Monday, March 25, 2013

Airmata Kebanggaan, Kesayuan Iringi Sambutan Hari Polis Ke- 206




Hari Polis ke-206 hari ini disambut dalam suasana kesayuan tetapi penuh patriotik.

Suasana hening seketika apabila balu dan waris anggota yang terkorban dalam krisis pencerobohan di Sabah, mengambil kenaikan pangkat pegawai dan anggota berkenaan.

Kesedihan jelas terpancar di wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menyampaikan kenaikan pangkat itu kepada anak tunggal DSP Michael Padel yang memakai baju kemeja dan berseluar hitam tanda masih berkabung atas kematian bapanya.

Kelapan-lapan pegawai dan anggota yang gugur itu mendapat kenaikan pangkat secara Medan Posthumous.

Mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas militan di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah ASP Zulkifli Mamat, 29; dan Sjn Sabarudin Daud, 46; manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah ACP Ibrahim Lebar, 52; Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27; DSP Michael Padel, 36; Sjn Mejar Baharin Hamid, 49; Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48; dan Sjn Salam Togiran, 42.

Sambutan Hari Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bermula 8.30 pagi dengan perbarisan lintas hormat.

Perbarisan itu turut disertai 93 anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat. Mereka diterbangkan khas dari Sabah untuk sambutan Hari Polis itu.

Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 pegawai Komando VAT69 dan Jabatan Siasatan Jenayah itu mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Sambutan Hari Polis, yang bertemakan ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’ itu antara lain mengetengahkan revolusi kepolisan negara sejak zaman Kesultanan Melayu hingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.

Tiga era perkhidmatan PDRM itu ialah dari zaman Kesultanan Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan; pasukan polis di zaman pasca merdeka sehingga era komunis; dan menuju era kepolisan bertaraf antarabangsa.

Pada sambutan kali ini buat pertama kalinya, pasukan polis mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis. – Bernama

Akar Umbi PAS Tolak Calon DAP Guna Lambang Pas


Akar umbi Pas kesal dengan keputusan pucuk pimpinan parti membenarkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanding menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Pas Cawangan Taman Equine, Seri Kembangan, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, perkembangan terbaharu itu mencetuskan persoalan mengapa Pas yang harus berkorban sedangkan DAP yang berhadapan dengan masalah.

Bekas aktivis media sosial Pas itu memberitahu, pemimpin-pemimpin Pas kini dilihat terlalu ingin menjaga hati DAP walaupun tindakan itu sebenarnya melukakan hati akar umbi parti.

"Kami tidak dapat menerima kemungkinan Kit Siang akan bertanding di bawah tiket Pas kerana perbuatan tersebut hanya merugikan parti.

"Kenapa kita mesti sentiasa tunduk dengan kemahuan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Pas sepatutnya menjadi parti yang dominan dalam pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin Pas termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib mengalu-alukan hasrat Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang parti itu.

Bagaimanapun, Harun dalam kenyataannya semalam turut menegaskan mana-mana calon daripada DAP perlu mendapatkan keizinan Pas terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Baru-baru ini, Kit Siang pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang Pas pada PRU-13 sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Riza menyifatkan mana-mana pemimpin Pas yang menyambut baik hasrat Kit Siang itu tidak layak untuk menerajui parti.

Menurut beliau, segelintir pemimpin Pas kini sanggup membiarkan parti diperalatkan oleh DAP setiap masa demi memastikan kelangsungan 'politik nyanyuk' mereka.

"Ahli-ahli akar umbi Pas yang selama ini berhempas-pulas menyumbangkan masa dan tenaga sebagai jentera parti dan pakatan pembangkang perlu menggunakan kuasa mereka untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin terbabit.

"Kita mesti menolak mereka pada PRU-13 dan seterusnya memastikan tokoh-tokoh yang idealis serta kredibiliti memimpin Pas selepas muktamar parti akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, Kit Siang dan calon-calon DAP yang lain hendaklah akur dengan permintaan Harun supaya mereka mendapatkan izin Pas terlebih dahulu sebelum menggunakan lambang parti tersebut.

