Wednesday, March 13, 2013

Status FB Sokongan Nur Misuari Kepada Anwar Sudah Ghaib


Inilah akibatnya apabila terlalu ghairah ingin menunjukkan sokongan dan mengambil hati Anwar Ibrahim, akibatnya ‘posting’ yang sebelum ini diletakkan tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan. Saling tak ubah seperti perumpamaan popular mengenai biskut satu ketika dahulu ‘sekejap ada, sekejap tak ada’.

Ia berhubung tindakan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang secara tidak sengaja telah mengesahkan hubungan baiknya dengan Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim seperti yang di dakwa sebelum ini.

Misuari (yang mengaku masih memimpin MNLF, walaupun pada hakikatnya telah lama disingkirkan) nyata tersilap langkah apabila memasukkan di dalam entri laman sosial Facebooknya mengenai sokongan kepada Anwar berhubung dakwaan liwatnya.

"We happy that the innocent are vindicated and that truth and justice should always prevails", katanya yang merujuk kenyataan bapa kepada mangsa liwat Anwar, Azlan Mohd Lazim.

Menyedari akan kesilapan yang dilakukan itu, posting Misuari berkenaan kenyataan tersebut akhirnya ‘ghaib’ dari laman sosialnya tanpa sebarang alasan yang kukuh. Atau mungkinkah bekas gabenor Mindanao itu telah dihubungi oleh ‘orang-orang tertentu’ yang melihat posting tersebut seperti membuka pekung di dada?

Walaupun secara dasarnya ia bukan merupakan satu kesalahan namun secara prinsipnya ia berkait dengan hubungan rapatnya dengan Anwar. Tambahan pula agensi berita antarabangsa dan media asing turut melaporkan kenyataan dari unit perisikan tentera Filipina yang mengaitkan Anwar terhadap pencerobohan bersenjata di Sabah.

Malah kenyataan Misuari sebelum ini juga dilihat berbelit-belit, berbau propaganda dan penuh dengan tipu muslihat. Pada satu ketika, dia menafikan terlibat dalam insiden pencerobohan di Sabah namun di masa sama menyatakan akan menghantar tenteranya membantu pengikut Jamalul Kiram yang semakin tertekan di Sabah.

Tidak cukup dengan itu, Misuari juga turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang menurutnya ‘mendengar cerita’ kononnya kehadiran penceroboh adalah kerana jemputan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.

Untuk rekod, bekas Gabenor Wilayah Autonomi Mindanao itu sebelum ini telah di tolak oleh rakyatnya kerana gagal membangunkan wilayah kelahirannya, malah turut dikaitkan dengan amalan rasuah dan didakwa hanya mengutamakan kepentingan diri.

Tun Mahathir ketika diminta mengulas mengenai Anwar berhubung isu Sabah mengatakan hairan bagaimana boleh terpedaya untuk percaya kepadanya semasa di dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

“Dia (Anwar) penipu yang terbesar sampai saya pun tertipu. "Kononnya warak, kononnya boleh (kendalikan) usrah tapi buat kerja yang tak boleh diterima oleh orang Islam”.

Kesimpulannya sehingga kini, Anwar masih gagal menjawab beberapa persoalan yang menjadi tanda tanya sebilangan besar rakyat berhubung tragedi berdarah yang melanda negara ini.

1. Mengapa Anwar ghairah berulang kali menyentuh soal Sabah akan hilang. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

2. Apakah yang beliau bincangkan semasa pertemuan dengan Nur Misuari sebelum itu?

3. Menjawab berhubung dakwaan, terdapat pemimpin PKR lain yang turut menemui pihak tertentu di selatan Filipina.

4. Dakwaan pencerobohan pengganas Sulu berlaku atas jemputan pemimpin pembangkang, sebagaimana dilaporkan Reuters dan media Filipina.

5. Pencerobohan tersebut dikatakan ada kaitan dengan janji pembangkang di Malaysia memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika berjaya membentuk kerajaan kelak.

Lahad Datu: Tentera Filipina Pintas 32 Lelaki Bersenjata Disyaki Pengikut Jamalul Kiram III


Tentera Laut Filipina merampas senjata api dan peluru dari 35 orang yang disyaki pengikut kesultanan Sulu, seorang daripadanya wanita, ketika memintas mereka di perairan sekitar Pulau Andolingan di Tawi-Tawi pagi ini.

