Thursday, February 28, 2013

Anwar Ibrahim Dakwa Hadi Menipu Dalam Isu Kalimah Allah



Tika ini ramai ahli dan penyokong PAS yang belum kebas dari demam terkejut dan masih lagi dalam kebingungan gara-gara pendirian rasmi PR yang telah muktamad menggugurkan agenda perlaksanaan hukum hudud dari Manifesto PR.

Tambah mengeruhkan keadaan bila mana Manifesto PR tanpa agenda hudud itu turut disepakati dan diperakui oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Lebih parah lagi, tiga hari selepas Manifesto PR bertemakan "Pakatan Harapan Rakyat" dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di SACC Shah Alam, Selangor pada 25 Februari 2013 lepas, tak semena-mena Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil menyalahkan Hadi Awang berhubung kontroversi isu kalimah Allah.

Ketua Umum PKR itu mendakwa ketetapan bersama PR pada 8 Januari 2013 lalu untuk membenarkan kalimah Allah s.w.t diguna pakai oleh orang bukan Islam termasuklah untuk kegunaan kitab Bible versi Bahasa Melayu hanya dimuktamadkan selepas mendapat penerangan dan persetujuan Presiden PAS.

Maksudnya, PR tidak akan mengambil ketetapan sedemikian jika Hadi menerangkan perkara benar. Tapi disebabkan Hadi telah menyembunyikan kebenaran, akhirnya PR terjerumus ke kancah kontroversi. Ini dakwaan serius, ia seperti menuduh Hadi telah menipu Anwar dan PR.

Anwar juga menegaskan kenyataan rasmi yang diiktiraf sebagai dasar PR yang disepakati bersama berhubung isu itu juga dibaca dan ditandatangani sendiri oleh Hadi Awang sebagai mewakili PAS. Gayanya seperti Anwar mahu memberitahu khalayak yang kesilapan yang dilakukan oleh PR disebabkan Hadi.

PAS patut tampil ke depan mempertahankan maruah Presidennya, itu pun kalau terasa masih ada sekelumit keberanian untuk berdepan dengan Anwar. Tapi jika berdiam diri atau sekadar sepintas lalu sahaja menjawab dakwaan Anwar, bermakna betullah dakwaan itu.

Anwar memang akan sedaya upaya melepaskan dirinya dari dikaitkan dengan kesilapan pendirian PR dalam isu kesucian kalimah Allah s.w.t, dengan cara mengalihkan beban ke bahu Hadi. Itu kehebatan Anwar dalam bab spin sana sini. Hadi dan pemimpin PAS sahaja yang masih belum sedar.

Pun begitu, sama ada Anwar, Hadi mahupun PR dan PAS, kesemua mereka telah melakukan telah memilih pendirian dalam isu sensitif ini. Suka atau tidak, kenalah terima hakikat selagi PR kekal dengan pendirian 8 Januari 2013, selagi itulah amarah umat Islam akan terus menghantui PAS dan PR.

Doa PAS 'Hancur BN/UMNO' Makan Diri, Perjuangan Tegak Islam Semakin Tersasar



Perjuangan PAS sebagai parti yang menegakkan Islam di negara ini semakin tersasar apabila PAS lebih sanggup untuk mengetepikan matlamat perjuangan demi menjaga hubungannya dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus cuba untuk menang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Prinsip Islam yang cuba ditegak PAS seperti hudud dan negara Islam kini semakin lenyap daripada sebutan pemimpin parti itu lebih-lebih lagi apabila ia bersama DAP.

Pengerusi Pembangunan Parlimen Marang Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata apa yang PAS buat selama kini sudah memakan dirinya sendiri bermula dengan isu Amanat Haji Hadi, Kalimah Allah, Doa Hancur BN/UMNO dan yang terbaharu menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan.

"Amanat Haji Hadi telah menyebabkan berlakunya perpecahan umat Islam di Malaysia hari ini dan amanat ini makan diri Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) begitu juga dengan isu kalimah Allah. Ini semua hasil kerjasama PAS dengan DAP sehingga sanggup untuk menggugurkan prinsip Islam," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.

Beliau berkata perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam kini juga dilupakan dengan menukar daripada penubuhan negara Islam kepada negara kebajikan, semata-mata untuk menjaga hati Pengerusi DAP Karpal Singh yang kurang senang dengan matlamat PAS sebelum itu.

Katanya, pemimpin PAS iaitu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga Mursyidul Am PAS sanggup menghina penerima BR1M dengan mengumpamakannya seperti 'menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu'.

Bercakap tentang sokongan rakyat kepada PAS, Abdul Rahman berkata kini semakin ramai pengikut PAS yang kecewa dan meninggalkan parti itu kerana tidak lagi yakin dengan perjungan sebenar PAS untuk menegakkan negara Islam.

