Tuesday, March 26, 2013

RPK : Anwar Minta Bantuan Misuari Untuk Menang PRU 13 #LahadDatu


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta bantuan daripada pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), kata Raja Petra Kamarudin (RPK).

RPK dalam pendedahan terbaru hari ini di lamannya, Malaysia-today, berkata Anwar telah bertemu dengan Nur Misuari dan komander tertinggi tentera beliau di Indonesia pada 16 Julai 2012.

“Pada 16 Julai 2012, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terbang ke Jakarta untuk bertemu dengan Nur Misuari – yang sangat dekat dengan Anwar sejak masih dalam kerajaan – dan komander tentera MNLF.

“Mesyuarat tersebut telah diadakan di Hotel Crowne Plaza Jakarta dan telah diatur oleh Ahli Parlimen Indonesia – satu lagi kawan rapat Anwar – menurut perintah Anwar.

“Mesyuarat kedua telah diadakan di Manila pada 4 Ogos 2012 bertujuan untuk memuktamadkan dan menandatangani perjanjian,”katanya dalam rencana bertajuk “The untold story of the Lahad Datu incident.”

Dalam pertemuan itu RPK mendakwa Anwar telah meminta bantuan Misuari untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 57 kerusi parlimen di Malaysia Timur untuk merebut kuasa kerajaan persekutuan dari Barisan Nasional (BN).

RPK berkata, Anwar yakin dapat menang 82 hingga 85 kerusi di Semenanjung, tetapi tidak begitu yakin dapat memenangi 57 kerusi di Sabah dan Sarawak, oleh itu beliau telah meminta pertolongan Misuari untuk menjayakan hasrat Pakatan mendapat jumlah kerusi tersebut.

Dedahnya lagi, Anwar meminta pertolongan Misuari itu kerana tahu ramai warga Filipina beragama Islam yang berada di Sabah dan Sarawak turut memegang kerakyatan Malaysia dan boleh mengundi.

Sebagai balasan, RPK berkata Anwar telah berjanji bahawa Sabah dan Sarawak akan diberi autonomi, apabila Pakatan menang kerajaan persekutuan.

“Negeri itu akan diberikan royalti minyak 20% untuk memastikan Sabah dan Sarawak menjadi kaya, dengan dianggarkan RM4 bilion setahun bagi setiap negeri.

“Anwar juga berjanji bahawa rakyat Filipina yang bukan warganegara Malaysia di Malaysia Timur akan diberi kewarganegaraan Malaysia, atau sekurang-kurang status pemastautin tetap supaya mereka boleh mencari pekerjaan di Sabah,” dedahnya.

Nur Misuari telah bersetuju kepada terma Anwar kata RPK dan telah melantik Ibrahim Omar sebagai penyelaras, atau “duta tidak rasmi” ke Sabah untuk membantu Anwar meraih sokongan umat Islam Filipina di negeri ini.

RPK turut mendakwa pencerobohan pengganas ke Lahad Datu adalah sebagai sebahagian strategi merealisasi mencapai matlamat itu.

“Ia untuk meyakinkan umat Islam Filipina di Sabah bahawa mereka mesti bersatu di belakang Anwar untuk mendapatkan autonomi daripada kerajaan persekutuan,” dedahnya lagi.

-AIDC

Monday, March 25, 2013

Lahad Datu: Kronologi Penglibatan Anwar


SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA KE ATAS PENGLIBATAN ANWAR KE ATAS PENCEROBOHAN PENGGANAS KIRAM DI LAHAD DATU WAJAR DISEGERAKAN

16.7.2012 - Anwar jumpa Nur Misuari secara rahsia dan berasingan. Pertemuan melebihi 1 Jam.

17.7.2012 - Anwar sekali lagi bertemu Nur Misuari. Pertemuan kurang 1 Jam.

18.7.2012 - Sehari kemudian, Anwar membayar Lajim RM20 Juta untuk tinggalkan UMNO. Imbas semula pada tahun 1994, Anwar membayar Lajim RM3 juta supaya tinggalkan PBS.

