak yakin dengan PR serta ragu-ragu dengan agenda PR yang banyak merugikan kaum Melayu.

Begitu juga dengan kepimpinan Azizan Razak di Kedah di mana daripada 10,800 responden, 68% daripadanya menyatakan yang beliau tidak cekap dan tidak efisien manakala 72.8% menyatakan yang beliau kurang prihatin dengan isu yang dibangkitkan rakyat.

Selain itu, kajiselidik oleh Free-Test Malaysia Team yang dihantar melalui e.mail mengenai "Undi Anda: Perdana Menteri Malaysia" menunjukkan Najib mendapat 58% sokongan, 25% tidak peduli dan hanya 17% yang memilih Anwar Ibrahim.

Perkembangan ini menunjukkan populariti Dato’ Seri Najib meningkat dengan konsisten sejak mula memegang tampuk kuasa. Ini berdasarkan kajian oleh UIA dalam tempoh Mac 2008 hingga Julai 2011 di mana pada Oktober 2008, 35% responden Melayu, 33% Cina dan 41% India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59%, 45% dan 62%.

Kajian UIA itu juga mendapati populariti pemimpin-pemimpin pembangkang terus menurun sebelum menjunam terus pada tahun ini sepertimana dapatan dari kajiselidik UKM di atas.

Peningkatan populariti Najib dan BN ini menunjukkan bahawa transformasi yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya dan kesannya dapat dirasakan secara langsung oleh rakyat. Najib ternyata bukan hanya beretorik tetapi langsung tidak membuang masa menyusun dan merangka pelan pentadbiran serta pantas mengambil tindakan untuk membuat perubahan.

Ini menyebabkan, kebanyakan rakyat yang pada mulanya agak ragu-ragu yang beliau akan dapat ‘memulihkan’ semula keadaan BN yang ‘sakit’ ketika mula-mula mengambil-alih kuasa, semakin hari semakin yakin dengan kepimpinannya. Hari ini, nampaknya rakyat telah bersedia untuk meletakkan harapan dan kepercayaan kepada BN dan Najib untuk menerajui nasib dan masa depan negara.

Walaupun kecekapan, kejujuran dan kebijaksanaan mengurus-tadbir merupakan faktor utama yang menyebabkan populariti BN meningkat dengan konsisten, tetapi kita tidak wajar menafikan peranan pembangkang dalam membantu melonjakkan lagi geraf populariti ini.

Ertinya, kelemahan pembangkang dalam mengurus-tadbir negeri-negeri di bawah jajahan mereka juga menjadi punca rakyat terus memberi sokongan kepada BN. Kelemahan pembangkang inilah yang memberikan markah bonus kepada BN dalam ‘pertandingan populariti’ di kalangan rakyat. Lebih malang bagi pembangkang apabila pemimpin-pemimpin mereka juga terlalu sering terlibat dalam skandal serta gagal menangani segala isu dengan baik yang mana menyebabkan geraf populariti mereka terus menurun sekali gus geraf BN terus meningkat.

Di mata rakyat, pembangkang dilihat sebagai pengkhianat kerana begitu berminat untuk menimbulkan huru-hara dengan berdemonstrasi di sana sini atas alasan yang sengaja diada-adakan, kurang matang dan tidak masuk akal. Sikap ‘khianat’ pembangkang ini benar-benar memberi kesan kepada golongan atas pagar yang mewakili majoriti pengundi dalam pilihanraya nanti.

Pendek kata, pembangkang bukan saja tidak bijak mengurus negeri tetapi juga kurang bijak dalam menyusun strategi politik walaupun saban hari kerja mereka hanyalah berpolitik. Dalam ertikata lain, politik keterlaluan pembangkang telah mengakibatkan rakyat semakin muak dengan mereka.

Dengan itu, jika BN meneruskan prestasi cemerlangnya, dan PR juga meneruskan cara politik huru-haranya, maka populariti BN pasti mampu mencapai tahap maksima menjelang pilihanraya nanti.