Thursday, July 1, 2010

Tun Omar Ong Meninggal Dunia, Jenazah Dikebumi Di Makam Pahlawan




KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Tun Omar Ong Yoke Lin, 92, yang memainkan peranan penting dalam pencapaian kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, meninggal dunia di sini Khamis kerana sakit tua.

Menurut seorang pembantu kepada isteri beliau Toh Puan Datin Paduka Hajah Dr Aishah, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di No. 44, Persiaran Duta pada pukul 8.15 pagi.

Jenazahnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan, sebelah Masjid Negara pada pukul 4.30 petang hari ini.

Allahyarham merupakan salah seorang pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara sebelum dan selepas kemerdekaan.

Beliau terlibat dalam penubuhan perikatan Umno dan MCA, dan menyertai delegasi Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman untuk rundingan di London mengenai pencapaian Kemerdekaan pada tahun 1957.

Allahyarham yang pernah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet, juga merupakan salah seorang daripada mereka yang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada 1963.

-- BERNAMA

Anwar Beritahu Rakan Amerika Beliau Kesal Guna Istilah "pencerobohan Zionis"


KUALA LUMPUR, 30 Jun- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu rakan-rakannya di Amerika bahawa beliau kesal kerana telah menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis", lapor akhbar Washington Post pada Isnin.

Dalam artikel yang ditulis timbalan editor ruangan rencana pengarangnya Jackson Diehl, akhbar itu berkata Anwar berada di Washington selama beberapa hari minggu lepas.

"(Beliau) menghabiskan banyak masa untuk memberi penjelasan kepada rakan-rakan lama, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Howard Berman dan seorang dua pemimpin Yahudi," tulis Diehl dalam artikel bertajuk "Flirting with zealotry in Malaysia" (Bercanda dengan kefanatikan di Malaysia).

Anwar berkata beliau kesal kerana telah menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis" yang lazim digunakan oleh "penghasut terkenal seperti Mahmoud Ahmadinejad", kata Diehl.

"Kenapakah saya menggunakannya sedangkan ia telah menimbulkan begitu banyak salah faham? Saya perlu lebih berhati-hati," kata Anwar, yang juga penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) seperti yang dipetik penulis itu.

Akhbar itu juga menyebut bahawa Anwar menyertai satu tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika di Kuala Lumpur baru-baru ini di mana sehelai bendera Israel telah dibakar dan telah membuat sindiran pedas tentang firma perhubungan awam berpejabat di Washington "yang dikuasai Yahudi" Apco Worldwide, yang digunakan khidmatnya oleh kerajaan Malaysia.

Diehl berkata kebanyakan rakan Anwar, termasuk bekas diplomat dan bekas pemimpin Bank Dunia Paul Wolfowitz nampaknya berkecenderungan untuk memberi peluang kepada beliau untuk bernafas.

Diehl berkata Wolfowitz memberitahu beliau: "Apa yang Anwar lakukan adalah salah, tapi memandangkan beliau sedang bergelut untuk hidup -- secara fizikal dan dalam bidang politik -- daripada serangan sebuah kerajaan yang menyifatkannya sebagai 'boneka Yahudi', kita patut beri sedikit ruang kepadanya".

Kata Diehl dalam perbicaraan kes liwat keduanya sekarang, Anwar tidak mendapat sokongan daripada Amerika seperti yang diterimanya ketika menghadapi tuduhan liwat kali pertama dahulu di mana naib presiden ketika itu dan rakan-rakannya yang lain telah membela pemimpin pembangkang itu.

Presiden Barack Obama sendiri tidak berkata apa-apa secara terbuka tentang Anwar ketika beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Washington pada April, katanya.

Beliau berkata Anwar mempunyai cara sendiri untuk melawan dengan cuba membalas balik tuduhan bahawa beliau adalah ejen Israel dan "pengampu Amerika yang memuja Wolfowitz".

"..dia cuba melawan balik dengan mendakwa Apco telah memanipulasikan kerajaan supaya menyokong kepentingan Israeli dan Amerika. Beliau juga berkata ejen Israel telah menyusup ke dalam pasukan keselamatan Malaysia dan terlibat secara langsung dalam perjalanan kerajaan," tulis Diehl.

-- BERNAMA

Nik Aziz Cabar Karpal Buktikan Dasar Islam Pas Salah




KOTA BAHARU, 30 Jun (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Beliau, yang juga Menteri Besar Kelantan, menganggap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Nik Abdul Aziz berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, termasuk DAP.

Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir dari pemimpin parti pakatan pembangkang yang mencurigai hasrat PAS itu, ia merupakan pendapat peribadi masing-masing.

"Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar PAS itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, Rabu.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas, sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri, bukannya dari DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS itu salah, kata Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, setakat ini Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Mengenai pengeluaran lesen minuman keras di negeri ini, beliau mengakui kerajaan negeri ada mengeluarkan lesen premis perniagaan untuk menjual minunam keras di kalangan bukan Islam di negeri ini.

"Kerajaan hanya mengurus atur lesen premis penjualan minuman arak kepada bukan Islam, tetapi tetap tidak membenarkan orang Islam minum minuman keras itu. Kita juga tetap tidak mengeluarkan lesen untuk premis perjudian, kerana judi diharamkan oleh semua agama," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti pembangkang mahu kerajaan negeri pimpinan PAS Kelantan membuktikan tidak mengeluarkan lesen judi dan arak di negeri itu.



-- BERNAMA