Monday, October 8, 2012

Apa Kelulusan Anwar Semasa Di UM?


Ramai yang bertanya apakah kelulusan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menuntut di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (Pengajian Melayu) Universiti Malaya (UM) pada tahun 1967 hingga 1971.

Pertanyaan itu dianggap wajar kerana kebanyakan penulis dan wikipedia hanya menumpukan kepada kegiatan Anwar di Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Belia Islam Belia Malaysia (ABIM) tetapi tidak ada rekod tentang pencapaian akademik Anwar semasa di UM.

J. Victor Morais dalam bukunya bertajuk “Anwar Ibrahim Cekal dan Tabah” yang diterbitkan pada tahun 1984 turut menyingkap persoalan ini, namun jawapannya juga masih samar-samar.

Morais menemui dua orang sahabat baik Anwar, 2K, Kamaruddin Mohamed Noor, (ketika itu Naib Presiden ABIM) dan Kamaruddin Jaafar (Setiausaha Agung ABIM).

“Apabila ditanya tentang kejayaan Anwar dalam bidang akademiknya, khususnya di Universiti Malaya, Encik Kamaruddin (Mohamed Noor) berkata Anwar adalah pemegang ijazah dengan kepujian tetapi (Encik Kamaruddin menambah kata) Anwar mungkin dapat berbuat lebih baik lagi jika beliau (Anwar) tidak begitu bergiat dalam masalah sosio-ekonomik,”tulisnya.

Sebagai perbandingan, Morais menceritakan secara terperinci kelulusan Kamaruddin Jaafar.

“Beliau (Kamaruddin Jaafar) memegang ijazah (Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dalam bidang Sains Politik, Universiti Malaya sebelum memasuki Universiti Kent di Coutenbury, England).

“Kemudian beliau memasuki School of Oriental dan African Studies, Universiti London, di mana beliau beroleh Sarjana dalam Sains Politik.

“Ketika beliau balik dari England dalam tahun 1977, beliau menjadi pensyarah di Jabatan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Bangi,” tulisnya lagi.

Pada tahun 1971, tulis Morais, Anwar bersama lima orang rakannya, Kamaruddin Mohamed Noor (KM), Ismail Mina Ahmad, Osman Bakar (Perak), Mohd Zaki Abdul Rahman dan Ahmad Fakri Abdullah telah menubuhkan sekolah swasta yang diberi nama Yayasan Anda Akademik di No A1-2, Bangunan UDA, Jalan pantai Baru, Kuala Lumpur.

Setelah Anwar menyertai UMNO pada tahun 1982, jawatan Pengarah Yayasan Anda Akademik diserahkan kepada sahabat baiknya, KM.

Hari ini, Yayasan Anda Akademik hanya tinggal pada nama sahaja.

Sumber: AIDC

Laporan Terbaru Misi Rohingya Kelab Putera di Myanmar


Setakat ini nampaknya semua berjalan lancar dalam urusan misi kemanusiaan Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) untuk membantu penderitaan masyarkat Rohingya di Myanmar.

Rombongan utama misi itu diketuai oleh Datuk Azeez Abdul Rahim yang tiba di Yangon Sabtu malam pada tengahari Ahad berlepas ke bandar Sittwe menaiki pesawat komersial tempatan merentas jarak 495 kilomiter ke wilayah bergolak itu.


Wartawan Agendadaily Mohamed Hiekal yang disertai oleh jurugambar Mohd Hilmi Jaafar melaporkan ketibaan Azeez dan rombongan telah disambut oleh Ketua Menteri Wilayah Rakhine, Hla Maung Tin sendiri di lapangan terbang.

Rombongan mereka turut disertai oleh Menteri Hal Ehwal Sempadan Myanmar, Mejar General Zaw Winn dan Duta Malaysia di Myanmar , Dr Ahmad Faisal Muhamad.




Setelah ke hotel penginapan ,rombongan kecil yang disertai oleh Azeez, Ketua Menteri Rakhine dan Menteri Hal ehwal sempadan Myanmar, Duta Malaysia, Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K. Sri Dhammarathana dari Malaysia dan 8 orang wakil media dari Malaysia pergi ke Kuil Lawka Nandar.


Di kuil terbesar di daerah Sittwe mereka telah mengadakan pertemuan dengan Ketua sami Buddha daerah Sittwe, Badanda Pentita.