Katanya, PAS akan menerima akibatnya pada PRU-13 dan tidak mustahil rakyat akan menolak Abdul Hadi di kawasannya sama ada di Marang (Parlimen) dan Rhu Rendang (Dewan Undangan Negeri).

Pada PRU-12, Abdul Hadi hanya menang dengan majoriti 2,747 di Marang manakala 2,686 di Rhu Rendang dan beliau sebenarnya pernah kalah di tangan Abdul Rahman yang digelar 'Giant Killer' pada 1984 dan 2004.

"Saya yakin PRU-13 kali ini adalah peluang terbaik rakyat untuk menolak PAS yang telah banyak membawa perpecahan dan menjatuhkan maruah umat Islam," katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Menurutnya, kerjasama PAS bersama DAP dan PKR langsung tidak memberi apa-apa keuntungan kepada PAS malah penyokongnya melihat parti Islam itu hanya menjadi kuda tunggang DAP dan PKR untuk mencapai matlamat menumbangkan BN dan UMNO.

Katanya, PAS pernah diberi peluang memerintah Terengganu untuk tempoh sepenggal, namun hakikatnya tidak ada apa-apapun yang PAS buat sepanjang tempoh pemerintahan selain hanya mengaut kekayaan daripada hasil balak untuk kepentingan pemimpin parti itu sahaja.

"Apa yang PAS buat, tiada, di kawasan Marang sendiri, kawasan Abdul Hadi hanya satu masjid yang PAS buat berbanding 54 yang kerajaan BN buat," katanya.

Abdul Rahman berkata rakyat hari ini sudah tahu permainan politik PAS yang hanya lantang bersuara untuk menegakkan Islam dan menuduh BN dan UMNO parti yang menolak Islam sedangkan apabila bersama DAP, isu tersebut langsung tidak ditimbulkan PAS.

Bekas anggota PAS (Cikgu) Zainon Ismail atau juga dikenali dengan nama CN AL-Afghani mendakwa PAS ada menandatangani perjanjian rahsia dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan terus perjuangan berkaitan hudud dan negara Islam.

Beliau berkata perjanjian yang dipersetujui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Hadi dan Penasihat DAP Lim Kit Siang itu ditandatangani pada Disember 2009.

"Hudud tidak akan dilaksana jika pakatan pembangkang menawan Putrajaya sebaliknya mereka kata, memadailah guna undang-undang persekutuan sedia ada," katanya dalam ceramah umum di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, Rabu malam.

Zainon berkata PAS hari ini sudah jauh melencong daripada perjuangan asal mereka dan parti itu lebih rela tunduk kepada pemimpin bukan Islam berbanding berhadapan dengan kekalahan kerana mahu menegakkan kerajaan Islam.

"Jangan kata kerajaan BN/UMNO itu tidak menegak Islam, sejak merdeka Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Malaysia pertama) telah meletakkan asas Islam di peringkat paling tinggi iaitu sebagai agama Persekutuan," katanya.

Katanya, selepas rakyat Terengganu menolak PAS pada 2004, kini giliran rakyat di Kedah pula yang bangkit dan kecewa dengan pemerintahan PAS yang gagal membawa perubahan di negeri itu sejak sepenggal lalu.

- Bernama

Azizan Enggan Jawab RM3 Bilion Hutang Kerajaan Kedah...


Inilah padahnya bila PR memerintah, negara boleh bankrap dengan sekelip mata saja....

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak enggan mengulas mengenai hutang kerajaan negeri yang didakwa telah mencecah sehingga RM3 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu di bawah pimpinan kerajaan negeri PAS.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, sekadar berkata kerajaan negeri telah berusaha keras untuk meningkatkan hasil selama ini.

Beliau semalam diminta mengulas mengenai isu hutang yang telah sekali lagi diketengahkan oleh Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang.

Tan mendakwa bahawa hutang kerajaan negeri berjumlah RM2 bilion sebelum tahun 2008 tetapi telah meningkat kepada RM3 bilion termasuk pinjaman RM330 juta untuk pembinaan Kolej Universiti Insaiah (Kuin) di Kuala Ketil.

"Pinjaman tersebut telah diambil oleh sebuah syarikat negeri berkaitan kerajaan untuk membiayai projek Kuin," katanya kepada sidang akhbar di pejabat Gerakan negeri semalam.

Tan mula-mula membangkitkan isu hutang berkenaan pada Rabu lepas dan kemudian menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Azizan, yang telah diterima oleh pegawai khasnya Mohd Rosli Azmi.

Beliau memetik Laporan Ketua Audit 2011 menyatakan bahawa kerajaan negeri hanya memperoleh RM193.22 juta dalam bentuk wang tunai.

Beliau sekali lagi mempersoalkan mengapa tiada kerja dilakukan ke atas kedua-dua projek perumahan kos rendah di Bandar Darulaman di Jitra dan Pokok Sena, di mana Azizan menjawab bahawa kelewatan itu adalah disebabkan isu-isu teknikal.