Jurucakap Tentera Laut Lt-Komander Gregory Fabic berkata kapal peronda BRP Mariano Alvarez dan kapal meriam BRP Jose Andrada memintas dua buah bot di barat Pulau Andolingan sekitar jam 6.30 pagi.

Fabic berkata laporan awal menunjukkan sebuah daripada bot tersebut sedang menuju ke Sabah.

Suspek dijangka tiba di Batobato, Tawi-Tawi untuk siasatan.

Terdapat laporan mengenai orang Tausug sedang menuju keluar untuk membantu pengikut kesultanan Sulu di Sabah sejak pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia tercetus awal bulan ini.

Filipina dan Malaysia telah menjalankan kawalan di laut untuk menghalang pengikut kesultanan itu menyertai yang lainnya di Sabah.

Sebelum kejadian ini, pihak berkuasa Filipina berkata mereka juga telah memintas 70 pengikut kesultanan yang sedang menuju ke Sabah.

Di samping itu, ratusan rakyat Filipina dari Sabah telah tiba di selatan Filipina selepas melarikan diri daripada apa yang ramai daripada mereka mendakwa, tindakan keras oleh pihak berkuasa Malaysia.

- InterAksyon

Video Kantoi!! Calon PAS Tengah Bagi Rasuah


Wahahaha! Sudah kantoi beb!

Gambar diatas menunjukkan seorang bakal calon PAS Gaal, Tuan Mazlan sedang menghulurkan wang kertas sebanyak RM50 kepada setiap peserta konvoi PAS.

Masihkah ingat lagi... Nik Aziz pernah berkata penerima BR1M umpama haiwan (ayam dan lembu)? baca di sini

So... ini bermakna mat rempit PAS yang terima duit itu adalah ayam dan lembu PAS? huh kesian sungguh!

UMNO sendiri tak tergamak menyamakan rakyatnya sebagai haiwan.

Inilah contoh parti pembangkang yang kononnya bekerja ikhlas kerana Allah, tanpa upah! Jelas dan nyata semuanya adalah satu pembohongan!! Takbirrrr!!!

Parlimen Bubar Petang Ini?


Twitter Berita Harian dengan sepotong gambar menunjukkan kereta rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan Istana Negara telah mencetus khabar angin bahawa Parlimen akan dibubar hari ini.

Berita Harian memuat naik mesej Twitter : “Kelihatan kenderaan rasmi Perdana Menteri keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.”

Mesej itu dimuat naik pada 11.29 pagi tadi.

Sejurus kemudian, akaun Twitter Berita Harian dihujani berdozen-dozen mesej respons, kebanyakannya membuat spekulasi tentang pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, seorang pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri memberitahu ABN News ia adalah satu kebiasaan bagi Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet diadakan.

Tian Chua, Mana Boleh Lepas.... Kata Timbalan Ketua Polis Negara


Bagi puak mulut celupar dan gatal tangan cuba nak perlekeh pasukan keselamatan kita yang sedang bertarung nyawa untuk hapus penceroboh bersenjata Sulu... awas, ini amaran Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Nada beliau nyata bukan nak main-main.

Memang ramai sudah mendidih kerana pada ketika satu negara perlu bersatu hati berdepan dengan pencerobohan ini.. ada juga puak yang nak tunjuk pandai komen bukan-bukan ikut suka sedap mulut.

Ini termasuk gelagat Naib Presiden PKR,Tian Chua yang kena hentam depan belakang di seluruh negara kerana senang hati main tuduh krisis keselamatan di Lahad Datu satu sandiwara UMNO.

Bagi Tian Chua... Khalid dengan tegas berkata, "mana boleh lepas".

Beliau memberitahu  polis akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.


Polis telahpun ambil keterangan darinya berhubung cakapnya yang disiarkan dalam akhbar Keadilan Daily baru-baru ini.

Manakala bagi yang cuba jolok nada-nada sama baik menerusi blog,facebook,twitter atau lain-lain,Timbalan Ketua Polis Negara mengingatkan mereka polis akan jejak sampai dapat.

Tindakan juga akan dikenakan terhadap pihak yang menyebar dan membuat sebarang ulasan negatif mengenai tindakan pasukan keselamatan negara, katanya.

"Jangan buat tindakan bodoh seperti ini...,"tegasnya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar selepas satu majlis di Kuala Lumpur Selasa beliau berkata ,"Saya ingin memberi amaran kepada mereka-mereka ini, arahan telah dikeluarkan supaya mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan yang mencerca dan menghina tindakan pasukan keselamatan kita ini. Ini satu perbuatan yang amat keji.