"Kita mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan. Dalam hal ini, DAP hanya mahu menggunakan lambang Pas, tidak melibatkan soal prinsip," jelasnya. - UTUSAN

Anwar Cenderung Ikut Amerika Jika Menang PRU13


Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan cenderung untuk mengikut telunjuk Amerika Syarikat sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya 2013 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Daim, kecenderungan Anwar itu berdasarkan beliau sendiri suka dikaitkan dengan kuasa-kuasa Barat seperti Eropah, Amerika dan Australia.

“Jika beliau menjadi menteri kewangan sekali lagi atau menjadi perdana menteri, beliau lebih cenderung mengikut Amerika,” kata Daim dalam satu wawancara bersama New Straits Times yang disiarkan hari ini.

“Beliau suka dikaitkan dengan Eropah, Amerika dan Australia. Beliau cuba dapatkan sokongan Australia untuk mengutuk pilihan raya kita tidak adil. Beliau bercakap tentang Arab Spring tetapi bukan melalui revolusi sebaliknya menerusi peti undi,” tambah beliau lagi.

Daim juga berkata, Anwar telah memberitahu seluruh dunia bahawa beliau dan pakatan pembangkang akan menang kali ini, dan jika kalah, ia akan menyalahkan kerajaan dan gerombolan perusuh akan ke jalanan untuk menunjuk perasaan.

“Beliau janji nak bentuk kerajaan pada September 2008, semua orang gementar dan ramai yang percaya. Itu gaya beliau, hanya cakap dan berjanji. Sekarang beliau beritahu dunia beliau akan menang.

“Jika pakatan kalah, ia disebabkan amalan yang tidak adil dan gerombolan perusuh akan menunjuk perasaan,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata, cita-cita peribadi bekas timbalan perdana menteri itu mengatasi segalanya sehingga tidak kisah mengorbankan keamanan dan kestabilan negara.

“Bolehkah anda bayangkan jika Pakatan tidak berjaya ke Putrajaya? Beliau akan terus mendakwa berlaku penipuan dan cuba membawa Arab Spring ke sini, menghasut rakyat di bawah Barisan Nasional (BN), undi mereka dicuri dan terpaksa merusuh di jalanan untuk mendapatkan undi mereka.

“Ini akan menimbulkan huru-hara dan beliau tidak peduli kerana cita-citanya mengatasi segala pertimbangan, Pakatan pun tidak peduli kerana mereka di pihak yang sama,” kata Daim lagi.

Daim pernah menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1984 dan meletak jawatan pada tahun 1991, sebelum digantikan Anwar, kemudian selepas timbalan perdana menteri itu dipecat, Daim sekali lagi menjadi Menteri Kewangan dari 1998 hingga tahun 2001.

Daim juga pernah menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas pada tahun 1998 dalam usaha menangani krisis ekonomi Asia yang berlaku pada ketika itu. -TMI

Pemecatan Anwar Bukan Konspirasi Tetapi Realiti


Pendedahan rakaman video wawancara khas bertajuk ‘Pemecatan Anwar bukan konspirasi tetapi realiti’ disiarkan di laman Youtube baru – baru ini. Rakaman video durasi 9.42 minit dengan mempunyai suara latar itu turut mendedahkan siapa diri Anwar yang sebenarnya diikuti segmen wawancara khas dengan beberapa pemimpin politik tanahair termasuk ahli akademik.

Video url: http://youtu.be/Qc75BtopcHo


Transkrip oleh SGB - Bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Sidek Baba turut melahirkan perasaan kehairanan dengan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew berikutan pendedahan mereka menyatakan Anwar seorang homoseksual.

Menurut Dr Sidek maklumat itu diperolehi daripada sebuah buku biografi yang ditulis oleh Tun M ‘A Doctor In The House’ dan juga kenyataan Kuan Yew pernah disiarkan di laman Wikileaks.

“Saya ada terbaca buku Tun Mahathir, soal integriti mengapa Anwar tidak saman Mahathir, di kalangan orang tertentu yang membuat pendedahan hubungan skandal dengan Anwar sepatutnya mesti disaman.