Tujuan pertemuan ini adalah untuk memberitahu mengenai tujuan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ini.


Ketua Sami Buddha Malaysia menberitahu bahawa Malaysia juga merupakan satu negara yg mempunyai berbilang kaum dan hidup dalam suasana yang penuh harmoni atas semangat perpaduan.

Wakil rombongan ini juga dibawa melawat kuil ini selepas itu. Pihak kuil berbesar hati atas kehadiran misi ini.


Esok Isnin,misi akan memulakan usaha agih bantuan.Mengikut rancangan bantuan akan diagihkan ke dua buah kem pelarian orang Islam Rohingya dan dua kem pelarian yang dihuni oleh mereka yang beragama Buddha.

Jaringan internet agak lembab manakala hubungan komunikasi terhad di Sittwe.


Suasana di sekitar bandar itu tenang sahaja.

Namun begitu kelihatan pasukan tentera Myanmar mengadakan sekatan jalanraya di beberapa tempat.


Perintah berkurung dikenakan mulai jam 6 petang hingga 7 pagi. - Baca lagi...

Sumber: Agendadaily

Anak VIP Ditahan Dalam Satu Pesta Seks Dan Dadah Di Selangor


Tujuh pelajar kolej swasta adalah antara 32 orang yang ditahan dalam satu pesta seks dan dadah di sebuah rumah kedai di Jalan SS21/39, Damansara.

Lebih mengejutkan dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, kesemua yang ditahan iaitu 27 lelaki dan lima wanita adalah berketurunan Melayu dan dipercayai turut membabitkan beberapa anak orang kenamaan (VIP).

Mereka yang berusia antara 19 dan 26 tahun itu dipercayai menyewa premis di tingkat tiga bangunan yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari Balai Polis Damansara dengan bayaran RM500 semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Petaling Jaya bersama anggota dari Balai Polis Damansara dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya diketuai Asisten Supritendan Mohd. Nazri Daud.

Polis bertindak membuat intipan dan serbuan di premis tersebut setelah menerima aduan orang awam yang curiga dengan aktiviti dijalankan kerana sering mendapati individu menaiki kereta mewah berkunjung ke situ pada waktu malam dan pulang pada sebelah pagi.

Mereka juga curiga kerana mendengar muzik kuat dimainkan dalam premis tersebut, manakala cermin tingkap ditutup dengan kertas minyak bagi mengelak ia dapat dilihat dari luar.

Mohd. Nazri berkata, setelah membuat intipan selama tiga hari, polis akhirnya bertindak menyerbu premis itu pada pukul 3 pagi ini.

"Kami terpaksa memecah jeriji pintu kerana ia berkunci sebelum boleh masuk ke dalam premis membuat pemeriksaan.

"Sebaik sahaja dapat masuk, kami dapati 27 lelaki dan lima perempuan Melayu berusia 19 hingga 26 tahun dalam keadaan khayal," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam premis juga menemukan dua set peralatan muzik, kondom yang sudah digunakan dan dadah jenis ketamin.

Mohd. Nazri berkata, siasatan lanjut mendapati tujuh daripada remaja yang ditahan merupakan pelajar kolej swasta, manakala 16 orang iaitu 14 lelaki dan dua wanita positif mengambil dadah jenis amphetamine dan THC.

Katanya, premis berkenaan sudah dua bulan digunakan untuk penganjuran aktiviti muzik, pesta seks dan dadah dengan mengenakan bayaran sewa RM500 semalam.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui 25 biji pil ekstasi seberat 10 gram dalam sebuah kereta Perodua Myvi dan 250 pil Eramin 5 serta 90 biji lagi pil ekstasi dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang ditahan memberitahu, dia bersama rakan-rakan mengetahui mengenai pesta diadakan di premis itu melalui laman sosial Facebook.

"Kami mengetahui mengenai pesta ini melalui Facebook 'sehari bersama kawan-kawan'. Kami dikehendaki membayar RM55 seorang kepada penganjur untuk menyertai pesta yang biasanya bermula pukul 8 malam hingga 8 pagi," katanya.

Difahamkan, premis berkenaan digunakan untuk penganjuran pesta muzik, seks dan dadah sebanyak dua hingga tiga kali seminggu dan pengunjung pulang pada pukul 8 pagi iaitu waktu orang ramai keluar bekerja bagi mengelak aktiviti tersebut dikesan.

Sumber: Utusan