Wednesday, March 20, 2013

PRU 13 - Anwar Lari... Tak Bertanding di Permatang Pauh


Menyedari akan kekalahan di Permatang Pauh Ketua pembangkang Anwar Ibrahim dipercaya telah mengambil keputusan untuk tukar kerusi bertanding di Perak atau Selangor. Anwar kini sudah kehilangan sokongan dari orang melayu dan India hanya mengharapkan sokongan dari pengundi Cina sahaja.

Laporan Malaysiakini menyatakan Anwar mungkin tak pertahan Permatang Pauh.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mungkin tidak mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini ekoran beliau turut diminta bertanding di Perak atau Selangor, katanya.

Beliau bagaimanapun belum membuat keputusan muktamad setakat ini.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Anwar berkata, terdapat banyak calon yang boleh diketengahkan di kubu kuatnya itu.

Bagaimanapun, tambahnya, anak sulungnya Nurul Izzah bukanlah salah seorang daripadanya.

"Dia sibuk di Lembah Pantai, kenapa hendak kacau dia?" kata Anwar.

8 Suspek Rakyat Filipina Didakwa Lancar Perang Terhadap Yang di-Pertuan Agong


Lahad Datu - Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas tuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua lelaki itu yang berusia lingkungan 17 hinggga 66 tahun, didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melancarkan keganasan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup, dan Seksyen 121 kanun yang sama kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell, yang bersidang sebagai Majistret.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Datuk Nordin Ahmad, kedua-duanya daripada Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mohd. Dusuki memberitahu pemberita, kes itu diperintahkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Yang turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kawasan sekitar ibu pejabat polis tersebut dikawal ketat oleh anggota keselamatan bersenjata.

-Bernama

Pasukan Keselamatan Temui 1 Mayat Pengganas


Lahad Datu - Pasukan keselamatan menemui satu lagi mayat pengganas Kiram yang dipercayai mati ketika operasi penggeledahan di kawasan perumahan Kampung Tanjung Batu pada 6 Mac lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd. Zin berkata, mayat pengganas itu akan dibawa keluar hari ini tetapi bergantung pada keadaan sekeliling.

-Utusan