“Saya masih ingat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew pernah bercakap dan membuat kenyataan dalam Wikileaks di mana dia mempunyai bukti yang cukup tentang apa yang Anwar buat, harus disaman, ini soal integriti. Apa yang bermain di fikiran saya apabila ada isu contohnya Anwar tidak saman tidak ambil tindakan,” katanya dalam satu rakaman video wawancara khas ‘Pemecatan Anwar bukan konspirasi tetapi realiti’ disiarkan di laman Youtube.

Difahamkan, rakaman video itu mendedahkan Anwar mendakwa dirinya sebagai pejuang kemerdekaan Afrika Selatan Nelson Mandela atau Aung Suu kii di Myanmar.

Malah, majalah tabloid Newsweek pernah menamakan Anwar sebagai Asian Of The Year. Sehingga ke hari ini masih ramai yang percaya Anwar dengan imej diri yang diperkenalkannya. Anwar seorang Narcisist yang sebenar, dia percaya mempunyai tempat khas di alam semesta ini, tetapi beliau bukanlah dirinya sebenar seperti yang gambarkannya.

Pada tahun 1998, pemimpin pembangkang terulung, Karpal Singh menuduh Anwar seorang homoseksual melakukan liwat dan mempunyai hubungan seks dengan lelaki dan perempuan selain dari isterinya. Dalam satu sidang akhbar, Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah mendesak Tun Dr Mahathir supaya memecat Anwar dan mempersoalkan mengapa beliau dibiarkan begitu sahaja masih kekal dalam kabinetnya.

Namun Tun M tidak percayainya sama juga seperti beliau tidak mempercayai Anwar akan mencabarnya. Sepucuk surat ditulis Bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar pada waktu itu meminta Anwar supaya tidak meneruskan langkah meminta Mahathir meletakkan jawatan ketika krisis kewangan terjadi di negara ini satu ketika dahulu.

”Dia (Anwar) tidak menjawab surat saya yang dihantar pada Mac 2002, tetapi selepas beberapa bulan dia jawab juga dalam bentuk surat yang tertulis yang begitu kasar bahasa digunakan.

”Anwar menafikan segalanya memang itu stail beliau dan mengecam saya dengan macam macam frasa sindiran. Saya tak jawab surat kerana ini menganggap bahawa ini adalah perasaan yang diluahkan oleh seorang individu yang tidak rasional, tidak ada hujah mempertahankan pendirian tanpa hujah kukuh,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Anwar seorang homoseksual, Dr Chandra memberitahu pernah bertanya kepadad Anwar secara terus terang di mahkamah.

“Saya tanya beliau secara terus terang masa itu dia bersama kawan lain di mahkamah masa perbicaraan Anwar. Saya tanya beliau adakah ini benar dan beliau menafikan. kita percaya pada masa itu ketika beliau menafikan adalah satu sebahagian daripada konspirasi besar.

“Saya ‘terpercaya’ pada teori konspirasi, kita semua percaya ada teori konspirasi untuk menghancurkan kerjaya politik beliau,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mendedahkan bahawa ada orang dalam PAS berharap sangat Anwar menyertai parti itu.

“Dia (Anwar) sertai UMNO kalau tak silap saya tidak dapat restu majlis syura Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan sebagainya, dalam gerakan Islam perlu dapat persetujuan daripada Syura, itu satu perkara yang dahsyat yang berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, musuh-musuh politik Anwar tidak sampai hati hendak mendedahkan segalanya dalam konteks secara menyeluruh.

“Memang tidak sampai hati. Apa yang misterinya mahkamah pun tidak secara total (menyeluruh) 100 peratus mengiyakan salah lakunya, itu misteri.

“Seharusnya secara logik menyatakan orang macam ini sudah tenggelam, tetapi dia masih timbul lagi sebab ada manusia yang bagi pelampung padanya, siapa yang bagi pelampung, teman PKR, teman PAS Anwarinas,” jelasnya.

Bubar DUN Selangor : Sandiwara Khalid Jalan Terus...


Kalau nak kira antara sekarang hingga tarikh tamat tempoh parlimen penggal ini pada 28 April,soal samaada kerajaan negeri Selangor nak bubar awal atau tidak Dewan Undangan Negeri sudah tidak beri apa-apa makna.
Paling tidak ia cuma satu usaha perang saraf politik konon Selangor hendak  wujudkan tekanan agar kerajaan pusat bubar segera Parlimen.

