Wednesday, December 3, 2008

Zaid Ibrahim dipecat dari Umno

Rumah terbuka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru pada 12 Oktober 2008

Inilah padahnya apabila membelakangkan parti dan menghiris perasaan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu. Perbuatan Datuk Zahid Ibrahim tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Datuk Zaid Ibrahim dipecat dari Umno ekoran tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Keputusan Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemecatan Zaid itu berkuatkuasa serta merta.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam.

Zaid juga dilaporkan berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas Zaid lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Surat tunjuk sebab

Awal bulan lalu, Zaid Ibrahim menerima surat tunjuk sebab dari Umno berkaitan dengan surat terbukanya kepada perdana menteri dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan ISA.

Parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabient kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Beliau juga turut melepaskan jawatan senator.

Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

Tuesday, December 2, 2008

Tunggu apa lagi, keluar saja la….

Parti Progresif Penduduk (PPP) disaran keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekarang tanpa perlu menunggu pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mencabar Parti Progresif Rakyat (PPP) pimpinan Datuk M. Kayveas supaya segera keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan tidak perlu menunggu sehingga pilihan raya ke-13 pada 2012.

Beliau berkata, PPP sering membuat 'kacau' dalam BN dan yang terbaru mengugut akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

''Saya minta Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menyahut ugutan Presiden PPP, Datuk M.Kayveas dengan menyingkirkan segera PPP.

''Lagipun parti kecil itu tidak memberi banyak sumbangan dan kepentingan kepada perpaduan BN,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Syed Ali turut menyeru orang Melayu yang menyertai PPP supaya bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO kerana pimpinan PPP hanya mengutamakan agenda politik peribadi daripada kepentingan negara.

Syed Ali juga kecewa kenyataan terbuka Kayveas menggambarkan kerajaan menggunakan ISA untuk menekan mana-mana pihak kerana kepentingan politik.

''Pemimpin PPP itu sewajarnya mengemukakan rasa tidak puas hati melalui saluran tertentu atau dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,'' katanya.

''Kenapa hendak tunggu hingga 2012? UMNO tidak akan rugi dan terkilan jika PPP bertindak keluar BN. Tiada untungnya dia (PPP) berada bersama BN jika sekadar menyusahkan kerajaan BN,'' kata Syed Ali.

Jelas beliau, Kayveas harus faham bahawa ISA dikekalkan untuk mengekang sebarang bentuk keganasan atau kegiatan bercorak militan yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada yang berdaftar atau haram.

''Kerajaan tetap bertegas menggunakan ISA kerana tidak mahu negara ini terjebak dengan kegiatan keganasan seperti yang berlaku di Thailand, Filipina dan India,'' katanya.

Di IPOH, UMNO Bahagian Tanjong Malim menggesa Kayveas membawa keluar partinya daripada BN jika terus mengugut kerajaan meminda Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, kenyataan yang dibuat oleh Kayveas berbaur ugutan jahat dan amat menyakitkan hati.

Katanya, Presiden PPP itu boleh membawa partinya keluar BN sekarang tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum Ke-13.

''BN tidak perlu tunduk kepada sebarang ugutan jahat daripada mana-mana parti komponennya dan Kayveas telah membuat berkali-kali ugutan seumpama itu semata-mata hendak mendapat sokongan murahan penyokongnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Khusairi Abdul Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, BN akan lega jika PPP keluar daripada komponen BN sekarang kerana parti itu sudah lama menjadi duri dalam daging sejak Kayveas menjadi Presidennya.

''Kayveas perlu terima hakikat bahawa PPP mampu bernafas ketika ini kerana berada dalam komponen BN. Jika keluar daripada BN, rakyat tidak akan mempedulikannya lagi," kata beliau.

Monday, December 1, 2008

Soi Lek dituntut minta maaf

Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) hari ini menuntut Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek supaya memohon maaf kepada orang Melayu berhubung ucapannya yang menyentuh tentang ketuanan Melayu minggu lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

Dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya pada 27 November lalu, Dr Chua berkata, konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah dan slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

Dr Chua dilaporkan berkata: "Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu."

Teks ucapannya itu dimuatkan dalam laman blog milik Dr Chua - http://drchua9.blogspot.com.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili GGMM) telah menyerahkan notis tuntutan guaman kepada Dr Chua di ibupejabat MCA petang tadi.

Beliau datang bersama enam wakil GMM. Turut kelihatan enam anggota polis berada di situ.

Dalam notis tersebut, GMM mendakwa kenyataan Dr Chua itu berbaur hasutan untuk membenci orang Melayu.

Notis tersebut diterima oleh wakil Dr Chua yang juga setiausaha kepada ketua pentadbir ibupejabat MCA, Yap Chin Chin.

Dalam notis tersebut, GGMM menuntut Dr Chua memohon maaf melalui laman blognya dalam tempoh 24 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut petang ini.

Bagaimanapun, kata GGMM dalam notis tersebut, draf permohonan maaf itu hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh pihaknya sebelum disiarkan.

GMM juga menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM2 juta yang akan didermakan sepenuhnya kepada agensi amanah untuk bangsa Melayu/Islam.

Menurutnya, Dr Chua mengabaikan notis tuntutan tersebut, GGMM akan memfailkan saman terhadap timbalan presiden MCA itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

GGMM juga, tambah notis tersebut, akan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Chua daripada terus menghina orang Melayu.

Sumber Malaysiakini