12-13.10.2012 - Anwar ke Lahad Datu, turut mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Kiram.

18.10.2012 - Anwar sekali lagi menemui Nur Misuari! Pertemuan kali ini sangat serius dan fokus.

2.11.2012 - Anwar mula membuat "spin" dengan lagu "SABAH NAK HILANG"

1.12.2012 & 7.12.2013 - Anwar sekali lagi mempengaruhi minda rakyat dengan lagu "SABAH NAK HILANG"

17.1.2013 - Kapal Perang USS Guardian berlabuh secara salah di Laut Sulu.

29.1.2013 - Anwar meyakinkan rakyat Malaysia "SABAH DAH HILANG"

7.2.2013 - ANWAR menghantar Tian Chua & R. Sivarasa ke Manila. Mereka turut membawa dan menguruskan sejumlah wang. Pergerakan mereka diintip oleh Philipine Military Intelligence. Anwar turut berjumpa sekali lagi Nur Misuari, pertemuan Anwar dengan Nur misuari direkod dan diambil gambar oleh Philipine Military Inteligence.

8.2.2013 - Sebelum mendarat di Lahad Datu, pengganas-pengganas Kiram memberikan sejumlah wang yang banyak kepada keluarga masing-masing selepas mereka dibayar-upah oleh seseorang. Mereka meneka istilah Individu Penting Pembangkang Malaysia, ianya merujuk kepada Anwar Ibrahim.

9.2.2013 - Pendaratan pertama Pengganas-pengganas Kiram, selepas kedatangan Tian Chua dan R.Sivarasa pada 7.12.2013.

- Pada hari yang sama juga, Tian Chua dan R. Sivarasa mendarat di KLIA.

16.2.2013 - Nurul Izzah Anwar memperlekeh PGA.

19.2.2013 - Pengganas Kiram menaikkan bendera Kiram di sekitar Kg. tandou dan Kg. Tg. Batu di Lahad Datu.

- Pada hari yang sama, di Kuala Lumpur, Tian Chua dan R. Sivarasa mengadakan Press Conference mengenai Filipina.

28.2.2013 - Pengganas Kiram dimaklumkan Parlimen akan dibubarkan, SERENTAK dengan itu juga serangan dimulakan ke atas pasukan keselamatan kita.

- Anwar berharap dengan "peperangan" yang meletus di Lahad Datu, kerajaan akan mengisytiharkan Darurat di Sabah. Anwar berharap PRU13 hanya akan diadakan di Semenanjung.

- Pada hari yang sama Anwar menyanyi dengan gembira lagu "SABAH DAH HILANG"

1.3.2013 - Inqurer.Net, The Manila Times, Reuters, Kedutaan Amerika di Manila dan Wikileaks menyebut "Tokoh Pemimpin Pembangkang" lebih jelas "Anwar Ibrahim" terlibat dalam Pencerobohan di Lahad Datu. Mereka diberitahu oleh Philipine Military Intelligence!

- Pada hari yang sama, Tian Chua mengatakan kes di Lahad Datu SANDIWARA!

4.3.2013 - Media Antrabangsa ABS.CBN melaporkan Pengganas Kiram sebenarnya diundang oleh "Tokoh Pembangkang" lebih tepatnya ialah "Anwar Ibrahim"!

7.3.2013 - Anwar membayar Azlan Mohd. Lazim supaya memohon maaf kepadanya dan menyertai PKR. Anwar menguruskan hal ini melalui Johari Abdul.

- Nur Misuari dalam FB nya menyatakan Kegembiraannya, Azlan Mohd. Lazim memohon maaf kepada Anwar!

10.3.2013 - Ejen kami seorang Palauk yang terlatih, memaklumkan kepada kami bahawa Pengganas Azumudie sudah mati ditembak pengawal elitnya atau 4 orang askar MNLF.

- Sebuah lagi Media Internasional, Global Research mendedahkan "Anwar Ibrahim" dalang di sebalik Pencerobohan di Lahad Datu!

11.3.2013 - Pasukan tentera Filipina berjaya menangkap 38 Pengganas Kiram yang melarikan diri dari Lahad Datu, bersama-sama mereka sejumlah Senjata M16, senapang patah, pistol dan senjata tradisonal seprti parang dan pisau.

