Friday, August 30, 2013

Lebih 10,000 Meriahkan Suasana Rumah Terbuka ‘Merdeka Raya’ Sayap UMNO


Rumah Terbuka Merdeka Raya yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berlansung dengan suasana penuh meriah apabila lebih 10,000 jemputan dari pelbagai peringkat umur dan bangsa menghadiri majlis tersebut.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang tiba selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman di PWTC bersama isteri masing-masing bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Najib dan Muhyiddin meluangkan masa kira-kira sejam menikmati juadah dan seterusnya bergegas untuk menghadiri mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dijadualkan pada pukul tiga petang ini.


Selain itu, turut kelihatan hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh, Ketua Wanita UMNO,Datuk Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Dato Megat Firdaouz Tan Sri Megat Junid, exco Pemuda UMNO dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Orang ramai yang hadir dari pelbagai peringkat lapisan umur dan bangsa kelihatan kelihatan teruja dan gembira dengan kehadiran kepimpinan tertinggi negara dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan.- Umno Online

Thursday, August 29, 2013

Desak PM Letak Jawatan : Irwan Fahmi Harus Sedar Diri



Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mempersoalkan kedudukan Ketua Pemuda Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berhubung kenyataan beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Menurut Khairy, Irwan Fahmi seharusnya tahu di mana kedudukannya sekarang ini dan desakan tersebut seharusnya diberikan kepadanya.

"Siapa dia yang mahukan Perdana Menteri letak jawatan? Sebelum die desak Perdana Menteri, seharusnya dia yang letak jawatan dulu.

"Dia hanyalah Pemuda Perkasa. Sedangkan presiden dia pun kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu," katanya kepada media pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Stadium Juara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Irwan Fahmi yang mendesak Najib meletakkan jawatan kerana mendakwa Perdana Menteri itu masih lagi menggunakan kaedah lama yang masih lagi meminggirkan kaum pribumi di negara ini dan mengagungkan kaum lain.

-Rakyat News

Tanda Putera: Khairy bidas Guan Eng tidak rasional


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP kerana mengamalkan sikap pilih kasih apabila meminta semua pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem kontroversi, Tanda Putera.

Beliau menegaskan, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu bersikap rasional kerana filem berkenaan memaparkan sejarah negara selepas mencapai kemerdekaan.

"Filem Tanda Putera ini tiada kena mengena langsung dengan DAP. Kenapa Guan Eng terasa? Kenapa perasan sangat? Tak ada kena mengena dengan beliau ataupun (Lim) Kit Siang.

"Ini cerita sejarah. Kalau adapun babak-babak dalam filem itu menggunakan lesen kreatif dengan kreativiti pengarah...itu perkara biasa dalam mana-mana filem sejarah," katanya pada sidang media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan Pulau Pinang semalam yang meminta semua pengusaha panggung wayang di negeri itu supaya tidak menayangkan filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Lim mendakwa filem itu mempunyai adegan yang boleh mencetuskan provokasi apabila beberapa pemuda Cina dipaparkan membuang air kecil di perkarangan rumah Menteri Besar Selangor serta di satu tiang bendera Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairy berkata sikap DAP yang menentang penayangan filem berkenaan juga jelas tidak selaras dengan prinsip parti itu yang sebelum ini lantang memperjuangkan hak demokrasi dan kebebasan bersuara.

"Bagi saya amat tidak munasabah sebagai parti yang kononnya menjulang demokrasi serta yang sentiasa memperjuangkan kebebasan bersuara, tetapi tiba-tiba bila ada filem yang berdasarkan kepada sejarah...mereka minta supaya tidak ditayangkan di pawagam.

"Semua rakyat harus menonton filem ini. Kalau adapun rasa marah, kita tak marah kepada mana-mana kaum. Tapi kita marah dengan pengganas komunis yang terdiri daripada kaum Cina malah Melayu pun ada...kita marah komunis, pengganas," katanya.

Tanda Putera memaparkan kisah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein lakonan Rusdi Ramli dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman lakonan Zizan Nin berusaha memulihkan negara susulan peristiwa pergaduhan antara kaum pada tahun 1969.

Filem yang dihasilkan pada tahun 2011 itu bagaimanapun tidak diluluskan oleh Jemaah Menteri yang membuat keputusan menangguhkan tayangannya kerana dikatakan terdapat adegan yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

-Antarapos