Friday, November 16, 2012

Dewan Pemuda PAS Tolak Usul BERSIH 4.0


Dewan Pemuda PAS Pusat sebulat suara menolak usul mendesak pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan himpunan BERSIH 4.0 bagi menghidupkan kebangkitan rakyat dalam menuntut pilihan raya yang bersih.

Keputusan itu dibuat setelah mendengar perbahasan daripada seluruh perwakilan pemuda PAS yang hadir dan hanya segelintir sahaja yang bersetuju untuk mengadakan himpunan itu.

"Maka dewan Pemuda PAS sebulat suara untuk menolak usul bagi mengadakan Himpunan Bersih 4.0," kata Timbalan Pengerusi Tetap, Kamal Ashaari.

Perbahasan usul tersebut dibangkang oleh perwakilan Putrajaya, Salahuddin Zaini yang meminta agar himpunan itu ditangguhkan.

Katanya, perhimpunan tersebut akan mengganggu tumpuan jentera parti bagi melakukan persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

"Minta usul agar BERSIH 4.0 ditangguhkan dahulu bagi memberi tumpuan untuk kita tawan Putrajaya.

Malah usul beliau itu turut dipersertujui hampir keseluruhan perwakilan yang hadir bagi tidak mengadakan himpunan tersebut.

Himpunan haram BERSIH 2.0 dan 3.0 yang berlangsung di ibu negara anjuran pertubuhan badan bukan kerajaan pro pembangkang telah mencetuskan keadaan huru-hara sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda dan kerugian perniagaan.

Ratusan turut ditangkap dan termasuk kepimpinan utama parti pembangkang dan telah didakwa di mahkamah. -Antarapos

Sultan Pahang Dukacita Dengan Kenyataan Nurul Izzah


Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa kecewa dan dukacitanya terhadap kenyataan seorang pemimpin pembangkang mengenai isu kebebasan beragama rakyat termasuk orang Melayu baru-baru ini.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai mengarut dan tidak masuk akal, baginda juga kesal dengan pihak terbabit yang terlalu lantang bercakap mengenai agama tanpa memperhalusi kesannya kepada masyarakat terutama umat Islam.

“Sebagai ketua agama Islam dan pemerintah negeri Pahang saya berasa sedih, dukacita (dengan kenyataan itu). Kita tidak boleh terlampau lantang sangat sebut pasal agama ini.

“Saya nasihatkan agar rakyat tidak mendengar cakap-cakap sebegitu dan perlu memikirkan perkara itu dengan sehalus-halusnya,” titah baginda selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di sini Khamis.

Baginda bertitah sebagai seorang Islam, kenyataan berkaitan agama Islam tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada pihak yang lebih arif.

“Tidak semestinya orang yang mahir tentang Islam boleh bercakap mengenai Islam, saya juga mahir dan boleh juga bercakap mengenai Islam tapi kita ada majlis agama Islam, ulama kita semua bijak bistari, sebab itu saya tak berani bercakap,” titah baginda.

“Saya sayang agama saya. Kita kena sanjung agama kita setinggi-tingginya dan jaga dengan sepenuh hati. Dalam Perlembagaan turut menyebut bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini,” titahnya.

Pada 3 Nov lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Anggota ParlimenLembah Pantai Nurul Izzah Anwar sebagai berkata rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’, di Subang Jaya pada 3 Nov.

Dalam pada itu Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dengan pihak dan kenyataan sedemikian yang boleh membawa kepada penyelewengan dan merosakkkan akidah umat Islam.

“Jangan ikut kehendak pemikiran yang boleh merosakkan akidah…ini salah satu usaha yang dilakukan oleh musuh Islam yang suka hendak menyeleweng akidah umat Islam dengan cara meragukan orang Islam dengan pemikiran yang menyimpang (dari ajaran Islam sebenar),” katanya.

BN Youth Job Fair 16-18 Nov 2012 #BNYJobFair2012


Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) berlangsung pada hari ini 16 Nov sehingga 18 Nov 2012. Program bermula jam 10 pagi hingga 8 malam bertempat di PWTC Kuala Lumpur. 

