Tuesday, May 8, 2012

Hasan Ali Saman Khalid Samad, Mahfuz


Pengerusi Jalur Tiga (JATI) Datuk Hasan Ali mengemukakan saman terhadap dua MP PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Khalid Samad atas dakwaan kenyataan fitnah yang dikeluarkan ke atasnya.

Hasan berkata saman ke atas Khalid itu adalah berhubung dakwaan bahawa dana dan program jelajah JATI dibiayai oleh syarikat tertentu.

Saman ke atas Mahfuz pula adalah berhubung dakwaan JATI dibiayai kontrak bernilai RM30 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan.

"Saya menyatakan berulang kali bahawa tuduhan yang dilemparkan kedua-dua ahli parlimen tersebut berniat jahat (dan) tidak berasas," katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Katanya lagi, dakwaan itu juga ditimbulkan untuk memburukkan nama baiknya dan JATI, selain merosakkan karier politiknya.

Dalam sidang media sama, peguamnya Hasnal Rezua Merican berkata saman ke atas Mahfuz dan Khalid itu masing-masing difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 April lalu.

Saman berkenaan adalah untuk menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, katanya.

Tambahnya, notis saman telah diserahkan kepada Khalid dan pengurusan kes tersebut dijalankan pada 30 April lalu.

Notis ke atas Mahfuz belum dapat diserahkan namun mahkamah telahp un menetapkan pengurusan kes diadakan pada 9 Mei, katanya lagi.

Plaintif juga memfailkan injunksi agar kedua-dua defendan berkenaan tidak mengulangi dakwaan tersebut, katanya.-MK

Durian Runtuh: Najib Umum RM15,000 Kepada Setiap Peneroka


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian durian runtuh berjumlah RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.

Berita baik itu diumumkan beliau di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, dekat sini.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, Najib berkata pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu dari hari ini.

"Pembayaran akan dibuat secara tunai dan fasa kedua akan dibuat sebaik sahaja selesai pembayaran fasa pertama manakala pemberian bonus kepada kakitangan Felda juga akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan tiga lagi insentif yang disifatkan beliau sebagai 'durian gugur' iaitu tabung amanah, 'blue form' untuk saham FGVH kepada peneroka dan tambahan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Berkenaan dengan tabung amanah itu, Najib berkata sebanyak 20 peratus dalam tabung amanah adalah untuk penyenaraian FGVH dan sekiranya FGVH dapat keuntungan maka dividen akan diberi kepada setiap peneroka.

"Pada tahun depan kita jangkakan keuntungan sebanyak RM1.5 bilion dan sekiranya jumlah itu kekal seperti tahun lepas, setiap peneroka akan menerima lebih RM1,300, kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi".

Najib berkata setiap peneroka akan menerima `blue form' untuk dapatkan saham FGVH dan beliau amat berharap peneroka tidak akan menjual saham berkenaan.

Perdana Menteri pada program itu turut menempelak mereka yang menentang penyenaraian FGVH termasuk segelintir peneroka serta pihak pembangkang yang cuba mencelarukan pemikiran rakyat.

"Saya tak rela dan redha mereka ini menerima (durian runtuh) ini kerana mereka ini mengkhianati apa yang kita buat, hanya peneroka yang jujur dan setia sahaja yang layak menerima durian runtuh ini," katanya.

Najib berkata durian runtuh itu dilihat amat bermakna untuk para peneroka yang telah banyak berkorban membangunkan tanah rancangan yang pada asalnya hanya hutan rimba.

"Bantuan ini bukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hanya RM500, ini bukan BR1M, tapi BROOM," katanya sambil berseloroh.

Najib berkata Felda yang bermula di Lurah Bilut pada 1956 kini telah memasuki fasa terakhir abad 21 yang bukan lagi bertatih tetapi mampu berdiri dan gagah perkasa di pentas ekonomi dunia.- Bernama

Kibarkan ‘Sang Saka Bangsa’: Penglibatan Generasi Muda, Bukti UMNO Kuat


Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, menerima bendera UMNO secara simbolik dari ketua kontinjen UMNO Telok Kemang, saudara Faizal Ramli di Majlis Sambutan Larian Bendera UMNO sempena hari UMNO ke-66, di Dewan Orang Ramai Rantau, petang Isnin.

