Saturday, July 3, 2010

Zaharin Dedahkan: Zaid Ibrahim Satu Hotel Dengan RPK Di London


Ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa beliau mempunyai dokumen bagi membuktikan bahawa blogger Raja Petra Kamarudin dan penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menginap di hotel yang sama ketika berada di United Kingdom, tahun lalu.

"Saya mempunyai dokumen tempahan hotel mereka. Raja Petra membuat tempahan dari 1hingga 4 Oktober di Britannia Hotel di Manchester dan Zaid membuat tempahan di hotel yang sama dari 1 hingga 3 Oktober,” katanya kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.

Ahli parlimen PKR yang berpaling tadah Februari lalu dan mengisytiharkan dirinya wakil Bebas mempersoalkan perkara berkenaan dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) meyiasat bagi menentukan kaitan kedua-dua mereka.

"Saya minta SPRM menyiasat siapa yang membiayai kos penginapan Raja Petra di London. Apa yang dilakukan oleh Zaid dengan penjenayah itu di Manchester?” soal Zahrain.

Diasak wartawan, sama ada beliau mendakwa Zaid yang membekalkan dana berkenaan, Zahrain menafikan perkara tersebut tetapi berkata dia mahu SPRM menyiasat perkara itu sehingga akar umbi.

Zahrain juga mendakwa beliau mempunyai salinan email dari Raja Petra kepada anak perempuannya yang menyatakan bahawa beliau menerima RM470,000 daripada Amarjit Singh.
Zahrain berkata, oleh kerana Amarjit adalah peguam bagi kedua-dua Raja Petra dan PKR, wang berkenaan mungkin datang dari bekas partinya itu.

"Berdasarkan tempahan hotel, saya tahu ada kaitan antara orang kanan PKR itu dengan Raja Petra. Justeru, saya mahu Mohd Nazri Abdul Aziz dan SPRM menyiasat,” katanya.
Zahrain berkata beliau akan menyerahkan maklumatnya itu kepada Nazri selepang sidang medianya.

Friday, July 2, 2010

SPR: Nisbah pengundi baru 2:1, bukan 1:40





Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan jumlah sebenar pendaftaran bagi pemilih baru antara Melayu dan bukan Melayu adalah dalam nisbah 2:1, bukannya 1:40.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) nisbah dua Melayu dan 1 bukan Melayu itu dikira berdasarkan lebih setengah juta pendaftaran baru sejak suku tahun pertama 2008 hinggalah suku tahun pertama pada tahun ini.

Hari ini, Abdul Aziz menjelaskan daripada keseluruhan 569, 137 pemilih baru, sebanyak 62 peratus atau 355,807 orang daripada kalangan orang Melayu, Cina sebanyak 23.03 peratus (131,047 orang) dan India 4.89 peratus (27,823 orang).

Manakala bagi bumiputera Sabah pula sebanyak 3.67 peratus (20,871 orang), bumiputera Sarawak sebanyak 4.76 peratus (27.104 orang), Orang Asli 0.42 peratus (2,378) dan lain-lain sebanyak 0.72 peratus (4,109 orang).

Melayu terus mundur jika ikut cara, idea PERKASA

Kiriman surat dari anak melayu:

Sebelum saya mengorak lebih lanjut lagi di dalam isu ini, ingin saya berkongsi sedikit sebanyak latar belakang saya di mana saya adalah seorang anak muda Melayu yang biasa.

Bapa saya bekerja di sebuah bank swasta sebagai kerani manakala ibu saya pula mengajar di sebuah sekolah kebangsaan. Saya baru sahaja menamatkan pengajian di sebuah politeknik dan mendapat diploma dalam bidang pegajian peniagaan. Peluang pendidikan yang diberi kepada saya adalah hasil daripada dasar kerajaan Barisan Nasional dan perjuangan Umno yang banyak membantu orang Melayu.

Saya harap usaha kerajaan untuk terus membantu orang Melayu dapat diteruskan. Ini kerana orang Melayu masih merupakan majoriti rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah.

Tanpa peluang yang diberi oleh kerajaan, orang Melayu akan terus mundur dan miskin. Keadaan ini boleh mengundang masalah kestabilan negara kerana apabila kaum majoriti juga merupakan kaum yang paling miskin, ketegangan akan wujud dan bakal menempa risiko rusuhan dan pertumpahan darah.

Walaupun saya setuju dan menyokong dasar kerajaan yang mahu terus membantu orang Melayu, saya percaya satu perubahan drastik perlu dibuat kepada pendekatan polisi ini.

Saya tidak nafikan kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ramai profesional Melayu dilahirkan melalui dasar ini. Kita pun bangga dengan jutawan-jutawan Melayu yang dulu langsung tiada. Tetapi adakah DEB ini betul-betul dapat berjaya dalam misinya?

Contohnya, DEB meletakkan sasaran 30 peratus pegangan ekuiti untuk kaum Bumiputera dicapai pada tahun 1990. Sekarang, 20 tahun selepas tarikh sasaran, kita masih tidak berjaya mencapai matlamat DEB.

Apakah sebab kegagalan ini?

Adakah kegagalan ini disebabkan ketirisan, dimana orang Melayu yang diberi peluang membeli saham dalam syarikat-syarikat tertentu hanya mengejar keuntungan cepat dan menjual saham mereka kepada orang bukan Melayu? Adakah kegagalan ini disebabkan pelaksanaan dasar yang tidak berkesan oleh kerajaan?

Saya juga rasa terpanggil untuk meluahkan pandangan anak muda yang tidak berkepentingan dari akar umbi rakyat dan bukan akar umbi Umno yang banyak membodek pemimpin atasan.