Kembalinya Karnival Kerjaya Pemuda BN ini pastinya memberi berita baik kepada mereka yang mencari pekerjaan.

Antara aktiviti yang diadakan pada BN Youth Job Fair 2012 ini ialah ceramah kerjaya, klinik resume dan temuduga turut diadakan untuk graduan yang masih mencari pekerjaan.

Program ini akan dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 17 Nov.

Selain daripada itu Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke BN Youth Job Fair bagi merealisasikan kerjaya impian masing-masing.

Thursday, November 15, 2012

Muktamar PAS: PAS Semakin Jauh Meninggalkan Islam!

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung di Dewan Duyung, Perdana Resort hari ini berlangsung dalam keadaan tenang walaupun umum tahu bahawa parti tersebut sedang bergelora di peringkat akar umbi.

Dalam ucaptamanya, Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS menyeru para Ulama PAS mempertahankan ijtihad Tahaaluf Siyasi (persefahaman politik) termasuk mengarahkan semua ahli mengundi calon-calon bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat. Untuk itu, Datuk Harun juga mengingatkan mereka agar menggunakan dalil-dalil dalam Al-Quran dan hadith yang bersesuaian, untuk meyakinkan pengundi.

Secara dasarnya, Ulamak PAS mengambil pendirian untuk menumpukan kepada perkara besar dan mengenepikan perkara kecil dalam membawa usul ke Muktamar Tahunan ke-58 yang akan bermula esok di Pusat Tarbiyah Pengkalan Chepa (Putik).

Apa yang menarik ialah, Dewan Ulama PAS telah memutuskan 'menawan Putrajaya' sebagai satu-satunya agenda besar.

Manakala soal lain, termasuk kebebasan umat Islam menukar agama yang berbangkit dari kenyataan Nurul Izzah, hala tuju dan prinsip Pakatan Rakyat dalam soal hudud, Malaysian-Malaysia, liberalisme dan pluralisme yang menjadi kontroversi dalam mendefinasikan jatidiri PAS hari ini, telah diremehkan.

Malah, soal jawatan Perdana Menteri serta pembahagian kerusi yang merupakan isu asas dalam memperkatakan agenda besar untuk 'menawan Putrajaya' juga turut diketepikan. Dalam kata lain, penyokong PAS wajib menerima hakikat bahawa Anwar adalah bakal perdana menteri kerana Anwar saja yang mampu menyatukan jasad PAS dengan DAP yang mana tanpa penyatuan ini, PAS tidak mungkin mampu mengimpikan Putrajaya.

Dalam kata lain, para penyokong yang mempunyai kemusykilan atau persoalan mengenai perkara-perkara di atas dan berniat untuk mengusulkannya untuk dibahaskan telah disarankan agar membatalkan niat mereka sebaik tiba di pintu Muktamar.

Bagi menyimpulkan pendirian Dewan Ulama atau mungkin juga kepimpinan PAS keseluruhan, petikan tulisan seorang blogger pro-PR menyatakan segala-galanya, iaitu "Ahli perlu membincangkan bagaimana mahu melurus dan melebarkan jalan menuju ke Putrajaya. Jangan pula ada yang primif dengan menyempitkan jalan ke Putrajaya dengan menzahirkan kebimbangan ataupun konfius; DAP akan menyekat pelaksanaan Islam ataupun masih konfius apakah suci ataupun tidak Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri? Perkara itu tidak perlu ditimbulkan dan yang penting gapai dulu Putrajaya kemudian baru bahaskan."

Malah, blogger tersebut juga berpesan agar penyokong PAS jangan tamak mendesak agar kerusi pilihanraya diberikan lebih kepada PAS berbanding PKR. Katanya, "Lebih baik Pas menang sedikit daripada menang besar kalau penyertaan itu memberi untung kepada Umno. Juga tidak ada gunanya Pas menang besar kalau kemenangan itu nanti digunakan untuk bergabung dengan Umno tanpa ada konsensus dari ahli."

Alasan beliau ialah walaupun gabungan PAS-UMNO merupakan perkara spiritual iaitu hubungan agama dan bangsa tetapi "tidak elok kalau ditimbulkan dalam muktamar kerana ia boleh menyinggung rakan Pakatan yang lain."