Terdahulu, mereka melalui Kg Sega sebelum di raikan oleh UMNO Bahagian Rembau di Dewan Orang Ramai, Rantau sebelum kontinjen UMNO bahagian Rembau menyambung larian ke bahagian Rasah.

Larian ini turut diiringi kumpulan motosikal pemuda UMNO Rembau dan Telok Kemang.

Di dalam ucapan Menteri Besar, beliau melihat semangat anak muda yang menyertai larian dan konvoi bermotor ini sangat tinggi dan tidak benarlah apa yang dikatakan oleh mereka yang mendakwa generasi muda tidak berminat dengan parti UMNO.

Beliau turut yakin dan percaya dengan barisan kepimpinan generasi muda mampu meningkatkan martabat Melayu terus dijuang sehingga ke akhir hayat, apabila laungan semangat bergema di dalam dewan.

“UMNO terus bangkit kerana partinya kuat dan sejarah telah membuktikan kejaaannya membebaskan Negara dari penjajah British. Apa yang penting, jangan mudah terpedaya dengan fitnah dari pihak yang mahu melihat kita berpecah belah.” Ujar beliau.

Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Ketua UMNO Malaysia yang tiba dengan konvoi bermotosikal UMNO Malaysia, bersyukur dengan semangat yang ditunjukkan generasi muda hari ini, serta yakin dan percaya, apabila sambutan ulangtahun ke-66 UMNO di Stadium Bukit Jalil, Jumaat ini, memperlihatkan UMNO akan terus subur di jiwa masyarakat.

Tambah beliau lagi, “Hidup subur UMNO bukan terletak di peringkat pemimpin atasan, tetapi hidup subur UMNO hadir dari nadi dan suara keramat ahlinya yang mahu melihat parti terus kuat. Penglibatan dari generasi muda sahaja sudah cukup membuktikannya hari ini.”

Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan turut melepaskan kontinjen larian bendera dan konvoi bermotosikal dari bahagian Rembau menuju ke bahagian Rasah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin turut menyertai larian Kibarkan ‘Sang Saka Bangsa’, juga turut serta,  Dato Ismail Taib, Pengerusi Larian Bendera UMNO Bahagian Telok Kemang, Saudara Faizal Ramli, Ketua Kontinjen Larian UMNO Bahagian Telok Kemang, Dato’ Hasim Rusdi, Pengerusi Larian UMNO Bahagian Rasah dan Dato’ Firdaus Harun, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau. -N9kini

Kumpulan NGO Hampir 'Bertempur' di Bukit Aman


Dua kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang prokerajaan dan pembangkang hampir 'bertempur' ketika secara tidak sengaja bertembung semasa menyerahkan ikrar taat setia serta memorandum kepada polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, petang semalam.

Kumpulan pertama diwakili Persatuan Veteran Tentera Malaysia serta 10 wakil NGO lain tiba di Bukit Aman pada 1.10 tengah hari dan berhimpun sambil melaungkan ikrar selama kira-kira 30 minit.

Ikrar taat setia itu dilafazkan sebagai tanda menyokong penuh polis dan menyifatkan perhimpunan 28 April sebagai anasir jahat yang ingin memecah-belahkan negara serta rakyat.

Berlaku sedikit pergeseran apabila kumpulan kedua diwakili Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) serta wakil 28 NGO lain, yang menyokong perhimpunan 28 April, tiba pada kira-kira 2.45 petang untuk menyerahkan memorandum kepada polis.

Ikrar taat setia dan memorandum kedua-dua kumpulan NGO itu diterima Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf.

Ramli berkata sedikit perbalahan telah berlaku ketika pertembungan itu, namun tiada sebarang insiden yang tidak diingini terjadi dan polis mampu mengawal keadaan dengan baik.

"Pertembungan mereka adalah secara kebetulan, dan tiada kejadian buruk berlaku kerana mereka menuruti arahan polis," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Datuk Mohd Ali Baharom meminta Kementerian Dalam Negeri menahan ketua penganjur perhimpunan 28 April kerana telah melakukan provokasi sehingga menimbulkan huru-hara.