12.3.2013 - Wikileaks sekali lagi mendedahkan "Anwar Ibrahim" terlibat dalam Pencerobohan di Lahad Datu.

13.3.2013 - Azmin Ali Mengakui Anwar memang ada menghubungi Nur Misuari!

15.3.2013 - PKR menyatakan sokongan kepada Harry Roque mengadakan Protes di Kedutaan Malaysia di Manila.

16.3.2013 - Setiausaha Luar Filipina mengesahkan mereka mempunyai Bukti Kukuh penglibatan Anwar Ibrahim dalam pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu!

20.3.2013 - Akhirnya, tidak tahan dengan pendedahan demi pendedahan, Anwar mengaku ada menemui Nur Misuari !

21.3.2013 - Pengganas Kiram didakwa di Mahkamah Tawau. Beberapa Pengganas Kiram menyatakan kepada Mahkamah mereka Diupah, Dibayar dan Dijanjikan bayaran.

22.3.2013 - Ejen Palauk kami di Kunak dan Lahad Datu menyatakan Keluarga Pengganas Kiram di Filipina menuntut Ganti Rugi dari "Tokoh pembangkang Malaysia", lebih tepat "Anwar Ibrahim" (Butiran maklumat akan menyusul selepas ditranslate ke dalam bahasa Melayu).

*Nota : Pertemuan Anwar dengan Nur Misuari ketika Anwar menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada pertengahan tahun 1990an tidak disertakan.

-Mymassa

Airmata Kebanggaan, Kesayuan Iringi Sambutan Hari Polis Ke- 206




Hari Polis ke-206 hari ini disambut dalam suasana kesayuan tetapi penuh patriotik.

Suasana hening seketika apabila balu dan waris anggota yang terkorban dalam krisis pencerobohan di Sabah, mengambil kenaikan pangkat pegawai dan anggota berkenaan.

Kesedihan jelas terpancar di wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menyampaikan kenaikan pangkat itu kepada anak tunggal DSP Michael Padel yang memakai baju kemeja dan berseluar hitam tanda masih berkabung atas kematian bapanya.

Kelapan-lapan pegawai dan anggota yang gugur itu mendapat kenaikan pangkat secara Medan Posthumous.

Mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas militan di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah ASP Zulkifli Mamat, 29; dan Sjn Sabarudin Daud, 46; manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah ACP Ibrahim Lebar, 52; Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27; DSP Michael Padel, 36; Sjn Mejar Baharin Hamid, 49; Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48; dan Sjn Salam Togiran, 42.

Sambutan Hari Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bermula 8.30 pagi dengan perbarisan lintas hormat.

Perbarisan itu turut disertai 93 anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat. Mereka diterbangkan khas dari Sabah untuk sambutan Hari Polis itu.

Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 pegawai Komando VAT69 dan Jabatan Siasatan Jenayah itu mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Sambutan Hari Polis, yang bertemakan ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’ itu antara lain mengetengahkan revolusi kepolisan negara sejak zaman Kesultanan Melayu hingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.

Tiga era perkhidmatan PDRM itu ialah dari zaman Kesultanan Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan; pasukan polis di zaman pasca merdeka sehingga era komunis; dan menuju era kepolisan bertaraf antarabangsa.

Pada sambutan kali ini buat pertama kalinya, pasukan polis mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis. – Bernama

Akar Umbi PAS Tolak Calon DAP Guna Lambang Pas


Akar umbi Pas kesal dengan keputusan pucuk pimpinan parti membenarkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanding menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Pas Cawangan Taman Equine, Seri Kembangan, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, perkembangan terbaharu itu mencetuskan persoalan mengapa Pas yang harus berkorban sedangkan DAP yang berhadapan dengan masalah.

Bekas aktivis media sosial Pas itu memberitahu, pemimpin-pemimpin Pas kini dilihat terlalu ingin menjaga hati DAP walaupun tindakan itu sebenarnya melukakan hati akar umbi parti.