Bagi anak muda yang tidak mempunyai sebarang kepentingan mahupun jawatan dalam mana-mana parti politik, hasil DEB tidak sampai kepada kami sepenuhnya.

Ramai di kalangan rakan-rakan saya merupakan anak muda Melayu yang tinggal dibandar dengan gaji yang tidak dapat menampung sara hidup di bandar yang semakin meningkat. Gaji mereka boleh dikatakan tidak naik dan kalau dapat kenaikkan pun ibarat majikan mereka sekadar melepas batuk di tangga.

Rakan-rakan saya tidak mahu diberikan 'tongkat'. Mereka sedar bahawa untuk berjaya, orang Melayu mesti usaha dengan kebolehan kita sendiri. Tapi pada masa yang sama, mereka mempertikaikan dasar kerajaan yang banyak menguntungkan segelintir orang sahaja yang mungkin mempunyai kabel politik dengan pembesar-pembesar tertentu.

Adakah ini DEB yang sebenar, yang memberi kekayaan kepada mereka yang ada kabel politik dan tidak pedulikan orang Melayu lain yang mahu berusaha tetapi langsung tidak diberi peluang kerana bukan ketua cawangan atau ketua bahagian Umno?


Atas kesedaran inilah saya ingin menyatakan bantahan saya kepada Datuk Ibrahim Ali, Presiden PERKASA.

Bagi saya, Ibrahim tidak memahami masalah sebenar orang Melayu. Idea beliau banyak berkisar kepada isu-isu lapuk dengan mendesak kerajaan mengagihkan kekayaan ekonomi negara kepada orang Melayu.

Beliau langusung tidak menyentuh soal keupayaan dan usaha orang Melayu sendiri dan masih pegang kepada mentaliti subsidi bertongkat yang menjadi penghalang kepada kemajuan orang Melayu.

Malahan, mentaliti sedemikian juga boleh menular menjadi barah dan racun kepada daya saing dan kendiri bangsa, yang mana akhirnya menyebabkan orang Melayu itu melukut di tepi gantang dengan budaya mengharap dan tidak yakin dengan kebolehan atau kemampuan diri sendiri.

Yang lebih serius lagi adalah keengganan Ibrahim untuk melihat DEB secara kritis dan mengaku segala kelemahan yang ada pada polisi-polisi kerajaan untuk membantu orang Melayu.

Beliau hanya memekik melolong untuk meneruskan dasar afirmatif kepada orang Melayu tanpa menyoal keberkesanannya.

Tidakkah Ibrahim sedar bahawa terdapat kajian yang menunjukkan bahawa jurang pendapatan bagi bangsa Melayu adalah yang tertinggi berbanding bangsa-bangsa lain.

Daripada giat mempersoal dan membidas mereka yang menyentuh DEB, saya anjurkan Ibrahim supaya meluang masa sejenak untuk meneliti kembali maksud dan hasrat DEB itu sendiri yang antara lain mempunyai objektif bagi kebaikan atau pulangan umum dan bukannya bagi segelintir kelompok eksklusif.

Sekiranya hasrat dan objektif DEB itu membuahkan hasil, sudah pastinya jurang pendapatan orang Melayu tidak tercata sebagai yang terbesar jika dibandingkan kaum-kaum lain.

Dalam pada masa yang sama, dan tidak kurang dari itu, beliau juga banyak mengunakan retorik dan bahasa yang menganjak orang Melayu untuk berbalah dengan orang bukan Melayu.

Pandangan sempit sebegini bukan sahaja meloyakan malahan memalukan orang Melayu umpama kita bangsa yang sentiasa syak wasangka dan mengukur kejayaan itu berdasarkan habuan dari permusuhan dan sengketa dengan bangsa lain serta menabur benih-benih pemikiran negatif untuk orang Melayu maju kerana persaingan sekarang menjangkau pelbagai segenap warga dunia dan merentasi sempadan.

Bagi saya dan rakan-rakan saya, pendekatan ini sudah lapuk.

Orang Melayu tidak boleh lagi ditakutkan dengan retorik dan bahasa yang beremosi. Kini adalah masa untuk kita mengubah cara kita.

Pendekatan Perdana Menteri amat tepat sekali di mana orang Melayu yang miskin dan kurang berkemampuan perlu dibantu tanpa mengira pegangan politik. Manakala, orang Melayu yang berbakat perlu dibantu atas prinsip merit yang menepati tuntutan pasaran.

Ini adalah satu anjakan paradigma di dalam usaha memajukan bangsa dengan membantu mereka yang melarat dan memerlukan bantuan dan pada masa yang sama memenuhi tuntutan untuk membina daya saing dan kecemerlangan bagi mereka yang mempunyai potensi dan kebolehan.

Ringkasnya, sekiranya kita ikut cara dan idea Ibrahim, percayalah orang Melayu akan terus mundur. Ini kerana kita akan rasa selesa dengan tongkat, dengan retorik perkauman tapi akhirnya kita tidak akan maju.

Dalam pada itu, mungkin ada yang berpendapat bahawa saya adalah seorang anak muda Melayu yang lupa daratan, tidak berterima kasih dan umpama menggigit tangan yang memberi makan di atas pandangan saya ini.

Namun, ingin saya tegaskan bahawa adalah tanggung jawab kita untuk masa depan dan hala tuju bangsa bagi memastikan tangan yang memberi makan itu mampu terus memberi makan dan menyuap ke mulut mereka yang benar-benar lapar dan bukannya mereka yang sudah tersandar kekenyangan.

Sumber: Malaysiakini