Seperti juga blogger tersebut, Dewan Ulama PAS telah memutuskan yang PAS tidak pernah terpesong dari landasan asal iaitu masih memperjuangkan penubuhan Negara Islam dan melaksanakan Hudud. Bagaimanapun, ahli-ahli dilarang bertanya bagaimana untuk memperjuangkannya sedangkan ia ditentang hebat oleh DAP.

Nampaknya, kerana terlalu inginkan kuasa, Ulama dan kepimpinan PAS mula menunjukkan sikap kuku-besi. Ahli-ahli tidak dibenarkan bersuara atau bertanya. Jika ada yang berbuat demikian akan dituduh sebagai agen UMNO, pengkhianat dan kemungkinan besar dikenakan tindakan pecat. Ahli-ahli dipaksa untuk menerima hakikat bahawa jika mereka perlu menggadaikan agama, bangsa, negara, maruah, wang mahupun nyawa untuk mendekatkan mereka ke Putrajaya, maka mereka wajib melakukannya tanpa banyak soal.

Nampaknya, Muktamar PAS kali ini tidak ada faedahnya jika ahli-ahli menerima saranan blogger PAS di atas. Jika isu-isu yang menjadi kemusykilan di peringkat akar umbi tidak dibenar disuarakan, maka apa lagi yang boleh dibincangkan?
Apakah Muktamar hanya untuk ahli berjumpa untuk mengeratkan silaturrahim dan mendengar ucapan kepimpinan semata-mata? Sedangkan, akar umbi mendambakan satu gambaran yang jelas lagi terang berkenaan arah tuju parti sebelum dan juga selepas Pilihanraya.

PAS tidak boleh mengharapkan semua ahli menerima arahan untuk tutup mulut dan memenangkan parti dahulu sebelum bertanya ke mana mereka akan dibawa. Tidak semua ahli-ahli PAS sebodoh pemimpinnya. Ramai yang berupaya membayangkan kekecohan selepas Pilihanraya sekiranya PAS tidak mampu menjelaskan di manakah kedudukan parti mereka dan ke manakah arah atau apakah gaya pemerintahan PR nanti.

Muktamar ini sepatutnya digunakan sebaiknya untuk menjelaskan segala-gala kemusykilan akar umbi ini dan bukannya menggelapkan terus pandangan mereka. Jika PAS gagal memuaskan hati akar umbi melalui Muktamar ini, maka Putrajaya nampaknya akan semakin jauh lagi.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Leuniey Berdebar Menanti Saat Bergelar Isteri Apex


Semua sedia maklum penjaga gol kebangaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23 atau lebih mesra dipanggil Apex akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya Leuniey Natasha pada bulan Disember ini.

Berikutan perkara tersebut, Leuniey dikatakan tidak mahu berkongsi lebih lanjut mengenai majlis perkahwinan mereka dan lebih selesa sekiranya pertanyaan tersebut diajukan kepada Apex sendiri.

Meskipun begitu, gadis ini mengaku sedang membiasakan diri untuk menjadi perhatian umum memandangkan dia bakal menjadi sebahagian daripada hidup Apex.

“Saya tidak boleh nak beritahu semua. Lebih elok jika tanya hal perkahwinan kami pada Apex sendiri. Apapun seperti bakal pengantin yang lain, saya rasa berdebar menanti saat untuk bergelar isteri orang.

“Saya akui apabila bersama Apex, apa sahaja mengenai kami akan menjadi perhatian dan saya kini sedang membiasakan diri,” ujar Leuniey kepada pihak Media Hiburan di majlis pelancaran Koleksi ‘Ratu By Ezuwan Ismail’ baru-baru ini.

Dalam pada itu, Leuniey turut akui dia amat meminati sikap Apex yang pandai menghormati orang tua terutama ibu bapanya.

“Dia seorang yang matang biar usianya masih muda dan dia juga seorang yang mengambil berat. Tapi apa yang paling penting, dia seorang yang menghormati orang tua khasnya ibu bapa saya,” ujar Leuniey lagi.-OhBulan