"Kami tidak dapat menerima kemungkinan Kit Siang akan bertanding di bawah tiket Pas kerana perbuatan tersebut hanya merugikan parti.

"Kenapa kita mesti sentiasa tunduk dengan kemahuan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Pas sepatutnya menjadi parti yang dominan dalam pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin Pas termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib mengalu-alukan hasrat Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang parti itu.

Bagaimanapun, Harun dalam kenyataannya semalam turut menegaskan mana-mana calon daripada DAP perlu mendapatkan keizinan Pas terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Baru-baru ini, Kit Siang pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang Pas pada PRU-13 sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Riza menyifatkan mana-mana pemimpin Pas yang menyambut baik hasrat Kit Siang itu tidak layak untuk menerajui parti.

Menurut beliau, segelintir pemimpin Pas kini sanggup membiarkan parti diperalatkan oleh DAP setiap masa demi memastikan kelangsungan 'politik nyanyuk' mereka.

"Ahli-ahli akar umbi Pas yang selama ini berhempas-pulas menyumbangkan masa dan tenaga sebagai jentera parti dan pakatan pembangkang perlu menggunakan kuasa mereka untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin terbabit.

"Kita mesti menolak mereka pada PRU-13 dan seterusnya memastikan tokoh-tokoh yang idealis serta kredibiliti memimpin Pas selepas muktamar parti akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, Kit Siang dan calon-calon DAP yang lain hendaklah akur dengan permintaan Harun supaya mereka mendapatkan izin Pas terlebih dahulu sebelum menggunakan lambang parti tersebut.

"Kita mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan. Dalam hal ini, DAP hanya mahu menggunakan lambang Pas, tidak melibatkan soal prinsip," jelasnya. - UTUSAN

Anwar Cenderung Ikut Amerika Jika Menang PRU13


Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan cenderung untuk mengikut telunjuk Amerika Syarikat sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya 2013 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Daim, kecenderungan Anwar itu berdasarkan beliau sendiri suka dikaitkan dengan kuasa-kuasa Barat seperti Eropah, Amerika dan Australia.

“Jika beliau menjadi menteri kewangan sekali lagi atau menjadi perdana menteri, beliau lebih cenderung mengikut Amerika,” kata Daim dalam satu wawancara bersama New Straits Times yang disiarkan hari ini.

“Beliau suka dikaitkan dengan Eropah, Amerika dan Australia. Beliau cuba dapatkan sokongan Australia untuk mengutuk pilihan raya kita tidak adil. Beliau bercakap tentang Arab Spring tetapi bukan melalui revolusi sebaliknya menerusi peti undi,” tambah beliau lagi.

Daim juga berkata, Anwar telah memberitahu seluruh dunia bahawa beliau dan pakatan pembangkang akan menang kali ini, dan jika kalah, ia akan menyalahkan kerajaan dan gerombolan perusuh akan ke jalanan untuk menunjuk perasaan.

“Beliau janji nak bentuk kerajaan pada September 2008, semua orang gementar dan ramai yang percaya. Itu gaya beliau, hanya cakap dan berjanji. Sekarang beliau beritahu dunia beliau akan menang.

“Jika pakatan kalah, ia disebabkan amalan yang tidak adil dan gerombolan perusuh akan menunjuk perasaan,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata, cita-cita peribadi bekas timbalan perdana menteri itu mengatasi segalanya sehingga tidak kisah mengorbankan keamanan dan kestabilan negara.

“Bolehkah anda bayangkan jika Pakatan tidak berjaya ke Putrajaya? Beliau akan terus mendakwa berlaku penipuan dan cuba membawa Arab Spring ke sini, menghasut rakyat di bawah Barisan Nasional (BN), undi mereka dicuri dan terpaksa merusuh di jalanan untuk mendapatkan undi mereka.

“Ini akan menimbulkan huru-hara dan beliau tidak peduli kerana cita-citanya mengatasi segala pertimbangan, Pakatan pun tidak peduli kerana mereka di pihak yang sama,” kata Daim lagi.