"Jadi saya minta hentikan sebarang 'statement' yang menghina, mempersenda dan memperlekeh apa jua tindakan keselamatan negara kita kerana kita akan menjejaki mereka sehingga dapat," katanya.

Menurut beliau polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau semua laman web dan media sosial bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

Serentak dengan itu ,Khalid memberitahu polis sudah membuka dua kertas siasatan berhubung perbuatan memperlekeh pasukan keselamatan

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Peguam Negara bagi menentukan tindakan berdasarkan undang-undang yang akan dikenakan terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan itu.

"Biar kita berunding dahulu dengan pihak Peguam Negara untuk siasat kes ini di bawah Seksyen 130 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) dan Kanun Keseksaan," katanya.

-Agendadaily

Agbimuddin Kiram Dipercayai Masih Bersembunyi di Tanjung Batu


Lahad Datu: Agbimuddin Kiram yang mengetuai pengganas Sulu dipercayai masih bersembunyi bersama anak buahnya di sekitar Tanjung Batu dan beberapa kampung sekitar FELDA Sahabat 18, dekat sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata Agbimuddin dipercayai berusaha melepasi kepungan pasukan keselamatan tetapi diyakini tidak akan mampu berbuat demikian berikutan kepungan ketat di darat dan laut oleh pasukan keselamatan. Beliau berkata demikian pada sidang media, di FELDA Sahabat 16, sebentar tadi

Ratusan Penduduk Kampung Tunggu Ketibaan Jenazah Ahmad Hurairah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaminkan bacaan doa ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Prebet Ahmad Farhan Roslan yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di sini, Rabu. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tiga, kanan) dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (dua, kiri). -foto Bernama


Pasir Mas - Ratusan penduduk kampung termasuk saudara-mara mula berkumpul di rumah Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail, 24, di Bayu Lalang di sini pagi ini.

Mereka menunggu ketibaan jenazah Allahyarham yang gugur dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayu Lalang, hari ini.

Foto Utusan

Jenazah dua anggota tentera gugur di Lahad Datu tiba di Pangkalan TUDM Subang

Jenazah dua anggota tentera yang terkorban dalam Ops Daulat menentang pengganas Sulu di Lahad Datu semalam, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.

Pesawat C-130 milik TUDM yang membawa jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Roslan, 21, mendarat sejurus sebelum 8 pagi.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu manakala Ahmad Farhan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Chenderawasih ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah.

Najib dan Ahmad Zahid memasuki pesawat dan memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara itu. Allahyarham Ahmad Hurairah merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah bermula 12 Feb.

Anak kelahiran Kelantan itu terkorban dalam pertempuran yang berlaku pada 10.45 pagi semalam yang turut menyaksikan seorang lagi perajurit cedera dan dua musuh terbunuh.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan bersenjata itu manakala 56 musuh ditembak mati.

Bubar DUN: Kit Siang Cakap Tak Serupa Bikin Lah...


Setelah puas berlagak seperti pakar strategi ketenteraan berhubung tragedi pencerobohan bersenjata di Sabah, pencacai pakatan pembangkang cuba menjadi pakar perlembagaan pula apabila Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mendesak agar kerajaan persekutuan untuk segera mengumumkan pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada pilihanraya umum ke-13 (PRU13).

Kit Siang turut mengatakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada ketika ini tidak lagi sah kerana tempoh pentadbiran kerajaan sudah genap lima tahun. Murah dan dangkal sungguh perkiraan yang dilakukan.

Entah macamana Kit Siang boleh bermimpi ingin menjadi pemimpin negara jika tidak mampu memahami perlembagaan dan undang-undang mengenai pilihanraya? Patutlah pemilihan CEC DAP juga haru biru jadinya, rupa-rupanya memang mereka ini ‘lembab’ sedikit otaknya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah terbubar dengan sendirinya setelah tamat tempoh lima (5) tahun daripada tarikh persidangan pertama Dewan yang berkenaan selepas satu-satu Pilihan Raya Umum - kecuali jika dibubarkan lebih awal.

Dan untuk rekod, kali terakhir pilihanraya umum diadakan ialah pada 8 Mac 2008, apabila kerajaan pemerintah membubarkan parlimen pada 13 Februari 2008.

