Monday, March 25, 2013

PM Umum Pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE)


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) di kawasan timur Sabah merangkumi 10 daerah.

Beliau berkata ESSZONE membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau itu berkuat kuasa hari ini.

“Sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan bagi memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan di kawasan timur Sabah, saya dengan ini mengumumkan, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962, mengisytiharkan pewujudan ESSZONE di kawasan timur Sabah merangkumi 10 daerah.

“Sepuluh daerah ini akan ditadbir oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan menurut Peraturan-peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh menteri dalam negeri,” katanya ketika berucap pada perbarisan sempena peringatan Hari Polis ke-206 di Pulapol, Jalan Semarak di sini hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa dikenali Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur akan dipengerusikan ketua menteri Sabah dan dibantu seorang ketua pegawai eksekutif serta anggota-anggota yang akan diumum kelak.

-Bernama

Gun N’ Roses Gamatkan Penutup F1


Lebih 10,000 penonton membanjiri Helipad, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menonton konsert kumpulan rock lagenda, Guns N’ Roses, di sini, malam tadi.

Kehadiran kumpulan rock dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu sememangnya menjadi tumpuan berikutan pertama kali mengadakan persembahan di negara ini sejak ditubuhkan pada 1987.

Kumpulan terbabit yang diketuai penyanyi yang juga satu-satunya anggota asal Guns N’ Roses iaitu Axl Rose muncul tepat jam 8 malam membawakan lagu popular mereka antaranya Welcome to the Jungle, You Could Be Mine, Estranged, Rocket Queen, Mr Brownstone, Sweet Child O’Mine dan November Rain.

Walaupun tanpa anggota asal sebagaimana di puncak kegemilangan mereka dulu seperti Slash (gitar), Izzy Stradlin (gitar), Duff McKagan (bass) dan Steven Adler (dram), Axl Rose bersama barisan anggota barunya tetap mantap dalam persembahan mereka.

Terdahulu, konsert yang diadakan sempena perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) Malaysia turut menampilkan artis tempatan iaitu kumpulan Estranged dan Twilight Action Girl.

Guns N’ Roses dilabel sebagai antara kumpulan rock paling berjaya di dunia apabila album sulung mereka, Appetite For Destruction mencetus fenomena dengan terjual lebih 30 juta unit di seluruh dunia.

Kerajaan Sahkan Anwar Jumpa Misuari Beberapa Kali


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata pihaknya masih menyiasat jumlah pertemuan tersebut sama ada berkaitan dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

"Saya difahamkan ada beberapa kali (pertemuan) tapi jumlah sebenar kita tidak boleh sahkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) Pemuda BN Gombak, di Padang Hillcrest di sini hari ini.

Beberapa blog kemarin mendakwa Anwar telah berjumpa Nur Misuari sebanyak lima kali.

Antara tarikh-tarikh yang dikenal pasti adalah pada 16, 17, 18 Julai, bulan Oktober dan Februari lalu.

Agensi berita antarabangsa, Reuters pada 14 Februari lalu, mendakwa pencerobohan kumpulan bersenjata asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah berlaku atas jemputan pembangkang di negara ini.

Seorang pegawai tentera Filipina dilaporkan berkata, kumpulan 150 orang diketuai Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzumudie itu mendarat di Lahad Datu bagi membincangkan isu tuntutan tanah.

The Manila Times menerusi koresponden mereka, Al Jacinto, pencerobohan tersebut juga ada kaitan dengan janji pembangkang di Malaysia untuk memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika berjaya membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai siasatan kertas putih insiden di Lahad Datu, Hishammuddin berkata kerajaan akan memberi ruang agar ia dapat disiasat segera.

Katanya barisan kabinet kerajaan akan berbincang bagi mencapai satu keputusan berhubung siasatan kertas putih tersebut.

"Itu kita akan beri platform untuk kita siasat pihak tertentu bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

"Tapi itu bukan keputusan saya seorang. Pemimpin kerajaan akan berbincang mengenainya," katanya.

-AntaraPos