Friday, September 28, 2012

Bajet 2013 RM251.6 Bilion, Garis 5 Fokus


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Belanjawan 2013 yang menggariskan lima fokus utama untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara.

Belanjawan yang dibentangkan Najib yang juga Menteri Kewangan itu juga bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 billion di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Belanjawan bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati" itu bakal memberi keselesaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk masyarakat desa, petani, buruh, nelayan, guru, pekebun kecil, pensyarah, karyawan, penjawat awam dan golongan profesional serta usahawan.

Najib berkata pada 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus.

"Julung kalinya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras RM1 trilion," katanya.- Bernama

INTI PATI BELANJAWAN 2013 #Bajet2013


Berikut ialah intipati Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Tema Belanjawan 2013 ialah "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan.

* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukkan pembangunan.

* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan.

* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.

* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.

* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.

* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.

* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.

* Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

* KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.

* Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.

* Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.

* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar

* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.

* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.

* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan.

* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.

* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.

* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* RM500 juta diperuntukkan bagi projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang, RM300 juta untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembetungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

* RM358 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014.

* Lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

* Memberi penekanan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. RM5.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

* RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan bekalan benih berkualiti, kestabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian.

Anwar Patut Bertaubat - Ulama


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa bertaubat sekiranya benar dakwaan yang menyatakan beliau bersetuju bahawa 'umat Islam menghadapi masalah jiwa' apabila membuat bantahan keras terhadap penerbitan dan penyiaran filem Innocence of Muslim.

Pengerusi Jawatankuasa kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahya berkata, selain bertaubat Penasihat Parti Keadilan Rakyat(PKR) itu perlu kembali kepada agama dan menghormati sensitiviti umat Islam.

"Sekiranya kenyataan itu benar, maka saya merasakan Anwar tidak memahami Islam dan sensitiviti umat Islam.

"Beliau (Anwar) perlu bertaubat dan kembali kepada agama, selain menghormati sensitiviti uamt Islam jika benar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Persiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali berkata, Anwar telah memperkecilkan usaha bantahan Umat Islam seperti dilaporkan dalam akhbar Britain, The scotsman baru-baru ini dan ekoran daripada itu, jelas memperlihatkan sikap sebenar Ketua Pembangkang itu walaupun filem anti-Islam itu terbukti menghina Islam dan Rasulullah SAW.

Tambah Fathul Bari, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sepatutnya lebih sensitif terhadap isu-isu mengenai Islam kerana tindakan membuat bantahan itu adalah satu fitrah yang menunjukkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Katanya Anwar dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam tanpa meletakkan garis panduan atau nasihat yang perlu dilakukan dengan jelas.

"Sebagai contoh, Anwar patut meletakkan garis panduandan nasihat kepada umat Islam supaya tidak terlalu mengikut emosi dan mengikut ajaran Islam dalam menyuarakan bantahan.

"Kita dapat lihat sekarang, apabiala orang hina nabi, beliau tidak sensitif, maka tidak hairanlah jika Anwar tidak sensitif terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pluralisme dan Yahudi-Israel," katanya.

Mengulas isu sama, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, umat Islam keseluruhannya wajib menunjukkan satu sikap membantah terhadap sebarang penghinaan ke atas agama dan Rasulullah SAW.

"Sekiranya kita tunduk dan reda tanpa menyuarakan bantahan ke atas penghinaan tersebut, bimbang ia disifatkan sebagai bersetuju dengan apa yang dilakukan itu," katanya.

Jelas beliau, selain menyuarakan bantahan, umat Islam perlu memberikan pandangan sebenar siapa Rasulullah SAW bagi menepis pembohongan dan penghinaan tersebut.

"Dalam Islam, kita wajib mempertahankan lima perkara iaitu agama, nyawa, fikiran, zuriat (keturunan) dan ekonomi serta memperkasakannya.

"Dalam konteks ini, sekiranya benar kenyataan seperti laporan akhbar tersebut (kenyataan Anwar), maka ia bukan ciri-ciri etika dan akhlak seorang Islam," katanya.
-Utusan

Penerbit 'Innocense of Muslims' Dipenjara


Nakoula Basseley Nakoula, penerbit Innocense of Muslims, filem yang mencetuskan protes di kalangan umat Islam di seluruh dunia, diarah ditahan di penjara kerana melanggar terma-terma pemantauan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.

"Mahkamah kurang percaya dengan defendan pada masa sekarang," kata Hakim Suzanne H Segal, semalam.

Segal juga berkata, Nakoula membawa "kemudaratan kepada komuniti."

Nakoula, disoal siasat oleh pihak berkuasa persekutuan awal minggu lalu, ditahan awal semalam, lapor Los Angeles Times.

Pendakwa raya persekutuan berhujah petang semalam bahawa penerbit filem itu mengundang bahaya dan seharusnya diletakkan dalam tahanan.

Bagaimanapun peguamnya, Steve Seiden berhujah Nakoula sewajarnya dibebaskan atas bon.

Malah peguamnya berkata, anak guamnya berhadapan dengan bahaya di penjara persekutuan di Los Angeles kerana ia menempatkan ramai tahanan beragama Islam.

Peguam itu menafikan Nakoula melanggar apa-apa terma pemantauan.

Nakoula pernah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan menipu bank. Dia ditahan pada 2009.

Di bawah tempoh pemantauan, Nakoula tidak dibenar menggunakan atau memiliki perkakasan yang membolehkannya akses kepada Internet tanpa kelulusan pihak pemantau.

Menurut laporan CNN, pendengaran awal dimulakan dengan Segal bertanya kepada defendan apa nama sebenarnya.

Dia menjawab: "Mark Basseley Yousseff."

Kemudian hakim sekali lagi bertanya nama defendan.

"Mark Basseley," katanya kali ini.

Menurut peguam bela, anak guamnya, yang pernah menggunakan 17 nama sebelum ini, biasanya dikenali Nakoula.

Pendakwa raya berkata Nakoula berupaya untuk membuat pembayaran ketika filem berkenaan dihasilkan.

Oleh itu katanya, Nakoula boleh meninggalkan kawasan dia tinggal sementara kesnya dijalankan.

Pendakwa raya mengesyorkan hukuman penjara 24 bulan. -SH

Thursday, September 27, 2012

Belanjawan Pakatan Pembangkang Adalah Idea Tiruan Dan Bersifat Populis - Khairy


Beberapa pemimpin kerajaan pada Khamis menyifatkan belanjawan pakatan pembangkang yang dibentangkan pada Rabu adalah idea tiruan yang sudah dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan lebih bersifat populis untuk menarik perhatian rakyat.

Rata-rata berpendapat belanjawan pembangkang itu lebih bersifat kepada hanya ‘janji dimanisi’ dan bukan janji ditepati.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata hampir 80 peratus perkara dalam belanjawan itu idea dikitar semula dari buku jingga mereka.

Katanya, sebagai contoh cadangan pembangkang untuk menubuhkan ‘National Housing Board’ sudah dibuat oleh kerajaan terlebih dahulu melalui Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Bercakap pada sidang media BN Youth Job Fair 2012 di sini pada Khamis, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata pembangkang perlu menjelaskan bagaimana mereka ingin membiayai belanjawan alternatif terbabit, yang dianggarkan berjumlah RM200 bilion, sedangkan mereka ingin menghapuskan tol dan duti eksais serta menurunkan harga minyak.

Sumber: Bernama