Daim pernah menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1984 dan meletak jawatan pada tahun 1991, sebelum digantikan Anwar, kemudian selepas timbalan perdana menteri itu dipecat, Daim sekali lagi menjadi Menteri Kewangan dari 1998 hingga tahun 2001.

Daim juga pernah menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas pada tahun 1998 dalam usaha menangani krisis ekonomi Asia yang berlaku pada ketika itu. -TMI

Pemecatan Anwar Bukan Konspirasi Tetapi Realiti


Pendedahan rakaman video wawancara khas bertajuk ‘Pemecatan Anwar bukan konspirasi tetapi realiti’ disiarkan di laman Youtube baru – baru ini. Rakaman video durasi 9.42 minit dengan mempunyai suara latar itu turut mendedahkan siapa diri Anwar yang sebenarnya diikuti segmen wawancara khas dengan beberapa pemimpin politik tanahair termasuk ahli akademik.

Video url: http://youtu.be/Qc75BtopcHo


Transkrip oleh SGB - Bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Sidek Baba turut melahirkan perasaan kehairanan dengan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew berikutan pendedahan mereka menyatakan Anwar seorang homoseksual.

Menurut Dr Sidek maklumat itu diperolehi daripada sebuah buku biografi yang ditulis oleh Tun M ‘A Doctor In The House’ dan juga kenyataan Kuan Yew pernah disiarkan di laman Wikileaks.

“Saya ada terbaca buku Tun Mahathir, soal integriti mengapa Anwar tidak saman Mahathir, di kalangan orang tertentu yang membuat pendedahan hubungan skandal dengan Anwar sepatutnya mesti disaman.

“Saya masih ingat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew pernah bercakap dan membuat kenyataan dalam Wikileaks di mana dia mempunyai bukti yang cukup tentang apa yang Anwar buat, harus disaman, ini soal integriti. Apa yang bermain di fikiran saya apabila ada isu contohnya Anwar tidak saman tidak ambil tindakan,” katanya dalam satu rakaman video wawancara khas ‘Pemecatan Anwar bukan konspirasi tetapi realiti’ disiarkan di laman Youtube.

Difahamkan, rakaman video itu mendedahkan Anwar mendakwa dirinya sebagai pejuang kemerdekaan Afrika Selatan Nelson Mandela atau Aung Suu kii di Myanmar.

Malah, majalah tabloid Newsweek pernah menamakan Anwar sebagai Asian Of The Year. Sehingga ke hari ini masih ramai yang percaya Anwar dengan imej diri yang diperkenalkannya. Anwar seorang Narcisist yang sebenar, dia percaya mempunyai tempat khas di alam semesta ini, tetapi beliau bukanlah dirinya sebenar seperti yang gambarkannya.

Pada tahun 1998, pemimpin pembangkang terulung, Karpal Singh menuduh Anwar seorang homoseksual melakukan liwat dan mempunyai hubungan seks dengan lelaki dan perempuan selain dari isterinya. Dalam satu sidang akhbar, Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah mendesak Tun Dr Mahathir supaya memecat Anwar dan mempersoalkan mengapa beliau dibiarkan begitu sahaja masih kekal dalam kabinetnya.

Namun Tun M tidak percayainya sama juga seperti beliau tidak mempercayai Anwar akan mencabarnya. Sepucuk surat ditulis Bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar pada waktu itu meminta Anwar supaya tidak meneruskan langkah meminta Mahathir meletakkan jawatan ketika krisis kewangan terjadi di negara ini satu ketika dahulu.

”Dia (Anwar) tidak menjawab surat saya yang dihantar pada Mac 2002, tetapi selepas beberapa bulan dia jawab juga dalam bentuk surat yang tertulis yang begitu kasar bahasa digunakan.

”Anwar menafikan segalanya memang itu stail beliau dan mengecam saya dengan macam macam frasa sindiran. Saya tak jawab surat kerana ini menganggap bahawa ini adalah perasaan yang diluahkan oleh seorang individu yang tidak rasional, tidak ada hujah mempertahankan pendirian tanpa hujah kukuh,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Anwar seorang homoseksual, Dr Chandra memberitahu pernah bertanya kepadad Anwar secara terus terang di mahkamah.

