Friday, March 1, 2013
Lahad Datu: Dua Komando Polis Maut Terkena Serangan Mortar
LAHAD DATU - Dua komando polis terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina, di sini hari ini.
Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.
Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.
"Sehingga kini tiada pengesahan polis, kami hanya melihat mayat dengan boot hijau diusung ke dalam trak tersebut," katanya yang terpaksa keluar dari kawasan Felda itu setelah diarahkan pihak berkuasa.
Pada 2 petang, beliau berkata pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku.
Setakat ini, tiada pihak berkuasa boleh mengesahkan identiti anggota yang maut.
-Bernama
Mereka (Penceroboh) Melepaskan Tembakan Kearah Kita - Hishammuddin
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan berlaku tembakan di kawasan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah jam 10 pagi tadi tetapi dimulakan pihak penceroboh.
Beliau berkata, pasukan keselamatan Malaysia tidak memulakan sebarang insiden tembakan.
“Saya mengesahkan bahawa pasukan kita tidak melepaskan sebutir tembakan pun tetapi menerima tembakan pukul 10 pagi ini,” katanya.
(Lahad Datu – I confirm that our security forces have not taken a single shot but were shot at 10am this morning!- Hishamuddin Hussein).
Hisahmmuddin bagaimanapun mengesahkan keadaan masih terkawal.
Pada 12 Februari lalu, lebih 100 lelaki bersenjata yang memakai pakaian celoreng tentera mendarat di pantai Lahad Datu dengan sebuah bot.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai tentera diraja Sultan Sulu dan enggan warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke Filipina.
Mereka berkampung di Lahad Datu sejak dua minggu lepas. Sebahagian daripada mereka memiliki senjata berat.
Pertempuran Berlaku Di Lahad Datu
Media Filipina melaporkan bahawa beberapa orang telah terbunuh ketika penceroboh dari kesultanan Sulu berbalas tembak dengan tentera Malaysia di Lahad Datu.
Bagaimanapun ia tidak diketahui anggota dari pihak mana yang terbunuh dalam kejadian tersebut.
Akhbar Philippine Star melaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia memulakan serangan ke atas kubu pihak penceroboh tersebut hari ini.
Akhbar itu memetik laporan radio yang menemubual beberapa saudara-mara Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram, termasuk adiknya Azzimudie Kiram yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu, sebagai berkata terdapat beberapa kematian dalam kejadian tersebut.
Perbualan telefon dengan ketua pemberontak terputus.
Adik Sultan Sulu, Jamalul Kiram III iaitu Raja Muda Agbimuddin Kiram mendakwa pasukan keselamatan Malaysia pada Jumaat mula melepaskan tembakan ke arah kumpulan bersenjata dari Filipina yang menceroboh masuk ke sebuah kampung di Sabah.
Dalam satu temu bual bersama radio dzBB kira-kira pukul 10 pagi Jumaat, Agbimuddin Kiram yang juga ketua kumpulan tersebut berkata, mereka telah ditembak dan terpaksa mempertahankan diri.
“Biglang pumasok sa amin (Mereka datang dengan tiba-tiba), kami perlu mempertahanakan diri sendiri,” kata Raja Muda Agbimuddin Kiram.
Ketika ditanya masa pasukan keselamatan Malaysia bertindak, dia berkata: “Oras na ito (pada waktu ini).”
Bunyi tembakan kedengaran ketika temu bual itu diadakan.
Temu bual itu kemudiannya terputus.
Dalam temu bual kedua dengan stesen radio, Agbimuddin Kiram berkata, dia menerima laporan bahawa beberapa anggotanya cedera dan memberitahu mereka tidak akan ada berundur atau melakukan gencatan senjata.
“Meron na (Terdapat anggota yang cedera),” katanya dalam temu bual itu apabila ditanya jika ada anggotanya yang cedera, beberapa saat selepas temu bual pertama itu terputus.
Ketika ditanya sama ada terdapat polis Malaysia yang cedera, dia berkata:”Ewan ko (Saya tidak tahu).”
Mynewshub
Subscribe to:
Comments (Atom)






