Sunday, March 3, 2013

Hanif: Siasat Tuduhan Insiden Lahad Datu Didalangi Pemimpin Pembangkang


Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat laporan media Filipina yang mendakwa terdapat pemimpin pembangkang Malaysia yang terlibat merancang penyusupan masuk penceroboh di Lahad Datu awal bulan lalu.

Kata beliau, sekiranya laporan tersebut terbukti benar, ia satu tuduhan sangat berat dan perlu disiasat.

Sebelum ini, sebuah media Filipina dipetik melaporkan, perisikan Filipina mendapati individu dalam parti pembangkang Malaysia didakwa sebagai dalang kepada isu di Lahad Datu.

Difahamkan, kumpulan bersenjata tersebut yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, yang merupakan adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III terpedaya dengan janji menyokong pihak mereka dalam tuntutan ke atas Sabah.

Susulan pencerobohan 9 Februari lalu, dalam kejadian jam 10 pagi semalam, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata terbabit turut maut.

Ia turut mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan Malaysia.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dilapor mengaitkan insiden tembakan di Lahad Datu sebaai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat, Hanif juga dilihat sebagai satu tuduhan yang sangat berat.

Hanif turut menggesa PDRM menyiasat secara rapi wakil rakyat itu.

Laporan yang tersiar di laman berita rasmi PKR itu memetik Tian Chua sebagai berkata, pencerobohan di Lahad Datu itu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

Hanif menambah, PDRM harus menyiasat kedua-dua tuduhan itu kerana ia telah menyebabkan 14 nyawa terkorban manakala tiga anggota polis lain tercedera.

“Tadi saya turut bersama-sama menyambut ketibaan jenazah dua anggota komando VAT69 yang terkorban dalam pertempuran itu iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud di Airport Subang.

“Saya sendiri berasa sangat sedih melihat anak dan isteri mereka yang terkorban kini menjadi anak-anak yatim dan balu dalam sekelip mata sahaja. Mereka menangis dalam pelukan. Semoga kerajaan menjaga kebajikan dan pelajaran anak-anak mereka ini,” katanya lagi – Sinar Harian

5 Polis Terbunuh, 2 Penjenayah Ditembak Mati - KPN


Seorang pegawai dan empat anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada sidang akhbar di Lahad Datu hari ini.

Sementara dua dari kumpulan bersenjata turut terbunuh, katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, dahulunya berkata dua anggota pasukan keselamatan terkorban dalam serang hendap di Kampung Seri Jaya Siminul, Semporna.

Beliau berkata dua anggota pasukan keselamatan itu yang sedang membuat serbuan di perkampungan atas air itu telah ditembak oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali pada pukul 6.30 petang semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberi maklumat terperinci mengenai identiti anggota keselamatan yang terbunuh itu semasa ditemubual secara langsung melalui panggilan telefon dengan stesen televisyen TV3 dalam program 'Malaysia Hari Ini' di sini pagi ini.

Hamza berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada kumpulan penyerang yang kurang daripada 10 orang itu mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari Filipina.

Menyentuh mengenai kumpulan penceroboh itu, Hamza berkata mereka terhad di Kampung Tandou, Lahad Datu dan telah dikepung oleh pasukan keselamatan negara.

Beliau juga menegaskan keselamatan di Lahad Datu dan di Sabah, adalah terkawal dan menasihati penduduk di negeri itu supaya tidak mendengar khabar angin dan mereka boleh menghubungi ketua polis daerah di negeri ini untuk pengesahan.

5 Terkorban Dalam Serang Hendap Di Semporna


Seorang pegawai dan empat anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada sidang akhbar di Lahad Datu hari ini.

Sementara dua dari kumpulan bersenjata turut terbunuh, katanya. – BERNAMA