Thursday, March 18, 2010

HANGAT..HANGAT... ANU WAR PANAS TELINGA DAN LARI KELUAR DEWAN...


Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) hari ini menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat ‘16 September.’

Pendedahan itu juga menyebabkan Anwar ‘panas punggung’ sehingga mendorong beliau secara tergesa-gesa meninggalkan sidang Dewan.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang lain yang turut ‘panas telinga’ dengan pendedahan tersebut mengekori Anwar meninggalkan sidang itu.

Ketika itu Zahrain baru sahaja berucap lima minit membahaskan usul ucapan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong.

Zahrain mendedahkan bagaimana Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi.

Anwar kata Zahrain, turut ‘menjaja’ nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Zahrain yang memulakan ucapannya pada pukul 5.05 petang berkata, Anwar mendakwa kononnya Seri Paduka pada satu ketika pernah menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah ahli Parlimen BN yang melompat parti bagi menyertai pembangkang.

”Beliau mengakui bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan Persekutuan sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menyokong pelantikan tersebut,” tegasnya.

Pada ketika itu, Anwar dilihat bangun sambil berjalan keluar meninggalkan dewan.

Tindakannya itu diikuti ramai wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Tian Chua (PKR-Batu) dan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) pula kelihatan bangun mengherdik Zahrain tanpa mempedulikan nasihat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang meminta mereka bertenang.

Dewan menjadi riuh rendah apabila beberapa penyokong kerajaan antaranya Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan); Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) dan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) menjerit ‘pengecut,’ ‘penakut’ dan ‘kalau berani tunggu’ ke arah Anwar bagi mendesak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak keluar Dewan.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada ketika itu pula meminta supaya Yang Dipertua Dewan mengarahkan Gobalakrishnan keluar dari dewan kerana terus bangun dan menjerit.

Bagai melepaskan tembakan bertubi-tubi, Zahrain meneruskan perbahasannya dan dengan selamba menggelarkan perbuatan wakil-wakil rakyat pembangkang yang keluar dewan dan mengherdiknya sebagai sindrom penafian.

”Kami juga dibohongi (Anwar) kononnya salah seorang Timbalan Speaker (Dewan Rakyat) akan mempengerusikan usul undi tidak percaya (terhadap) kerajaan dan menyokong pakatan pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Gobalakrishnan yang dilihat masih tidak berpuas hati akhirnya diberi peluang oleh Zahrain untuk mencelah.

Gobalakrishnan yang pada mulanya gagal menyampaikan soalan dengan baik dan ditertawakan beberapa wakil rakyat BN menggunakan ruang itu dengan mendakwa Zahrain keluar PKR kerana gagal mendapat projek mengurus dan menyelenggara sebuah padang golf.

Zahrain menjawab dakwaan tersebut dengan mencabar Gobalakrishnan supaya mengulangi tuduhan itu di luar dewan supaya beliau boleh menyamannya.

Beliau seterusnya mendedahkan punca lain meninggalkan PKR adalah kerana parti itu yang pada mulanya memperjuangkan reformasi dan keadilan kini dilihat tertumpu kepada perjuangan peribadi individu tertentu.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu turut menyifatkan Anwar sebagai “raksaksa pelbagai wajah” ekoran pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dalam memperjuangkan orang Melayu dan kepentingan agama Islam.

Zahrain juga mendedahkan bahawa Anwar yang kini mendabik dada mahu memperkasakan institusi Islam di negara ini pernah menggelarkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ulama ‘terompah’ iaitu satu gelaran yang sinonim dengan tandas atau tempat kotor.

Selain itu, katanya, tindakannya keluar PKR adalah kerana parti itu terlalu ‘memperhambakan diri’ dan tunduk kepada DAP sedangkan Anwar pernah berjanji kepadanya bahawa mereka tidak akan sesekali mengikut telunjuk DAP.

Perbahasan Zahrain disambung esok.

Sementara itu, beliau yang ditemui selepas itu memberitahu hanya menggunakan kesempatan berbahas bagi menjelaskan punca meninggalkan PKR serta janji-janji yang pernah dibuat oleh Anwar sebelum ini.

Mengenai tindakan Anwar yang keluar dewan selepas beberapa minit beliau berucap berkata: ”Saya tidak tahu, saya tidak perasan pun tetapi apa yang penting ia tidak membawa apa-apa makna (kepada saya) dan saya hanya menyampaikan cerita sebelah saya.”


Monday, March 15, 2010

Pemuda BN lancar Rally 1Malaysia


Pemuda Barisan Nasional (BN) akan melancarkan program Rally 1Malaysia pada 17 April nanti bagi mendidik dan menarik lebih ramai generasi muda menghayati konsep 1Malaysia.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, program yang bakal dilangsungkan di Stadium Nasional itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Penyertaan nanti terbuka kepada semua generasi muda tanpa mengira latar belakang bagi mendidik mereka mengenai konsep 1Malaysia.