Tarikh akhir DUN Selangor ialah pada 22 April.

Cakap-cakap kemungkinan Selangor bubar awal DUN muncul balik bila Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu wartawan mesyuarat Exco Kerajaan Negari akan diadakan esok (Isnin).Mesyuarat Exco biasanya diadakan setiap hari Rabu.

Menteri Besar itu kata bahawa Exco kerajaan Selangor akan bermesyuarat esok untuk menetapkan tarikh pembubaran DUN Selangor jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mengumumkan pembubaran parlimen.

Beliau menjangkakan Najib akan membubarkan parlimen pada Isnin mengambil kira tarikh tamat tempoh DUN Negeri Sembilan tamat pada hari Selasa.

DUN Negeri Sembilan ialah yang pertama tamat tempoh berbanding negeri-negeri lain.

"Kita akan buat keputusan semasa mesyuarat exco jika tiada pengumuman oleh perdana menteri (esok). Jadi sekarang kita amat hampir dengan membuat keputusan," kata beliau pada Majlis Karnival Sukan Beliwanis di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Berdasarkan cakap Khalid itu andaian dapat dibuat,jika hendak bubar juga, ada kemungkinan Selangor bubar DUN  sama ada pada Selasa atau Rabu ataupun dalam minggu ini juga.

Bagaimanapun, jika Kerajaan PKR Selangor mengumumkan pembubaran DUN Selangor minggu ini, keputusan menetapkan tarikh bila pilihanraya negeri hendak diadakan masih terletak ditangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pihak SPR sebelum ini sudah menyatakan pilihanraya berasingan DUN dan Parlimen akan melibatkan kewangan yang besar serta pembaziran masa dan guna tenaga.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan semalam berkata 26 Mei sebagai tarikh terakhir pilihan raya boleh diadakan serentak berdasarkan tempoh 60 hari untuk Negeri Sembilan mengadakan pilihan raya.

Makanya kalau DUN Selangor bubar dalam minggu ini ia tidak ada bezanya dengan DUN Negeri Sembilan.

Senarionya ialah pi mai..pi mai tang tu juga kerana SPR boleh menetapkan tarikh pilihanraya dalam tempoh 60 hari.

Kalaupun parlimen dibubarkan pada hari akhir 28 April,SPR boleh menetapkan keduanya berjalan serentak sebelum 26 Mei.

-Agendadaily

CN Afghani Dedahkan Rancang Bunuh Tun Dr. Mahathir


Bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena CN Afghani berhasrat untuk bertemu dan memohon maaf dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri itu pada tahun 1988.

Penulis buku Kafirkah Aku? itu berkata, pada masa sekarang beliau sedang menunggu masa yang sesuai untuk bertemu dengan Dr. Mahathir bagi menunaikan hajatnya itu.

Menurutnya, rancangan melakukan pembunuhan tersebut timbul kerana terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi yang menyatakan bahawa UMNO kafir.

"Ketika itu, saya menyandang jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Padang Terap, rancangan ini terbit kerana kami mahu melaksanakan Islam dengan cara yang mudah disebabkan cara pilihan raya lambat dan kami tidak boleh menunggu lagi.

"Selain Dr. Mahathir, kami juga mempunyai senarai nama menteri kabinet untuk dibunuh... dan untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kami sudah ada kabinet bayangan, kami mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri, bagaimanapun rancangan ini gagal selepas ia dihidu oleh pihak berkuasa dan 30 rakan-rakan saya ditangkap.

"Hari ini rancangan tersebut sudah tidak ada lagi dan saya sememangnya berhajat untuk bertemu dengan Dr. Mahathir untuk memohon maaf, cuma sedang menunggu masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Program Himpunan Selamat Tinggal Pas di Pejabat Gerakan UMNO, Kampung Kandis di sini malam tadi.

Zainon berkata, hari ini, Pas tidak lagi memperjuangkan Islam malah telah menggadai agama suci itu selepas bertahaluf siyasi dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

-Utusan