Friday, February 24, 2012

KJ: Ketua Pembangkang Jangan Hipokrit


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta tidak bersikap hipokrit dengan berpura-pura seolah-olah beliau tidak mengetahui mengenai wujudnya hubungan perdagangan antara syarikat antarabangsa di Malaysia dengan di Israel.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pindaan terhadap Akta Kastam yang memberi kelonggaran kepada syarikat di Malaysia berdagang dengan syarikat di Israel diluluskan oleh Kabinet pada 1996 ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Saya hendak dedahkan di sini, kawalan terhadap perdagangan dengan Israel adalah di bawah Akta Kastam di bawah Kementerian Kewangan dan kelonggaran untuk syarikat-syarikat berdagang dengan syarikat lain di Israel dibuat pada 1996 oleh Jemaah Menteri.

"Pada 1996, siapa Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan? Tidak lain tidak bukan Datuk Seri Anwar. Jadi, kalau dia kata hari ini kerajaan Malaysia buat perdagangan dengan Israel, dia buat-buat tidak tahu, dia sebenarnya menteri yang membenarkan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO di Bangunan UMNO Bahagian Parit, kemarin.

Turut serta pada sidang akhbar itu ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim; Penolong Setiausaha, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Harun.

Sambil menegaskan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dan politik dengan Israel, Khairy berkata, hubungan dagangan antara dua negara itu hanya antara syarikat antarabangsa dan ia dibuat atas keperluan globalisasi.

Katanya, sebagai contoh syarikat Intel atau pengilang di Malaysia terpaksa mengimport bahan membuat mikrocip atau semikonduktor dari syarikat Intel yang berpangkalan di Israel kerana bahan tersebut tidak boleh diperolehi dari negara lain.

Menurut Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) itu, kebenaran perdagangan itu jauh berbeza daripada sokongan politik seperti kenyataan Anwar dalam The Wall Street Journal (WSJ) yang menyokong segala usaha memastikan keselamatan negara Israel.

"Kalau Israel, negara itu akan memberikan justifikasi mempertahankan keselamatan mereka dengan apa jua cara termasuk pembunuhan rakyat Palestin," ujar beliau.

Khairy juga berkata, Pemuda UMNO menyanggah apa jua alasan yang diberikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu termasuk menyalahkan media arus perdana memutar-belit laporan WSJ berhubung kenyataannya dalam isu Israel.

"Sekarang dia beri penjelasan itu (sokongan) bergantung kepada kebebasan, kemerdekaan dan penubuhan negara Palestin yang berdaulat, tetapi dalam kenyataan itu dia menyokong segala tindakan untuk mempertahankan Israel. Itu kenyataan umum yang menunjukkan Anwar menyokong Israel," katanya.

Beliau berkata, ekoran isu tersebut, sokongan orang Melayu terhadap pakatan pembangkang semakin luntur dan sebab itu mereka kelam-kabut untuk memberi penjelasan bagi menarik semula sokongan kaum tersebut.

PM Bakal Buat Pengumuman Yang Adil, Saksama Bagi Penjawat Awam


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

“Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam,” katanya kepada media tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

Omar berkata Cuepacs sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.

“Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA,” katanya.

Omar berkata Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan.

Mahfuz Boikot Mesyuarat Azizan!


Pas Kedah bergolak lagi...

Kepimpinan Kerajaan Pas Kedah sekali lagi berhadapan dengan krisis apabila sekurang-kurangnya empat Exco parti itu dikatakan enggan hadir pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada 28 Februari ini.

Empat Exco yang dikaitkan ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi, Dr. Ismail Salleh, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan seorang lagi Exco yang tidak didedahkan identitinya.

Krisis terbaru itu dijangka meletakkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam dilema memandangkan tindakan berkenaan dikaitkan dengan usaha memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

Sejak September tahun lalu, Azizan menghadapi pelbagai tekanan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas alasan beliau tidak mempunyai keupayaan mentadbir Kedah dan menghadapi masalah kesihatan.

Sementara itu, satu sumber mendedahkan sekurang-kurangnya empat anggota Exco sudah mengosongkan bilik masing-masing dan seorang daripadanya dilaporkan sudah sah menghantar surat peletakan jawatan kepada Azizan.

Sumber itu mendakwa, kesemua mereka bertindak demikian sebagai bantahan kepada gaya pentadbiran Azizan yang dikatakan tidak efisien.

Krisis terbaru politik Kedah itu bermula apabila tersebar khabar angin terdapat tiga Exco negeri berkenaan telah menghantar surat kepada Azizan menyatakan mereka tidak mahu dilantik semula ke jawatan tersebut dan salinannya dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sumber memberitahu, langkah yang dibuat oleh mereka bertujuan memberi tekanan kepada Azizan supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Tindakan itu sekali gus akan membolehkan Azizan tidak dilantik semula ke jawatan tersebut jika pakatan pembangkang terus memerintah Kedah.

Sementara itu, Exco yang terlibat ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak mengesahkan atau menafikan sama ada mereka akan menghadiri majlis pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari ini.

Dua daripada empat Exco yang dikatakan terlibat seolah-olah berdolak-dalik dalam memberikan pengesahan.

Phahrolrazi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga berkata, belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan tetapi jika perlu, satu sidang akhbar berhubung perkara tersebut akan diadakannya dalam tempoh terdekat.

"Bagi buah masak cukup dahulu, baru boleh buat kenyataan," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.

Sementara itu, Dr. Ismail juga enggan membuat sebarang kenyataan dengan mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Ditanya sama ada beliau telah menghantar surat tidak mahu dilantik semula sebagai Exco, Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri itu berkata: "Tanya MB (Menteri Besar), beliau tahulah kot. Saya tidak tahu apa-apa, jadi tak mahu kata apa-apa lagi."

Dr. Hamdan yang memegang portfolio Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan negeri pula gagal dihubungi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Azizan selaku Menteri Besar berhak untuk melantik atau menggugurkan mana-mana Exco kerana ia proses biasa dalam pentadbiran.

"Hak negeri untuk pilih siapa yang layak. Lantik orang baru atau gugur juga perkara biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kedah Sejahtera di Kompleks Pas Pokok Sena malam tadi.

Justeru, Abdul Hadi berkata, orang ramai tidak sewajarnya mempercayai khabar angin kerana ia bukan sumber rasmi.

Kerajaan Negeri Kedah melakukan rombakan barisan Exconya setahun sekali.