“Saya tanya beliau secara terus terang masa itu dia bersama kawan lain di mahkamah masa perbicaraan Anwar. Saya tanya beliau adakah ini benar dan beliau menafikan. kita percaya pada masa itu ketika beliau menafikan adalah satu sebahagian daripada konspirasi besar.

“Saya ‘terpercaya’ pada teori konspirasi, kita semua percaya ada teori konspirasi untuk menghancurkan kerjaya politik beliau,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mendedahkan bahawa ada orang dalam PAS berharap sangat Anwar menyertai parti itu.

“Dia (Anwar) sertai UMNO kalau tak silap saya tidak dapat restu majlis syura Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan sebagainya, dalam gerakan Islam perlu dapat persetujuan daripada Syura, itu satu perkara yang dahsyat yang berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, musuh-musuh politik Anwar tidak sampai hati hendak mendedahkan segalanya dalam konteks secara menyeluruh.

“Memang tidak sampai hati. Apa yang misterinya mahkamah pun tidak secara total (menyeluruh) 100 peratus mengiyakan salah lakunya, itu misteri.

“Seharusnya secara logik menyatakan orang macam ini sudah tenggelam, tetapi dia masih timbul lagi sebab ada manusia yang bagi pelampung padanya, siapa yang bagi pelampung, teman PKR, teman PAS Anwarinas,” jelasnya.

Bubar DUN Selangor : Sandiwara Khalid Jalan Terus...


Kalau nak kira antara sekarang hingga tarikh tamat tempoh parlimen penggal ini pada 28 April,soal samaada kerajaan negeri Selangor nak bubar awal atau tidak Dewan Undangan Negeri sudah tidak beri apa-apa makna.
Paling tidak ia cuma satu usaha perang saraf politik konon Selangor hendak  wujudkan tekanan agar kerajaan pusat bubar segera Parlimen.

Tarikh akhir DUN Selangor ialah pada 22 April.

Cakap-cakap kemungkinan Selangor bubar awal DUN muncul balik bila Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu wartawan mesyuarat Exco Kerajaan Negari akan diadakan esok (Isnin).Mesyuarat Exco biasanya diadakan setiap hari Rabu.

Menteri Besar itu kata bahawa Exco kerajaan Selangor akan bermesyuarat esok untuk menetapkan tarikh pembubaran DUN Selangor jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mengumumkan pembubaran parlimen.

Beliau menjangkakan Najib akan membubarkan parlimen pada Isnin mengambil kira tarikh tamat tempoh DUN Negeri Sembilan tamat pada hari Selasa.

DUN Negeri Sembilan ialah yang pertama tamat tempoh berbanding negeri-negeri lain.

"Kita akan buat keputusan semasa mesyuarat exco jika tiada pengumuman oleh perdana menteri (esok). Jadi sekarang kita amat hampir dengan membuat keputusan," kata beliau pada Majlis Karnival Sukan Beliwanis di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Berdasarkan cakap Khalid itu andaian dapat dibuat,jika hendak bubar juga, ada kemungkinan Selangor bubar DUN  sama ada pada Selasa atau Rabu ataupun dalam minggu ini juga.

Bagaimanapun, jika Kerajaan PKR Selangor mengumumkan pembubaran DUN Selangor minggu ini, keputusan menetapkan tarikh bila pilihanraya negeri hendak diadakan masih terletak ditangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pihak SPR sebelum ini sudah menyatakan pilihanraya berasingan DUN dan Parlimen akan melibatkan kewangan yang besar serta pembaziran masa dan guna tenaga.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan semalam berkata 26 Mei sebagai tarikh terakhir pilihan raya boleh diadakan serentak berdasarkan tempoh 60 hari untuk Negeri Sembilan mengadakan pilihan raya.

Makanya kalau DUN Selangor bubar dalam minggu ini ia tidak ada bezanya dengan DUN Negeri Sembilan.

Senarionya ialah pi mai..pi mai tang tu juga kerana SPR boleh menetapkan tarikh pilihanraya dalam tempoh 60 hari.