"Walaupun konsep 1Malaysia telah diterima baik khususnya oleh golongan muda tetapi program seperti ini penting bagi memastikan semangat tersebut sentiasa subur,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Pemuda BN di Wisma MCA, di sini hari ini.

Menurut Khairy, pada pelancaran program Rally 1Malaysia itu nanti, pihaknya juga akan melancarkan satu lagi program susulan iaitu Jom One Malaysia.

Jelasnya, Jom One Malaysia merupakan program jelajah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memperkenalkan lagi konsep 1Malaysia khusus kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membentangkan bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai cukai tersebut secara tepat.

"Kita melihat masih ramai rakyat yang tidak memahami dengan jelas apa itu GST dan pada masa yang sama juga, isu ini menjadi modal kepada pembangkang untuk memfitnah kerajaan," katanya.


Friday, March 5, 2010

Pas Dan Dap Bakal Terjerat Krisis PKR



Krisis yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bakal memberi tempias kepada rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, Dap dan Pas satu hari nanti dan tidak mustahil menjadi ‘api dalam sekam’ kepada pakatan pembangkang berkenaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata Konflik demi konflik, perbalahan demi perbalahan dan kontroversi demi kontroversi yang melanda parti itu bakal mengheret rakan pembangkang yang lain ke kancah berkenaan.


Menurut beliau, tindakan parti pembangkang yang masih lagi memberi kepercayaan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Ketua pembangkang walaupun kerusi parti itu di Parlimen berkurangan daripada sekutunya Dap akan dipersoalkan rakyat pada satu hari nanti.

“Rakyat akan tertanya-tanya. siapakah yang mempunyai kuasa dominan di kalangan pakatan pembangkang apabila timbul sesuatu isu. Ini kerana Dap mempunyai 28 kerusi, manakala PKR, 28 dan Pas 23, namun Anwar masih lagi Ketua Pembangkang.

“Sudah tentu bukan PKR lagi yang mempunyai kuasa dominan kerana mereka tidak lagi mempunyai majoriti di kalangan parti pembangkang setelah beberapa Ahli Parlimennya mengambil tindakan keluar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas perkembangan yang berlaku di dalam PKR setelah beberapa Ahli Parlimennya mengambil keputusan keluar parti. Semalam, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada PKR

Pengumuman terbaru daripada Mohsin Fadzli, 65, itu menjadikan tiga Ahli Parlimen PKR telah keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada 12 Februari dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng pada 1 Mac.

Turut berbuat demikian pada 28 Februari lalu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang turut mengumumkan menyertai UMNO.

Dengan tindakan terbaru itu, PKR kini mempunyai 28 Ahli Parlimen, DAP (28), Pas (23) dan Bebas (enam). Barisan Nasional (BN) pula menguasai 137 daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN seterusnya menegaskan, pembangkang sebenarnya tidak mempunyai pelan kepimpinan yang menyebabkan mereka terus memberi kepercayaan kepada Anwar sebagai peneraju kepimpinan pakatan pembangkang.

“Apa pun kita tunggu dan lihat perkembangan terkini di dalam krisis kepimpinan di dalam pakatan pembangkang yang semakin hari mengundang masalah,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Khairy menerima kunjungan Pemuda PPP Kebangsaan yang diketuai oleh Sdr Jamaludin Gulamhan bersama Ahli Jawatankuasa yang lain. Turut hadir, Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Exco Pemuda BN yang lain.

Menurut khairy, pertemuan itu antara lain membincangkan strategi serta beberapa perancangan serta pelaksanaan dalam usaha mengukuhkan Pemuda BN berpaksikan semangat 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Pada kesempatan pertemuan hari ini, kita melihat bagaimana Pemuda parti-parti komponen BN khususnya Pemuda PPP dalam usaha memperkemaskan lagi Pemuda BN dalam pelbagai aspek terutama dari sudut program dan pelbagai yang lain.

“Alhamdulillah, hari ini kita melihat komitmen Pemuda PPP dalam membantu menjayakan program Pemuda BN terutama dari sudut penambahan keahlian dan sebagainya. Selepas ini, kita akan bincang bagaimana Pemuda PPP sebagai parti yang keahliannya terdiri daripada pelbagai kaum dapat memainkan peranan di kawasan bandar. Inilah harapan kita kepada semua Pemuda parti komponen yang lain,"katanya.

Pada masa yang sama, Khairy turut merakamkan penghargaan kepada sayap Pemuda parti komponen yang tetap berdiri dan bersatu padu di dalam Pemuda BN meskipun terdapat sesetengah parti induknya menghadapi beberapa masalah.

“Dalam pertemuan dengan Pemuda PPP sebentar tadi pun, kita telah mendapat persetujuan yang mana apa sahaja yang berlaku di dalam parti induk, ianya tidak akan melibatkan Pemuda PPP.

“Malah kita penuh yakin, berdasarkan prinsip ini, Pemuda BN tidak akan terjejas, sebaliknya akan terus kuat untuk membantu dalam membela nasib rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Sumber Laman Web Pemuda