Sunday, March 10, 2013

Sambutan 5 Tahun PR Di Selangor Tiada Sambutan


Seperti di Pulau Pinang, sambutan lima tahun Pakatan Rakyat di Selangor malam tadi turut menerima sambutan hambar walaupun membariskan pemimpin utama PKR dan DAP.

Hanya kira-kira 5,000 orang hadir di Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk sambutan itu di negeri yang diduduki lima juta penduduk.

Bagaimanapun kehadiran itu lebih baik daripada 500 orang yang menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat bersempena dengan pemerintahan 5 tahun gagasan itu, di Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Angka-angka itu jauh lebih kecil berbanding kehadiran lebih 130,000 di sambutan Tahun Baru 2013 Pakatan Rakyat di Selangor bersama penceramah agama Ustaz Azhar Idrus.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan majlis di Shah Alam semalam untuk membidas media tanah air bersabit isu pencerobohan di Sabah.

“Saudara, dia (media arus perdana tempatan) guna Philippines Daily Inquirer, kononnya Philippines Daily Inquirer tuduh saya terlibat. Saudara tahu tak media itu bila bebas, Philippines Daily Inquirer minta saya buat temuramah khusus (untuk) akhbar dia dan juga radio..40 minit saya jelaskan..,” tegas Anwar disambut tepukan dan sorakan penyokong beliau.

“Itu bezanya (media luar yang bebas)..walaupun dia singgung sikit, dia kata ‘apakah benar ketua pembangkang, Anwar pernah jumpa Sultan Sulu?’..itu sahaja yang disebut, terus dia bagi saya 40 minit untuk jelaskan keadaan sebenarnya.


Philippines Daily Inquirer, di dalam laporannya minggu lalu menyatakan bahawa sumber risikan negara itu mengaitkan seorang ahli politik Sabah yang bersekutu dengan pemimpin pembangkang Malaysia sebagai antara 'faktor luaran' yang didakwa bertanggungjawab menghasut waris kesultanan Sulu untuk menuntut Sabah.

-AntaraPos

Budak Lelaki 12 Tahun Terbunuh Di Kawasan Ops Daulat



Seorang remaja lelaki yang tidak dikenali ditembak mati manakala seorang lelaki dewasa cedera di bahagian kakinya apabila anggota keselamatan Malaysia menembak sebuah belukar di Kampung Sungai Bilis pagi ini, dalam operasi Ops Daulat yang masuk hari keenam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian itu berlaku semasa polis menahan lima orang yang tiba-tiba muncul di kawasan itu.

“Pada pukul 9.45pagi hari ini, pasukan keselamatan kita bergerak ke kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis. Tiba-tiba, muncul satu kumpulan manusia dari kawasan belukar.

“Kumpulan itu terdiri daripada dua orang lelaki dan tiga orang perempuan. Kita tangkap mereka dengan segera.

“Ketika pemeriksaan ke atas mereka, tiba-tiba kedengaran bunyi pergerakan di belukar berhampiran. Secara spontan, pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan.

“Kami menemui seorang budak lelaki dalam lingkungan usia 12 ke 15 tahun telah meninggal dunia dan seorang lelaki dalam lingkungan usia 30an terkena tembakan di kaki,” kata beliau semasa satu sidang media di Felda Sahabat 16.

Ismail berkata kesemua yang ditahan, lelaki yang cedera serta mayat remaja lelaki itu telah dibawa keluar dari kawasan kejadian.

“Kami tidak pasti tentang identiti mereka. Mereka tiada sebarang dokumen. Kita sedang menjalankan siasatan pada ketika ini tentang asal usul mereka dan apa mereka buat di situ,” tambahnya lagi.

Ismail berkata mereka disiasat dibawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Polis telah berkali-kali mengingatkan orangramai supaya jangan masuk ke kawasan Ops Daulat yang meliputi sekitar Kampong Tanduo hingga Tanjong Batu di Lahad Datu.

Wartawan Tempuh Pengalaman Mendebarkan Terserempak Pengganas Bersenjata


LAHAD DATU: Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini, Ahad.

Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu "dipaksa" berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.

Kejadian pada kira-kira 10 pagi itu melibatkan wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), jurugambar The Star, New Straits Times serta jurukamera dan pemberita Bernama TV dan Al-Hijrah.

Mengimbas kembali, wartawan Bernama Mohd Hisham Abdul Rafar berkata pada mulanya beliau bersama rakan media mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.

Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah-olah "kampung berhantu" kerana rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang ternakan berkeliaran.

"Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung.Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari sesuatu.

"Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu," katanya.

Menyedari keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi itu bersama rakan media lain.

Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting apabila beliau yang ketika itu telah berada di dalam kenderaan terlihat sosok seorang lelaki berpakaian serba hitam yang memegang senjata berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka.

