Sunday, October 9, 2011

Pilihan Raya Dah Dekat - Kalau Nak Menang Buat Cara Nak Menang!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota Barisan Nasional (BN) untuk bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang dengan tidak mencipta masalah dan melakukan sabotaj ke atas parti.

Katanya, atas kertas BN mampu menang di banyak kawasan tetapi jentera sendiri mestilah melaksanakan kerja tanpa menimbulkan perbalahan sesama sendiri.

“Depan saya semua kata ok tapi saya tahu ada yang tak ok. Kita masuk pilihan raya kerana nak menang dan tak nak kalah apatah lagi di kawasan Ibu Kota kerana kita tak nak BN jadi parti hanya di kawasan desa atau kawasan-kawasan luar bandar sahaja serta dilihat kononnya golongan intelektual tidak menyokong BN.”

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penerangan Perdana Wilayah Persekutuan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Kalau nak menang dalam PRU, kita mesti tonjolkan ‘winable candidate’, mesti tampilkan kriteria calon berdasarkan penilaian, buat perkiraan rapi dan tinjauan tapi kalau ‘winable candidate’ itu adalah ‘saya’ maka akan berlaku potong trip dan membuat tindakan-tindakan yang tak betul.

“Ini bukan saja akan jejaskan peluang calon kita untuk menang sama ada secara halus iaitu dengan tidak membuat sebarang kerja atau memberikan sokongan kepada calon BN seperti yang pernah berlaku dalam pilihan raya kecil lalu apabila rumah Setiausaha Bahagian sendiri tapi pukul 10.00 malam dah tutup lampu.”

Ujarnya, insiden lain yang lebih teruk lagi juga pernah berlaku sebagaimana dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak apabila ada calon yang sudah tiga penggal tetapi terpaksa digugurkan kerana tak termasuk dalam ‘winable candidate’ yang terus keluar kawasan dan enggan membantu BN.

“BN perlu pendekatan politik baru sesuai dengan perubahan masa. Zaman BN letak songkok pun boleh menang sudah berlalu,” katanya.

Tegas beliau, setiap anggota parti bertanggungjawab menjaga rakyat dan bukannya mengambil kepentingan penyokong tegar semata-mata kerana ia bersifat peribadi dan bukan untuk parti.

“Kita ada kekuatan dan kita ada kelemahan; kekalkan kekuatan kita dan perbetulkanlah kelamahan. Tunjukkan pada mereka bahawa kita boleh menang tanpa bersikap angkuh. Bekerjalah tujuh hari seminggu untuk parti dan pastikan bahawa BN akan kekal di Putrajaya.” - MediaUMNO

Flyers Tuntut Anwar Jalani Ujian ‘Lie Detector’ Bertaburan Di Kampus


Semenjak seminggu yang lalu, satu risalah menuntut agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani ujian ‘Lie Detector’ bertaburan di kampus, sehingga menimbulkan pergaduhan di antara puak penyokong kerajaan dan puak penyokong pembangkang, kata Keris Malaya dalam emailnya kepada AIDCNews.

Risalah yang bertajuk “Suara Hati 100, 000 – Gerakan Suara Mahasiswa & Mahasiswi” berbunyi ” Pihak Barisan Nasional tidak adil dan berlaku kejam terhadap pemimpin kesayangan kami dengan menuduh kononnya YAB Dato Seri Anwar Ibrahim – PELIWAT – PELAKON VIDEO SEKS – AJEN CIA – Demi untuk menegakkan keadilan dan membersihkan diri tohmahan negatif pihak Barisan nasional, kami para siswa dan siswa dengan ini menyeru YAB Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri untuk melakukan UJIAN LIE DETECTOR”


Ekoran pengedaran risalah itu, satu kumpulan mahasiswa telah tampil membuat laporan polis pada 5 Oktober 2011, pada pukul 6.30 petang di Balai Polis Bandar Baru Bangi.

“Pada 3 Oktober, lebih kurang pukul 5 petang semasa saya bersama rakan-rakan sekolej berada di perkarangan Masjid UKM Bangi, (kami) telah menjumpai risalah ‘Suara Hati 100, 000 – Gerakan Suara Mahasiswa dan Mahasiswi’.

“Tujuan laporan ini dibuat adalah tidak mahu risalah yang berbaur politik disebarkan di kawasan kampus UKM Bangi sehingga menimbulkan pergaduhan di antara puak penyokong kerajaan dan puak penyokong pembangkang.

“Untuk mengelak perkara yang sama berulang dan demi perpaduan mahasiswa, (kami) menuntut pihak berkuasa menyiasat perkara ini”, kata pelapor seperti yang terkandung dalam laporan polisnya.

Sumber: AIDC

Saturday, October 8, 2011

Tarikh Akhir Parlimen Bubar 24 April 2013


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata tarikh akhir bagi pembubaran Parlimen adalah pada 24 April 2013.

Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Noordin Che Ngah berkata kuasa Parlimen akan tamat pada tarikh tersebut secara automatik kerana tempoh yang diberikan mandat oleh rakyat telah berakhir.

"Tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bagaimanapun sekiranya sehingga 24 April 2013, Parlimen masih tidak dibubarkan, maka secara automatiknya parlimen terbubar," katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Kelantan di Terminal Agrobisnes Negara (TEMAN), hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 15,000 kakitangan awam dan rakyat Kelantan hadir pada program itu.

Jelasnya, selepas tempoh itu berakhir, SPR akan mengambil alih untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13 dalam tempoh 60 hari.

Sementara itu mengulas mengenai penggunaan dakwat kekal, beliau berkata SPR kini masih mengkaji kebaikan dan keburukan penggunaan bahan itu termasuk menunggu keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"SPR masih kaji benda ini (penggunaan dakwat kekal), kalau Majlis Fatwa kata ia telus air dan tiada unsur haram iaitu memudaratkan contohnya memedihkan mata atau menyebabkan batuk, maka dakwat itu boleh digunakan.

"Bagaimanapun sekiranya kajian mengatakan ia haram sehingga tak telus air untuk berwuduk, maka kita akan mengambil keputusan untuk tidak melaksanakannya," katanya.

Selain itu beliau menegaskan SPR tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan pengundi dari satu Parlimen ke Parlimen lain sebagaimana yang didakwa pembangkang.

Bahkan katanya SPR tidak pernah diberikan hak dalam undang-undang negara untuk melaksanakan proses pemindahan itu melainkan dengan permohonan daripada pemilih itu sendiri.

-Bernama