Monday, July 13, 2009

Manik Urai Bakal Jadi Kawasan Pembangunan Baru - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Manik Urai akan menjadi kawasan pembangunan baru di Kelantan jika Barisan Nasional (BN) diberikan peluang memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu Selasa ini.

Tawaran kerajaan BN itu dijangka mampu merubah bukan sahaja pembangunan di kawasan itu malah ekonomi dan sosial penduduk, yang majoritinya bekerja sebagai penoreh getah yang sememangnya dahagakan pembangunan.

"Jika itu (pembangunan) yang mereka mahukan, kita (BN) sedia bantu tetapi mereka harus bantu kita dengan menilai apa yang mereka sumbangkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Baru di sini hari ini.

Katanya, dakyah pembangkang yang mengatakan rakyat di kawasan itu tidak mementingkan pembangunan adalah tidak benar kerana rata-rata rakyat yang ditemui beliau dalam tempoh kempen pilihan raya kecil itu mengemukakan pelbagai permohonan projek pembangunan.

"Saya telah datang sini untuk kali kelima, saya tinjau hampir semua kawasan di Manik Urai, bukan sahaja peti undi tetapi juga kampung-kampung yang saya lihat masih perlu dan dahagakan pembangunan.

"Dalam pertemuan dengan semua pemimpin tempatan, mereka menyuarakan hasrat supaya kerajaan pusat bantu melengkapkan apa yang tidak cukup, baik dari segi sekolah, kemudahan infrastruktur, jambatan, masjid, surau, di samping pembangunan ekonomi penduduk," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keadaan itu jelas menunjukkan rakyat amat memerlukan pembangunan, namun dalam masa yang sama kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

Oleh itu, katanya ceramah pemimpin PAS langsung tidak menyebut soal pembangunan seolah-olah ia merupakan perkara tidak penting dan cuba menutup kelemahan kerajaan negeri yang tidak mampu menyediakan pembangunan.

"Apabila saya turun ke bawah semua orang hendakkan pembangunan nilainya berjuta-juta ringgit. Jadi saya beri dua cara untuk selesaikan masalah mereka.

"Satu mohon pada tok guru (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), yang kedua minta bantuan kepada saya serta kerajaan pusat dan kalau betul-betul (memerlukan), kita sedia bantu. Tetapi mereka harus bantu kita dahulu," katanya.

Beliau juga mengulangi cabaran supaya Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan supaya menyenaraikan projek pembangunan yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir negeri itu.

"Sampai hari ini saya nak cabar balik beliau buktikan apa projek pembangunan yang telah dijalankan sepanjang menjadi Menteri Besar. Adakah masjid yang bina lebih banyak daripada kerajaan BN buat semasa memerintah, kita minta dia senaraikan.

"Kalau dia kata nak membangun bersama Islam, dalam tempoh 20 tahun, cuba dia senaraikan apa yang telah dia buat dari segi undang-undang Islam, hukum, pembangunan keluarga Islam, kemudahan sekolah agama, masjid ke, surau ke?

"Saya cabar itu bukan saya main-main sebab saya nak bagi tahu kepada rakyat di Manik Urai bahawa segala mereka nyatakan tak penting itu adalah satu kenyataan yang tidak benar," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak terlalu emosional dan terlalu mengagung-agungkan Nik Abdul Aziz kerana dia gagal menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin negeri.

Tempoh selama 20 tahun, telah cukup membuktikan ketidakupayaan PAS membangunkan negeri ini dan jika ada tanda pembangunan sekalipun ia adalah disebabkan sumbangan besar yang diberikan oleh kerajaan pusat di bawah pentadbiran BN.

Sementara itu mengulas mengenai kehadiran Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa di Masjid Kampung Perial semalam ,Muhyiddin menyifatkan ia sebagai tindakan terdesak dan satu sandiwara untuk menutup keretakan yang berlaku dalam parti itu.

Thursday, July 9, 2009

UMNO cabar Pas jemput Nasharudin beri ceramah

KUALA KRAI - UMNO Kelantan mencabar Pas supaya menurunkan Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa untuk berceramah di Manek Urai bagi membuktikan memang tiada 'perang dingin' antaranya dengan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Husin berkata, sebagai tambahan bagi membuktikan kekuatan pakatan rakyat pula terutama ekoran krisis DAP Kedah, Pas juga dicabar menjemput Teresa Kok atau mana-mana pemimpin parti itu untuk turut sama berceramah.

''Saya hairan mengapa Pas terlalu takut untuk membawa tokoh berpidato seperti Nasharudin dan Teresa. Saya juga tidak faham kenapa Timbalan Presiden itu diketepikan sedangkan sebelum ini beliau banyak berkempen membantu parti-parti dalam pilihan raya kecil di semua tempat.

''Apa yang istimewa sangat dengan Manek Urai atau Pas sebenarnya sedang menyembunyikan hakikat bahawa Nasharudin adalah liabiliti kepada parti atau memang dia 'malu mata' untuk datang kerana mempunyai masalah dengan Nik Aziz," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa diminta mengulas kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Pas, Abdul Fatah Harun bahawa Nasharudin bukannya liabiliti kepada parti walaupun beliau tidak dijemput untuk memberikan ceramah di Manek Urai.

''Saya yakin Pas akan hilang undi mereka jika Nasharudin muncul kerana walaupun ahli parti itu telah dimaklumkan bahawa perselisihan faham akibat isu gagasan kerajaan perpaduan telah tamat tetapi masih ada penyokong yang membenci pemimpin itu.

''Jika saya berkuasa, saya akan menjemput Nasharudin kerana tujuannya adalah ikhlas dan jujur untuk perpaduan Melayu, agama dan negara tetapi Nik Aziz telah tersilap faham motif sebenar dan menjadikan beliau seperti kambing hitam.

''Kerana individu yang sepatutnya dipersalahkan ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bukannya Nasharudin," katanya.

Tambah Dali, Pas kini sedang berhadapan dengan krisis perpecahan dalaman yang amat teruk dan begitu kritikal tetapi cuba disembunyikan oleh pimpinan mereka.

''Benda buruk termasuk yang disembunyikan di bawah karpet atau tikar sekali pun akan berbau dan akhirnya terserlah keadaan sebenar Pas, hanya masa yang akan menentukan," katanya.