Sejurus selepas parti yang mendapat kerusi majoriti membentuk kerajaan, sesuai dengan perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, telah bersetuju untuk menetapkan tarikh 28 April 2008 sebagai tarikh bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Malaysia Yang Kedua Belas.

Telah tertulis juga bahawa Pilihanraya Umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut. Peruntukkan yang serupa juga terkandung di dalam Perlembagaan Negeri-negeri bagi tujuan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri.

Oleh itu, bagaimana pula Kit Siang boleh menuduh pemerintahan BN sekarang sebagai tidak sah? Takkanlah Kit Siang terlalu gilakan kuasa sehingga tidak boleh mengira hari?

Kanak-kanak sekolah Tahun Dua juga sudah tentu boleh mengira bahawa parlimen akan terbubar sendiri pada 28 April 2013, dan bahawa isu yang dibangkitkan kononnya Perdana Menteri sedang melaksanakan tugas tanpa mandat rakyat adalah satu bentuk provokasi dan pembohongan oleh orang yang tidak tahu mengira tetapi gila kuasa.

Bagaimanapun, sekiranya pencacai pembangkang mengunapakai ‘kefahaman’ mereka dalam isu ini, iaitu kerajaan mempunyai tempoh 5 tahun bermula dari tarikh pilihanraya umum untuk membubarkan parlimen, maka mereka wajar membubarkan segera DUN-DUN di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Tindakan ini pasti dilihat sebagai ‘menghormati’ Kit Siang yang secara tidak langsung menyatakan bahawa Azizan, Nik Aziz, Khalid Ibrahim dan Guan Eng bukan lagi Menteri Besar dan Ketua Menteri yang sah dan perlu segera meletakkan jawatan berdasarkan analoginya mengenai perlembagaan negara mengenai pilihanraya

Lahad Datu: Foto Jeneral Musa Dan Talibarut Ditemui Dalam Telefon Bimbit Pengganas



Berikut adalah laporan dari wartawan Mynewshub.my yang membuat liputan dari Lahad Datu...

KAMI baru memperoleh dua keping gambar yang dipercayai wajah sebenar pemimpin kanan pengganas militan Sulu, ‘Jeneral’ Musa dan sekeping gambar salah seorang tali barut yang terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Untuk pengetahuan anda, pasukan keselamatan telah mengeluarkan 23 mayat pengganas setakat ini di kawasan Kampung Tanjung Batu, salah sebuah kampung yang menyaksikan pertempuran sengit antara pasukan pengganas dan pasukan keselamatan.

Satu daripada 23 mayat itu telah disahkan Ketua Polis Sabah, Datuk Hamzah Taib sebagai ‘Jeneral’ Musa yang mati dalam pertempuran di kampung berkenaan.


Sekeping gambar lagi yang kami peroleh adalah wajah salah seorang tali barut yang dikatakan pernah bekerja membaiki rumah di sekitar kawasan berhampiran.

Dikatakan lelaki tersebut adalah antara mereka yang bertemu ‘Jeneral’ Musa sewaktu pasukan pengganas mula-mula mendarat di Kampung Tanduo, tidak jauh dari Kampung Tanjung Batu.

Namun tidak diketahui nasibnya sehingga sekarang, sama ada telah terbunuh atau masih lagi bersembunyi di sekitar kampung tersebut.

Hari kelapan Operasi Daulat semalam menyaksikan dua orang lagi anggota tentera terkorban, seorang dalam pertempuran dan seorang lagi terbunuh apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad Datu-Cenderawasih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 anggota keselamatan maut sejak tragedi pencerobohan 12 Feb lepas.

Nota: Dua keping gambar di atas dipercayai sewaktu ‘Jeneral’ Musa memaikan beret kepada tali barut berkenaan ketika hari-hari awal ketibaan komander pengganas itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Selepas 48 Jam Tenang, Pasukan Keselamatan Kembali Bertempur


Selepas lebih 48 jam tenang tanpa sebarang pertempuran, bumi Lahad Datu yang menjadi lokasi pencerobohan kumpulan militan bersenjata Sulu kembali menumpahkan darah hari ini.

Operasi membanteras, menggeledah dan pembersihan militan yang memasuki hari kelapan hari ini (semalam) menyaksikan seorang anggota keselamatan terkorban, kematian pertama dialami pasukan tentera sejak Operasi Daulat dilancar Selasa lalu.