Kalaupun parlimen dibubarkan pada hari akhir 28 April,SPR boleh menetapkan keduanya berjalan serentak sebelum 26 Mei.

-Agendadaily

CN Afghani Dedahkan Rancang Bunuh Tun Dr. Mahathir


Bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena CN Afghani berhasrat untuk bertemu dan memohon maaf dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri itu pada tahun 1988.

Penulis buku Kafirkah Aku? itu berkata, pada masa sekarang beliau sedang menunggu masa yang sesuai untuk bertemu dengan Dr. Mahathir bagi menunaikan hajatnya itu.

Menurutnya, rancangan melakukan pembunuhan tersebut timbul kerana terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi yang menyatakan bahawa UMNO kafir.

"Ketika itu, saya menyandang jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Padang Terap, rancangan ini terbit kerana kami mahu melaksanakan Islam dengan cara yang mudah disebabkan cara pilihan raya lambat dan kami tidak boleh menunggu lagi.

"Selain Dr. Mahathir, kami juga mempunyai senarai nama menteri kabinet untuk dibunuh... dan untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kami sudah ada kabinet bayangan, kami mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri, bagaimanapun rancangan ini gagal selepas ia dihidu oleh pihak berkuasa dan 30 rakan-rakan saya ditangkap.

"Hari ini rancangan tersebut sudah tidak ada lagi dan saya sememangnya berhajat untuk bertemu dengan Dr. Mahathir untuk memohon maaf, cuma sedang menunggu masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Program Himpunan Selamat Tinggal Pas di Pejabat Gerakan UMNO, Kampung Kandis di sini malam tadi.

Zainon berkata, hari ini, Pas tidak lagi memperjuangkan Islam malah telah menggadai agama suci itu selepas bertahaluf siyasi dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

-Utusan

PM Umum Pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE)


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) di kawasan timur Sabah merangkumi 10 daerah.

Beliau berkata ESSZONE membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau itu berkuat kuasa hari ini.

“Sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan bagi memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan di kawasan timur Sabah, saya dengan ini mengumumkan, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962, mengisytiharkan pewujudan ESSZONE di kawasan timur Sabah merangkumi 10 daerah.

“Sepuluh daerah ini akan ditadbir oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan menurut Peraturan-peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh menteri dalam negeri,” katanya ketika berucap pada perbarisan sempena peringatan Hari Polis ke-206 di Pulapol, Jalan Semarak di sini hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa dikenali Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur akan dipengerusikan ketua menteri Sabah dan dibantu seorang ketua pegawai eksekutif serta anggota-anggota yang akan diumum kelak.

-Bernama

Gun N’ Roses Gamatkan Penutup F1


Lebih 10,000 penonton membanjiri Helipad, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menonton konsert kumpulan rock lagenda, Guns N’ Roses, di sini, malam tadi.

Kehadiran kumpulan rock dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu sememangnya menjadi tumpuan berikutan pertama kali mengadakan persembahan di negara ini sejak ditubuhkan pada 1987.

Kumpulan terbabit yang diketuai penyanyi yang juga satu-satunya anggota asal Guns N’ Roses iaitu Axl Rose muncul tepat jam 8 malam membawakan lagu popular mereka antaranya Welcome to the Jungle, You Could Be Mine, Estranged, Rocket Queen, Mr Brownstone, Sweet Child O’Mine dan November Rain.

Walaupun tanpa anggota asal sebagaimana di puncak kegemilangan mereka dulu seperti Slash (gitar), Izzy Stradlin (gitar), Duff McKagan (bass) dan Steven Adler (dram), Axl Rose bersama barisan anggota barunya tetap mantap dalam persembahan mereka.

Terdahulu, konsert yang diadakan sempena perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) Malaysia turut menampilkan artis tempatan iaitu kumpulan Estranged dan Twilight Action Girl.

Guns N’ Roses dilabel sebagai antara kumpulan rock paling berjaya di dunia apabila album sulung mereka, Appetite For Destruction mencetus fenomena dengan terjual lebih 30 juta unit di seluruh dunia.