Cemas dengan keadaan itu, beliau dan rakan-rakan terus menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu.

Dalam pada itu katanya, beliau masih sempat menjerit mengingatkan rakan-rakan supaya tidak merakamkan gambar kerana khuatir lelaki itu bertindak ganas.

"Saya sempat menjenguk keluar dan terlihat lelaki itu terus duduk dan berselindung di sebalik pokok berkenaan. Saya masih terperanjat, namun bersyukur penceroboh itu tidak melepaskan tembakan," katanya.

Normimie berkata dalam perjalanan pulang mereka kemudiannya berselisih dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke kampung tersebut.

Kesemua kumpulan wartawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiba dengan selamat di Felda Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Pasukan keselamatan melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu berikutan insiden pencerobohan oleh kumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina yang berlarutan sejak 12 Februari lepas.

-Bernama

35 Ahli Pas Jabi, Terengganu Keluar Parti Dan Sertai UMNO

Ismail Samah (kiri) menerima borang kemasukkan ahli UMNO dari 35 bekas ahli Pas yang diketuai Ali Bakar (tiga, kanan) selepas Majlis Ceramah Selamat Tinggal Pembangkang (STP) di Kampung Tok Dor, Jabi, Besut malam tadi.

Seramai 35 anggota dan penyokong PAS dari Kampung Tok Dor dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu bertindak keluar parti dan menyertai UMNO malam tadi.

Ketua mereka, Ali Bakar, 69, berkata mereka sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan parti pembangkang itu lalu bertindak keluar secara beramai-ramai.

"Dulu mereka persoalkan dan beritahu bahawa ahli UMNO jadi kafir kerana bersama-sama MCA dan MIC dalam Barisan Nasional, tetapi hari ini Pas pula berkawan dengan DAP, tidak pula dihukumnya," katanya kepada pemberita.

Ali yang menjadi anggota Pas selama lebih 20 tahun berkata, mereka kecewa dengan sikap pemimpin Pas yang sering berdolak-dalih terhadap pelbagai isu yang membabitkan kepentingan umat Islam termasuk penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

"Kami semua baru sedar tipu helah pemimpin Pas yang sering memutar belit isu agama sehingga ramai penyokong Pas terkeliru. Sebelum ini kami ahli Pas pernah bertanya kepada pemimpin kami mengenai kedudukan isu kafir-mengkafir, tetapi tiada seorang pun yang tampil memberi penjelasan menyebabkan kami kecewa dan sudah tidak percaya lagi dengan cakap-cakap mereka," katanya.

Majlis penyerahan borang keahlian UMNO didahului oleh Ali kepada Setiausaha UMNO bahagian Setiu, Ismail Samah.

-Bernama

Tembak Menembak Di Tanjung Labian, Penduduk Selamatkan Diri


Lahad Datu - Penduduk di Tanjung Labian, dekat sini bertindak melarikan diri secara beramai-ramai ke kawasan yang lebih selamat setelah mendengar beberapa das tembakan di kampung tersebut hari ini.

Diahamkan bahawa tembakan pada pagi ini dilepaskan oleh saki-baki kumpulan pengganas Sulu yang cuba masuk ke kawasan perkampungan tersebut.

Tindakan penceroboh itu telah menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk.
Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata sehingga kini seramai 85 orang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pengganas Sulu di negeri itu.

Menurutnya enam lagi suspek ditahan pada Sabtu.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Rang Undang-undang kesalahan keselamatan (langkah-langkah khas) 2012.

Hamza berkata demikian menerusi sidang media pada Ahad.

Antara senjata dan peralatan yang dirampas dalam operasi pembersihan oleh pihak keselamatan di Kampung Tanduo. foto ATM

Penulis Surat Rahsia Tentang Wan Azizah Buat Laporan Polis


Mohd Fareez Kamal Intidzam, penulis surat rahsia tentang perilaku pelik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang tadi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi Kuala Lumpur akerana bimbang ancaman keselamatan oleh pengikut-pengikut Presiden PKR terhadap keluarganya setelah tersebarnya surat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Isnin lalu.

Sambil mengakui dia merupakan penulis surat tersebut, Fareez berkata dia tahu ancaman keselamatan terhadap dirinya datang daripada pengikut setia Wan Azizah.

“Saya kenal mereka, sebab saya sudah lama dalam PKR,” katanya semalam.

Fareez turut mengulangi kata-kata yang terkandung dalam surat itu bahawa Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah cemburu kepadanya kerana dia rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam surat itu, Fareez turut mendakwa dia telah dilantik oleh Anwar sebagai Pegawai Diplomat Sulit Antarabangsa sejak dari tahun 2008.

Sebelum ini, Fareez, 24 tahun adalah Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.