Kejadian di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu itu terjadi selepas pasukan keselamatan yang sedang melakukan operasi pembersihan bertembung dengan sekumpulan musuh yang bertindak melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

“Dalam pertempuran itu dua musuh berjaya dibunuh, malangnya seorang anggota kita turut gugur dan seorang lagi cedera,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam sidang media pada 8 malam.

Hari kelapan Operasi Daulat juga menyaksikan seorang lagi anggota tentera terkorban apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad Datu-Cenderawasih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 anggota keselamatan maut sejak tragedi pencerobohan 12 Feb lepas.

Di sebalik rasa hiba, ada juga berita menggembirakan diterima selepas tragedi pendaratan pengganas di Kampung Tanduo yang genap sebulan hari ini – kampung tersebut diisytiharkan bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas militan.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang mengumumkan perkara itu berkata operasi pembersihan pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian.

Sehingga sidang akhbar itu, polis mengesahkan 56 orang kumpulan militan ditembak mati dengan 24 mayat berjaya dikeluarkan, manakala 97 orang ditahan disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas dan 196 orang lagi ditahan kerana memasuki kawasan larangan.

Sementara itu pengganas yang menceroboh Lahad Datu dan Semporna yang ditahan bakal berdepan tindakan undang-undang selepas polis membuka dua kertas siasatan berhubung pencerobohan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bentuk tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas itu akan ditentukan selepas dibincangkan bersama Peguam Negara.

Dalam pada itu, nasib penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas turut diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan apabila mengumumkan tiga bantuan khas bagi Kampung Tanduo dan Tanjung Batu.

Bantuan meliputi pemberian bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat ke kawasan tragedi itu hari ini.

Kesemua bantuan itu hanya akan diberi kepada penduduk yang memiliki kad pengenalan dan dokumen kelahiran yang sah sebagai warganegara ini.

“Bagi kesemua bantuan itu, penduduk perlu mendapatkan pengesahan daripada ketua kampung, pemimpin setempat dan pihak berkuasa bagi menentukan mereka merupakan penduduk yang terjejas dalam Operasi Daulat,” kata Muhyiddin.

Selain dua anggota tentera yang terkorban hari ini, krisis pencerobohan itu turut meragut nyawa lapan anggota polis yang terbabit dalam serangan hendap pengganas, iaitu dua di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di Semporna sehari selepas itu.

-Bernama

Zuraida Kamaruddin Pembohong! Fareez Tidak Pernah Letak Jawatan!


Mohd. Fareez Kamal Intidzam hari ini menegaskan bahawa dia tidak pernah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Penjelasan itu dibuat Mohd. Fareez bagi menjawab kenyataan majikannya bahawa dia hanyalah sebagai pembantu urusan Parlimen pada 2011 yang kemudiannya berhenti untuk membantu perniagaan bapanya.

Berikut kenyataan penuh Mohd. Fareez kepada pihak media bagi menjawab penafian yang dibuat oleh Zuraida itu:

"Saya masih ahli Keadilan. Tanggungjawab saya untuk bersuara dan berkata benar."

1. Sehingga hari ini, saya masih lagi ahli Keadilan, Setiausaha Politik Zuraida dan Pegawai Diplomasi Sulit (Antarabangsa) buat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tidak pernah meletak jawatan dan juga tidak pernah disuruh untuk berhenti bertugas oleh kedua-duanya.

2. Saya memahami situasi, keadaan dan alasan sehingga memaksa Zuraida untuk mengeluarkan kenyataan tersebut.

3. Sehingga hari ini juga, saya tetap komited bersama perjuangan Keadilan dan sebagai ahli parti - adalah hak saya untuk bersuara, sejajar dengan Perlembagaan Parti yang ditetapkan.

4. Saya berharap Puan Presiden, Datin Seri Wan Azizah tidak memecat saya kerana adalah tanggungjawab buat saya untuk bercakap benar - bahawa Wan Azizah tidak layak untuk memimpin Keadilan menjelang pilihan raya akan datang kerana beliau sendiri tidak boleh bertanding kerusi Parlimen.

5. Di manakah maruah parti jika pemimpin Presiden sendiri tidak boleh bertanding?

6. Namun, saya tetap bersedia dengan sebarang tindakan parti termasuk tindakan disiplin atau pemecatan.

7. Walau bagaimanapun, andai ianya tetap berlaku - demi mempertahankan hak saya, saya juga bersedia dan tidak akan teragak-agak untuk membongkar perihal sejak bila wujud perasaan cemburu dan hasad dengki Wan Azizah terhadap saya.

