Wednesday, March 18, 2009

Nik Aziz berhati batu - bidas Hadi : Kerajaan Campuran



Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membidas tindakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mencadangkan pembentukan kerajaan campuran PAS-Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Nik Aziz melihat tindakan Abdul Hadi itu sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan parti itu di Ipoh Ogos lalu yang menolak usaha pembentukan kerajaan campuran dengan BN.

Sambil menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai pandangan peribadi, Nik Aziz menegaskan satu mesyuarat khusus sepatutnya diadakan untuk membincangkan perkara itu.

"Itulah yang saya sebut, kalau nak bahas masalah kerajaan dengan Umno kena ada mesyuarat khusus. Jangan buat keputusan lain, cakap lain, itu saya tak setuju.

"Saya tetap dengan keputusan Muktamar (Tahunan PAS ke-54 yang lalu), barulah dikatakan kedudukan kita stabil dan kita dipanggil berdisiplin," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pelabur dari Taiwan di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tetap berpegang kepada keputusan bersama dalam muktamar, iaitu PAS tidak mahu mengadakan kerjasama dengan BN, termasuk pembentukan kerajaan campuran.

Katanya, beliau hanya akan akur dengan cadangan Abdul Hadi itu sekiranya semua ahli jawatankuasa PAS Pusat bersetuju mewujudkan kerajaan campuran dan keputusan itu perlu ditetapkan dalam mesyuarat khas berkenaan.

"Apa kita nak bercanggah dengan keputusan muktamar, kalau buat mesyuarat dan semua menyokong, kita akan buat, tak ada masalah," katanya.

Nik Aziz berkata beliau menentang cadangan Abdul Hadi itu kerana ia bertentangan dengan dasar parti selain dikhuatiri ia tidak akan membawa kebaikan pada PAS.

Cadangan Abdul Hadi itu sebelum ini dipersetujui Dewan Pemuda PAS Pusat yang disifatkan bertepatan dengan masa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuntut Abdul Hadi memberi penjelasan berhubung cadangannya itu kepada pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan DAP, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat.

Penyokong Ali Rustam jumpa PM


Kira-kira 150 penyokong Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertemu Perdana Menteri malam tadi meminta beliau mempertimbangkan keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarang Ketua Menteri Melaka itu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Kumpulan penyokong dari Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang itu, berkumpul di TUDM Subang kira-kira pukul 9 malam bagi menunggu ketibaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari Indonesia yang tiba kira-kira pukul 10.45 malam.

Ketua Umno Bahagian Batu Gajah, Datuk Mohd Yusoff Kassim ketika ditemui media di sini malam ini berkata mereka sempat menemui Abdullah dan menyampaikan harapan supaya Presiden parti itu mengkaji semula keputusan yang dibuat.

"Kami meminta Perdana Menteri supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk melarang Mohd Ali (bertanding) dan beliau memberikan respons yang positif," katanya.

Menurut Mohd Yusoff, pada pertemuan hampir 20 minit itu, Abdullah berjanji akan memikirkan perkara itu dan akan menemui Mohd Ali esok.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, yang merupakan calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak melanggar tataetika ahli parti. BERNAMA

TERUSKAN PERJUANGAN!


Calon Timbalan Presiden UMNO

Ali Rustam kemuka rayuan hari ini


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarangnya bertanding jawatan timbalan presiden minggu depan.

Beliau bagaimanapun menafikan melakukan sebarang kesalahan dan mengemukakan rayuan hari ini.

Mohd Ali turut memohon maaf kepada para penyokongnya dan meminta mereka supaya bertenang dan bersatu demi perpaduan parti.

Walaupun dilarang bertanding, beliau akan menghadiri perhimpunan agung Umno dan terus bekerja untuk kebaikan Umno.

Berita sebelum ini

Penyokong Ali berkumpul di pejabat Umno

Kira-kira 15 orang yang dipercayai ahli Umno yang menyokong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkumpul di luar bangunan ibupejabat Umno sambil melaungkan 'Hidup Datuk Ali'.

Mereka juga turut melaungkan "Hanya Datuk Ali boleh merubahkan Umno".

Manakala sidang akhbar Lembaga Disiplin Umno berlangsung di tingkat 38 bangunan tersebut di mana Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno selepas ejennya didapati bersalah terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Ketua kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Amran Ahmad, ketika bercakap kepada pihak media berkata "kalau nak bersih, bersihkan semua sekali".

"Kalau nak telus, semuanya kena telus," katanya. Mereka berkumpul selama lima minit.

Sebelum itu, kira-kira 40 anggota polis - separuh daripadanya adalah anggota pencegah rusuhan - kini ditempat di pintu bangunan ibupejabat Umno di ibunegara.

Kira-kira 15 anggota kelihatan berada di luar pintu masuk ke bangunan tersebut, manakala yang lainnya duduk di dalam trak.

Manakala kira-kira 30 orang wartawan dan jurugambar diminta oleh pihak ibupejabat Umno supaya berkumpul di lobi bangunan tersebut, sebelum dibenarkan naik menghadiri sidang akhbar tersebut.

Pagi tadi, tersebar pula desas-desus bahawa sekumpulan ahli Umno akan berhimpun di ibupejabat Umno kerana tidak puas hati dengan cara dan keputusan Lembaga Disiplin Umno menjalankan siasatan.

Menurut sumber-sumber, mereka dijangka datang dari beberapa negeri dan akan berhimpun di PWTC setengah jam sebelum sidang akhbar tersebut diadakan.