Dalam perkembangan berkaitan, SAMM dan 28 NGO menghantar memorandum untuk meminta polis yang terlibat dengan keganasan ketika menyuraikan perhimpunan itu tampil membantu siasatan. - Bernama

Monday, May 7, 2012

Laporan Media Barat Tidak Membantu Anwar


Menurut media pro-kerajaan, BERSIH 3.0 telah gagal dengan teruk sekali.

Tetapi menurut Ambiga, Anwar dan pembangkang Malaysia keseluruhannya, BERSIH 3.0 telah berjaya mencapai matlamat. Alasan pembangkang menyatakan ia berjaya adalah berdasarkan jumlah peserta yang dikatakan mencapai 300,000 di seluruh negara.

Namun, kebenarannya ialah bahang BERSIH 3.0 hanya dirasakan dalam jarak 10km radius dari Dataran Merdeka. Jauh sedikit dari itu, orang ramai menjalankan kehidupan mereka seperti tiada apa-apa berlaku. Jika ditanya mengenai BERSIH pula, mereka rata-ratanya akan mencemuh dan tersenyum sinis. Ramai bersetuju bahawa hanya orang-orang yang benar-benar buta tuli atau bodoh sahaja yang akan turun berdemonstrasi dalam usaha untuk menghuru-harakan negara yang aman damai.

Jika tidak kerana ramai yang meluahkan rasa menyampah terhadap BERSIH 3.0 di dalam laman-laman sosial, maka tidak keterlaluan dikatakan bahawa penganjur BERSIH 3.0 bersama dengan 25,000 jumlah peserta yang turun pada 28 April tersebut, hanyalah syok sendiri.

Justeru, kita tidak tahu atas dasar apakah pihak penganjur merujuk kepada BERSIH 3.0 sebagai berjaya.

Malah, lebih teruk, rakan-rakan Anwar Ibrahim, iaitu media-media barat yang dijemputnya juga tidak mampu membantunya menipu untuk menyatakan BERSIH 3.0 yang gagal itu, sebagai berjaya.

Majalah The Economis menulis bahawa ‘bintang’ Anwar semakin pudar setelah peranannya sebagai pencetus keganasan dalam BERSIH 3.0 dipersoal. Majalah itu juga menyatakan bahawa Anwar perlu membuat penjelasan mengenai isyarat tangannya yang diterjemah sebagai arahan untuk merempuh halangan polis.

Malah dalam sidang media PKR kemudiannya, Anwar juga dituduh sebagai membahayakan nyawa peserta sekali gus memperjudikan matlamat BERSIH.

Lalu, The Economist juga mempersoalkan apakah seorang yang sanggup mengambil-alih sebuah perhimpunan aman untuk ditukar menjadi perhimpunan ganas wajar diangkat menjadi pemimpin kepada 28 juta rakyat?

Artikel negatif mengenai Anwar yang disiarkan oleh media barat bolehlah dianggap sebagai luar-biasa kerana selama ini majoriti mereka termasuk Jurusalem Post juga sering memuji-mujinya hatta menobatkannya sebagai satu-satunya pemimpin Islam yang layak memimpin bukan saja Malaysia, tetapi Asia Tenggara.

Pastinya, kegagalan BERSIH 3.0 adalah terlalu ketara dan tidak dapat dimanipulasi lagi sehingga menyebabkan media barat juga terpaksa mengakuinya.

Atas hakikat ini, maka laungan pemimpin-pemimpin pembangkang yang tegar menyatakan ia berjaya bolehlah dianggap sebagai menipu diri sendiri dan penyokong mereka.

Kita tahu, mereka malu dan sebagai politikus yang ego, takbur dan riak belaka, mereka tidak mampu menerima kekalahan dengan baik. Kerana itu, mereka melaungkan BERSIH 4.0 sekadar untuk menutup malu.

Pokoknya di sini, para pemimpin pembangkang langsung tidak kisah merisikokan nyawa dan nasib penyokong mereka sekali lagi dan mungkin berkali-kali lagi selepas ini. Dan semua ini dilakukan semata-mata untuk menutup malu!

Kita tidak tahu berapa ramai pula peserta yang sanggup suka-suka menghulurkan tubuh badannya untuk cedera dan menggadaikan masa depan serta menyusahkan keluarga dalam BERSIH 4.0 jika benar ia bakal diadakan. Sedangkan pada hakikatnya mereka sedang menikmati hidup senang lenang dan aman tenteram tanpa apa-apa ancaman.