8. Pimpinan harus faham bahawa sikap cemburu melampau Wan Azizah terhadap beberapa pemimpin dan pekerja di dalam parti ini lambat laun akan menghancurkan Keadilan.

9. Kelangsungan Keadilan dan kecemerlangan Pakatan Rakyat adalah lebih utama dan prioriti berbanding kepentingan individu dan peribadi Wan Azizah."

Fareez bersedia untuk bongkar perihal cemburu Wan Azizah


Tuesday, March 12, 2013

PKR Perguna Bapa Saiful Bukhari Habis-Habisan



Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali percaya Azlan Mohd. Lazim akan dipergunakan sepenuhnya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi kepentingan politik parti tersebut.

Beliau juga percaya bapa Saiful Bukhari itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk memaklumkan kepada masyarakat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kononnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim individu yang bersih dari salah laku moral.

“Penyertaan Azlan dalam PKR sudah tentu akan dipergunakan oleh parti tersebut habis-habisan. Beliau akan diheret ketepi dan ketengah menjelang dan semasa kempen pilihan raya,

“Saya meramalkan Azlan begitu diperlukan untuk membina imej bersih Anwar tetapi saya tidak nampak beliau mempunyai daya ketahanan politik untuk menghadapi berbagai ragam manusia,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Hasan seterusnya mengingatkan Azlan mengenai acara sumpah laknat yang dibuat oleh anaknya, Saiful Bukhari sambil mempersoalkan sama ada tidak ada bagi Azlan tentang kewujudan alam akhirat untuk menerima pembalasan.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Azlan sebagai seorang ayah tergamak merelakan anaknya dihimpit keaiban sepanjang hidup kerana Anwar.

Justeru, katanya, beliau percaya strategi PKR itu akhirnya akan `memakan diri’ kerana langkah itu merupakan satu usaha yang terdesak dan sia-sia.

Ia kerana kemunculan Azlan tidak akan memberi kesan kepada ahli dan penyokong PAS yang telah bersetuju menolak Anwar sebagai Perdana Menteri yang baharu sekiranya pakatan pembangkang menang pada PRU13.

“Perlu diketahui keputusan Majlis Syura Ulama PAS tidak dibuat atas konsiderasi politik atau kehendak mana-mana individu, tetapi merujuk kepada berbagai sumber hukum,” dakwanya lagi. - mynewshub.my

Dua Tentera Terbunuh Dalam Pertempuran Dan Kemalangan


Seorang anggota tentera meninggal dunia apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lahad Datu hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata kejadian berlaku apabila lori tentera yang dipandu oleh mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ketika dalam perjalanan dari Lahad Datu ke bandar Cenderawasih.

“Anggota tentera tersebut mengalami cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu,” kata Hamza.

Dalam perkembangan yang lain, Hamza mengesahkan dua pengganas ditembak mati dalam pertempuran pagi tadi yang turut mengorbankan seorang anggota tentera.

“Dalam pertempuran itu, kita percaya tiga pengganas telah ditembak namun, hanya dua mayat yang ditemui ditempat kejadian manakala seorang lagi dipercayai mengalami kecederaan dan berjaya melarikan diri dari kawasan tersebut,” kata Hamza.

Anggota tentera berumur 24 tahun itu maut setelah mengalami cedera parah akibat ditembak pengganas di pipi.

Dalam operasi ‘mopping-out’ dan penggeledahan di Sungai Nyamuk di Tanjung Batu itu, pasukan keselamatan bertempur sebanyak dua kali antara jam 9 pagi dan 1.50 petang.

“Usaha untuk membawa keluar mayat-mayat pengganas terpaksa dihentikan seketika apabila pertempuran itu berlaku dan sehingga kini hanya 24 dari 56 mayat pengganas yang ditembak mati berjaya dibawa keluar dari kawasan operasi,” beliau berkata.

Lahad Datu: Pengganas Bersembunyi Di Sungai Nyamuk


Lahad Datu - Seorang anggota pasukan tentera terkorban dan tiga penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu di sini hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan itu berlaku pada 10.45 pagi. "Seorang anggota keselamatan gugur," katanya.

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan diserang hendap oleh kumpulan pengganas itu pada 7.45 pagi dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

Sehingga kini sembilan anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan itu manakala 57 penceroboh militan ditembak mati.

Zulkifeli berkata Kampung Tanduo kini telah bersih sepenuhnya daripada ancaman penceroboh militan dan operasi pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu.

-Bernama